Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

27 February 2009

Aminah Wadud – Antara Fakta Dan Agenda Tersembunyi

Assalamualaikum wbt...

Aminah Wadud, siapa tak kenal dengan beliau, tokoh wanita Islam Liberal yang sangat bercanggah isu yang beliau ketengahkan kepada masyarakat umum. Antara paling masyhur adalah beliau pernah menjadi imam solat jumaat.

Baru-baru ini, 13-18 Februari telah berlangsung satu program Mauswah yang dianjurkan oleh SIS yang mana program ini cuba membawa gerakan dakyah Islam Liberal. Amat bahaya program seperti ini yang mana boleh mempertikaikan prinsip-prinsip asas Islam.

Apakah fakta dan agenda tersembunyi yang dibawa oleh Aminah Wadud? Ana terjumpa artikel di bawah ini di website PPIM. Artikel ini menjelaskan lebih lanjut mengenai propaganda Aminah Wadud.



Islam sentiasa menjamin hak wanita. Malah Islamlah yang memulakan agenda mertabatkan kedudukan wanita sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini. Malah ia telah menjadi ’benchmark’ kepada lain-lain pergerakan emansipasi wanita seluruh dunia. Insan yang pertama memeluk Islam adalah seorang wanita dan demikian juga yang pertama syahid di jalan Allah juga adalah wanita. Malangnya, banyak yang buta sejarah kerana tidak didedahkan dengan fakta dan percaya kepada dakyah perosak agama yang menopengkan Islam sebagai pelantarnya.

Antara yang paling berjaya memanipulasikan fakta dan paling digeruni peranannya ketika ini dalam menjahanamkan kemurnian dan kesucian agama adalah gerakan Islam Liberal. Kita juga sudah mula menerima impak yang bakal mencipta sejarah bila NGO Sisters In Islam menjemput Prof. Dr. Aminah Wadud pelopor imam Jumaat wanita pertama datang ke negara ini dan diberikan layanan kelas pertama.

Beliau bukan sahaja dijemput, malah diberikan penghormatan menjadi ’Key Speaker’ dalam satu forum bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh mereka ”Musawah Confrence On Equality And Justice In The Muslim Family” di sebuah hotel bertaraf 5 bintang yakni Prince Hotel di Kuala Lumpur pada 13 hingga 17 Februari, 2009 yang lalu.

Alasan mudah yang mungkin menghalalkan tindakan berkenaan adalah mungkin disebabkan Aminah pernah menjadi tenaga pengajar di negara ini satu waktu dahulu.

Ekoran peristiwa September 11 Islam mula mahu disuntik kononnya dengan nafas baru oleh para penjenayah agama dengan menggunakan individu dan badan NGO Islam yang kononnya melihat pengamalan Islam oleh umatnya dewasa ini adalah berdasarkan kefahaman cetek dan tafsiran dangkal para ulama silam.

Isu GENDER EQUALITY dijadikan sebagai umpan demi meraih sokongan. Kerana ceteknya ilmu agama, sejarah dan peradaban telah mendorong gerakan ini menjadi pujaan sebahagian wanita yang berpendidikan sekular. Sesungguhnya peruntukkan terhadap hak wanita dalam Islam tidak pernah menjadi isu. Kalau ada negara contohnya menafikan hak wanita untuk mengundi dalam pilihan raya, Islam lah yang memberikan hak ini tanpa sebarang halangan seperti yang berlaku di Malaysia dan Iran. Malah sudah muncul ahli politik wanita Islam yang sudah mencapai tahap sebagai Perdana Menteri.

Yang tidak dibenarkan dituntut oleh wanita Muslimah adalah perkara-perkara yang telah menjadi amalan Islam sebagaimana yang diperkenalkan oleh Rasulullah saw, diamalkan dari zaman Baginda sehingga hari ini. Antaranya adalah bahawa Solat Jumaat cuma diwajibkan ke atas umat Islam lelaki kerana itu imam dan khatibnya juga adalah terdiri dari kaum lelaki.

Malangnya, amalan ini kononnya ingin diperbaharui oleh Professor Amina Wadud, yang pada waktu itu adalah seorang profesor Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University. Beliau telah telah mengimamkan solat Jumaat (dalam gereja) dengan jemaah sekitar 100 lebih orang yang bercampur gaul lelaki dan wanita.

Mengambil pendapat dari Sheikhul Azhar yang dipetik oleh BBC mengatakan Islam tidak membenarkan wanita menjadi khatib dan imam kepada jemaah yang termasuk kaum lelaki. Kerana solat Jumaat itu sendiri tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Kerana itu, peruntukkan hukum berkenaan amatlah jelas dalam hal ini. Soal sama ada Aminah merupakan professor juga tidaklah boleh dijadikan lesen bagi beliau untuk memberikan tafsiran sesuka hatinya dalam hal ini.

