Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Showing posts with label Persoalan Fiqh Dan Isu Khilaf. Show all posts
Showing posts with label Persoalan Fiqh Dan Isu Khilaf. Show all posts

22 April 2010

Hukum Membunuh Cicak



Soalan:

A'kum ustaz.. saya selalu dengar orang tua2 cakap bunuh cicak dapat pahala. betol ka ustaz. boleh ustaz terangkan & huraikan. terima kasih
Jawapan:

Benar, membunuh cicak hukumnya adalah SUNAT. Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim meletakkan bab “Sunat Membunuh Cicak.” Ini berdasarkan beberapa hadith yang sahih dari Nabi S.A.W. antaranya, di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Sa’id bin al-Musayyib (سعيد بن المسيب) yang Umm Syareek (أم شريك) menceritakan kepadanyabahawa Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk membunuh cicak-cicak (الأوزاغ). Di dalam riwayat al-Imam al-Bukhari ada dinyatakan:

كان ينفخ على إبراهيم عليه السلام

Maksudnya: “Cicak itu meniup (utk menyemarakkan) api yang membakar Nabi Ibrahim A.S.”

Di dalam sahih Muslim dari jalan Abdul Razzak, katanya menceritakan kepada kami Ma’mar (معمر) daripada al-Zuhriy (الزهري) daripada ‘Amir bin Sa’ad (عامر بن سعد), daripada bapanya, bahawa Nabi S.A.W. menyuruh membunuh cicak dan baginda menamakannya (cicak) sebagai (فُوَيْسِقٌ) yang bermaksud Pembuat Kerosakan.

Di dalam hadith yang lain dinyatakan pula membunuh cicak dengan pukulan yang pertama lebih banyak pahalanya berbanding pada pukulan kedua dan ketiga. Ini berdasarkan hadith di dalam sahih Muslim daripada Abu Hurairah R.A. katanya: Nabi S.A.W. bersabda:

من قتل وزَغة في أول ضربة فله كذا وكذا حسنة . ومن قتلها في الضربة الثانية فله كذا وكذا حسنة لدون الأولى وإن قتلها في الضربة الثالثة فله كذا وكذا حسنة لدون الثانية

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak pada pukulan yang pertama, baginya sekian banyak pahala, dan sesuapa yang membunuhnya pada pukulan yang kedua, baginya sekian banyak pahala yang kurang dari yang pertama, dan jika membunuhnya pada pukulan yang ketiga, baginya sekian banyak pahala yang kurang dari pahala yang kedua.”

Ibn Majah pula di dalam sunannya meriwayatkan:

عَنْ سَائِبَةَ مَوْلاةِ الْفَاكِهِ بْنِ الْمُغِيرَةِ أَنَّهَا دَخَلَتْ عَلَى عَائِشَةَ فَرَأَتْ فِي بَيْتِهَا رُمْحًا مَوْضُوعًا فَقَالَتْ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا تَصْنَعِينَ بِهَذَا قَالَتْ نَقْتُلُ بِهِ هَذِهِ الأَوْزَاغَ فَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَنَا أَنَّ إِبْرَاهِيمَ لَمَّا أُلْقِيَ فِي النَّارِ لَمْ تَكُنْ فِي الأَرْضِ دَابَّةٌ إِلا أَطْفَأَتْ النَّارَ غَيْرَ الْوَزَغِ فَإِنَّهَا كَانَتْ تَنْفُخُ عَلَيْهِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِه

Maksudnya: “daripada Sanibah Maulah al-Fakih ibn al-Mughairah (سَائِبَةَ مَوْلاةِ الْفَاكِهِ بْنِ الْمُغِيرَةِ) yang menemui ‘Aisyah di dalam rumahnya, lalu beliau melihat di dalam rumah ‘Aisyah (isteri Nabi S.A.W.) ada lembing, lalu dia bertenya: Wahai Umm al-Mukminin apa yang anda lakukan dengan lembing ini?” jawab ‘Aisyah R.A.: “Kami gunakannya untuk membunuh cicak-cicak, kerana Nabi S.A.W. menceritakan kepada kami, Nabi Ibrahim ketika dicampakkan ke dalam api, tidak ada binatang yang melata di muka bumi semuanya berusaha untuk memadamkannya melainkan cicak, ia meniup (utk menyemarakkan api) ke atas Nabi Ibrahim, lalu Nabi S.A.W, menyuruh kami membunuhnya.” (HR Ibn Majah 3222, di dalam al-Zawaid dinyatakan: Isnad hadith ‘Aisyah ini sahih dan rijalnya thiqaat)

