Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

29 April 2010

BERTAQLID DALAM MENILAI KESAHIHAN HADITH –NASIHAT UNTUK PENDOKONG SUNNAH

Oleh: Ustaz Adlan Abd Aziz

Ini sekadar nasihat, terpulang kepada anda untuk menerima atau menolaknya. Ia ditujukan kepada pendokong sunnah yang masih belum menghayati perbezaan ilmu antara muhaddith salaf dan muhaddith selepas mereka. Mungkin ia terlihat tidak tersusun kerana dikarang secara spontan. Namun ia masih berada di bawah tajuk manhaj ahli hadith salaf lebih hebat dan lebih tepat. Selamat membaca.

Sedar atau tidak, kita hanya bertaqlid dalam menilai kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith. Apabila kita menyebut ’hadith riwayat al-Bukhari’ atau ’hadith ini dinilai sahih oleh Muslim’ atau ’hadith ini dinilai dhaif oleh al-Tirmidzi’, sebenarnya kita telah bergantung penuh kepada apa yang telah dikaji dan ini menandakan kita taqlid kepada mereka.

Begitu juga apabila ada dalam kalangan pendokong al-Sunnah masa kini yang asyik mengulangi perkataan ’dinilai sahih oleh al-Albani’, ’didhaifkan oleh al-Albani’ atau menggunakan nama ulama lain seperti Ahmad Syakir, Ahmad al-Ghumari, Syu’aib al-Arnaout, Abd. Aziz al-Torifi, Abdullah al-Sa’d dan lain-lain lagi – ini menandakan kita mengambil bulat-bulat kajian mereka. Ini juga salah satu bentuk taqlid.

Tanpa mahu menegaskan apakah jenis-jenis taqlid dan yang manakah taqlid yang dibenarkan dan ditegah, apa yang paling penting ialah – kita telah lama bertaqlid dalam menilai kesahihan hadith. Kalau tak nak taqlid al-Bukhari, kenapa anda taqlid al-Albani?

Kenapa kita bertaqlid? Dalam masa yang sama kita (atau sebahagian kita) amat tegas dalam melarang orang bertaqlid. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang persoalan taqlid, ittiba’ dan ijtihad. Itu bukan topik artikel ini.

Jika ada dalam kalangan anda yang menjawab : saya tidak taqlid! Saya mengambil pendapat mereka dalam keadaan mengetahui apa hujah mereka! Jika ini jawapan anda, ia amat melucukan sebenarnya. Adakah anda telah mengkaji SEPENUHNYA hujah al-Bukhari (sebagai contoh) ketika beliau menilai sesuatu hadith? Adakah anda telah membuat perbandingan dengan ulama hadith lain sebelum al-Bukhari dan juga selepasnya untuk menilai hujah yang mana lebih kuat dan lebih rajih? Pelbagai soalan boleh dikemukakan untuk meragui dakwaan bahawa anda telah mengetahui hujah al-Bukhari. Soalan yang paling tepat untuk ditanya sebelum semua soalan tadi ialah – adakah anda layak untuk memahami bagaimana al-Bukhari menilai hadith?

Sepatutnya anda menjawab: Ya! Saya bertaqlid kepada al-Bukhari atau saya mengikut pendapat al-Bukhari kerana beliau adalah mujtahid mutlaq (dengan disaksikan oleh guru dan muridnya di zaman beliau) yang layak mengeluarkan pendapat. Beliau layak dan saya tidak layak. Malah beliau amat berkelayakan dalam memberikan pandangan terhadap kesahihan sesuatu hadith tanpa ragu lagi. Itu yang sepatutnya anda jawab. Itu tanda anda mengiktiraf kehebatan ahli hadith dan juga bukti bahawa anda tidak layak untuk diletakkan sebaris dengan ahli hadith salaf terutamanya. Tetapi...

Mungkin anda setuju dan mungkin tidak terhadap apa yang telah saya coretkan di atas tadi.

Adakah anda tidak setuju kita bertaqlid kepada imam-imam hadith terkemuka seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya? Kenapa? Kerana anda merasakan ada orang yang lebih tahu daripada mereka?

Atau anda sendiri tidak mahu betaqlid kepada sesiapa lantas dengan sendirinya anda mengkaji sanad dengan semua periwayatnya dan juga mengkaji matan untuk memastikan tiada ’illah dan tidak syadz? Adakah semua hadith anda lakukan seperti itu? Semua hadith? Adakah itu yang dilakukan oleh ulama selepas al-Bukhari? Adakah itu yang dilakukan oleh ulama hadith sepanjang zaman? Adakah dengan cara itu anda dapat keluar daripada unsur TAQLID? Mustahil sama sekali!

Kerana apa saya katakan mustahil? Kerana untuk mengkaji sanad untuk SATU hadith sahaja anda perlukan buku-buku yang telah dikarang oleh ulama salaf juga! Antara mereka yang memberikan pendapat tentang periwayat (dipercayai atau dhaif) adalah imam-imam salaf juga. Siapa lagi orang yang anda akan gunakan pendapat mereka dalam menilai periwayat?

Ada yang menyatakan bahawa dia akan menggunakan buku Taqrib al-Tahdzib karya Ibnu Hajar al-’Asqlani (852H). Mungkin anda lupa bahawa semua maklumat dalam buku Taqrib itu diringkaskan daripada bukunya sebelum itu iaitu Tahdzib al-Tahdzib. Tahdzib al-Tahdzib pula meringkaskan atau menyusun buku Tahdzib al-Kamal karya al-Mizzi. Dari mana maklumat itu disusun oleh al-Mizzi (742H)? Daripada buku al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal karya Abd. Ghani al-Maqdisi (600H). Dari mana pula al-Maqdisi mendapat maklumat? Daripada buku-buku ahli hadith sebelumnya dan akhirnya...akhirnya kita akan dapati ia akan terhenti pada nama-nama besar dalam kalangan ahli hadith salaf. Nah! Bagaimana anda ingin keluar daripada taqlid para imam salaf?