Hukum hakam dalam Islam bukan boleh ditafsirkan sesuka hati mengikut fikiran dan akal individu semata-mata. Ia perlu melalui proses yang teliti dan ada prosedur yang perlu dipatuhi termasuklah diperakukan oleh badan yang diiktiraf.

Lebih menjadi kebimbangan berikutan peristiwa ini adalah penerimaan mereka yang kurang jelas pemahaman Islamnya dan memang pula merupakan juara dalam bab-bab memberikan tafsiran yang mengelirukan terhadap Islam seperti yang berlaku pada pertubuhan Sisters in Islam. Sekiranya ia tidak diberi perhatian serius dan dibendung, jangan terkejut perkara ini kelak dituruti secara membuta tuli oleh anggota masyarakat Islam dalam negara kita.

Oleh itu para mufti perlu segera bertindak menyelamatkan maruah dan martabat serta kesucian Islam di negara kita, segerelah bertindak sebelum berlaku perkara tidak di ingini seperti Stadium Bukit Jalil menjadi lokasi solat Jumaat pertama yang diimamkan oleh individu wanita yang terkeliru dalam negara kita.

Tentunya dunia barat yang sememangnya tidak senang dengan Islam akan menaja dan menyokong usaha sesat ini dengan menyatakan bahawa tindakan mereka ini amat terpuji bagi menggambarkan Islam yang lebih sederhana. Sesuai dengan imej negara kita kononnya. Walhal, memang semua perkara ini merekalah perancang dan pendakyah bagi mempastikan umat Islam sentiasa dalam kesesatan dan sentiasa berpecah belah.

Sebagai ahli NGO yang berpelantarkan Islam sebagai motto perjuangannya, saya sebagai Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengambil pendekatan tidak mahu bersekongkol, malah menentang serta mengutuk sebarang tindakan yang diambil atas nama agama bagi menghalalkan cara.

Dengan itu, melalui kesempatan ini kami ingin menyeru kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam isu di atas supaya kembali ke pangkal jalan dan tidak menjadikan umat Islam di negara ini sebagai mangsa kepada strategi subersif menjahanam serta memporak perandakan kesucian agama ini melalui tindakan yang tidak matang, tidak mempunyai justifikasi dan tidak berlandaskan amalah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Janganlah menambah lagi ribut terhadap kemelut yang sudah melanda negara kita dengan perkara furuq yang tidak disandarkan kepada sebarang kitab muktabar. Siapalah seorang individu jika dibandingkan dengan ribuan ulama semenjak zaman Rasulullah sehingga kini dan apakah istimewanya beliau dan apakah yang cuba dibuktikan kepada dunia sehingga kita memperjudikan nama Malaysia dengan menjemput wanita sesat berkenaan menjadi juara disanjung dan dipuja.

21 February 2009

Faktor-Faktor Yang Menghancurkan Negara Islam

Assalamualaikum wbt...

Di dalam kekuatan hebat dan tanah yang meluas ini, faktor-faktor merungkai mula meresap ke dalam kehidupan umat al Quran ini. Faktor ini membesar dan berkembang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya telah merobek Daulah Islam ini dengan hancurnya pusat kerajaan Islam pada kurun ke 6 Hijrah di tangan Tartar. Sekali lagi ianya berlaku pada kurun 14 Hijrah (Kejatuhan Khalifah Uthmaniah). Peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat buruk. Umat Islam bertaburan dan negara Islam menjadi negeri-negeri kecil.





 Faktor-faktor yang menjadikan demikian:

1. Perpecahan politik, asabiyyah (fanatik), berebut pangkat dan kepemimpinan.

Sedangkan Islam telah memberi amaran keras dalam masalah ini. Islam telah mengingatkan supaya menjauhkan diri dari kepimpinan. Islam berulang kali menarik perhatian umatnya bahawa inilah faktor yang merosak dan menghancurkan mana-mana rakyat dan negara. Allah berfirman, maksudnya;

"…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (al Anfal :46).

Disamping itu Islam juga sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyhuran dan pujian.



2. Perbezaan pandangan dalam agama dan mazhab, menyeleweng dari agama yang sepatutnya aqidah dan amalan tetapi bertukar menjadi cakap-cakap dan istilah kaku yang mati.

Kecuaian terhadap kitab Allah, sunnah Rasulullah saw, jumud dan fanatik terhadap pendapat dan kata-kata seseorang, suka bertengkar dan berdebat sedangkan semua perkara ini ditegah oleh Islam. Rasulullah saw bersabda, maksudnya

"Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mereka mendapat hidayat kecuali oleh kerana mereka suka bertengkar".

