Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

27 June 2009

Hizbiyyah: Virus Kafir Perosak Aqidah Umat

Assalamualaikum wbt...

Kalau kita lihat pada fenomena dunia masa kini, virus paling merbahaya adalah H1N1. Tetapi bagi ana, ada yang lagi merbahaya daripada H1N1 iaitu virus hizbiyyah. Ini kerana hizbiyyah ini adalah fahaman yang merbahaya yang semakin menular di kalangan orang Islam sendiri. Janganlah kerana kita tidak bersefahaman/sehaluan dengan saudara kita seislam yang lain, kita tularkan hizbiyyah kepadanya. Na'uzubillah.

Untuk itu, ana letakkan di bawah ini artikel mengenai virus hizbiyyah; virus mengkafirkan orang walaupun semasa muslim sendiri. Harap dapat memahaminya. Insya Allah. Selamat membaca!



Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Antara bentuk al-Ghazwul Fikri yang paling merbahaya dan merupakan antara serangan yang paling awal dilancarkan oleh pihak musuh terhadap umat Islam adalah at-Tahazzub dan al-Tafarruq.

At-Tahazzub bermakna berparti-parti atau berkelompok-kelompok dan at-Tafarruq pula bermaksud berpecah-pecah.

Agenda penting pihak Salib untuk memudahkan laluan penyebaran dakyah mereka adalah dengan memcahbelahkan Umat Islam.

Takrif

Usaha pihak Kuffar untuk menjauhkan Umat Islam daripada berpegang teguh dengan Manhaj as-Salaf as-Soleh.

Maka daripada takrif ini kita dapati bahawa Umat Islam akan terus dianggap berpecah belah selagi mereka tidak mengikut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah atau disebut juga al-Manhaj al-Salafi.

Penyatuan Umat Islam di bawah sebuah parti yang di dalamnya terdapat pelbagai kelompok seperti Sufi, Asyairah, Maturidiah, Liberal, bahkan Syiah seperti Parti Ikhwan al-Muslimun tidaklah diiktiraf sebagai penyatuan yang syar’i.

Sejarah

Usaha ini bermula pada separuh kedua pemerintahan Saidina Usman bin Affan R.A di mana seorang Yahudi berpura-pura memeluk ajaran Islam yang bernama Abdullah bin Saba’ dan terkenal dengan nama Ibn Sauda’ kerana ibunya seorang hamba berkulit hitam. Dia datang daripada Yaman ke Madinah al-Munawwarah yang merupakan Darul Khilafah ketika itu. Dia menampakkan dirinya sebagai seorang Islam di sana.

Abdullah bin Saba’ memulakan rencana dengan menyebarkan hadis palsu : “Setiap Nabi itu ada Wasiyy dan Wasiyyku adalah Ali”. Dia menjelajah ke Hijjaz, Basrah, Kufah, Syam dan Mesir.

Dia menwar-warkan bahawa Usman bin Affan R.A telah menyeleweng dan ditabur pelbagai fitnah. Oleh kerana ramai umat Islam yang baru masuk ke dalam agama ini dan belum mantap ilmu mereka, maka mereka terpedaya. Awal gerakan dakyahnya diterima adalah di Mesir.

Gerakan ini bermula sebagai sebuah pertubuhan politik yang menampakkan diri mereka beramar makruf dan nahi munkar kemudian menggunakan aqidah Islam untuk kepentingan mereka dan akhirnya terkenal sebagai Syiah Ali atau Syiah.

Sebab utama munculnya ajaran ini adalah kerana umat Islam meninggalkan sistem memahami agama sebagaimana pemahaman as-Salaf as-Soleh yang terdiri daripada Sahabat R.Hum terutama Khulafa’ ar-Rasyidun Saidina Uthman bin Affan R.A ketika itu.

Hasil daripada gerakan ini berlakulah perpecahan umat Islam kepada kemudian terbentuk pula al-Khawarij di zaman Saidina Ali, kemudian muncul pula pelbagai gerakan sama ada berpunca dari pemahaman politik atau aqidah.

Puncanya adalah sama iaitu meninggalkan jejak langkah as-Salaf as-Soleh dan al-Manhaj as-Salafi.

Sejarah Gerakan ini di Zaman Moden

Pada penghujung kesultanan Uthmaniyyah Turki, pihak barat telah sekali lagi cuba memecah belahkan Umat Islam dengan menjauhkan mereka daripada ajaran as-Salaf as-Soleh. Pada kurun ke-12 Hijrah, gerakan dakwah as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab untuk mengembalikan ajaran Islam sesuai dengan fahaman al-Jamaah iaitu as-Salaf as-Soleh telah cuba dihalang dengan ditabur pelbagai fitnah dan kedustaan.

Medium yang digunakan adalah ulama’-ulama’ ahli bidaah yang telah mereka wujudkan sejak zaman Uthman bin Affan. Medium yang paling banyak mereka guna adalah golongan Sufi Asy’ari dan gerakan Syiah.

Tuduhan-tuduhan Yang Dilempar

1- Membawa agama baru

2- Mendakwa menjadi Nabi

3- Bersekongkol dengan Inggeris

4- Menderhaka terhadap Turki Usmaniyyah

Jawapan

1- Jawapan as-Syeikh Muhammad kepada Ahli Qasim tentang aqidahnya:

أشهد الله ومن حضرني من الملائكة، وأشهدكم: أني أعتقد ما اعتقدته الفرقة الناجية، أهل السنة والجماعة، من الإيمان بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، والبعث بعد الموت، والإيمان بالقدر خيره وشره،


Maksudnya: “Aku bersaksikan Allah dan para Malaikat yang hadir dan aku bersaksikan kamu bahawa aku beraqidah dengan aqidah al-Firqah an-Najiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, kebangkitan setelah mati, dan qadar baik dan buruk…..”

Dalam Risalah ini as-Syaikh dengan panjang lebar menjelaskan aqidah beliau satu persatu dan aqidah beliau sama tepat dengan aqidah as-Salaf as-Soleh.

2- Kata as-Syeikh:

وأومن بأن نبينا محمدا صلى الله عليه و سلم خاتم النبيين والمرسلين، ولا يصح إيمان عبد حتى يؤمن برسالته، ويشهد بنبوته


Maksudnya: “dan aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W adalah penutup sekalian nabi dan rasul dan tidak sah iman seorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulan dan kenabian baginda….”

3- Sejarah membuktikan bahawa apabila Saudi Arabia berjaya menubuhkan kerajaan pada tahun 1802 M, Kerajaan Usmaniyyah yang diperintah oleh Sultan Mahmud II (seorang yang berfahaman sekular dan merupakan pengasas Tanzimat yang telah membuang sistem Islam dari pentadbiran Uthmani) telah melancarkan serangan terhadap Kerajaan Saudi melalui Gabenor Mesir Ali Basha. Kemenangan Ali Basha telah disambut dengan ucapan tahniah oleh pihak Inggeris melalui Kapten Goerge Forester Sedler yang merupakan pemerintah kolonial Inggeris di India. Ini sebesar-besar bukti bahawa yang bersekongkol dengan Inggeris adalah Ali Basha bukan Muhammad bin Saud.

