Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

29 October 2011

Larangan Memotong Selepas Masuknya 1 Zulhijjah

- Gambar Hiasan -
Semua yang terlibat dengan ibadah korban, disunnahkan agar tidak menggunting rambut dan memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Dzulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban, maka maka jangan memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya.”. (Hadith Riwayat Muslim)

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ ، فَاِذَا أُهِلَّ هِلاَلٌ ذِي الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذْ مِنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ حَتَّى يُضَحَّى

“Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (Hadith Riwayat Muslim)

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur ataupun apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut atau bulu di badan.

Menurut Imam Nawawi rahimahullah:

“Maksud (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. (Lihat: Syarah Muslim 13/138)

Namun begitu sekiranya secara sengaja mahupun tidak sengaja kita memotong kuku ataupun rambut maka memadailah kita memohon keampunan daripada ALLAH dengan bersungguh-sungguh dan tidak dikenakan fidyah (tebusan atau pengganti).

Jika ada yang lakukan hal tersebut, maka hendaklah dia segera beristighfar kepada ALLAH Ta’ala dan menurut ijma` tidak ada fidyah sama sekali, samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Sesiapa yang melanggar larangan ini hendaklah memohon ampun kepada ALLAH dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa”. (Lihat: Al-Mughni 11/96)

* Untuk perbincangan lanjut, boleh ke:

Daging Korban Tidak Boleh Jadi Upah

- Gambar Hiasan -
Pada kebiasaan masyarakat di Malaysia, 10 Zulhijjah akan diadakan ibadah korban menyembelih daging-daging korban dan dilapah. Tujuannya adalah untuk bersedekah. Daging-daging tersebut akan diagihkan kepada diri sendiri, jiran tetangga dan fakir miskin. Ini seperti mana yang disebut oleh Dr Yusuf Qaradhawi dalam Fatawa Muasirah:

Sebaiknya daging korban itu dibahagi 3. 1/3 dimakan sendiri, 1/3 dibahagikan kepada jiran tetangga dan 1/3 lagi untuk fakir miskin. Namun jika dia berniat untuk menyedekahkan semuanya kepada fakir miskin, itu lebih baik. Hanya saja, utk sekadar memenuhi sunnah dan memperoleh berkat, dianjurkan agar ia turut makan daging korbannya sendiri walaupun sedikit. Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya.

Tetapi semasa proses ibadah korban ini ada satu perkara yang amat ditegah dan dilarang. Ia adalah mengambil upah daripada perbuatan menyembelih dan melapah daging korban. Kerana Rasulullah SAW ada bersabda dalam sebuah hadith:

Daripada`Ali bin Abi Talib r.a, katanya: “Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku mensedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim).

Ketika mengulas hadis Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam an-Nawawi r.h menyatakan dalam Syarh Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya (untuk membeli khidmatnya). Ini adalah tidak dibolehkan” (9/435 Beirut: Dar al-Khair).

Maka, saya memesan kepada diri saya dan kepada rakan-rakan pembaca sekalian untuk mengambil pengajaran daripada hadith yang disebutkan agar jangan mengambil upah daripada kerja menyembelih dan melapah daging korban. Tujuan sebenarnya adalah untuk kita memberi sedekah kepada orang yang memerlukan daging korban bukan kerana hendak kerana upah di atas kerja menyembelih dan melapah.

Semoga kita mendapat berkat daripada Allah SWT di atas usaha kita untuk menyembelih dan melapah daging korban ketika menjalankan ibadah korban ini nanti.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
29 Oktober 2011/2 Zulhijjah 1432H

* Sebahagian rujukan diambil daripada:

1- al-ahkam.net
2- drmaza.com

Kelebihan 10 Awal Zulhijjah



Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More