3. Tenggelam dalam pelbagai kemewahan dan kenikmatan, suka berhiburan dan keseronokan.

Ianya berlaku begitu dahsyat pada pemerintah-pemerintah Islam lebih dari apa yang berlaku kepada pemerintah bukan Islam. Padahal mereka telah membaca firman Allah, maksudnya;

"Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya". (al Isra':16)

4. Peralihan kuasa dan pimpinan kepada bukan Arab; samada kepada Farsi, Dailam (suku Kurd), Mamalik, Turki dll.

Kebanyakan mereka ini tidak pernah merasa kemanisan Islam yang sebenar. Hati-hati mereka tidak dapat disinari oleh cahaya al-Quran disebabkan kesukaran memahami maksud-maksudnya. Sedangkan mereka telah membaca firman Allah, maksudnya,

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan mu orang-orang yang di luar kalangan mu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagi mu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepada mu ayat- ayat (Kami) jika kamu mahu memahaminya". (Al Imran :118)

5. Mengabaikan ilmu-ilmu teknologi dan sains sebaliknya menghabiskan masa dengan teori falsafah dan ilmu-ilmu khayal yang mandul.

Sedangkan Islam mengesa mereka supaya mengkaji, menyelidik segala rahsia-rahsia kejadian, meneroka di muka bumi dan berfikir tentang makhluk Allah sebagaimana firman Allah, maksudnya:

"Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi".(Yunus:101).

6. Sikap pemerintah yang tertipu dengan kekuatan sendiri dan cuai untuk mengkaji perkembangan masyarakat lain sehingga mereka ketinggalan dalam persiapan dan persediaan yang mana akhirnya mereka telah di cakup sekali gus.

Al-Quran telah memerintahkan mereka supaya sentiasa berwaspada dan jangan lalai. Ia mensifatkan orang-orang yang lalai dan cuai tak ubah seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu. Firman Allah, maksudnya:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak di pergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak di pergunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat- ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang- orang yang lalai" (al-A'raf:179).

7. Terpedaya dengan tipu muslihat musuh yang manis di bibir.

Mereka merasa kagum dengan cara kerja dan kemewahan hidup kuffar musuh. Mereka terburu-buru meniru kuffar tanpa mengira baik buruk. Sedangkan al-Quran sangat menegah muslimin dari meniru atau menyerupai kuffar. Al-Quran terus terang memerintah supaya tidak menyerupai kuffar dan perlunya memelihara ciri-ciri identiti Islam. Firman Allah, maksudnya;

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang al Kitab nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman" (aL-Imran:100).


Di ayat yang lain, maksudnya:

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu taati orang-orang itu nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran) lalu kamu menjadi orang yang rugi" (al-Imran:149)

Sumber:

ANTARA SEMALAM DAN HARI INI oleh: Imam As-syahid Hassan Al-Banna

Rujukan: Muhammad Fakhruddin Ismail

19 February 2009

Menunaikan Solat Dengan Cara Nabi

Assalamualaikum wbt...

Berikut adalah merupakan panduan lengkap wudhu, tayammum, solat sendirian atau jemaah dan larangan-larangan di dalamnya mengikut Sunnah Nabi Al Karim Muhammad SAW.

Semoga dapat mengambil manfaat daripadanya.


















12 February 2009

Perkara-Perkara Yang Dilarang Dalam Solat

Assalamualaikum wbt...

Beberapa perkara yang ditegah dan dilarang ketika menunaikan solat adalah:

1. Mematuk-matuk dalam rukuk dan sujud

“Sejahat-jahat pencuri ialah orang yang mencuri dalam solat. Sahabat bertanya: Bagaimana dia mencuri di dalam solatnya? Nabi s.a.w. menjawab: Dia tiada menyempurnakan rukuknya dan sujudnya. Atau Nabi menjawab: Dia tiada menegakkan punggungnya di dalam rukuknya dan sujudnya.”

[H.R. Ahmad , At Thabarani dan Ibnu Khuzaimah]

“Bahwasanya Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk-matuk dalam sujudnya, sedang dia sedang bersolat. Maka berkatalah Rasulullah s.a.w.: “Sekiranya orang ini mati dalam keadaan begini, matilah dia di luar agama Muhammad.” Kemudian Nabi s.a.w. berkata: “Perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan mematuk-matuk dalam sujudnya, adalah seumpama orang lapar memakan sebiji atau dua biji kurma yang tiada mengenyangkan (tiada memberi faedah apa-apa baginya).”

[H.R. Abu Ya’la, Khuzaimah dan Tabarani dari Abu Abdullah Al Asy’ary]

Abu Hurairah r.a. ra. berkata:

“Aku telah disuruh oleh kekasihku, tiga perkara dan ditegah aku dari tiga perkara, iaitu mematuk-matuk dalam rukuk dan sujud seperti patukan ayam dan duduk seperti duduk anjing dan berpaling-paling sebagai tsa’lab (sejenis anjing hutan).”

[H.R. Abu Ya’la]

2. Berpaling ke kanan, kiri dan melihat ke atas

“Allah swt sentiasa berharap kepada para hamba-Nya dalam solatnya, selama hamba itu tiada berpaling-paling. Apabila hamba itu memalingkan mukanya, berpalinglah Allah swt daripadanya.”