4- Ketaatan Saudi kepada Uthmaniyyah tidak timbul sebagai isu kerana Saudi tidak menyerang Uthmaniyyah tetapi Sultan Mahmud II yang menyerang Saudi dan Sultan Mahmud II ini terkenal sebagai seorang berfahaman Freemason. Adapun pembentukan kerajaan Saudi adalah melalui penggabungan beberapa kekuasaan politik kesukuan di bawah Raja Muhammad bin Saud. Kerajaan Uthmaniyyah tidak mempunyai kekuasaan hakiki terhadap kawasan Najd berdasarkan Qawanin Alu Uthman Madhamin Daftar ad-Diwan kecuali al-Ahsa’. Pada zaman kerajaan Saudi ke-3 iaitu di bawah al-Malik Abdul Aziz Al Saud, pada surat bertarikh 1/9/1322 H kepada Sultan Abdul Hamid II baginda Raja telah mengikrarkan bahawa Kerajaan Saudi termasuk dalam kekuasaan Uthmaniyyah dan Sultan Abdul Hamid II mengiktiraf hak kekuasaan Hijaz kepada Malik Abdul Aziz Al Saud.

5- Pada 31 Oktober 1831 Ali Basha telah bangkit menentang Sultan Uthmani tetapi tidak kedengaran walaupun satu huruf daripada pihak yang ‘anti-Wahabi’ mengatakan Ali Basha yang mereka julang sebagai Pahlawan menentang Wahabi itu sebagai pemberontak terhadap Khalifah.

Oleh itu, tuduhan-tuduhan yang dileparkan terhadap kerajaan Saudi dalam lembaran sejarah dan dikaitkan dengan as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab hanyalah taktik Salibisme dan Zionisme untuk menjauhkan Umat Islam daripada kembali terhadap al-Jamaah dan dakwah salafiyyah yang akan menyatukan mereka kembali sehingga kembalinya khilafah di atas Manhaj Nubuwwah sebagaimana janji Nabi S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal.

Nota Penting:

عن حذيفة بن اليمان قال: كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ


Maksudnya: Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A katanya: Manusia selalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kebaikan tetapi aku selalu bertanya tentang keburukan kerana takut aku ditimpanya, maka aku berkata: Wahai Rasulullah kami dulu berada pada zaman jahiliyyah dan keburukan lalu Allah datangkan kepada kami kebaikan ini (Islam) maka adakah lagi selepas ini keburukan? Jawab baginda: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah selepas itu kebaikan pula? Jawab baginda: Ya, tetapi padanya ada debu. Kataku: Apakah debunya itu? Jawab baginda: Kaum yang memberi petunjuk bukan dengan petunjukku, kamu kenal dan kamu munkir (perbuatan mereka). Kataku: Apakah selepas itu keburukan pula? Jawab baginda : Ya, akan ada penyeru-penyeru di atas pintu neraka Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya (neraka). Kataku: Sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita (Islam). Kataku: Maka apakah pesanmu jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Hendaklah kamu mengikut Jamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Kataku: Jika tiada Jamaah dan Imam? Kata baginda: “Maka jauhilah semua puak-puak yang ada walaupun engkau terpaksa menggigit akar kayu dan engkau mati dalam keadaan itu”- [al-Bukhari&Muslim].

Daripada hadis ini, Rasulullah s.a.w menasihati kita supaya menjauhi pergolakan yang berlaku di akhir zaman dan terus melazimi manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah walaupun terpaksa mengasingkan diri daripada manusia ramai. Wallahua’lam.

16 June 2009

Penilaian Ilmiyyah terhadap kitab Majmuk Syarif

Assalamualaikum wbt...

Oleh Ustaz Abu Syu'aib
http://abusyuaib.blogspot.com

Secara umumnya boleh dikatakan hampir keseluruhan masjid atau surau perhentian di lebuhraya terdapat sebuah buku kecil yang dinamakan sebagai “Majmuk syarif” sama ada ianya dibeli sendiri oleh pihak pengurusan masjid ataupun ianya diwakafkan oleh individu-individu tertentu kepada pihak masjid. Buku ini tersebar dan mudah untuk diperolehi kerana dimana-mana sahaja terdapat mereka yang menjualnya.

Buku yang tidak mempunyai nama pengarang ini menghimpunkan di dalamnya sebahagian surah-surah daripada al-Quran serta fadhilat-fadhilatnya, doa-doa dan zikir-zikir yang dijadikan amalan oleh sebahagian masyarakat. Dukacitanya hampir kesemua doa, zikir dan fadhilat-fadhlatnya yang terkandung di dalam buku ini tidak sahih dari Nabi s.a.w. bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan ianya hanya rekaan manusia yang tidak mempunyai asal di dalam agama.

Hukum berdusta menggunakan Nama baginda s.a.w.

Berdusta ke atas nama Rasulullah s.a.w. merupakan dosa yang besar dan diberi ancaman kepada si pelakunya dengan neraka. Hadis-hadis di dalam persoalan ini telah disebut oleh ulamak hadis sebagai hadis yang mutawatir.

Abu Hurairah r.a berkata . Nabi s.a.w. bersabda

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja maka siap tempat duduknya di dalam neraka.
(al-Bukhari dan Muslim)

Daripada al-Mughirah dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّار

Sesungguhnya berdusta ke atas namaku bukanlah seperti berdusta kepada seseorang, sesiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka.
(al-Bukhari dan Muslim)

Berbohong ke atas Rasulullah s.a.w. ialah menyandarkan sesuatu perkara kepada Rasulullah sedangkan baginda tidak menyebutnya. Imam al-Nawawi menyebut berdusta itu ialah memberitahu tentang sesuatu yang bercanggah dengan perkara tersebut sama ada sengaja atau kerana kelalaian.

Hadis-hadis ini memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang mereka-reka dan membuat hadis palsu lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. sedang Rasulullah tidak menyatakannya maka tempatnya adalah di neraka. Maka haram dan berdosa besar hukumnya kepada mereka yang melakukan perkara ini.

Ciri-ciri hadis palsu

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menyatakan di dalam al-Quran bahawasanya Dialah yang akan menjaga agama ini. Apabila Allah menjaga agama ini dengan memelihara al-Quran dari sebarang penyelewengan secara tidak langsung Allah juga menjaga sunnah Rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perintahnya untuk mentaati Rasul-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. turut memberikan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh ummatnya iaitu hendaklah memegang teguh kepada sunnahnya.

Maka Allah telah menganugerahkan kepada ummat ini dengan para ulamak yang ikhlas mempertahankan agama-Nya ini, menjelaskan kepada ummat tentang hadis-hadis baginda serta mengasingkan antara yang sahih boleh beramal dan yang dhoif (lemah dan Maudu’ (palsu) yang sama sekali tidak boleh beramal dengannya. Demikian agama Allah ini dijaga dan dipelihara dari sebarang unsur yang boleh merosak serta memesongkan agama ini dari jalan yang lurus.