Satu persoalan lagi yang ingin diajukan di sini...kenapa anda menerima pendapat imam salaf tentang periwayat..orang ini thiqah, orang ini dhaif, orang ini mudallis dan sebagainya. Kenapa diterima begitu sahaja? Jawapannya ialah kerana mereka lebih tahu, lebih awal dan lebih mampu. Tapi kita? Kita hanya mampu menyusun, menghuraikan dan membandingkan maklumat yang telah sedia ada. Alangkah lemahnya ilmu kita. Alangkah lemahnya ilmu ulama terkemudian dibandingkan dengan ahli hadith salaf!

Ada satu lagi keadaaan yang berlaku dalam kalangan pendokong sunnah – bertaqlid kepada ulama hadith moden. Bertaqlid kepada al-Albani, ulama-ulama Arab Saudi, Syu’aib al-Arnaout dan ulama-ulama negara arab lain seperti Jordan, Maghribi, Syria dan sebagainya. Kenapa anda asyik bertaqlid kepada mereka? Jawapan anda ialah mereka ahli hadith terkemuka dan tokoh yang hebat. Mereka mampu mengeluarkan pendapat tentang sesuatu hadith dengan tepat. Itu kata anda. Saya tidak menyalahkan anda kerana bertaqlid kepada mereka kerana ulama-ulama pernah menyatakan bahawa taqlid dibenarkan ketika kita tidak mampu mengkaji atau tidak sempat mengkaji seperti kata Ibnu Taimiyyah.

Tapi apa yang menyedihkan ialah anda bertaqlid kepada muhaddith moden seolah-olah mereka itu sebaris, setaraf, sehebat, semampu para imam salaf yang kita kenali sepanjang zaman! Siapa anda untuk mendakwa mereka sedemikian rupa? Mereka sendiri tidak mendakwa perkara tersebut! Kalau anda masih lagi menganggap sedemikian, (malah ada yang menganggap bahawa muhaddith akhir zaman lebih hebat daripada muhadddith salaf disebabkan faktor teknologi dan perkembangan zaman, Subhanallah! ) jelas sekali anda belum mengenali siapakah tokoh-tokoh hadith salaf. Jelas sekali anda belum lagi faham bagaimana mereka menghasilkan kajian masing-masing. Jelas sekali anda tidak mendapat gambaran tentang kemampuan mereka dalam mengkaji hadith. Amat jelas dan tidak syak lagi anda belum mengenali mereka!

Juga terang dan nyata anda tidak mengambil kira kemampuan mereka berbanding ulama selepas mereka. Anda mungkin berada dalam kalangan orang yang bermimpi bahawa Ibnu Sirin (110H) sama sahaja seperti muridnya Ayyub al-Sakhtiyani dan sama sahaja dengan murid Ayyub (131H) , Syu’bah Ibn al-Hajjaj (160H), sama sahaja dengan murid-murid Syu’bah - Abd. Rahman Ibn Mahdi (198H) dan Yahya Ibn Sa’id al-Qattan (198H). Mereka pula sama sahaja dengan Ahmad Ibn Hanbal (241H), al-Bukhari (256H), Muslim (261H) dan sebagainya. Mereka sama sahaja dengan al-Khatib al-Bahgdadi (463H), al-Baihaqi (458H), al-Nawawi (676H), al-Iraqi (806H), Ibnu Hajar al-Asqalani (852H), al-Suyuthi (911H), al-Syaukani (1255H), al-Albani (1421H), Syu’aib al-Arnaout dan lain-lain lagi. Ini adalah mimpi di siang hari! Tidak mungkin mereka sama! Bahkan imam-imam hadith yang terkemudian sentiasa memandang tinggi kepada ulama hadith salaf dan juga ulama sebelumnya. Terlalu banyak faktor yang membezakan ilmu ahli hadith salaf dan ilmu ahli hadith ulama-ulama selepas mereka. Apatah lagi ulama hadith masa kini, apatah lagi SAYA dan ANDA yang hanya tahu itu dan ini sahaja!

Ini adalah sekadar luahan hati saya apabila mendengar kata-kata atau membaca tulisan-tulisan yang saya dapati cenderung ke arah dua kesilapan besar:

1- Pertama, Menyamakan sahaja taraf muhaddith salaf dengan muhaddith selepas mereka seterusnya muhaddith moden.

2- Kedua, Tidak memperdulikan apa kata muhaddith terdahulu. Apa yang penting ialah kata-kata muhaddith zaman sekarang. Kalau dikatakan kepada orang ini ’al-Bukhari kata dhaif’, dia akan jawab ’tak apa, al-Albani kata sahih’.

Apa sebabnya? Sebabnya saya ringkaskan kepada dua perkara juga iaitu:

1- Pertama, Kurang kesungguhan untuk mencari apa kata muhaddith salaf tentang sesuatu hadith. Dengan mudahnya kita membuka buku moden atau menekan butang pada komputer untuk mencari apa kata ulama hadith moden. Ia menjimatkan masa dan memudahkan urusan. Sedangkan apa yang berlaku ialah kita telah mengabaikan pendapat-pendapat awal tentang hadith tersebut yang lebih hebat dan tepat.