Wallahu a’lam. bs

22 December 2009

Hukum Mengucapkan "Merry Christmas"

السلام عليكم ورهمة الله وبركاته

Hari ini 22 Disember. Menurut penganut Kristian, 25 Disember adalah hari istimewa bagi mereka kerana bagi kepercayaan mereka hari tersebut adalah perayaan "Merry Christmas" bagi mereka. Tetapi apakah kita sebagai muslim dibolehkan mengucapkan perayaan bukan dalam ajaran Islam kepada penganut Kristian? Jawapan ringkas yang boleh dihuraikan adalah tidak boleh kerana ianya bertentangan dengan akidah Islam. Jawapan yang lebih terperinci boleh dilihat di bawah ini:

Soalan:

Bolehkah saya mengucapkan “Selamat Hari Natal” kepada rakan saya yang beragama Kristian dan mengunjungi rumahnya sempena hari perayaan tersebut?
Nur Suliani, Sandakan, Sabah.

Jawapan:

Hari Natal disambut sempena kelahiran Jesus sebagai anak Allah. Keyakinan ini amat bertentang dengan Islam sebab Allah tidak memiliki anak. Allah menegaskan: “Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan” [Surah al-Ikhlas, ayat 3] Apabila seorang muslim mengucapkan “Selamat Hari Natal”, bererti dia mengucapkan “Selamat menyambut kelahiran anak Allah”. Apabila seorang muslim menghadiri perayaan Hari Natal, bererti dia sama-sama meraikan hari kelahiran anak Allah.

Semua ini bertentangan dengan sikap seorang muslim yang sepatutnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” [Surah al-Maidah, ayat 2] Justeru kita sepatutnya bertolong-tolongan menjemput mereka ke agama Islam, bukan bertolong-tolongan meraikan hari kebesaran mereka yang mencerobohi dasar Islam, hingga akhirnya mereka terasa pengiktirafan kita ke atas agama mereka.

Semua ini bukan bererti memecah-belahkan rakyat Malaysia. Ini kerana persatuan dicapai dengan masing-masing penganut agama bebas mengamalkan agama mereka, bukan dengan masing-masing penganut meraikan sesuatu yang bertentang dengan agama mereka.


17 December 2009

Soalan Sempena Sambutan Tahun Hijrah

Soalan: Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini?

Jawapan: Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur.

Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah.

Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.

Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin.

Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan.

Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu.

Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.

Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?

Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim.

Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan.

Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus.

Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan.

Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sumber: Minda Tajdid

09 December 2009

Fiqh al-Ikhtilaf

السلام ىليكم ورهمة الله وبركاته

Mutakhir ini banyak isu perbedaan pendapat dan masalah fiqh. Seandainya berselisih dengan pendapat ulama' maka dikatakan biadap dan menghina ulama'. Ada juga yang mengatakan bahawa masyarakat dilarang melakukan talfiq tetapi jika hendak mengamalkan pegangan mazhab lain boleh asalkan tidak mencampuradukkan ijtihad mazhab antara satu sama lain. Ada juga mengatakan bahawa wajib mengikut "ijma' arus perdana" kerana ianya adalah ijma' sepakat ulama di Malaysia dan tidak boleh berselisih pendapat.

Ini bermakna masyarakat harus bertaqlid walaupun adanya hukum fiqh yang bercanggah dengan nas serta kewarasan akal fikiran. Sering juga dilabel-label apabila seseorang itu berbeda pendapat fiqhnya terhadap pihak lain. Ironinya, apabila selisih atau beda pendapat mesti dilabel dengan wahabi. Apa ini semua? Apabila tak sama pendapat, wahabi. Tuduhan yang sangat melampau dan tidak relevan sama sekali!