Oleh itu para ulamak hadis telah meletakkan kaedah-kaedah yang penting bagi mengetahui ciri-ciri sesuatu hadis itu sama ada ianya palsu atau tidak. Antaranya:

1. Sekiranya sesebuah hadis itu bertentangan dengan al-Quran, kerana al-Quran dan sunnah nabawiyyah sumbernya hanya satu iaitu kedua-duanya wahyu daripada Allah.

2. Sesebuah hadis yang bertentangan dengan sunnah mutawatir yang sahih, kerana sunnah bersumberkan dari Rasulullah  dan Rasulullah  tidak bercakap menurut hawa nafsunya bahkan ianya wahyu yang duwahyukan kepadanya.

3. Hadis-hadis yang mengandungi unsur-unsur yang berlebih-lebihan (mujazafah) yang tidak pernah nabi mengucapkan seperti yang demikian. Antaranya melampau-lampau dalam menyatakan ancaman atau sesuatu ganjaran yang besar hanya kerana perbuatan atau amalan yang ringan. Hadis seperti ini banyak diriwayatkan oleh para (qussas) penceramah atau (zuhhad) orang-orang yang zuhud dan seumpamanya.

Contoh perkara-perkara yang telah disebutkan di atas ini terkandung di dalam buku yang sedang dibincangkan ini iaitu majmuk syarif.

Fadhilat sesuatu amalan ditentukan oleh dalil

Fadhilat atau kelebihan sesuatu amalan itu mesti datangnya dari perkhabaran al-Quran atau sunnah Nabi s.a.w. Ini disebabkan fadhilat itu adalah suatu benda yang ghaib yang tidak ada jalan lain untuk mengetahuinya melainkan melalui perkhabaran wahyu. Penentuan sesuatu fadhilat tertentu kepada amalan yang tertentu itu datangnya dari Allah s.w.t. Maka seseorang tidak boleh mendakwa sesuatu amalan itu ada fadhilat tertentu tanpa membawakan dalil daripada Al-Quran atau sunnah yang sahih.

Kandungan Majmuk Syarif

Antara isi kandungan buku majmuk syarif ini ialah:-

Fadhilat Surah

Kandungan yang terkandung di dalam buku majmuk syarif ini ialah pertamanya dibawakan beberapa surah dari al-Quran iaitu surah Yasin, al-Kahfi, al-Sajdah, al-Fath, al-Rahman, al-Waqi’ah, al-Mulk, Nuh, al-Muzammil dan al-Naba’. Tiga daripada surah-surah ini dinyatakan fadhilat-fadhilatnya iaitu Yasin, al-Kahfi dan al-Sajdah. Tetapi malangnya riwayat-riwayat yang dinyatakan merupakan riwayat yang palsu dan riwayat yang tidak ada asalnya.

Kaifiyyat Doa Nisfu Sya’ban

Dinyatakan “Inilah kaifiyyat membaca doa nisfu sya’ban bahawa hendaklah sembahyang sunat kemudian daripada sembahyang maghrib 2 rakaat maka ayatnya yang pertama kemudian daripada fatihah ‘Qulya ayyuhal kafirun’ dan ayatnya yang kedua kemudian daripada fatihah ‘Qulhu wallahu ahad’ kemudian memberi salam maka membaca yasin 3 kali dengan niat yang pertama minta dipanjangkan umur kerana ibadat kepada Allah ta’ala dan niat yang kedua minta rezeki yang banyak serta halal kerana buat bekal ibadat kepada Allah ta’ala dan niat yang ketiga minta ditetapkan iman kemudian membaca doa ini: اللّهُم ياذا المنِّ ولا يُمَنُّ عَليكَ ياذاَ الجَلاَلِ والإكْرَامِ…sehingga akhirnya (majmuk syarif, hal: 99-100)

Kaifiyyat seperti ini tidak ada dalam sunnah Nabi s.a.w. Para ulamak hadis telah meletakkan kaedah umum yang menyatakan semua hadis-hadis yang menyebutkan pensyariatan sembahyang malam nisfu sya’ban kesemuanya hadis-hadis yang batil.

Syeikh Muhammad al-Syaqiri al-Hawamidi berkata:

“Solat 6 rakaat pada malam nisfu sya’ban dengan niat menolak bala’ dan niat supaya dipanjangkan serta membaca yasin dan berdoa tidak syak lagi ianya merupakan perkara baru (bid’ah) dalam agama. Ianya juga bercanggah dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Orang yang mensyarahkan kitab Ihya’ berkata: Solat ini (6 rakaat malam nisfu sya’ban) masyhur di dalam kitab-kitab yang terkemudian yang datang daripada sufi dan aku tidak dapati solat ini juga doanya mempunyai sandaran yang sahih dalam sunnah. Tatapi ianya berasal dari amalan para masyaikh. Berkata Ashabuna: Sesungguhnya dibenci berkumpul untuk menghidupkan malam nisfu sya’ban sama ada di masjid atau selainnya. Al-Najmu al-Ghaithi ketika mengulas tentang menghidupkan malam nisfu sya’ban secara berjamaah beliau berkata: Bahawasanya perbuatan ini telah diingkari oleh para ulamak ahli Hijaz antaranya Atho’ dan Ibn Abi Mulaikah, juga para fuqahak Madinah serta Ashab Imam Malik dan mereka semua menyatakan ianya bid’ah. Tidak thabit dari Nabi s.a.w. dan juga para sahabat menghidupkannya secara berjamaah. Imam al-Nawawi berkata: Solat rejab dan sya’ban merupakan bid’ah yang mungkar lagi buruk”.(al-Sunan wal Mubtadaat hlm 128-129)

Syeikh al-Hawamidi berkata lagi:

“Adapun doa اللّهُم ياذا المنِّ ولا يُمَنُّ عَليكَ ياذاَ الجَلاَلِ والإكْرَامِ…sehingga akhirnya, telah diketahui melalui syarah kepada kitab Ihya’ bahawasanya ianya doa yang tidak ada asalnya. (al-Sunan wal Mubtadaat hlm 72)

Faedah Istighfar Rejab

Di dalam Majmuk syarif halaman 101 menyatakan: Telah sabda Rasulullah s.a.w. kepada saidina Ali bin Abi Talib r.h. hai Ali suruh olehmu akan raja istighfar ini barangsiapa membaca istighfar ini atau ditaruh pada rumahnya atau pada mata bendanya atau menanggung akan dia sertanya, maka dikurniai Allah ta’ala akan dia pahala 80 ribu nabi, dan 80 ribu pahala siddiqin, dan 80 ribu malaikat, dan 80 ribu orang yang syahid, dan 80 ribu masjid dan barangsiapa yang membaca istighfar ini selama-lama hidupnya 4 kali atau3 kali atau 2 kali maka diampun Allah ta’ala baginya dosanya. Jikalau diwajibkan neraka sekalipun diampun Allah ta’ala jua. maka hendaklah dibaca akan dia pada tiap-tiap malam atau siang supaya dapatlah pahala yang tersebut itu. Dan sabda nabi s.a.w. barangsiapa membaca akan istighfar ini maka dibuat baginya 80 negeri di dalam syurga dan tiap-tiap negeri itu 80 mahligai dan pada tiap-tiap satu mahligai 80 buah rumah dan pada tiap-tiap buah rumah satu pemajangan dan pada tiap-tiap satu pemajangan itu 80 bantal dan pada tiap-tiap satu bantal itu 8 bidadari. kemudian dinyatakan istighfar tersebut.