2- Kedua, Tidak memberikan perhatian kepada sejarah perkembangan hadith. Lalu tidak mengenali siapa muhaddith salaf. Ditambah pula dengan tidak mengenali metodologi penulisan ulama-ulama salaf. Ini akan menjadikan kita tidak pandai menggunakan buku rujukan yang awal lalu kita ’skip’ dan terus menuju kepada kajian moden.

Apa akibatnya? Juga dua perkara:

1- Pertama, Berlaku kesilapan dalam menilai hadith. Yang telah didhaifkan oleh ulama-ulama salaf telah dinilai sahih. Begitu juga sebaliknya, ada hadith yang telah disahihkan oleh ulama salaf tetapi didhaifkan oleh ulama moden. Adakah mereka layak untuk melakukan perkara tersebut?

2- Kedua, Secara tidak sedar, kita telah memandang remeh dan memperlekehkan imam-imam salaf lalu kita hanya mengambil pendapat mereka dalam aqidah, akhlak, fiqh dan lain-lain tetapi kita tinggalkan fatwa mereka tentang hadith dan penilaian hadith.

Cukup sekadar ini apa yang hendak diluahkan.

Untuk makluman para pembaca, AAN telah melancarkan siri penerangan sejarah penulisan hadith (siri 1 – penulisan di zaman Rasulullah SAW dan sahabat). Ia akan dimuat turun dalam AAN tidak lama lagi, insya Allah. Manakala siri kedua akan diadakan di Institut al-Qayyim, Pulau Pinang dengan membicarakan siri 2 – penulisan hadith di zaman tabi’in dan atba’ tabi’in), insya Allah. AAN juga akan membekalkan maklumat ringkas tentang sebahagian tokoh hadith salaf berserta metodologi penulisan mereka dalam buku-buku terkenal. Insya Allah, ia adalah sekadar kemampuan AAN. Teruskan mengikuti perkembangan penerangan ini untuk anda mengetahui kewujudan perbezaan yang nyata antara ulama hadith terdahulu berbanding ahli hadith selepas mereka.

26 April 2010

Penat Menanti Detik Kemustajaban Doa

Soalan: Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!

Wardini, Kuala Kangsar.

Jawapan Dr MAZA:

Saudari, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya nyatakan seperti berikut:

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:

(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga: (maksudnya)

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.




3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :

« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :

« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

Sumber: DrMaza

22 April 2010

Buku Teks Sejarah Juga Perlu Dibuat Laporan Polis

Assalamualaikum wbt.

Yusri Muhammad, bekas Presiden ABIM dan sekarang Yang Di-Pertua Yayasan Sofa telah mengemukakan laporan polis di Balai Polis Dang Wangi beberapa hari yang lepas terhadap Dr Mohd Asri berkaitan dengan artikel 'Cabaran Gerakan Pembaharuan'. Agak terkilan dengan tindakan Yusri Muhammad. Beliau mengatakan bahawa artikel Dr Mohd Asri tersebut mempunyai unsur hasutan dan menghina raja-raja dan sultan.

Jika demikian, saya rasakan beliau perlu juga membuat laporan polis terhadap Buku Teks Sejarah sekolah-sekolah di Malaysia. Kerana setiap buku teks di sekolah-sekolah adalah melalui silibus yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku Teks matapelajaran Sejarah ada menyebut mengenai gerakan pembaharuan atau gerakan islah yang dipimpin tokoh-tokoh kaum muda antaranya Za'ba, Burhanuddin Helmi dan lain-lain.

Di bawah merupakan sebahagian tulisan daripada buku teks Sejarah mengenai gerakan pembaharuan:
Ramlah Adam, Shakila Parween Yacob, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil (2003). Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 m/s 49-50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

GERAKAN ISLAH DALAM MENINGKATKAN MINDA BANGSA

Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha, Idaran Zaman dan Pengasuh telah menjadi saluran Gerakan Islah ini.

Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu. Gerakan Islah oleh Kaum Muda ini dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana beberapa undang-undang telah dikeluarkan oleh Negeri-negeri Melayu bagi menghalang pengaruh Kaum Muda. Undang-undang ini tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaan Sultan. Undang-undang ini juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda dibawa masuk ke negeri-negeri tersebut.

Gerakan Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah. Madrasah ini menjalankan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan untuk dunia dan akhirat seperti pendidikan fardu ain, Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Madrasah ini juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Ternyata tekanan British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya Gerakan Islah dalam masyarakat Melayu, terutamanya dalam bentuk pendidikan.
Sumber Artikel: http://www.facebook.com/?ref=logo#!/note.php?note_id=386729799916

Isu Kewangan Islam & Wahabi : Elakkan Sikap Yang Merosak Diri

Assalamu'alaikum wbt.

Apabila ramai orang ingin bercakap berkenaan sesuatu perkara yang tidak dimahirinya, kegelinciran kata dan pandangan kerap berlaku. Namun itulah lumrah kehidupan ini, tidak mampu semua manusia menjadi ‘alim dan berilmu lagi mengetahui. Atas sebab itu juga, Allah ciptakan manusia berbeza-beza, ada yang kurang bijak, ada yang bijak dan pandai. Ada yang berkemampuan memahami dalam suatu bidang, tetapi tidak yang lain walau mempunyai aqal yang cerdas. Semua memerlukan antara satu sama lain.




Dalam ketika kita mengakui hakikat itu, menurut penilaian dan pemerhatian saya, ada beberapa perkara yang orang awam tidak boleh atau tidak sesuai untuk campur tangan dalam perbincangan antara pakar. Ada yang berkait ilmu agama, gabungan ilmu sains dan agama dan ilmu sains.

Menurut pengalaman saya, dari senarai panjang isu yang ditanyakan, terdapat dua isu atau cabang ilmu yang paling sukar untuk diperjelas. Ia disebabkan ‘nature' ilmu tersebut yang terlalu banyak berkait dengan yang lain.

