04 March 2010

Kepentingan Kefahaman Ilmu Hadith Terhadap Orang Awam

االسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kita sekarang berada di zaman globalisasi iaitu zaman kemudahan untuk pencarian sumber maklumat tentang apa sahaja untuk dicari. Ianya boleh dicari di mana-mana sahaja dengan satu klik sahaja di dalam pencarian di Internet. Lihat sahaja di dalam Internet, kita boleh mencari pelbagai sumber pengetahuan menerusi carian enjin, blog, laman web, forum dan sebagainya. Namun, persoalan sekarang adakah pencarian yang dicari itu benar-benar betul faktanya atau sekadar fakta yang putar belit? Justeru itu, persoalan ini juga harus dilihat juga daripada hadith-hadith yang tersebar kepada masyarakat yang kebanyakan tidak pasti sama ada ianya sahih atau palsu.

Umumnya, masyarakat akan mendapat maklumat tentang hadith-hadith masyhur di Malaysia daripada pelbagai aspek. Antaranya ialah daripada TV, radio, suratkhabar, Internet, buku-buku dan majalah awam. Di dalam medium ini, telah terbukti bahawa terdapat pelbagai hadith-hadith palsu yang tersebar ke dalam masyarakat dan ianya sangat mendukacitakan kerana kita telah berada di zaman globalisasi yang seharusnya dapat menapis hadith-hadith yang bukan daripada kata-kata Nabi s.a.w. Penapisan terhadap hadith-hadith palsu harus dilakukan agar penyebaran hadith-hadith palsu dikurangkan kerana ianya bukan tsabit (berasal) daripada Nabi saw. Seperti mana yang ditegaskan di dalam Mukaddimah Sahih Muslim iaitu:
ان كذبا علي ليس ككذب أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مفعده من النار

Maksud: Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka. (Riwayat Bukhari dalam kitab Janaiz dan Mukaddimah Sahih Muslim)

Maka, sebagai seorang muslim wajib bagi kita berhati-hati terhadap hadith-hadith masyhur di kalangan masyarakat yang kebanyakannya bukanlah sahih. Oleh yang demikian, ilmu pentakhrijan hadith harus dikuasai oleh mereka yang berada di bidang hadith dalam menangani masalah ini. Yang WAJIB masuk ke 'gelanggang' ini adalah para penuntut ilmu, para pengkaji hadith, dan para asatizah bagi membantu golongan awam yang tiada ilmu mengenainya untuk beramal menggunakan hadith-hadith Nabi s.a.w yang tsabit daripada Nabi s.a.w. dan membendung penyebaran hadith-hadith palsu di negara kita.


Kefahaman Terhadap Ilmu Hadith


Kefahaman terhadap ilmu hadith harus dikuasai. Dalam mendalami kefahaman terhadap ilmu hadith ini, asas yang penting adalah mengetahui kepentingan sanad dan matan di samping menguasai ilmu jarh wa ta'dil (kecacatan dan keaiban yang ditujukan kepada para periwayat dengan menggunakan lafaz kata-kata khusus dalam menerima atau menolak sebarang riwayat hadith dari kalangan mereka).

Sanad adalah jalan periwayatan yang bersambungan kepada matan. Dengan bahasa mudah, sesebuah hadith bermula daripada periwayat awal hadith sehinggalah kepada matannya (teks hadith). Matan pula bermaksud lafaz-lafaz hadith yang berada selepas periwayat dalam sanad yang akhir.

Lihat apa yang dikatakan oleh Muhammad bin Sirin (w.110H) di dalam Mukaddimah Sahih Muslim:
Mereka (iaitu ulama hadith) tidak bertanyakan tentang sanad, tetapi apabila terjadinya peristiwa fitnah, mereka berkata, 'Sebutkan kepada kami nama periwayat kamu. Apabila dilihat yang menyampaikannya Ahl al-Sunnah, maka hadithnya diterima, tetapi apabila yang menyampaikannya ahl bid'ah, maka hadithnya ditolak.' (Mukaddimah Sahih Muslim)
Oleh sebab yang demikian, pentingnya kajian terhadap ilmu hadith supaya ianya dapat dilindungi daripada pendusta-pendusta hadith di dalam meriwayatkan sesebuah hadith. Kajian terhadap ilmu hadith sangat penting demi mengelakkan penyebaran hadith palsu dengan meluas. Dalam sesebuah hadith, untuk membuktikan bahawa sesebuah hadith itu sahih bergantung kepada beberapa faktor yang ketat iaitu :-
  1. Pengetahuan biografi periwayat
  2. Kuat dan lemahnya hafalan serta penyebabnya
  3. Mengetahui sanad di antara seorang periwayat dengan orang lain sama ada bersambung atau terputus
  4. Mengetahui waktu lahir dan wafatnya setiap mereka
  5. Mengetahui setiap elemen yang berkaitan dengan ilmu Jarh wa Ta'dil
Seandainya ada sebuah hadith syaratnya kurang menepati kriteria di atas, maka syarat untuk ke tahap hadith sahih tidak sampai. Oleh yang demikian, haruslah berwaspada terhadap mana-mana hadith jika sumbernya tidak dapat dipastikan kerana berkemungkinan ianya hadith palsu. Amat merbahaya jika hadith palsu disebarkan secara meluas kerana ianya mempermainkan peranan Nabi saw di dalam menyebarkan ajaran. Kata-kata Nabi saw bukanlah seperti mana kata orang lain. Jadi, beradablah sedikit di dalam menyebut sesuatu perkataan yang bersandarkan kepada Nabi saw.