Inilah antara contoh (mujazafah) berlebih-lebihan dalam menyatakan ganjaran yang sangat besar bagi sesuatu amalan yang ringan, dengan hanya membaca istighfar ini maka pengamalnya akan mendapat pahala 80 ribu nabi, malaikat dan sebagainya. Adalah mustahil bagi sesiapa sahaja yang beramal dengan amalan tertentu boleh mencapai darjat para nabi. Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Seolah-olah si pendusta yang keji ini tidak mengetahui bahawasanya selain dari nabi, walaupun dia bersembahyang selama umur nabi Nuh sekalipun dia tidak akan mencapai pahala seorang nabi pun”. (al-Manar al-Munif)

Kenyataan bahawa ini adalah raja istighfar bercanggah dengan hadis yang sahih yang diriwayatkan dari syaddad bin Aus :

“عن النبي  قال: سَـيِّدُ الإستِغْـفَار: اللهُـمَّ أنتَ ربِّي، لا إلـهَ إلا أنتَ، خَلَقْتَنِي، وأناَ عَبْدُكَ وأناَ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أعُوْذُ بِكَ مِن شَـرِّ ما صَنَعْتُ، أبُـوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَليَّ وأبُـوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلا أنْتَ”.

Maksudnya:

Nabi s.a.w. bersabda bahawa istighfar inilah yang dinamakan penghulu istighfar, sesiapa yang membacanya pada waktu petang kemudian mati pada malamnya akan memasuki syurga, dan sesiapa yang membacanya pada waktu pagi kemudian mati pada hari itu akan memasuki syurga.(al-Bukhari)

Doa Awal Dan Akhir Tahun

Seterusnya dinyatakan, inilah doa akhir tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali pada akhirnya waktu asar hari ke 29 atau 30 daripada bulan zulhijjah, maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta’ala sekalian dosanya yang setahun ini. Inilah doanya:

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ ماَ عَمِلْتُ فِي هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنِي عَنْهُ فَلَمْ أَتُبْ مِنْهُ ولَمْ ترضه ولم تَنْسَهُ وحَلِمْتَ عَلَيَّ بعدَ قُدْرَتِكَ على عُقُوبَتِي ودَعَوتَنِي إلَى التَّوْبَةِ منه بعد جُرْآتِي على مَعْصِيَتِكَ فَإنِي استغفرك فاغفرلِي وما عَمِلْتُ فيها مِمَّا ترضاه ووَعَدْتَنِي عليه الثَّوابَ فأسئلك اللهم يا كَرِيْمُ ياذا الجلال والإكرام أن تتَقَبَّلَهُ مِنِّي ولا تَقْطَعُ رَجَاِئي مِنْكَ يا كرِيْمُ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

Sementara fadhilat doa awal tahun pula dinyatakan, Inilah fadhilat doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca dia ini 3 kali kemudian daripada sembahyang maghrib pada malam satu haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata Ia telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal daripada umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta’ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan, inilah doanya:

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، اللّهُمَّ أنت الاَبَدِيُّ القَدِيْمُ الأوَّلُ وعلى فَضْلِكَ العَظِيْمِ وُجُودِكَ المُعَوَّلِ، وهذا عَامٌ جَدِيْدٌ قد أقبَلَ نَسْأَلُكَ العِصْمَةَ فيه من الشيطانِ وأوْلِياَئِهِ وجُنُودِهِ، والعَوْنَ على هذه النَّفْسِ الأمارة بالسوءِ، والاشتِغاَلَ بما يُقَرِّبُنِي إلَيكَ زُلْفَى ياذا الجلالِ والإكرامِ يا ارحمَ الراحِمِيْنَ وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِناَ وَمَوْلاَناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

Jamaluddin al-Qasimi berkata doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal dari Nabi s.a.w. tidak juga berasal dari para sahabat, tabiin dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhuat (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya. (Islahul Masajid hlm 129)

Doa Haikal

Satu lagi doa yang tidak warid dari Nabi s.a.w. serta fadhilat yang melampau-lampau terkandung dalam majmuk syarif ialah doa haikal. Dinyatakan seperti berikut “ Inilah khasiat fadhilat doa haikal yakni tujuh doa daripada nombor 1 sampai 7 dan sampai Qul ‘Auzu birab binnas bahawasanya adalah diriwayatkan oleh nabi kita s.a.w. pada suatu hari sedang nabi kita duduk dalam masjid madinah maka

Jibrail alaihi salam pun datang membawa firman ujarnya : wahai Rasulullah salamullah ta’ala pada tuan hamba dan firmannya hai kekasihku adapun doa HAIKAL yakni 7 doa ini dihantarkan Tuhan pada tuan hamba maka barangsiapa yang tiada percaya pada doa ini KAFIR lah ia dan barangsiapa membaca dia atau menyimpan dia maka Allah subhanahu wa ta’ala melepaskan dia dan ibu bapanya daripada api neraka.

Ya Muhammad s.a.w. barangsiapa menaruh doa ini di dalam rumahnya maka tiada boleh masuk jin dan syaitan ke dalam rumahnya itu. Ya Muhammad barangsiapa suratkan doa ini dan dipakai diperbuat tangkal nescaya terlepaslah ia daripada azab sengsara dan wabak dan duduk dalam aman dan lagi barangsiapa yang menaruh doa ini sentiasalah ia dihormati orang termulialah ia pada orang banyak dan ketika hendak mati pun tiadalah ia merasai azab sakarat maut itu maka dengan mudahnya sahaja nyawa itu keluar. Barangsiapa membaca doa ini tiap-tiap hari dan jika tiada boleh membaca diperbuatnya azimat nescaya beroleh pahala umpama membaca

-70 ribu kali khatam quran dan
-70 ribu mati syahid dan
-70 ribu naik haji dan
-mendapat kebajikan seumpama membuat 70 ribu masjid
-memerdekakan 70 ribu hamba
-Menjamu 70 ribu orang berbuka puasa
-70 orang hafaz quran
-70 ribu alam
-70 ribu ahli ibadah
-70 ribu malaikat
-70 ribu nabi dan beroleh kekayaan, kebesaran Jibrail, Mikail, Israfil, Izrail.

Ya Muhammad s.a.w. barangsiapa menaruh, maka dengan berkatnya terlepas ia daripada segala orang yang membuat fitnah dan luputlah ia dari sekalian orang yang membuat fitnah dan luputlah ia daripada sekalian bala’ dan jika ada dia berhutang nescaya terlepaslah ia daripada hutangnya itu dan segala musuhnya pun binasalah.