SIAPA ORANG AWAM?
Orang awam yang saya ingin maksudkan dalam konteks artikel ini adalah sesiapa juga yang mempunyai basic ilmu yang sangat terhad dalam sesuatu perkara ilmu yang ingin dicakapkan.

Ahli sains yang mewaqafkan dirinya kepada kajian mendalam dan teknikal sains tanpa berkesempatan mempelajari ilmu agama secara mendalam, adalah ‘Orang Awam' apabila dia membaca dan bercakap berkenaan hal ehwal hukum dan ilmu agama Islam. Kecuali jika mereka telah memperuntukkan masa untuk mempelajari dan memahami ilmu tersebut secara betul, berguru dan disahkan. Namun ‘betul' terhadap basic ilmu tidak semestinya mendalam sehingga mampu menetapkan keputusan yang tepat, juga belum melayakannya untuk menyelesaikan isu rumit danadvance dalam cabang ilmu terbabit.

Ahli agama yang setiap hari ‘tenggelam' dalam kefahaman ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan kitab-kitab huraiannya adalah ‘Orang AWAM' apabila perkara yang ingin difikir dan disentuh berkait perihal ilmu Sains, matematik dan perakaunan, ekonomi, kewangan dan sebagainya. Kecuali jika mereka telah memperuntukkan masa untuk mempelajari dan memahami ilmu tersebut secara betul, berguru dan disahkan. Namun ‘betul' terhadap basic ilmu tidak semestinya mendalam sehingga mampu menetapkan keputusan yang tepat, juga belum melayakannya untuk menyelesaikan isu rumit dan advance dalam cabang ilmu terbabit.

Hal yang sama terpakai bagi semua individu dari mana-mana aliran pengkhususan, sama ada ahli bahasa, sastera, kejuruteraan, perubatan, hadis, tafsir, fiqh dan sebagainya. Semua secara dasarnya mempunyai autoriti untuk menyuarakan kritikan dan penjelasan dalam bidang masing-masing namun semua mereka awam apabila ingin memberi pendapat dan menentukan keputusan dalam bidang yang bukan bidang pengkhususan mereka.

Namun begitu, ada sebahagian jenis ilmu yang majoriti kita layak dan mampu memberi pandangan. Biasanya ia dari jenis ilmu yang tidak bersifat terlalu teknikal dan dari jenis fikiran logik dan pengalaman diri. Seperti ilmu politik, rumahtangga, pendidikan anak, pemasaran, komunikasi dan sebagainya. Kerana itu, walau individu tersebut tidak mempunyai pengajian rasmi dan tersusun dalam bidang tersebut, pengalaman dan penelitian logika yang dilakukan boleh melayakkannya untuk memberi pandangan, penjelasan dan turut serta dalam debat bidang tersebut walau di peringkat advance dan tinggi.

Namun, penelitian dan pembacaan tidak rasmi tidak mampu melayakkan seseorang untuk layak memasuki sempadan perdebatan tahap tinggi apabila ilmu tersebut melibatkan ilmu yang teknikal dan berangkai seperti kejuruteraan, kewangan, fiqh, usul fiqh, aqidah, perubatan dan sebagainya.

Memahami situasi itu, sebagai manusia yang mempunyai kudrat yang terhad, kita amat wajar merenung dan meneliti jauh ke dalam diri, untuk mengenal diri sendiri dan kemampuan ilmu, dari golongan autoriti manakah kita dan bidang apakah yang kita ‘layak' untuk mengkritik dan menjelas dalam sesuatu bidang?

FENOMENA KURANG SIHAT HARI INI
Fenomena yang berlaku hari ini, kelihatan ramai orang cuba mengkritik dan menjelas sesuatu bidang yang bukan bidangnya kajiannya. Jika dikaji sekalipun, kajian tersebut adalah longgar disebabkan ia tidak disandarkan kepada ‘foundation' yang kukuh.

Kesan sebenarnya adalah amat buruk dan akan terus menerus mengeliru dan menyesatkan. Justeru Islam melarang berkata tanpa ilmu mencukupi atau dia akan sesat, menyesatkan dan memudaratkan.

"Ustaz, hari ini perbankan Islam guna duit fiat (kertas) yang riba, haram 100 % untuk guna, jadinya saya berpegang bahawa semua perbankan Islam hari ini adalah tipu, ‘back door riba' bila buat produk, harga mahal, zalim, malah lebih zalim dari bank konvensional. Apa komen ustaz?" Tegas seorang ‘orang awam'

" Jadinya saudara ingin kata bahawa semua bank islam yang wujud di seluruh dunia hari ini adalah haram dan riba kerana menggunakan wang kertas?" Tanya saya ingin konfirmasi.

" ya begitulah ustaz, dan ustaz pun sama terlibat" sambil menjawab itulah sebiji peluru ditembak kepada saya dengan penuh emosi.

" jadinya saudara dengan penuh sedar mengaku di hadapn Allah bahawa saudara sedang terlibat dengan riba setiap hari?" balas saya

" apa pula kaitannya dengan saya?, saya duk cerita pasal bank Islam"

" Boleh saya tahu, dalam wallet saudara ada duit emas dan perak ? dan saudara beli baju yang saudara pakai ni atau dijahit sendiri ? kerana kalau ia dibeli, saudara pakai duit emaskah?" Duga saya, manalah tahu jika sahabat ini benar-benar wali Allah yang dipenuhi karamah dan luar biasa.

" Mana ada duit emas, duit RM la, baju beli kat JUSCO"

" tadi saudara yakin dan tegas kata duit kertas itu Riba dan haram seratus peratus, jadi sekarang saudara sendiri guna duit kertas . Tidakkah sedar bahawa setiap hari saudara terlibat dengan urusanniaga riba ?