- Gambar Hiasan-

Jika demikian kenyataan yang diwar-warkan oleh beberapa ulama' di Malaysia yang 'begitu handal', maka apa pula yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi iaitu seorang faqih dalam bidang fiqh dan sering dijadikan rujukan semasa terhadap permasalahan fiqh pada zaman moden ini mengenai isu perbedaan pendapat atau ikhtilaf.

Pendapat beliau telah dikemukakan di dalam kitabnya yang berjudul al-Sahwah al-Islamiyah min al-Murahaqah ila al-Rusd. Beliau menyebut antara kaedah-kaedah Fiqh al-Ikhtilaf dalam menangani permasalahan ini ada 19 perkara.

  1. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah suatu keperluan.
  2. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah rahmat dan keluasan bagi umat Islam.
  3. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah kekayaan dalam perundangan bagi umat.
  4. Menghindari khilaf dan menyatukan umat pada satu pendapat adalah suatu yang tidak mungkin.
  5. Mengandaikan pandangan yang benar di pihak yang menyalahi pandangan kita.
  6. Kemungkinan yang benar itu lebih dari satu.
  7. Tersilap dalam perkara ijtihad selama mana ia berkeahlian adalah diberi kemaafan malah berpahala.
  8. Tidak ingkar terhadap pihak yang tidak bersependapat dan menyebut apa yang baik pada mereka.
  9. Bersikap insaf terhadap pihak yang tidak bersependapat dan mengkritiknya dengan penuh kebenaran.
  10. Bersikap adil dengan mereka yang bersependapat dan mengkritiknya dengan penuh kebenaran.
  11. Berkerjasama dalam perkara yang disepakati.
  12. Bertasamuh dalam perkara yang terdapat padanya khilaf.
  13. Berdialog dalam perkara yang tidak disepakati.
  14. Bertasamuh di kalangan mereka yang berkhilaf dan bersolat antara mereka antara satu sama lain.
  15. Mengambil kira khilaf yang semua mazhab semuanya di atas landasan kebaikan dan hidayat.
  16. Mengalu-alukan khilaf al-tanawwu' bukannya khilaf al-Tadhad.
  17. Menjauhi sikap menunjuk-nunjuk dan melampau dalam pertengkaran.
  18. Beradab dengan mereka yang ternama dan ulama'.
  19. Menjauhi dari melabel dengan dosa dan kafir.
Maka, harus dielakkan sikap buruk terhadap ikhtilaf kerana ianya lebih mengundang kepada perpecahan ummah. Kalau kita hendak umat Islam terhindar daripada perpecahan, maka haruslah dielakkan sikap melabel seseorang itu apabila seseorang itu berbeda pendapatnya dengan pihak lain. Kerana sikap melabel inilah menjadi faktor utama perpecahan ummah!


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
9 Disember 2009/22 Zulhijjah 1430H

14 September 2009

Persoalan Agama: Pasang pelita sambut tujuh likur amalan bidaah



Persoalan Agama: Pasang pelita sambut tujuh likur amalan bidaah
Soalan:

APAKAH pandangan agama mengenai amalan memasang pelita bagi menyambut malam tujuh likur yang lebih bersifat budaya.

Ingin Tahu.
Jawapan:

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan perkara yang baru dalam urusan agama sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun sejarawan dan budayawan menjelaskan perkara ini lebih bersifat budaya, persoalannya mengapakah tradisi ini terbatas pada Ramadan saja. Ada sebab tertentu yang menjadikan masyarakat mengamalkan sesuatu budaya.

Contohnya, pesta menuai diadakan untuk merai roh petani yang mengajar hidup berdikari atau untuk penguasa yang menjaga kepentingan petani.

Hujah makhluk halus menjaga hasil tanaman tidak boleh diterima akal. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 106 bermaksud: "Dan (orang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mempersekutukan-Nya dengan yang lain."

Mentafsirkan ayat ini, Hammad Salamah meriwayatkan daripada 'Asim Abinnujud keprihatinan sahabat kepada syirik menjadikan mereka merungkaikan perkara itu walaupun kurang disenangi.