Kemudian dalam buku tersebut membawa beberapa contoh kejadian aneh yang berlaku ke atas pengamal doa Haikal tersebut.
Diceritakan ada seorang yang telah dituduh mencuri di negeri Baghdad, apabila dibawa kepada hakim Baghdad ia telah dijatuhkan hukuman pancung. Maka si tukang pemancung itu pun cuba memancung kepala lelaki tersebut tetapi sedikit pun tidak dapat mencederakannya. Kemudian diselamkan lelaki tersebut tetapi tidak lemas, kemudian dibakar, tetapi tidak terbakar. Melihatkan keadaan yang demikian itu maka hakim bertanya kepada lelaki tersebut apakah amalan yang diamalkannya? Maka jawab lelaki tersebut dikepalaku terdapat fadhilat doa Haikal, maka dengan berkat doa itu tidak akan terjadi sesuatu pun terhadapku, dan suatu bala’ pun tidak akan menghampiriku…”

Inilah fadhilat-fadhilat yang disebutkan di dalamnya. Dan diakhir fadhilat yang dinyatakan dalam kitab tersebut “Adapun fadhilat doa haikal ini terlalu banyak kadar diambil ringkasnya sahaja disini, sesungguhnya tiadalah syak lagi barangsiapa tiada percaya doa ini nescaya menjadi KAFIR”.

Hukam-hakam syarak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Ancaman kafir sesiapa yang tidak mempercayai doa ini adalah satu pembohongan kerana ianya tidak diketahui dari manakah datangnya fadhilat-fadhilat terhadap doa ini sedangkan persoalan Takfir merupakan hukum syarak. Sekiranya dilihat dari fadhilat doa ini seolah-olah cukup hanya mengamalkan doa ini kita akan mendapat pahala yang sangat besar seperti pahala 70 ribu nabi dan sebagainya. Ianya juga tidak masuk akal dan bertentangan dengan al-Quran. Al-Quran menyatakan Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan. Adakah doa ini lebih baik dari Lailatul-Qadar?

Dukacita kita nyatakan disini bahawasanya secara tidak langsung doa ini akan meninggalkan kesan-kesan yang buruk kepada pengamalnya apatah lagi mereka yang mengamalkan doa ini terdiri daripada mereka yang jahil terhadap agama.

Antara kesan buruk yang boleh kita senaraikan disini ialah:

1- Masalah takfir iaitu dengan mudah menghukumkan kafir kepada mereka yang tidak mempercayai fadhilat doa ini. Sedangkan fadhilat-fadhilat yang dinyatakan jelas bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

2- Menjadikannya tangkal atau azimat sedangkan ianya jelas diharamkan di dalam Islam. Ini akan menyebabkan seseorang itu terpesong aqidahnya dengan sebab mempercayai tangkal dapat menghilangkan azab sengsara, menjauhkan bala’ dan sebagainya.

3- Dengan membacanya mendapat pahala 70 ribu pahala nabi, rasul sehinggakan malaikat pun dapat di atasi dengan hanya membaca doa ini. Ini akan menyebabkan masyarakat menganggap dengan hanya membaca doa ini dia sudah pun mendapat pahala yang tidak terhitung banyaknya menyebabkan mereka meninggalkan perkara-perkara atau kewajipan-kewajipan agama yang lain, contohnya jihad.

4- Mereka yang berhutang akan menganggap dengan membaca doa ini hutang-hutang mereka terlepas. Sedangkan diriwayatkan bahawa Nabi  tidak menyembahyangkan jenazah yang masih lagi belum melangsaikan hutangnya.

5- Dengan membaca serta mengamalkan doa ini akan menjadi kebal. Ditikam tidak tembus, tidak lemas di dalam air dan sebagainya. Ini adalah kepercayaan karut. Sekiranya dengan membaca doa ini akan menjadi kebal sudah tentu nabi dan para sahabat membacanya ketika dalam peperangan badar dan sebagainya, sebaliknya Hamzah telah Syahid dalam peperangan Uhud dan nabi sendiri telah cedera di dalam peperangan yang sama.

Kesimpulan

Inilah antara kandungan yang terdapat di dalam buku kecil ini disamping kandungan yang lainnya seperti talqin mayat, doa kanzul Arasy, dan doa Ukasyah r.a. Malangnya masyarakat kita tidak mengetahuinya dan ianya dijual secara meluas. Bertambah malang apabila para pendakwah kita tidak mengambil berat persoalan seperti ini bahkan turut mempromosikannya kepada masyarakat. Adalah menjadi kewajipan pihak-pihak berwajib di dalam negara ini untuk mengharamkan penyebaran buku kecil ini terutamanya dari pihak yang mencetak buku ini dari terus tersebar di dalam masyarakat kita.

01 June 2009

Contoh Hadith-Hadith Palsu Yang Tersebar

Assalamualaikum wbt...

Pada era masa kini, pelbagai informasi telah dicapai oleh seluruh lapisan masyarakat. Daripada sekecil buku tadika hingga ke sebesar buku ensiklopedia dan daripada media akhbar sehinggalah ke internet. Namun persoalan yang timbul adalah adakah informasi yang didapati itu benar-benar sahih atau dicedok daripada sumber yang tidak tepat? Jadi, di sini ana ingin berkongsi sedikit informasi mengenai hadith-hadith palsu yang telah tersebar di masyarakat awam tetapi kita tidak menyedarinya.

Amalan-amalan yang dilakukan oleh masyarakat awam pada ketika ini yang bersandarkan hadith-hadith yang tidak diketahui kekuatan sanad dan rawinya pada hakikat sebenarnya ianya adalah palsu dan dhaif.

Malah, hadith-hadith yang didapati palsu dan dhaif ini pula telah popular dan sebati di kalangan masyarakat awam sehinggakan tidak boleh berpisah daripada amalan yang telah mereka lakukan.

Oleh yang demikian, ana memetik sebahagian teks daripada tajuk di dalam buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadith iaitu Apakah contoh-contoh hadith dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat. Di dalam tajuk ini terdapat ulasan daripada penulis buku ini namun ana tidak meletakkan ulasan beliau kerana jika diletakkan maka ianya akan difokuskan kepada kedudukan hadith dan pendapat daripada penulis. Sebab lain adalah akan menyebabkan ruangan penulisan di entry ini terlalu panjang kerana ulasan Ustaz Adlan memang panjang. Jika pembaca ingin menatap ulasannya, pembaca boleh membeli buku ini di kedai buku yang berhampiran.

Tetapi yang ditekankan di sini adalah kedudukan hadith tersebut sehinggakan ianya bersanad dhaif dan palsu. Sebab dan mengapa sehinggakan para ulama dan imam muktabar hadith zaman lampau mendhaifkan memalsukan hadith tersebut yang telah tersebar secara meluas kepada masyarakat awam.

Contoh-Contoh Hadith-Hadith Palsu

1. Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.

Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu'at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].

2. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW[6]. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[7].

3. Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[8]. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami[9], Ahmad Syakir[10], Muhammad Nasiruddin al Albani[11] dan Syuaib al Arnaouth[12].