[H.R. Ahmad dan Abu Daud]

“Dan bahwasanya Allah swt. menyuruh kamu bersolat, maka apabila kamu bersolat janganlah kamu berpaling-paling. Kerana sesungguhnya Allah menghadapkan muka-Nya ke muka hamba-Nya di dalam solat hamba itu, selama hamba itu tidak berpaling-paling.”

[H.R. At-Tirmidzi]

Aisyah ra. berkata:

“Saya telah bertanya kepada Rasulullah perihal berpaling-paling dalam solat. Maka Rasulullah menjawab: Itu suatu sambaran dari syaitan yang dia sambarkan dari solat hamba Allah swt.”

[H.R. Al Bukhari,Abu Daud,An-Nasa'i dan Khuzaimah]

“Apakah gerangan sebabnya orang-orang itu mengangkat pandangannya ke langit semasa bersolat dan mengeraskan suaranya. Sehingga Nabi bersabda: “Hendaklah mereka menghentikan perbuatan itu atau biarlah dicabut cepat pandangannya.”

[H.R. Al Bukhari]

3. Begerak anggota badan dalam solat

“Apabila seseorang kamu berdiri untuk solatnya, maka hendaklah dia menenangkan segala anggota tubuhnya (tangannya, kakinya) dan janganlah berhoyong-hayang sebagai hoyongan orang Yahudi.”

[H.R. Al Hakim dan At-Tirmidzi ]

“Janganlah engkau menyapu anak-anak batu yang melekat di dahimu saat engkau bersolat, jika perlu sekali engkau sapu, maka cukuplah dengan sekali sapu sahaja.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

Dari Abu Hurairah r.a.:

Rasulullah melihat seorang lelaki memain-mainkan tangan semasa solat, maka baginda bersabda:

“Sekiranya khusyuk jiwa orang ini tentulah khusyuk segala anggotanya.”

[H.R. Al Hakim dan At-Tirmidzi]

4. Berludah ke depan

“Apabila seseorang kamu berada dalam solat, maka berertilah dia sedang bermunajat dengan Tuhan-nya. Oleh itu, janganlah dia berludah ke muka (ke depan) dan janganlah ke kanannya. Akan tetapi ke sebelah kirinya, ke bawah kakinya.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

5. Bercekak pinggang

Dari Abu Hurairah r.a. ,katanya:

“Rasulullah s.a.w. menegah seseorang mengerjakan solat dengan menumpangkan rusuknya (bercekak pinggang)”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

6. Membunyikan ruas tangan

“Janganlah engkau membunyikan ruas tangan semasa engkau sedang bersolat.”

[H.R. Ibnu Majah]

7. Menahan air besar atau kecil

Kata Aisyah ra:

“Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada solat di hadapan makanan dan tidak ada solat semasa sedang dipengaruhi oleh desakan buang air besar atau air kecil.”

[H.R. Muslim]

“Apabila telah didirikan solat, jika ketika itu seseorang perlu buang air, hendaklah dia pergi buang air sebelum bersolat.”

[H.R. Al Bukhari, Muslim dan lain-lain.]

8. Menahan keinginan makan sesudah makanan tersedia

“Apabila telah disajikan makan malam, maka makanlah dahulu, sebelum melaksanakan solat Maghrib.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

9. Melihat kepada yang membimbangkan

Dari Aisyah ra., Nabi s.a.w. bersolat kepada kain yang diperbuat dari sutera bercorak, maka berkatalah baginda:

“Corak-corak kain ini membimbangkan hatiku. Bawalah kain ini pada Abu Jaham, dan berikanlah padaku kain tebal tak bercorak.”

[H.R. Al Bukhari]

10. Memberi isyarat dengan tangan di waktu salam

Dari Jabir ibn Samurah ra., katanya: Adalah kami bersolat dan mengetahui ada orang-orang yang berisyarat dengan tangan mereka di waktu membaca salam di belakang

Rasulullah s.a.w. Maka bersabdalah baginda:

“Mengapa mereka membaca salam dengan mengangkat tangan (dalam solat) seakan-akan tangan-tangan itu ekor-ekor kuda yang sedang lari. Apakah tidak cukup mereka meletakkan tangannya di atas paha? Sesudah itu mengucapkan: Assalamu’alaikum, Assalamu’alaikum.”

[H.R. An-Nasa'i]

11. Menutup mulut dan menurunkan kain sehingga mengenai lantai

Abu Hurairah r.a. berkata:

“Rasulullah s.a.w. menegah kami menurunkan kain dalam solat dan menegah orang yang sedang solat menutup mulutnya.”

[H.R. Abu Daud dan Al Hakim]

12. Bersolat semasa mengantuk

“Apabila seseorang kamu berasa mengantuk, maka hendaklah dia tidur hingga hilang mengantuknya kerana apabila dia bersolat sedang dalam keadaan mengantuk, mungkin dia mahu memohon ampun tetapi dengan tidak sedar memaki dirinya.”