Contohnya, Huaifah yang menziarah seorang yang sakit lalu mendapati dia memakai tangkal kulit. Huzaifah memotongnya lalu membacakan ayat ke-106 surah Yusuf ini.

Umat harus menyedari Islam yang menjadi pegangan sudah sempurna dengan turunnya ayat ketika hajjatul wada iaitu firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke-3 bermaksud: "Pada hari ini, Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya: "Kesempurnaan Islam bermaksud umat tidak memerlukan kepada penambahan dalam ibadat dan mereka tidak memerlukan kepada sesiapa pun melainkan petunjuk Nabi Muhammad SAW.

"Tiada lagi suatu yang halal selain dihalalkan Islam dan tiada yang haram selain diharamkan Islam, dan tiada penambahan terhadap apa yang sudah disyariatkan." (Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir).

Berbalik kepada soalan anda, menyalakan pelita pada malam likur ini tiada asasnya dalam sunah Nabi apatah lagi ayat al-Quran. Umat Islam dinasihat meninggalkan amalan sia-sia ini kerana bukan saja membazir, malah membuang masa sehingga menjejaskan penumpuan kepada amal salih yang perlu diutamakan.

Sumber: Berita Harian

08 September 2009

17 Ramadhan & Nuzul Al-Quran

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambut nuzul al-Quran, di mana pada tarikh ini dikatakan tarikh diturunkan al-Quran buat pertama kalinya kepada junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.

Persoalan yang timbul ialah adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi Nuzul al-Quran seperti yang diketahui umum?

Dalam menulis artikel ini saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, ditulis oleh Al-Fadhil Dr Ahmad Najib bin Abdullah dari KIAS Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 ramadhan sebagai hari nuzul al-Quran” dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa kerajaan negeri Perlis.

Peringkat penurunan Al-Quran

Para ulamak membahagikan penurunan Al-Quran al-Karim kepada dua peringkat. Peringkat pertama: Diturunkan dari Lauh al-Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah s.w.t.

إنا أنزلناه في ليلة مباركة

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. (surah al-Dukhan: 3)


Firman Allah s.w.t. lagi

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Firman Allah s.w.t lagi

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Peringkat kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.

Pendapat ini dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani katanya: pendapat yang sahih dan muktamad. (fath al-Bari jilid 8 hlm. 620). Al-Imam Al-Qurtubi menyatakan tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini. (Tafsir al-Qurtubi, jilid 2 hlm.297).


Bilakah tarikh permulaan turunnya Al-Quran?

kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya al-Quran itu ialah di dalam bulan ramadhan. Tetapi mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.

Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 ramadhan adalah hari nuzul al-Quran, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.

Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri antaranya 7 ramadhan, 17 ramadhan dan 18 ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 ramadhan sebagai tarikh permulaan nuzul al-Quran. Ini disebabkan beberapa faktor

1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa nabi s.a.w. diutuskan menjadi seorang rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak hadis daripada Abu Qatadah r.h. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda: Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (al-Quran) ke atasku. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.

2. Pada tahun Nabi s.a.w. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam bulan ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan ramadhan.

3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah di dalam surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi s.a.w. diutuskan sebagai rasul pada 21 ramadhan sekaligus menjadi tarikh nuzul Al-Quran. (rujuk Al-Rahiq al-Makhtum, hlm.75)


Tarikh 17 ramadhan

Tarikh 17 ramadhan ini pula dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan:

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 ramadhan sebagai tanggal nuzul al-Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran” (bermulanya nuzul al-Quran), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:

Ibn Ishaq berkata: bermulanya penurunan al-Quran kepada rasulullah s.a.w. pada bulan ramadhan. Allah berfirman:

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Dan Allah berfirman:

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Dan Allah berfirman:

إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان

Maksudnya: Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan. (al-Anfal: 41)


Dan pada hari itu pertembungan antara rasulullah s.a.w. dengan orang-orang musyrikun di Badar.