4. Kisah sahabat Nabi bernama Sa'labah ثعلبة yang tidak membayar zakat.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii[13]. Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa'labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma' al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma' al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni - takhrij Ihya' Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.

Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa'labah bin Abi Hathib dan bukan Sa'labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.

Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa'labah ini adalah kisah yang tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh didengari dari laman web www.islamway.com.

Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata'amalu Ma'a al Sunnah al Nabawiyyah[14], Al Iraqi[15] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[16].

5. Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[17]. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami[18].

6. Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[19] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[20] dengan lafaz yang hampir sama iaitu "kebersihan itu menyeru kepada keimanan".

7. Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[21]. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini[22].

8. Sabar itu separuh daripada iman.

Kedudukan Hadis:

Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW[23]. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya' Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya' Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif[24]. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif[25]. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat)[26].

9. Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.

Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami' al 'Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali[27].Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin 'Ablah.

Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu' al Fatawa:





Tidak ada asalnya (hadis tersebut) dan tidak diriwayatkan oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia[28].


10. Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.

Kedudukan Hadis:

Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti Ihya' Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: "Aku tidak menemui asalnya"[29]. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[30]. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah[31].


--------------------------------------
Sumber rujukan:

Buku: 20 Persoalan Asas Tentang Hadis (Ustaz Adlan Abd Aziz)

Notakaki:

[1]Al Maudhu'at - Ibn al Jauzi - jilid 1 - muka surat 215.

[2]Makrifat al Tazkirah - Ibn Tahir al Maqdisi - hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar - hadis no. 36 - susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud - cetakan pertama 1995 - Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu - Sulaiman Bin Salih al Kharashiy - hadis no. 21 - laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah - hadis no. 416 dan Dhaif al Jami' al Shaghir - hadis no. 906 dan 907.

[6]Taisir al Fiqh Li al Muslim al Mu'ashir - Prof.Yusuf al Qaradawi - m.s. 215.

[7]Qiimatu al Zaman 'Inda al Ulama' - Abd. Fattah Abu Ghuddah - muka surat 30 - cetakan kelapan,1998 - Maktab al Mathbu'at al Islamiyyah, Halab.

[8]Al Mashnu' Fi Ma'rifati al Hadith al Maudhu' - Ali al Qari - tahqiq Abd. Fattah Abu Ghuddah - muka surat 230.

[9]Majma' al Zawaaid - al Haithami - hadis no. 6091.

[10]Al Musnad - Ahmad Ibn Hanbal - edisi tahqiq Ahmad Syakir - jilid 2 - muka surat 4.(www.dorar.net)

[11]Dhaif al Jami' as Shaghir - hadis no. 1484 dan 3531.

[12]Al Musnad - Ahmad Ibn Hanbal - hadis no. 530 - cetakan Muassasah al Risalah, Beirut.

[13]As Sahih al Musnad Min Asbab an Nuzul - Muqbil Bin Hadi al Wadii - muka surat 11-12 - cetakan kedua 1994 - Dar Ibn Hazm.

[14]Kaifa Nata'amalu Ma'a al Sunnah al Nabawiyyah - Prof.Dr.Yusof al Qaradhawi - muka surat 67 - al Ma'had al 'Alami Li al Fikr al Islamiyy, Amerika Syarikat.

[15]Al Mughni An Hamli al Asfar - al Iraqi - hadis no. 3340.

[16]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu'ah - hadis no. 1607.

[17]Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah - al Albani - hadis no. 39 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir - hadis no. 5861.

[18]Majma’ al Zawaaid - al Haithami - hadis no. 8254.

[19]Al Mughni An Hamli al Asfar - al Iraqi - hadis no. 278.

[20]Dhaif al Jami’ al Shaghir - hadis no. 6163 dan 2414.

[21]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah - hadis no. 57.

[22]Al Mughni An Hamli al Asfar - al Iraqi - hadis no. 74.

[23]Jami’ al Ulum wa al Hikam - Ibnu Rajab al Hanbali - jilid 2 - muka surat 10.

[23]Al Mughni An Hamli al Asfar - al Iraqi - hadis no. 3651.

[25]Dhaif al Jami’ al Shaghir - hadis no. 3535.

[26]Nota kaki no. 1 dalam buku al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ - Ali al Qari - muka surat 218.

[27]Jami’ al Ulum Wa al Hikam - Ibnu Rejab al Hanbali - jilid 1 - muka surat 489.

[28]Diambil daripada huraian al Albani dalam Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah - hadis no. 2460.

[39]Al Mughni An Hamli al Asfar - hadis no. 410.

[40]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah - hadis no.4.

[41]Al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ - Ali al Qari - muka surat 92 (nota kaki no.2).

Kisah Tahkim: Versi Syiah vs Versi Sunni

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI


Telah tersebar luas peristiwa yang berlaku antara Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Muawiyah bin Abi Sufian radiallahuanhuma selepas selesai perang Siffin, pihak Saidina Muawiyah r.a menuntut perdamaian dengan tentera Syam (pihak Saidina Muawiyah r.a) mengangkat Mushaf al-Quran di hujung tombak tanda memohon perdamaian.

Peperangan Siffin adalah peperangan kedua yang berlaku antara para Sahabat Nabi s.a.w ridwanullahi alaihim ajmain selepas peperangan Jamal di antara Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Talhah r.a, al-Zubair r, dan Ummul Mukminin Aisyah r.a. Semuanya hasil tipu muslihat kaum kafir Yahudi melalui Abdullah bin Saba’.

Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah telah menyebar fitnah dan mempergunakan kaum muslimin yang masih baharu memeluk Islam daripada Mesir, Iraq, dan Farsi (Iran) untuk bangkit menentang Khalifah Usman bin Affan r.a sehingga terbunuhnya Khalifah Usman r.a secara terzalim dan teraniaya.

Kematian Usman r.a yang tragis ini menimbulkan kemarahan Sahabat r.a dan bangkit untuk menuntut bela terhadap Usman r.a, namun keadaan yang rumit berlaku kerana pembunuh-pembunh Usman r.a telah melantik diri mereka sebagai kerajaan yang baru seperti al-Asytar yang telah dijadikan oleh para pemberontak sebagai panglima perang Khalifah yang baharu, Saidina Ali bin Abu Talib r.a.

Atas pertimbangan ini, Saidina Ali r.a berpandangan perkara yang pertama perlu dilakukan adalah mengukuhkan pemerintahan beliau dan para Sahabat hendaklah membaiat beliau terlebih dahulu untuk memperkukuh kedudukan kaum muslimin dan melemahkan kedudukan para pemberontak Usman r.a.

Namun, terdapat sahabat yang berpandangan sebaliknya, iaitu hendaklah dilaksanakan Qisas dahulu terhadap pembunuh Usman r.a baharulah mereka akan membaiat Saidina Ali r.a. Antara mereka yang berkeras dengan pedirian ini adalah Saidina Muawiyah r.a berpegang dengan firman Allah Taala:



وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنْصُورًا



Maksudnya: “Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka Sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana Sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” [al-Israa: 33].