" habis tu , dah tak de duit emas , nak buat macama mana?"

"Tahu pula tidak ada duit emas di pasaran gunaan harian. Habis itu bagaimana Bank Islam ingin guna wang emas jika tiada di pasaran?. Saya nak tanya, saudara pernahkah belajar apa itu Hiyāl Syarʿiyyah, Makhraj syarʿie, Al-Hājah Tunazzal manzilah Al-arūrah, al-Tadarruj, ʿUmūm al-Balwa, Rukhoh, Mā ʾUbīhu Li al-arūrah yuqaddaru bi qadariha, Fiqh al-Waqiʿ, ʿillah al-thamāniyah dalam matawang, perbincangan Majmaʿ Fiqh Islami berkenaan hukum matawang kertas?" Tanya saya untuk mulakan perbincangan.

"arurat tu saya tahu, yang lain tu tak berapa pasti pulak, tetapi saya tahu ustaz nak bermadah helah kononnya darurat, ala.. asyik itu aja pointnya" katanya sambil mencebik bibir.

"Saya tak kata arurat, saya hanya tanya konsep-konsep tu pernah didalami atau tidak, dan faham atau tidak kaitannya dengan wang fiat? Para ulama fiqh yang buat keputusan itu telah amat memahami fungsi dan cara cipta matawang kertas hari ini, cuma saya nak pastikan saudara sendiri pula faham tak konsep-konsep fiqh tadi, kerana ia ada kaitan dengan perbincangan fiat money. Kalau saudara tidak mahiri kesemuanya, sukar untuk kita berbincang dengan berkesan, saya susah untuk menerang, saudara juga susah untuk memahami asas-asas dan hujjah ulama fiqh tersebut." Jawab saya.

"Tak pelah ustaz, lain kali, tapi pendirian saya jelas semua bank Islam tu bohong sahaja."

"Terpulang, cuma jangan dilupa satu kesimpulan lagi, dari sudut hukum Fiqh Islam, saudara HARAM menggunakanfiat money dalam urusan seharian kerana saudara sendiri telah yakin dan tidak merasakan wujud apa-apa excuseyang boleh digunakan untuk menggunapakai wang tersebut. Maka oleh itu setiap hari saudara dalam dosa-dosa besar" saya cuba menerangkan sedikit impak terhadap pendiriannya tadi.

"Satu lagi nak bertanya saudara, kalau semua bank Islam tu bohong dan haram, so pada pandangan saudara berbillion umat Islam di seluruh dnunia hari ini, haram sama sekali untuk menggunakan bank islam jika demikian bolehkah mereka menggunakan bank konvensional?"

" Ya boleh, sebab kedua-duanya sama sahaja, malah bank konvensional lagi kurang beban" katanya mudah.

Inilah jenis biasa orang awam yang berlagak lebih mahir dari ulama fiqh terpakar di seluruh dunia yang telah mengeluarkan resolusi lengkap dan pendirian berkenaan bank-bank islam. Akhirnya, keutamaan tertumpu kepada harga, harga dan harga. Padahal dalam Islam, harga bukan penentu halal haram sesebuah transaksi. Kontrak adalah penentunya, kontrak datang dengan syarat dan rukun, bukan hanya nama semata.

Itulah fenomena yang berlaku hari ini, pendirian dibuat tanpa ilmu yang mencukupi, ilmu yang tidak ‘up to date' memang membahayakan dan akhirnya menjerat diri sendiri. Pendirian ‘jahil' sebegitu akhirnya juga menutup peluang umat Islam untuk bermuʿāmalāt secara halal bersandarkan ijtihad ulama berkelayakan.

YAKIN DAN TIDAK YAKIN
Satu contoh kesan ilmu yang dipegang terhadap sesuatu ibadah, adalah jika kita solat menghadap satu arah yang seorang itu sendiri tidak yakin itu adalah arah kiblah yang betul, solat kita akan menjadi TIDAK SAH. Namun, apabila kita menghadap kiblah setelah disarankan oleh seseorang yang boleh diyakini keilmuannya, solat kita adalah sah.

Justeru, sebuah keyakinan yang disimpul dari proses ilmu itu penting untuk menentukan hukum yang khusus ke atasʿibadah dan muʿamalāt seseorang. Jika seseorang yakin (walaupun dalam kejahilan) bahawa fiat money itu adalah riba dan tidak ada sebarang konsep dalam fiqh yang membenarkannya, tatkala itu hukum ke atas dirinya adalah HARAM.

Bagi seseorang awam yang memhami tahap ‘awamnya' lalu bertaklid kepada pandangan majoriti ulama Fiqh kontemporari yang mengharuskan penggunaan matawang kertas sedia ada, malah diwajibkan zakat atas wang kertas yang dimiliki setelah cukup hawl dan nisabnya. Maka mereka terselamat dari melakukan dosa setiap hari, kerana mereka berpegang kepada fatwa (ijtihad) ulama yang berkelayakan.

Manakala, bagi mereka yang ingin bertaklid atau kononnya ‘analisa' lalu cenderung kepada ulama yang mengharamkan, terpulang kepada mereka, tetapi syaratnya adalah mereka wajib TIDAK MENGGUNAKAN WANG KERTAS, kerana itu bertentangan dengan keyakinannya (yang haram tanpa excuse dan ‘madah berhelah') dan jika dia terlibat juga, bermakna dia SEDANG bergelumang dalam DOSA besar setiap hari.

Itu hanya satu contoh, bagaimana keyakinan seseorang dan hukum dipegang punyai kesan, implikasi dan tanggungjawab ke atas dirinya.