[H.R. Al-Jamaah]

13. Khaskan tempat yang tertentu oleh seseorang untuk solat kecuali imam

Dari Abdurrahman ibn Syibil, katanya;

“Rasulullah s.a.w. menegah seperti patukan burung gagak, deruman binatang buas dan menegah kita khaskan suatu tempat tertentu di dalam masjid (untuk solat), sebagaimana halnya unta.”

[H.R. Ahmad, Al Hakim dan Ibnu Hibban]

14. Berbicara dengan sengaja yang tidak berkaitan dengan solat

Zaid ibn Arqam ra berkata:

“Adalah kami (sahabat) berbicara dalam solat. Masing-masing kami berbicara dengan teman yang berdiri di samping dalam solat. Hingga turun ayat: wa qumu lillahi qanitin, (dan berdirilah kamu kerana Allah dengan khusyuk). Maka kami pun diperintahkan berdiam dan dilarang berbicara.”

[H.R. Al Jamaah]

Ibnu Mas’ud berkata:

“Adalah kami (sahabat) memberi salam kepada Nabi s.a.w. semasa baginda solat, lalu baginda menjawabnya. Setelah kami kembali dari An Najasyi, kami memberi salam juga kepadanya, maka baginda tidak menjawab kami lagi. Oleh itu, kami berkata: Kami dahulu memberi salam kepada tuan dalam solat lalu tuan menjawabnya. Maka, Nabi pun menjawab: Di dalam solat kita mempunyai tugas-tugas tertentu.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

Muawiyah ibn Al Hakam ra. berkata:

“Semasa saya sedang bersolat berserta Rasulullah s.a.w. tiba-tiba seorang lelaki dari jamaah bersin, maka aku pun mengucapkan: Yarhamukallah, kerana itu para jamaah mendelikkan matanya kepadaku. Aku berkata: Aduhai nasibku, mengapa kamu melihat kepadaku? Mereka memukul paha mereka dengan tangan-tangan mereka. Maka aku berasa mereka menyuruh aku berdiam, aku pun ingin bertanya, tetapi tidak jadi dan aku pun berdiam diri. Setelah Rasullullah selesai solat, maka demi ayahku dan ibuku, aku belum pernah melihat seorang guru sebelumnya dan sesudahnya yang lebih baik mengajar daripada baginda. Demi Allah swt., baginda tidak mengherdik aku dan tidak pula membentak. Beliau berkata: Solat ini tidak patut ada pembicaraan manusia. Ucapan-ucapan di dalamnya hanyalah tasbih, takbir dan membaca Al-Quran.

[H.R. Ahmad,Muslim dan An-Nasa'i]

15. Melipat baju atau menaikkan rambut

“Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota badan dan tidak boleh melipat baju atau menaikkan rambut (yang terulur).”

[H.R. Bukhari dan Muslim]

16. Menggangu bacaan imam dan orang lain

“Adakah salah seorang antara kamu tadi membaca al-Quran bersama dengan aku membaca? Kami menjawab: Ya! Saya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Aku katakan kepadamu mengapa aku diganggu (sehingga bacaanku diganggu)? Abu Hurairah berkata: Kemudian para sahabat berhenti membaca al-Quran bersama Rasulullah ketika Rasulullah membacanya dengan suara nyaring. Dan bacaan itu mereka dengar dan mereka membaca sendiri tanpa suara apabila imam tidak mengeraskan bacaannya”.

[H.R. Bukhari]

“Orang yang solat sedang bermunajat kepada Tuhannya, oleh kerana itu, hendaklah ia memperhatikan munajatnya kepada Tuhannya dan janganlah seseorang menyaringkan suara bacaan al-Qurannya sehingga mengganggu lainnya”.

[H.R. Bukhari]

“Siapa antara kamu tadi yang membaca Sabbihisma rabbikal a'laa? Seseorang menjawab: Saya, tetapi saya bermaksud baik. Nabi bersabda: Aku tahu ada orang yang membuat bacaan al-Quranku terganggu”.

[H.R. Bukhari]

Rujukan: Jom Solat

Perkara-Perkara Yang Dibolehkan Dalam Solat

Assalamualaikum wbt...

Terdapat beberapa perkara yang dibolehkan dalam solat. Antara yang dibolehkan adalah:

1. Menangis

Dari Abdullah ibn Syikir, katanya:

“Saya melihat Rasulullah s.a.w. bersolat sedang baginda berisak-isuk bagi suara kuali yang sedang mendidih kerana isakan (menangis).”

[H.R. Ahmad,Abu Daud,An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

Kata Ali ra:

“Tiada antara kami pada hari Badar seseorang penunggang kuda selain dari Al Miqdad dan tiada antara kami yang bersolat malam selain dari Rasulullah s.a.w.. Baginda bersolat di bawah pohon kayu sambil menangis sampai Subuh.”