Ibn Ishaq berkata lagi: Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain telah menceritakan kepadaku bahawasanya rasulullah s.a.w. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 ramadhan. (Sirah Ibn Hisyam 1/239-240 –merujuk kepada kertas kerja Dr Ahmad Najib)

Kata Dr Ahmad Najib: “Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ yang terdapat dalam al-Quran dengan ‘Hari al-Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Quran juga berlaku pada tarikh yang sama”.

Di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibn Kathir membawakan satu riwayat dari Al-Waqidi daripada Abu Ja’afar al-Baqir dia berkata: bermulanya wahyu kepada rasulullah s.a.w. pada hari Isnin 17 ramadhan dan dikatakan juga 24 ramadhan. (Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan nuzul al-Quran jatuh pada 17 ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan nuzul al-Quran disebabkan ianya bersandar kepada riwayat al-Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut ulamak al-Jarh wa al-Ta’dil.


24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran

Sebahagian ulamak memilih 24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran berdasarkan hadis berikut:

عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.

Daripada Wathilah bin al-Asqa’ bahawa rasulullahs.a.w. bersabda: Diturunkan suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama bulan ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 ramadhan, dan Injil pada 13 ramadhan, dan diturunkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 ramadhan.


Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Al-Albani, manakala Syeikh Ahmad Syakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 185 dan Al-Qadr: 1. Kata beliau: berkemungkinan Lailatu al-Qadr berlaku pada tahun diutuskan nabi s.a.w. pada malam 24 ramadhan di mana al-Quran diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’. (Fath al-Bari, jilid 8 hlm. 621)

Al-Imam al-Tobari ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh al-Mahfuz pada malam 24 ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah. (Jami’ al-Bayan, jilid 3, hlm. 445)

Imam al-Qurtubi menyebut hadith Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan al-Basri yang menegaskan Lailatul al-Qadr berlaku pada malam 24 ramadhan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 2, hlm 198)

Al-Hafiz Ibn Kathir juga membawakan hadith ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah al-Baqarah. Turut menyebut hadith ini syeikh Al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul al-Quran berlaku pada tanggal 24 ramadhan.


Kesimpulan

Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 24 ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut:

1. Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan Hadith. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul al-Quran.

2. Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 ramadhan.

3. Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulamak Muktabar dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul al-Quran. Rujuk kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Wallahu a’lam

Sumber: Institut al-Qayyim

07 July 2009

Ayat Al-Quran Dalam Kad Kahwin

Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah mengenai pertanyaan mengenai ayat Al-Quran yand terdapat di dalam kad jemputan kahwin pada kebiasaan yang dilakukan pada masa kini. Persoalannya harus atau tidak menulis ayat Al-Quran pada kad jemputan tersebut. Sumber ini diambil daripada laman web Al-Ahkam.net. Semoga ianya bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan. Allahu'alam.


- Gambar Hiasan -

Soalan:

salam

Saya perlukan jawapan dgn kadar secepat mungkin kerana hendak cetak kad kahwin hujung minggu ni. Boleh tak tulis ayat quran yg sesuai dgn majlis kahwin dalam kad kahwin???

Jika tidak boleh , boleh tak saya tulis terjemahannya shj?

Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد


Pernah diajukan soalan kepada Syeikh Bin Baz:

Soalan: Adakah harus menulis Bismillah pada kad jemputan kahwin, memandangkan ia kadang-kadang dibuang di jalanan atau dalam tempat buangan sampah?

Jawapan: Menulis Bismillah pada kad-kad tersebut atau lain-lain seperti surat, adalah suatu yang masyruk (digalakkan). Kerana baginda SAW memulakan surat-surat baginda dengan Bismillah. Dan tidak harus bagi sesiapa yang menerima kad yang terdapat nama Allah atau ayat Quran membuangnya ke dalam tempat pembuangan sampah atau tempat yang tidak dihormati.

Kata beliau lagi: Jika berlaku yang demikian, maka dosanya ke atas pelaku (yang membuangnya). Adapun orang yang menulisnya, dia tidak berdosa.