Contoh Hadith Palsu Yang Tersebar

Sebagai contoh, ada sebuah hadith palsu yang tersebar di dalam masyarakat Malaysia kebanyakannya digunapakai oleh golongan sufi sebagai ritual ibadah dan kehidupan mereka. Hadith palsu tersebut adalah:
Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.
Berdasarkan hadith ini, ianya telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali. Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin ‘Ablah.

Penggunaan hadith ini tanpa mengikut garis panduan yang betul boleh menyebabkan sebahagian umat Islam tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadith-hadith sahih. Hadith ini sering digunakan oleh mereka yang bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di dalam hadith-hadith sahih tentang kepentingan mujahadah menentang kehendak nafsu ini seperti hadith Nabi saw:
Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (yang buruk).

Hadith sahih riwayat al Tirmizi (hadis no. 1621) dan disahihkan oleh al Tirmizi serta disokong oleh al Albani
Tetapi hadith ini tidaklah sampai bermaksud seperti yang digambarkan oleh hadith palsu tadi sehingga ke tahap menjadikan peperangan itu kecil dan melawan nafsu lebih besar mengatasi segalanya. Firman Allah swt:
Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan ALLAH dengan diri mereka sendiri dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan peperangan) di sisi ALLAH dan itulah orang-orang yang berjaya.

Surah At-Taubah ayat 20
Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun begitu, hadith yang disebutkan tadi adalah dhaif atau lebih rendah kedudukannya dan kita dilarang menggunakan hadith sedemikian dalam menyatakan sesuatu hukum. Marilah kita menggunakan hadith-hadith sahih dalam menentukan sesuatu perkara atau hukum. Inilah perkara yang telah disarankan oleh para ulama sejak dahulu hingga kini. (Rujuk: Buku 20 Persoalan Asas Tentang Hadis)


Objektif Dalam Memahamkan Orang Awam

Objektif memahamkan kepada orang awam mengenai kepentingan ilmu hadith adalah demi menjaga kualiti hadith daripada Muhammad saw. Seminar Takhrij Hadith di Universiti Malaya pada tahun lalu sangat memberi manfaat kerana ianya dapat membuka minda masyarakat bagaimana skop hadith ini dapat dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat dengan selaras garis panduan ilmu ulum al-hadith.

Antara cadangan yang dikemukakan kepada para ilmuwan, pihak kerajaan dan swasta, dan pihak berjawatan tinggi di dalam kerajaan khususnya di dalam jabatan agama adalah:-
  1. Takhrij hadith harus diketengahkan kepada masyarakat supaya dapat mengurangkan hadith-hadith yang diragui akan kesahihannya.
  2. Perluasan kursus takhrij hadith kepada pelajar bukan aliran agama.
  3. Kewajipan dalam memahami kepentingan sanad dalam sesebuah hadith.
  4. Keharusan dalam memberitahu terhadap sesebuah hadith samada ia sahih, daif atau maudu'.
  5. Pentingnya sikap waspada terhadap penyebaran hadith-hadith palsu di dalam buku-buku sekolah, universiti dan tempatan, teks-teks khutbah jumaat, majalah-majalah awam, akhbar-akhbar tempatan dan media massa.
Selain itu, pihak atau badan berwajib juga harus memanfaatkan cadangan-cadangan ini supaya memanfaatkannya kepada golongan penuntut ilmu kerana mereka sangat cintakan dan dahagakan kepada ilmu yang terbentang dengan luasnya.

Akhir kalam daripada penulis ialah usah biarkan masyarakat terjerumus di dalam kancah ceteknya keilmuan terhadap hadith tetapi luaskanlah keilmuan bidang hadith untuk masyarakat agar masyarakat dapat menilai sesuatu hadith dengan baik kerana kita berada di zaman globalisasi yang diberi kemudahan untuk memanfaatkan ilmu yang penuh manfaat ini.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
5 Mac 2010/19 Rabiul Awal 1431H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More