Artikel saya ini tidak berhasrat menjawab contoh kes dan soalan di atas secara terperinci, kerana sebahagiannya telah dijawab manakala sebahagian yang lain memerlukan proses pengajian yang teknikal dan proper untuk pembaca memahaminya. Sama seperti orang awam dalam bidang perubatan, yang ingin memahami fungsi jantung, prosesnya, dan jenis ubatannya, side effect setiap ubat yang diambil, bacaan graph ECG jantung, kaitannya dengan strok dan banyak lagi.

POINT SAYA ADALAH..
Apa yang ingin saya kongsikan adalah, isu berkenaan perbankan dan kewangan Islam dalam rangka kewangan konvensional TIDAK DAN BUKAN satu isu yang boleh dibincang oleh semua. Ramai yang cuba berbincang berdasarkan sedikit pengalaman peribadi ketika membeli kereta, rumah, kad kredit dan sebagainya. Namun pengalaman sedemikian amat tidak mencukupi untuk melihat big picture and whole story di sebalik fatwa majlis Fiqh. Ia berbeza dengan ilmu tidak bersifat teknikal yang saya sebelum ini. Ilmu berkenaan hal ini adalah bersifat teknikal.

Ia disebabkan kefahaman berkenaannya memerlukan kefahaman beberapa displin ilmu teknikal seperti

  • Fiqh Muʿamalāt, seluruh bab dalam topik muʿamalāt māliah.
  • Usūl Fiqh, khususnya perbincangan berkenaan dalālah, cara istinbad dan taʿarudh wa tarjih.
  • Maqāid Al-Sharīʿah, khususnya pertimbangan masalahat dan mudarat dan kaedah penentuannya.
  • Fungsi bank sebagai intermediary and kebolehlaksanaan fungsi sebagai trader,
  • Aplikasi sebenar produk perbankan Islam, aliran kontrak dan sebagainya.
  • Asset and liabilities di bank
  • Displin penentuan harga aset dalam Islam, apa yang dibenar dan yang tidak dibenar serta hujjah,
  • Qabah Hukmi dan bentuk di zaman moden serta aplikasinya
  • Uundang-undang berkaitan (seperti akta bank Islam dan Takaful),
  • Shariah governance framework,
  • Konsep-konsep dan pelaksanaan ibraʾ, Wakalah, Muqassah, Tafāhum Jānibi, Muwāaʾah, ʿUqud murakkabah, Wa'ad, ʾUjr, Qardh, konsep haʿ wa taʿajjal, hiyal yang diizinkan, makhraj syarʿi dan Al-Ghunmu Bi Al-Ghurmipelbagai lagi.
  • Konsep beneficial ownership di dalamFiqh Islam.

Cuba saya tanya kepada pembaca sekalian, adakah saudara dan saudari telah ‘masak' dan faham item yang tersenarai di atas. ?

Jika belum, nyatalah orang tersebut adalah ‘orang awam' dalam hal dan isu kewangan dan perbankan Islam. Ikhlas saya nyatakan, mereka yang kabur berkenaan hal di atas belum punyai kelayakan untuk mengkritik secara terbuka seolah punyai kelayakan. Untuk menyampuk perbincangan sang pakar, kita terlebih dahulu mesti menyediakan tapak asas yang kukuh agar bahasa yang sama peringkat boleh digunakan.

Jika tidak, individu tersebut hanya akan membuka pekung di mindanya sahaja. Itulah sifat kebanyakannya, menyebabkan tiada pakar yang ingin menyahut ‘kokokannya' kerana dirasakan, kurang priotity melayan orang yang tidak dapat memahami laras bahasa ilmu yang sama. Kerana hingga ke akhir, dia tetap tidak akan dapat memahami.

Kalau ilmu tidak penting dalam hal ini, Allah tidak akan mengingatkan kita :
قلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Ertinya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"" Sesungguhnya orang yang beraqallah yang dapat menerima pelajaran" ( Az-Zumar : 9)

‘Orang awam' sudah tentu boleh bertanya dan menyuarakan kekeliruan, tetapi jangan sewenangnya mendabik dada merasa diri dan pandangannya di puncak kebenaran.

Demi Allah, saya tidak mengutarakan istilah-istilah di atas kerana ingin menggerunkan dan mengelirukan pembaca dengan istilah-istilah yang bertujuan melemahkan hujjah sesiapa atau menjatuhkan sesiapa.

Saya hanya ingin kita hormati displin ilmu dan pemiliknya. Itulah proses basic yang saya sendiri perlu lalui dan telah dilalui juga oleh semua ulama fiqh dan perbankan Islam di seluruh dunia. Hanya dengan gabungan kefahaman itu, kita akan sedar mengapa perlu perbankan Islam dan dimana kekuatan dan kelemahannya. Jika ada mengapa kelemahan, mengapa ia berlaku dan adakah ia boleh diubah dengan mudah dan apakah kesannya terhadap hukum, orang ramai dan sebagainya.

ISU WAHABI
Isu jenama dan label Wahabi adalah satu lagi jenis ilmu yang menurut penelitian saya, TIDAK MAMPU difahami secara adil dan betul oleh orang awam. Hatta sebahagian ilmuan Islam yang tidak specialize bidang tersebut juga kurang kemampuan. Sama seperti kesnya di dalam bidang Fiqh Kewangan yang sentiasa ketandusan pakar dari kalangan ulama Fiqh di seluruh dunia.

Namun apabila isu ini dibincangkan secara terpecah-pecah, akhirnya semua menjadi keliru dan timbul pihak awam yang menjadi pengikut serta begitu agresif menghentam di antara satu sama lain.