Rujukan:
- Fatawa Islamiyyah (hlmn: 507)

Sumber: Al-Ahkam.net

Akad Nikah Diwakilkan

Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah mengenai pertanyaan mengenai akad nikah yang dilakukan ketika pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga berada di luar negara. Sumber ini diambil daripada laman web Al-Ahkam.net. Semoga ianya bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan. Allahu'alam.



- Gambar Hiasan-

Soalan:

Saya nak tanya satu peristiwa yg telah berlaku di satu tempat di Johor, bilamana satu majlis perkahwinan dimana akad nikah dilakukan di malaysia, tetapi pasangan pengantin lelaki & perempuan, dalam pada waktu yang sama berada diluar negara. Minta penjelasan daripada Ustaz. 



Jawapan:


Para ulama Islam memutuskan bahawa hukum perwakilan dalam akad nikah pada ijab dan qabul adalah sah dan harus. Kerana nabi s.a.w. pernah mewakilkan Amru bin Umayyah dan Aba Rafi’ menerima (qabul) nikahnya. Dan jua kerana hajat kepada demikian, kemungkinan ia perlu kepada perkahwinan daripada jarak jauh yang sukar untuk musafir.

(Al-Makmuj 14/97 dan Al-Mughni 10/254)

Dalam hadis kisah perwakilan Abu Rafi, al-Shawkani berkata:

وفيه دليل على جواز التوكيل في عقد النكاح من الزوج


“Dan padanya dalil menunjukkan harus perwakilan dalam akad nikah daripada pihak lelaki.”

Rujuk Nayl Al-Awtar, Kitab Al-Wakalah, Bab Ma Yajuz Al-Tawkil Fihi Minal Uqud

Wallahualam

Sumber: Al-Ahkam.net

24 May 2009

Adakah Basmalah Sebahagian Dari Al-Fatihah

Assalamualaikum wbt...

Selalu sahaja ada yang menyatakan permasalahan terhadap basmalah dari al-fatihah sama ada al-fatihah adalah sebahagian dari al-fatihah atau tidak. Maka ana menjumpai satu kupasan soal jawab yang menarik mengenainya. Jadi, di bawah ini merupakan artikel mengenai soal jawab adakah basmalah sebahagian dari al-fatihah. Selamat membaca dan memahaminya.

Saya mohon maaf jika soalan ini berulang, saya telah cuba cari tapi tak jumpa.

Saya masih confuse untuk mengamalkan basmalah ketika membaca AL-Fatihah dalam dan luar solat. Adakah boleh jika tidak dibaca langsung basmalah ketika baca al-fatihah? Iaitu ia sekadar sunat utk dibaca. Saya mohon penjelasan dan dalil adakah basmalah sebahagian dari surah al-fatihah.

Jika dikira al-fatihah mengandungi 7 ayat termasuk basmalah sesuai seperti dinyatakan sebagai sab’u masani di dalam hadis Nabi SAW

Mohon penjelasan.

Terima kasih.

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Ulama sepakat mengatakan bahawa ‘basmalah’ adalah merupakan sebahagian daripada surah An-Naml , tetapi berselisih pendapat mengenai adakah diwajibkan membacanya dalam solat.

Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan ianya adalah sunat sahaja kerana mereka beranggappan bahawa basmalah bukanlah satu ayat dari surah Al-Fatihah.

Manakala Imam Syafie mewajibkan membacanya.

Para Qurra Makkah dan Kufah mengatakan bahawa basmallah adalah merupakan sebahagian dari surah Al-Fatihah , manakala para Qurra Madinah , Basrah dan Syam tidak menganggap basmalah adalah ayat daripada surah al-Fatihah.Mereka mengatakan bahawa basmalah hanya merupakan pemutus antara setiap surah-surah yang terdapat dalam al-Quran.

Pendapat para Qurra Madinah , Basrah dan Syam ini dikuatkan dengan dalil daripada hadis Nabi saw sebagaimana berikut :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان لا يعــرف فصــل السور حتى ينــزل عليه ( بسم الله الرحمن الرحيم)

“Sesungguhnya Rasulullah saw tidak mengetahui akan pemutus antara surah-surah sehinggalah diturunkan Bismillahir Rahmanir Rahim.