Saidina Muawiyah r.a berpandangan, menurut hukum Syarak beliau mempunyai kekuasaan penuh untuk menuntut qisas terhadap pembunuh Usman r.a kerana beliau adalah wali (waris) Usman r.a yang paling utama. [al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/23].

Saidina Muawiyah r.a bukanlah memerangi Saidina Ali r.a kerana ingin merebut jawatan Khalifah daripada Saidina Ali r.a sebagaimana kata beliau:


مَا قَاتَلْت عَلِيًّا إلاَّ فِي أَمْرِ عُثْمَانَ



Maksudnya: “Aku tidak memerangi Ali kecuali kerana urusan Usman” [Musannaf Ibn Abi Syaibah, hadis no. 31193, cet Darul Qiblah].

Abu Muslim al-Khaulani r.h datang kepada Saidina Muawiyah r.a bersama dengan beberapa orang lagi bertanya kepada beliau: “Adakah tuan mencabar Ali atau tuan ini setaraf dengannya?” Jawaba Saidina Muawiyah r.a: “Tidak, demi Allah sesungguhnya aku mengetahui bahawa Ali itu lebih utama daripada aku dan dia lebih berhak menjadi Khalifah berbanding aku, tetapi bukankah kamu mengetahui bahawa Usman dibunuh secara zalim, sedang aku adalah sepupu beliau, maka aku menuntut darah Usman (pelaksanaan Qisas), maka pergilah kamu kepada beliau (Ali r.a) dan beritahu kepadanya: beri kepadaku pembunuh-pembunuh Usman maka aku akan menyerah kepadanya (berbaiat)”. [Siyar A’lam al-Nubala’, 3/140]

Maka jelas sekali bahawa Saidina Muawiyah r.a bukanlah berperang atas dasar hawa nafsu bahkan beliau tersalah dalam ijtihad beliau, maka baginya satu pahala, adapun Saidina Ali r.a beliau melakukan yang terbaik dan beliau lebih benar dalam ijtihad beliau, maka bagi beliau dua pahala-insya-Allah-. [al-Hiqbah min al-Tarikh, Usman al-Khumayyis, 187].

Riwayat Peristiwa Tahkim:

Telah masyhur dalam kitab-kitab sejarah riwayat peristiwa Tahkim iaitu perdamaian antara Saidian Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a. Semua riwayat ini kembali kepada Kitab Tarikh al-Tabari r.h sebagai berikut:

“Ali r.a telah mengutuskan 400 orang lelaki diketuai oleh Syuraih bin Hani al-Harisi, bersama mereka juga Ibn Abbas r.a selaku Imam solat dan pemutus kata urusan mereka, termasuk juga bersama mereka Abu Musa al-Asy’ari. Muawiyah juga mengutus 400 orang daripada penduduk Syam sehingga mereka bertemu di Daumatul Jandal, Azrah. Muawiyah apabila dia mengutuskan utusan kepada Amru bin al-As r.a maka utusannya adalah rahsia antara Abdullah bin al-As, adapun Saidina Ali apabila mengutus apa-apa pesanan kepada Ibn Abbas r.a terpaksa didedahkan kepada pengikutnya kerana mereka suka berwasangka. Hal ini menimbulkan ketidak selesaan kepada Ibn Abbas kerana menunjukkan pasukan Ali r.a kurang setia sedangkan pasukan Muawiyah sangat patuh kepada ketua mereka.

Turut menyaksikan perhimpunan mereka itu (selaku pemerhati) adalah Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdul Rahman bin al-Haris al-Makhzumi, Abdul Rahman bin Abdu Yaghus al-Zuhri, Abu Jahm bin Huzaifah al-Adwi, dan al-Mughirah bin Syu’bah al-Saqafi. Umar bin Saad bin al-Waqqas telah berjumpa dengan bapanya Saad bin al-Waqqas r.a yang menjauhkan diri daripada fitnah dan memujuk ayahnya supaya menyertai perhimpunan tersebut dengan harapan mereka akan melantik beliau sebagai Khalifah kerana Saad bin al-Waqqas adalah salah seorang Ahli Syura yang dilantik Saidina Umar r.a. Namun, Saad tetap bertegas untuk tidak menyertai perhimpunan tersebut atas dasar menjauhi fitnah.

Kemudian dua orang hakam itu (Amru bin al-As dan Abu Musa al-Asy’ari) bertemu dan Amru cuba memujuk Abu Musa untuk menyokong Muawiyah r.a dengan memberikan tawaran jawatan namun Abu Musa al-Asy’ari menolak tawaran tersebut dan memarahi Amru bin al-As.

Abu Musa al-Asyari pula mencadangkan untuk melantik Abdullah bin Umar r.a namun Amru mencadangkan nama anaknya sendiri Abdullah bin Amru r.a tetapi ditolak juga oleh Abu Musa al-Asyari.

Ali r.a juga memberi pesanan kepada Amru bin al-As r.a melalui Syuraih bin Hani, memujuk Amru bin al-As supaya memihak kepada beliau dan meninggalkan Muawiyah r.a namun Amru bin al-As enggan mendengar dan menolak.

Kemudian setelah Amru enggan menurut cadangan Abu Musa al-Asy’ari melantik Ibn Umar sebagai Khalifah dan Abu Musa enggan menerima cadangan Amru melantuk Abdullah Ibn Amru sebagai Khalifah, mereka bersetuju untuk memecat kedua-dua Khalifah Ali r.a dan Muawiyah r.a serta menyerahkan perlantikan Khalifah yang baharu kepada Syura kaum muslimin.

Namun, ketika pengumuman persetujuan dibuat, Amru bin al-As r.a menyuruh Abu Musa berucap dahulu dan Abu Musa mengisytiharkan pemecatan Ali dan Muawiyah dan mengembalikan hak perlantikan Khalifah kepada kaum muslimin. Ibn Abbas r.a pada mulanya melarang Abu Musa bercakap dahulu kerana bimbang akan berlaku tipu helah daripada Amru namun Abu Musa tetap percaya kepada Amru.

Kemudian Amru bangun berucap dan mengisytiharkan pemecatan Saidina Ali r.a dan dia membaiat Saidina Muawiyah r.a sebagai Khalifah. Keadaan ini menimbulkan huru hara dan Abu Musa al-Asy’ari r.a telah melaknat Amru bin al-As r.a dengan memanggil beliau sebagai pengkhianat dan anjing. Syuraih kemudiannya telah memukul Amru dengan cemeti dan dia menyatakan bahawa alangkah baiknya jika dia membunuh sahaja Amru bin al-As r.a.

Kemudian kedua-dua pihak kembali kepada ketua masing-masing, Ahli Kufah kepada Ali r.a kecuali Abu Musa yang melarikan diri kerana malu dan Ahli Syam kembali kepada Muawiyah dan membaiat beliau sebagai Khalifah. Hasil peristiwa ini, Ahli Syam berqunut dalam solat mereka dan melaknat Saidina Ali r.a dan Ahli Kufah manakala Ahli Kufah pula berqunut melaknat Muawiyah r.a dan Ahli Syam.” [Tarikh al-Tabari, juz 5, Bab Berita Perhimpunan Keduanya (Ali dan Muawiyah)].