Manakan tidak, bagi memahami sebenar-benarnya isu wahabi sesat atau tidak, perbincangannya terlalu banyak kaitan dengan pelbagai displin ilmu dan topik yang sukar sekali mampu difahami oleh orang awam, sebagai contoh :

  • Perlu faham istilah Wahabi asalnya dari mana, siapa menamakannya, apa motifnya.
  • Perlu punyai kefahamanlatara sejarah Islam di waktu kewujudannya,
  • Perlu fahami Fiqh Daʿwah dan Fiqh al-Waqiʿ serta perbezaaan cara gerakan dakwah di satu-satu tempat.
  • Perlu memahami latar belakang pergeseran pengikut mazhab yang telah wujud sejak kurun kedua hijrah yang menyumbang kepada tuduh menuduh, sesat menyesat, kutuk mengutuk.
  • Perlu mehami isu aqidah yang teknikal seperti sifat Allah, ayāt mutasyābiah dan hukum taʾwilannya, perbezaan taʾwil dan tafsir, Taʾwil bi al-Raʾyi dan Bi Al-Maʾthur, Allah bertempat atau tidak, status hadīth Ahād, Zonni al-Dalālah dalam dalil-dalil berkaitan ʿAqīdah,
  • Perlu memahami apa mazhab empat dan pegangan fiqh mereka agar tidak tersilap menggelar mazhab selain Syafiʿi sebagai Wahabi.
  • Perlu memahami adakah pandangan marjuh boleh dipakai oleh orang awam yang tiada asas.
  • Fahami ijtihad mazhab Syafiʿi dalam cabang Fiqh dan keharusan orang awam berpegang dengannya walau dilihat lemah oleh ulama muhaqiqin (penganalisa) moden.
  • Fahami pembahagian status orang awam kepada Muttabiʿ, Muāfiz, Muqallid, ʿAwwām (Mazhab al-Mufti) danJāhil. Agar kita tidak memberatkan mereka dengan perkara yang diluar kemampuan, mengajar mereka perkara yang boleh menambah keserabutan.

Itulah serba sedikit cabang ilmu yang mesti dikuasai oleh sesiapa sahaja yang ingin mencampuri perdebatan dan perbincangan berkenaan wahabi, Ahli sunnah wal Jamaʿah dan yang berkait dengannya.

Selagi orang awam itu zero ilmunya atau hampir zero berkenaan hal tersebut, selagi itulah perbincangan dan perdebatan itu hanya lebih menjurus kepada mudarat kepada orang awam berbanding manfaat.

Biarlah isu ini dibincang secara tertutup oleh para ilmuan yang berkelayakan demi menambahkan kemampuan ijtihad mereka, di samping bagi melahirkan pandangan terkuat dan meningkatkan kedalaman ilmu.

Namun bagi orang awam, janganlah lagi dilemparkan isu ini kepada mereka. Nanti ibarat si buta yang tidak pernah mengenal beza harimau dan kucing. Lalu apabila dilempar kepadanya seekor harimau, lalu dipeluknya atas sangkaan ianya kucing. Akhirnya lemparan itu hanya memudaratkannya.

Manakan tidak, akibat tidak faham letak duduk isu ini dengan baik, ada orang awam yang memulakan aktiviti perang mulut, tulisan. Gelaran kafir mengkafir kerap menjadi destinasinya, gelaran Wahabi, Ahbash menjadi penyedap jiwa amarah dan bukan lagi hasil hati yang tulus yang inginkan redha Allah.

Akhirnya kedua-duanya menerima mudarat menurut hukum Islam kerana menggelar sesat dan kafir seseorang tanpa hujjah yang putus akan memantulkan ‘sesat' dan ‘kafir' itu kepada diri penuduh.

KESIMPULAN
Cukuplah dua isu besar tadi saya pilih sebagai usaha untuk mengajak masayarakat kita lebih bertanggungjawab terhadap ilmu dan ilmuan. Kita bimbang, apabila semua orang ingin bercakap dalam semua perkara, kelak nanti yang sesat dan tersesat dilihat benar, yang benar dianggap salah dan dosa. Tatkala itu, lahirlah manusia yang mengajak kepada kamungkaran dan melarang dari kebaikan.
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ
Ertinya : Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebagian dengan sebagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang makruf.. (At-Tawbah : 67)

Akhirnya mereka jatuh dalam ciri kumpulan Munafiq sama ada secara sedar atau tidak sedar. Naʿūdhubillah.

Tidaklah artikel saya ini ingin merakamkan ekslusiviti sesuatu perbincangan ilmu terhadap sesuatu kumpulan, cuma saya ingin menegaskan, hak perbincangan dan perdebatan adalah sememangnya ekslusif bagi ahlinya, yang bukan ahli, kamu boleh membaca dan berfikir namun, pendirian yang terbaik hanya mampu seseorang itu dapati setelah kamu sendiri mampu memahami setiap bait, teknikaliti dan perkataan yang digunakan oleh ilmuan yang berhujjah. Kefahaman itu tidak akan menjelma kecuali dengan usaha keras memahami selok belok ilmu berkaitan terlebih dahulu.

Bagi orang awam, mereka sangat-sangat digalakkan bertanya dan bukan tanpa adab mengkritik keputusan para ilmuan sedang ilmu di dada terlalu gersang. Namun bantahan, ayat dan perkataan yang digunakan ketika mengkritik ibarat diri seorang mujtahid ulung. Hakikatnya, diri itu hanyalah seorang yang jahil tetapi merasa berilmu.