[HR Abu Daud : 788 , Al-Hakim : 1/231. Disahkan dan dipersetujui oleh Az-Zahabi]

Walaubagaimana pun terdapat juga dalil yang mengatakan bahawa Basmalah bukanlah sebahagian daripada al-fatihah sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik ra :

أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يفتتحون الصلاة ب(الحمد لله رب العالمين)

“Adalah Rasulullah saw dan Abu Bakar serta Umar memulai solat dengan (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) [H.Muttafaqun ‘Alaih , Bukhari :743 dan Muslim : 399]

Dalam Riwayat Imam Muslim terdapat tambahan yang menyebutkan bahawa mereka iaitu Rasulullah saw , Abu Bakar dan Umar tidak menyebut Basmalah samada diawal bacaan ataupun diakhir bacaan al-Fatihah sebagaimana berikut :

لا يــذكرون ( بسم الله الرحمن الرحيم) في أول قراءة ولا في آخرها

Malah menurut Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , terdapat hadis sahih yang jelas menunjukkan bahawa Basmalah bukanlah merupakan ayat daripada surah Al-Fatihah sebagaimana berikut :

أن الله قال: قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين ، فإذا قال : الحمد لله رب العالمين ، قال : حمدني عبدي …….. إلخ

“Nabi saw bersabda : Sesungguhnya Allah swt telah berfirman : Aku membahagi dua solat hambaku , separuh untuk untuk-Ku dan separuh untuk hamba-Ku.(Untuk hamba , apa yang ia minta)…..Ketika hambu-Ku membaca (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) , Aku berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku………hingga akhir.

[HR Imam Muslim : 395]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa permulaan al-Fatihah adalah (Alhamdulillah….) bukannya basmalah….Allahu A’alam…

WA

Ruj :

Taudhih Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah Abd Rahman Al-Bassam.

Fathul Qadir , jilid 1 , ms : 65

Al-Ahkam Asy-Syar’iyyah li qurra al-Quran al-Karim , Asy-Syaikh Dr. Mahmud Ahmad Sa’id al-Atrash.

Sumber: Catatan Al-Jawhar

09 February 2009

Dr Yusuf Al-Qardhawi: Hukum Pengambilan Upah Dalam Mengajar Al-Quran

Assalamualaikum wbt...

Para ulama berselisih pendapat tentang boleh atau tidak mengambil upah dari mengajar Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat boleh mengambil upah dari mengajarkan Al Quran berdasarkan dalam sahih Bukhari:

“Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”[1]

Para ulama berselisih pendapat tentang boleh atau tidak mengambil upah dari mengajar Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat boleh mengambil upah dari mengajarkan Al Quran berdasarkan dalam sahih Bukhari:

“Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”[1]



Dan ada yang mengatakan: jika ditentukan jumlahnya, maka tidak boleh. Pendapat ini dipilih oleh Al Halimi. Abu Laits berkata dalam kitab “Al Bustan”[2]

Mengajar dilakukan dengan tiga bentuk: Pertama: dengan tujuan untuk beribadah saja, dan tidak mengambil upah. Kedua: mengajar dengan mengambil upah. Ketiga: mengajar tanpa syarat, dan jika ia diberikan hadiah ia menerimanya.

Yang pertama mendapatkan pahala dari Allah SWT, kerena itu adalah amal para Nabi a.s.

Kedua diperselisihkan. Sebahagian ulama mengatakan: tidak boleh, dengan dalil sabda Rasulullah SAW:“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” [3].Sementara sebahagian ulama lain berkata: Boleh. Mereka berkata: yang paling utama bagi seorang pengajar adalah tidak menentukan bayaran untuk menghafaz dan mengajar, dan jikapun ia menentukan bayaran itu maka aku harapkan agar tidak dilarang, kerana ia memerlukanya [kemaslahatan].