Demikianlah ringkasan riwayat-riwayat yang disebut dalam Tarikh Tabari dan dinaqal para sejarawan selepas beliau. Namun, Imam al-Tabari r.h selaku seorang Ahli Tafsir bahkan Imam al-Mufassirin dan seorang Ahli Hadis tidaklah meriwayatkan kisah ini begitu sahaja, bahkan beliau telah mendatangkan sanadnya sekali.

Kesemua kisah ini bersumber daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi, seorang yang banyak meriwayatkan kisah-kisah dan riwayat-riwayat sejarah.

Maka dengan mudah kita dapat menilai kisah yang menjadi sandaran kaum Syiah mencela dan melaknat Saidina Amru bin al-As r.a bahkan Abu Musa al-Asy’ari r.a ini. Abu Mikhnaf adalah seorang yang tidak dipercayai pada riwayatnya.

Imam Yahya bin Main r.h berkata: “Tidak Siqah”, Abu Hatim r.h berkata berkenaan Abu Mikhnaf ini: “Matrukul Hadis (ditinggalkan riwayatnya)”, dan Imam al-Daruqatni r.h berkata: “Seorang pembawa berita yang daif (lemah)”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 7/302].

Al-Zarkali r.h dalam kitabnya, al-A’lam menyatakan bahawa Abu Mukhnif ini adalah seorang Syiah Imamiah. Hal ini dashihkan oleh Aqabazrak al-Tehrani dalam kitabya, al-Zariah fi Wasail al-Syiah yang merupakan Mukjam kepada senarai kitab-kitab Syiah. [al-A’lam, 5/245, al-Zariah, 1/333-337].

Telah sabit dalam kaedah Ilmu Hadis, tidak diterima riwayat Ahli Bidaah yang menyeru kepada bidaahnya, dan dalam riwayat ini jelas sekali menyeru kepada pencelaan terhadap Sahabat bahkan menyeru kepada melaknat Muawiyah r.a, Amru bin al-As r.a dan ramainya Sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang mulia. [Qawaid al-Tahdis, 191-192].

Syeikh Yahya bin Ibrahim al-Yahya hafizahullah telah menghimpunkan semua riwayat berkenaan peristiwa Tahkim daripada Abu Mikhnaf dan riwayat lain yang seumpama dengan cerita Abu Mikhnaf ini namun kesemua riwayat yang seumpama ini adalah daif yang tidak dapat dijadikan hujah sama sekali. [Marwiyyat Abi Mikhnaf, Fasal Keempat: al-Tahkim dan Keluarnya Khawarij, 377 dan selepasnya, Darul Riyad].

Syeikh Usman al-Khumayyis hafizahullah berkata: “Kisah ini adalah palsu dan dusta, jaguh periwayatnya adalah Abu Mikhnaf yang telah kami sebutkan berkali-kali (kedaifan dan keplasuan riwayatnya)..” [al-Hiqbah min al-Tarikh, 191].

Kisah Tahkim yang Sahih:

Kisah yang sahih berkenaan peristiwa Tahkim ini adalah sebagaimana yang dikeluarkan Imam al-Bukhari secaa ringkas dalam Tarikh Kabir [5/398] dan Ibn Asakir dalam Tarikh Damsyiq [46/175], al-Daruqatni sebagimana yang dinyatakan Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h dalam al-Awasim [m.s 143-144] sebagai berikut:

“Setelah Muawiyah r.a (yakni setelah Muawiyah r.a menjadi Khalifah) memecat Amru bin al-As r.a daripada jawatan gabenor Mesir, Amru bin al-As r.a telah membina fustat (khemah tempat tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan selalu duduk di khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan berkata: ‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku sesuatu yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa ketika dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (Tahkim) bagaimana mereka lakukan?’. Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah kepadaku bagaimana sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari?’. Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita tetapi apa yang mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah, tetapi apabila aku telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau: Apakah pendapat kamu berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara ini (pertlingkahan) berlaku antara kaum yang telah diredai Rasulullah s.a.w ketika baginda wafat. Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka kamu berdua perlu menolongnya namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka demikianlah urusan Allah pada kamu berdua”.

Demikianlah yang berlaku sebenarnya, iaitu peristiwa Tahkim ini berakhir dengan tiada keputusan muktamad kecuali Sadina Ali r.a terus kekal sebagai Khalifah dan Saidina Muawiyah r.a terus kekal sebagai Gabenor Syam.

Telah kita nyatakan sebelum ini bahawa pertelingkahan antara Ali dan Muawiyah radiallahuanhuma adalah berkenaan pelaksanaan Qisas terhadap pembunuh-pembunuh Usman r.a bukan masalah jawatan Khalifah, maka adalah amat pelik jika Tahkim ini berlangsung di luar tajuk, maka riwayat Abu Mikhnaf yang lalu telah maklum kebatilannya walaupun tidak meneliti kepada sanadnya sekalipun.

Demikian juga kisah yang sahih bahawa Muawiyah r.a memujuk Abu Musa al-Asy’ari r.a berbaiat kepada beliau seperti mana Amru bin al-As r.a berbaiat bukanlah bermakna baiat sebagai Khalifah tetapi usaha Muawiyah r.a memujuk Abu Musa untuk menyokong usaha beliau menuntut darah Usman r.a kerana ini lah baiat Ahli Syam kepada Muawiyah r.a iaitu tidak akan membaiat Ali r.a sehingga Ali r.a melaksanakan Qisas terhadap para pembunuh Usman r.a bukan melantik Muawiyah r.a sebagai Khalifah. [Asrul Khilafah al-Rasyidah, Dr. Akram Diya’ al-Umari, 474-475].

Hasil:

Hasil daripada penjelasan berkenaan peritiwa ini, menunjukkan bahawa:

* Amru bin al-As r.a adalah Sahabat yang mulia dan beliau bukanlah seorang penipu atau pengkhianat.
* Peperangan Siffin berlaku atas ijtihad para Sahabat dan janganlah kita mencemarkan lidah dengan darah yang Allah Taala telah biarkan ianya mengalir.
* Abu Musa al-Asy’ari bukanlah seorang bodoh atau kurang cerdik seperti tuduhan kaum Syiah bahkan beliau seorang faqih dan sangat bijak dalam menjaga perpaduan kaum muslimin,
* Peristiwa Tahkim menunjukkan keikhlasan pihak Ali r.a yang diwakili oleh Abu Musa r.a dan pihak Muawiyah r.a yang diwakili Amru r.a untuk mencari perdamaian walaupun tidak membawa hasil yang diharapkan.
* Amru bin al-As r.a bukanlah seorang yang memecah belahkan umat bahkan beliau berusaha mencari perdamaian dengan Ali r.a yang terserlah melalui perbincangan beliau dengan Abu Musa r.a seperti dalam riwayat tahkim yang sahih.
* Kaum Syiah adalah Dajjal dan perosak sebenar sejarah Islam, merekalah yang berhak dilaknat -Laknat Allah atas Syiah terutama al-Rafidah-.

Sumber: Bahaya Iran

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More