Ingatlah, Allah sama sekali tidak membeban semua Muslim untuk mampu memehami semua isu berkait dengan agama dengan sempurna, kerana itu wujudnya arahan Allah :-
فَاسْأَلُواْ أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya : Tanyalah kepada yang berilmu dan mengethaui apabila kamu tidak mengetahui ( An-Nahl : 43)

Dalam ayat ini jelas, Allah mengarahkan paling minima kepada tiga perkara iaitu :

  • · ketahuilah had ilmu kita,
  • · kenali ahli dan pakar dalam bidangnya
  • · tanyalah kepada yang pakar terbabit apabila ingin menetapkan pendirian.

Namun, tidak dinafikan, dari kalangan ilmuan itu, ada yang dari spesis yang suka bertelagah, bergaduh, debat dan hina, kutuk, kondem dan sebagainya, lalu kita semua WAJIB bijak dalam memilih pakar (ilmuan atau ulama) yangmunsif lagi tawāuʿ. Pilihlah yang menyatukan dan bukan memecahkan, yang membina dan bukan meruntuh.

Sedarilah bukan semua yang berilmu itu soleh dan baik di sisi Allah. Minda dan jiwa berilmu tidak semestinya diamalkan, yang diamalkan tidak semestinya ikhlas dan meresap dalam hati hingga mampu melahirkan insan berilmu lagi soleh. Berusahalah kita semua...agar menemuinya sebelum ajal menemui kita.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
19 April 2010

Hukum Membunuh Cicak



Soalan:

A'kum ustaz.. saya selalu dengar orang tua2 cakap bunuh cicak dapat pahala. betol ka ustaz. boleh ustaz terangkan & huraikan. terima kasih
Jawapan:

Benar, membunuh cicak hukumnya adalah SUNAT. Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim meletakkan bab “Sunat Membunuh Cicak.” Ini berdasarkan beberapa hadith yang sahih dari Nabi S.A.W. antaranya, di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Sa’id bin al-Musayyib (سعيد بن المسيب) yang Umm Syareek (أم شريك) menceritakan kepadanyabahawa Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk membunuh cicak-cicak (الأوزاغ). Di dalam riwayat al-Imam al-Bukhari ada dinyatakan:

كان ينفخ على إبراهيم عليه السلام

Maksudnya: “Cicak itu meniup (utk menyemarakkan) api yang membakar Nabi Ibrahim A.S.”

Di dalam sahih Muslim dari jalan Abdul Razzak, katanya menceritakan kepada kami Ma’mar (معمر) daripada al-Zuhriy (الزهري) daripada ‘Amir bin Sa’ad (عامر بن سعد), daripada bapanya, bahawa Nabi S.A.W. menyuruh membunuh cicak dan baginda menamakannya (cicak) sebagai (فُوَيْسِقٌ) yang bermaksud Pembuat Kerosakan.

Di dalam hadith yang lain dinyatakan pula membunuh cicak dengan pukulan yang pertama lebih banyak pahalanya berbanding pada pukulan kedua dan ketiga. Ini berdasarkan hadith di dalam sahih Muslim daripada Abu Hurairah R.A. katanya: Nabi S.A.W. bersabda:

من قتل وزَغة في أول ضربة فله كذا وكذا حسنة . ومن قتلها في الضربة الثانية فله كذا وكذا حسنة لدون الأولى وإن قتلها في الضربة الثالثة فله كذا وكذا حسنة لدون الثانية

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak pada pukulan yang pertama, baginya sekian banyak pahala, dan sesuapa yang membunuhnya pada pukulan yang kedua, baginya sekian banyak pahala yang kurang dari yang pertama, dan jika membunuhnya pada pukulan yang ketiga, baginya sekian banyak pahala yang kurang dari pahala yang kedua.”

Ibn Majah pula di dalam sunannya meriwayatkan:

عَنْ سَائِبَةَ مَوْلاةِ الْفَاكِهِ بْنِ الْمُغِيرَةِ أَنَّهَا دَخَلَتْ عَلَى عَائِشَةَ فَرَأَتْ فِي بَيْتِهَا رُمْحًا مَوْضُوعًا فَقَالَتْ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا تَصْنَعِينَ بِهَذَا قَالَتْ نَقْتُلُ بِهِ هَذِهِ الأَوْزَاغَ فَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَنَا أَنَّ إِبْرَاهِيمَ لَمَّا أُلْقِيَ فِي النَّارِ لَمْ تَكُنْ فِي الأَرْضِ دَابَّةٌ إِلا أَطْفَأَتْ النَّارَ غَيْرَ الْوَزَغِ فَإِنَّهَا كَانَتْ تَنْفُخُ عَلَيْهِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِه

Maksudnya: “daripada Sanibah Maulah al-Fakih ibn al-Mughairah (سَائِبَةَ مَوْلاةِ الْفَاكِهِ بْنِ الْمُغِيرَةِ) yang menemui ‘Aisyah di dalam rumahnya, lalu beliau melihat di dalam rumah ‘Aisyah (isteri Nabi S.A.W.) ada lembing, lalu dia bertenya: Wahai Umm al-Mukminin apa yang anda lakukan dengan lembing ini?” jawab ‘Aisyah R.A.: “Kami gunakannya untuk membunuh cicak-cicak, kerana Nabi S.A.W. menceritakan kepada kami, Nabi Ibrahim ketika dicampakkan ke dalam api, tidak ada binatang yang melata di muka bumi semuanya berusaha untuk memadamkannya melainkan cicak, ia meniup (utk menyemarakkan api) ke atas Nabi Ibrahim, lalu Nabi S.A.W, menyuruh kami membunuhnya.” (HR Ibn Majah 3222, di dalam al-Zawaid dinyatakan: Isnad hadith ‘Aisyah ini sahih dan rijalnya thiqaat)

Wallahu a’lam. bs

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More