Sedangkan yang ketiga: dibolehkan oleh seluruh ulama kerana Nabi Saw adalah pengajar manusia, dan beliau menerima hadiah mereka. Dan dengan dalil tentang seseorang yang tersengat haiwan berbisa, kemudian dibacakan surah Al Fatihah oleh sebahagian sahabat, dan orang itu selanjutnya memberikan hadiah beberapa ekor kambing atas perbuatan sahabat itu, dan setelah mengetahui itu Nabi Muhammad Saw bersabda:

“Berikanlah aku bahagian dari hadiah itu “ [4] Tamat.[5]

Dalam hadith lain Rasulullah SAW membolehkan pengajaran itu dijadikan sebagai mas kahwin bagi seorang wanita. Iaitu saat Nabi Muhammad Saw memerintahkan sahabat itu untuk mencari sesuatu yang dapat dijadikan mas kahwin bagi sahabat itu, hingga sebentuk cincin dari besi sekalipun. Kemudian Rasulullah SAW menanyakan surah apa yang ia boleh dibaca. Ia memberitahukan beberapa surah yang ia hafaz. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat itu:

“Pergilah, aku telah sahkan perkawinanmu dengan mas kawin mengajar Al Quran yang engkau hafaz” [6]

Ertinya dengan pengajaran Al Quran yang engkau lakukan kepada wanita itu.

Ini semua adalah dalam masalah pengajaran Al Quran. Sedangkan membacanya tidak boleh menarik upah, kerana hukum asal dalam membacanya adalah ibadah, dan dasar bagi seorang yang beribadah adalah agar ia beribadah bagi dirinya, maka bagaimana mungkin ia kemudian mengambil upah kepada orang lain dari ibadah yang ia lakukan kepada Rabb-nya, sementara ia mengerjakan itu semata untuk mendapatkan pahala dari Allah SWT?!

Abdurrahman bin Syibl meriwayatkan dari Nabi Saw, bahwa beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran, amalkanlah isinya, jangan kalian menjauh darinya, jangan berlaku khianat padanya, jangan makan dengannya, dan jangan mencari kekayaan dengannya” [7]

Imran bin Husain meriwayatkan dari Nabi Muhammad Saw beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran dan mintalah kepada Allah SWT dengan Al Quran itu, sebelum datang kelompok manusia yang membaca Al Quran, kemudian meminta [upah] kepada manusia dengan Al Quran”[8]

Sedangkan jika pembaca Al Quran diberikan sesuatu sedeqah, atau pemberian, maka tidak mengapa jika ia menerimanya, insya Allah.

Tamat petikan.

Bagi penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan ketiga. Ia bukan sahaja boleh merujuk upah mengajar al-Quran tetapi kepada semua pengambilan upah seperti mengajar al-Quran, Ilmu agama, Imam, Muazzin dan sebagainya. Ini berdasarkan apa yang difatwakan oleh “Majma’ al-Fiqh al-Islami ” [9] iaitu:

Jika tidak mengambil upah, nescaya meraka tidak akan mempunyai sumber untuk menyara kehidupan mereka. Jika perkara itu berlaku, agama Islam akan semakin dilupakan. Oleh itu, untuk menjaga kesinambunagn agama Islam, para ulama Mazhab Hanafi telah membenarkan golongan ini mengambil upah. Para ulamak dari pada pelbagai mazhab juga telah mengambil pendapat ini demi menjaga kemaslahatan agama.

Ustaz Maszlee Malik mengatakan ulamak yang mengharamkan perbuatan itu kerana ia termasuk dalam amal ibadah dan tidak boleh diberikan upah. Pendapat ini disokong oleh polisi negara islam terdahulu yang menyara para pengajar al-Quran, fardu ‘ain, fardu kifayah, imam, muazzin dan sebagainya. Namun begitu, pendapat ini tidak lagi relevan apabila negara-negara Islam moden sudah tidak lagi menanggung mereka. [10]

Wallahua'lam

Rujukan: Fakruddin

06 February 2009

Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

Assalamualaikum wbt...

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat.

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…

Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).

Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.

Khilaf Yang Tidak Muktabar

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:

“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.

Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:

“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Khilaf Yang Muktabar

Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.

Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.

Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.

Wallahu A’lam.

Rujukan: Abu Umair

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More