[H.R. Ibnu Hibban]

Umar ra. pernah solat Subuh dengan membaca surah Yusuf. Ketika bacaannya sampai kepada:

Innama ashku.......(Hanya aku adukan keluhanku dengan kegundahan kepada Allah), Umar menangis dengan suara keras.”

[H.R. Al Bukhari, Said ibn Mansur dan Ibnul Munzhir]

2. Berpaling ke kanan atau ke kiri apabila ada keperluan

Dari Ibnu Abbas ra. ra.,katanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. bersolat, berpaling ke kanan ke kiri dengan tidak memusing lehernya ke belakang.”

[H.R. Ahmad]

Abu Daud berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w. solat dan berpaling dan melihat ke suatu lembah.”

[H.R. Abu Daud]

“Dan baginda (Nabi s.a.w.) telah menyuruh seseorang penunggang kuda pergi ke lembah di malam hari untuk berjaga-jaga.”

[H.R. Abu Daud]

3. Membunuh ular dan lipan

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Bunuhlah dua binatang hitam: ular dan lipan, walaupun kamu sedang bersolat.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

4. Berjalan sedikit yang diperlukan

Kata Aisyah ra.:

“Adalah Rasulullah s.a.w. bersolat di dalam bilik tidur sedang pintu terkunci. Maka, datanglah aku meminta agar pintu dibukakan. Oleh itu, Rasulullah berjalan, lalu membuka pintu untukku, kemudian beliau kembali ke tempat solatnya.
(Pintu itu terletak di sebelah kiblat)

[H.R. Ahmad,Abu Daud,An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

Kata Aisyah lagi:

“Rasulullah s.a.w. bersolat. Maka apabila seseorang meminta agar baginda membukakan pintu, baginda pun membukanya, asal saja pintu itu di sebelah kiblat atau di sebelah kanannya atau pun di sebelah kirinya dan tidak membelakangi kiblat.”

[H.R. Daruquthni]

Azraq ibn Qais berkata:

“Abu Barzah Al azlamy di waktu beliau berada di Al Ahwaz, berdiri di sebuah tepi sungai dan beliau memegang kekang kuda di tangannya dan lalu bersolat. Maka kuda itu pun mundur ke belakang, kerana itu Abu Barzah pun mundur. Seorang lelaki dari golongan Khawarij (yang melihat peristiwa itu) berkata: Wahai Tuhan-ku, hinakanlah orang itu, bagaimana dia bersolat? Maka apabila Abu Barzah telah selesai solat, beliau pun berkata: Aku telah mendengar perkataanmu. Aku telah berperang bersama Rasulullah s.a.w. enam atau tujuh atau lapan kali dan aku perhatikan segala keadaannya dan bagaimana beliau memudahkan pekerjaan. Aku mundur mengikuti binatang ku lebih mudah daripada membiarkannya kembali ke tempatnya yang menimbulkan kesukaran bagiku.” Dan Abu Barzah bersolat Asar dua rakaat.”

[H.R. Ahmad, Al Bukhari dan Al Baihaqi]

5. Mengendong anak

Abu Qatadah ra. berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w. bersolat manakala Umamah bt Zainab puteri Nabi bergantungan di leher baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun dari sujud, baginda mengambilnya dan meletakkan kembali dilehernya.”

[H.R. Ahmad dan An-Nasa'i]

Abdullah ibn Syaddad dari ayahnya berkata:

“Rasulullah s.a.w. keluar dari bilik menemui kami dalam salah satu solat siang (Zuhur atau Asar), masa itu baginda mendukung Hasan dan Husain. Nabi maju ke depan dan meletakkannya. Kemudian baginda bertakbir dan bersolat. Baginda bersujud sekali dan memanjangkannya. Abdullah berkata: Aku angkat kepalaku, maka aku lihat Hasan dan Husain sedang duduk di atas punggung Rasullullah yang sedang bersolat itu, kemudian aku kembali bersujud semula. Setelah Rasulullah selesai solat, jamaah pun berkata: Ya Rasulullah, tuan telah bersujud sekali dan memanjangkannya sehingga kami menyangka telah ada sesuatu perubahan atau ada wahyu yang sedang diturunkan kepada tuan? Nabi menjawab: Tidak terjadi hal itu, tetapi anak ini menduduki punggungku. Aku tidak ingin mereka pindah sebelum mereka menyelesaikan hajatnya.”

[H.R. Ahmad,An-Nasa'i dan Al Hakim]

6. Menjawab perbicaraan dan salam dengan isyarat

Jabir ra berkata:

“Rasulullah s.a.w. menyuruh aku pergi menyelesaikan suatu urusan dalam perjalanan beliau ke Bani Musthahaliq. Kemudian aku datang kembali sedang baginda bersolat di atas kenderaanya. Maka aku pun terus menerangkan keadaanku kepada baginda. Baginda berisyarat dengan tangannya begini ..... Kemudian aku terangkan lagi dan baginda pun berisyarat dengan tangannya. Aku mendengar baginda membaca dan berisyarat dengan kepalanya. Selesai solat, baginda pun berkata: Apa yang engkau lakukan dengan tugasmu, tidak ada yang menghalangi aku menjawab selain aku sedang bersolat.”

[H.R. Ahmad dan Muslim]

Shuhaib berkata:

“Saya melalui Rasulullah s.a.w. yang sedang bersolat dan saya memberi salam kepadanya. Baginda menjawab salamku dengan isyarat. Dia berkata: Aku tidak mengetahui selain baginda mengisyaratkan dengan anak jarinya.”

[H.R. Ahmad dan At-Tirmidzi- sahih]

Ibnu Umar berkata:

Aku bertanya kepada Bilal bagaimana Nabi s.a.w menjawab salam ketika mereka memberi salam Nabi s.a.w semasa baginda bersolat? Jawab Bilal: Baginda berisyarat dengan tangannya.”

[H.R. Ahmad dan Ashabus Sunan]

7. Bertasbih dan menepuk tangan untuk mengingatkan imam

“Barangsiapa dalam solatnya timbul sesuatu urusan, hendaklah dia ucapkan: Subhanallah. Menepuk tangan dilakukan oleh para wanita sedang membaca tasbih (subhanallah) dilakukan oleh lelaki.”

[H.R. Ahmad,Abu Daud dan An-Nasa'i]

8. Mengingatkan bacaan imam

Ibnu Umar berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w bersolat dan membaca surah, maka timbul keraguan baginya. Setelah selesai bersolat, baginda bertanya kepada Ubay: Apakah engkau turut bersolat bersama kami? Ubay menyahut: Benar! Bersabda Nabi: Apa yang menghalangi engkau untuk mengingatkan ayat yang aku ragukan itu?”

[H.R. Abu Daud-perawinya dipercayai]

9. Memuji Allah ketika bersin

Rifa’ah ibn Rafi’ ra berkata:

“Aku bersolat di belakang Rasulullah s.a.w., aku bersin. Maka aku pun mengucapkan : Alhamdulillah hamdan katsiran thayyiban mubarakan fihi kama yuhibbu rabbuna wa yardha. Sesudah selesai bersolat, Nabi pun bertanya: Siapa yang berbicara dalam solat? Tidak ada seorang pun menjawab. Kemudian Nabi bertanya lagi, tapi seorang pun tidak ada yang menjawab. Sesudah Nabi bertanya pada kali ketiga, saya pun menjawab: Saya, Ya Rasulullah! Maka nabi pun bersabda: Demi Tuhan yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya telah disambut ucapan itu oleh lebih tiga puluh Malaikat, masing-masing mereka ingin membawanya naik.”

[H.R. An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

10. Menutup mulut ketika menguap

“Apabila salah seorang kamu menguap dalam solat, maka hendaklah dia menutup mulutnya seberapa dia sanggup dan janganlah dia mengatakan hah, kerana kerana yang demikian itu dari syaitan, dia tertawa kerananya.”

[H.R. Al Bukhari]

“Menguap itu dari syaitan, maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia tutup mulutnya seberapa dia sanggup di dalam solatnya.”

[H.R. Muslim dan At-Tirmidzi]

11. Bersujud atas hujung kain

Dari Ibnu Abbas ra.:

“Bahwasanya Nabi s.a.w pernah bersolat dalam sekerat kain. Baginda menggunakan hujung-hujungnya untuk melindungi diri dari panas bumi dan dinginnya.”

[H.R. Ahmad]

12. Membaca dari mushaf (al-Quran)

Zakwan maula Aisyah ra. pernah mengimami Aisyah ra. dalam solat dengan membaca dari mushaf.

[H.R. Malik]

13. Berbimbang sebentar

Berkata Umar ra.

“Sesungguhnya aku berencana menyiapkan pasukanku masa aku bersolat.”

[Riwayat Al Bukhari]

14. Mendorong orang yang melintas di hadapan

“Apabila salah seorang di antara kamu solat menghadap ke arah sesuatu yang menjadi pembatas baginya dari manusia, kemudian ada yang mahu melintas di hadapannya, maka hendaklah dia mendorongnya dan jika dia memaksa maka perangilah (cegahlah dengan keras). Sesungguhnya (perbuatannya) itu adalah (atas dorongan) syaitan.”

[H.R. Bukhari dan Muslim]

“Janganlah kamu solat tanpa menghadap sutrah dan janganlah engkau membiarkan seseorang lewat di hadapan kamu (tanpa engkau cegah). Jika dia terus memaksa lewat di depanmu, bunuhlah dia karena dia ditemani oleh setan.”

[HR. Ibnu Khuzaimah]

“Nabi s.a.w. berdiri solat dekat sutrah (pembatas) yang jarak antara beliau dengan pembatas di depannya 3 hasta.”

[HR. Bukhari dan Ahmad]

15. Membetulkan saf

“Dari Ibnu Abbas , dia berkata: 'Aku pernah menginap di (rumah) mak cikku, Maimunah, tiba-tiba Nabi s.a.w. bangun pada waktu malam mendirikan solat, maka aku pun ikut bangun, lalu aku ikut solat bersama Nabi s.a.w., aku berdiri di samping kiri baginda, lalu baginda menarik kepalaku dan menempatkanku di sebelah kanannya.”

[H.R. Bukhari]

17. Meludah untuk menghilangkan gangguan syaitan

“Wahai Rasulullah, syaitan telah menggangguku ketika aku membaca bacaan dalam solat sehingga bacaanku menjadi kacau.” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: “Itulah syaitan yang bernama Khinzib. Jika kamu merasakan gangguannya, bacalah ta'awwuz dan meludahlah ke sebelah kirimu tiga kali.” Dia berkata: “Saya lakukan hal itu, kemudian Allah menghilangkan keraguan dari diriku.”

[H.R. Muslim]

Rujukan: Jom Solat

09 February 2009

Dr Yusuf Al-Qardhawi: Hukum Pengambilan Upah Dalam Mengajar Al-Quran

Assalamualaikum wbt...

Para ulama berselisih pendapat tentang boleh atau tidak mengambil upah dari mengajar Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat boleh mengambil upah dari mengajarkan Al Quran berdasarkan dalam sahih Bukhari:

“Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”[1]

Para ulama berselisih pendapat tentang boleh atau tidak mengambil upah dari mengajar Al-Quran. Sebahagian ulama berpendapat boleh mengambil upah dari mengajarkan Al Quran berdasarkan dalam sahih Bukhari:

“Yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah mengajar Kitab Allah”[1]



Dan ada yang mengatakan: jika ditentukan jumlahnya, maka tidak boleh. Pendapat ini dipilih oleh Al Halimi. Abu Laits berkata dalam kitab “Al Bustan”[2]

Mengajar dilakukan dengan tiga bentuk: Pertama: dengan tujuan untuk beribadah saja, dan tidak mengambil upah. Kedua: mengajar dengan mengambil upah. Ketiga: mengajar tanpa syarat, dan jika ia diberikan hadiah ia menerimanya.

Yang pertama mendapatkan pahala dari Allah SWT, kerena itu adalah amal para Nabi a.s.

Kedua diperselisihkan. Sebahagian ulama mengatakan: tidak boleh, dengan dalil sabda Rasulullah SAW:“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” [3].Sementara sebahagian ulama lain berkata: Boleh. Mereka berkata: yang paling utama bagi seorang pengajar adalah tidak menentukan bayaran untuk menghafaz dan mengajar, dan jikapun ia menentukan bayaran itu maka aku harapkan agar tidak dilarang, kerana ia memerlukanya [kemaslahatan].

Sedangkan yang ketiga: dibolehkan oleh seluruh ulama kerana Nabi Saw adalah pengajar manusia, dan beliau menerima hadiah mereka. Dan dengan dalil tentang seseorang yang tersengat haiwan berbisa, kemudian dibacakan surah Al Fatihah oleh sebahagian sahabat, dan orang itu selanjutnya memberikan hadiah beberapa ekor kambing atas perbuatan sahabat itu, dan setelah mengetahui itu Nabi Muhammad Saw bersabda:

“Berikanlah aku bahagian dari hadiah itu “ [4] Tamat.[5]

Dalam hadith lain Rasulullah SAW membolehkan pengajaran itu dijadikan sebagai mas kahwin bagi seorang wanita. Iaitu saat Nabi Muhammad Saw memerintahkan sahabat itu untuk mencari sesuatu yang dapat dijadikan mas kahwin bagi sahabat itu, hingga sebentuk cincin dari besi sekalipun. Kemudian Rasulullah SAW menanyakan surah apa yang ia boleh dibaca. Ia memberitahukan beberapa surah yang ia hafaz. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat itu:

“Pergilah, aku telah sahkan perkawinanmu dengan mas kawin mengajar Al Quran yang engkau hafaz” [6]

Ertinya dengan pengajaran Al Quran yang engkau lakukan kepada wanita itu.

Ini semua adalah dalam masalah pengajaran Al Quran. Sedangkan membacanya tidak boleh menarik upah, kerana hukum asal dalam membacanya adalah ibadah, dan dasar bagi seorang yang beribadah adalah agar ia beribadah bagi dirinya, maka bagaimana mungkin ia kemudian mengambil upah kepada orang lain dari ibadah yang ia lakukan kepada Rabb-nya, sementara ia mengerjakan itu semata untuk mendapatkan pahala dari Allah SWT?!

Abdurrahman bin Syibl meriwayatkan dari Nabi Saw, bahwa beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran, amalkanlah isinya, jangan kalian menjauh darinya, jangan berlaku khianat padanya, jangan makan dengannya, dan jangan mencari kekayaan dengannya” [7]

Imran bin Husain meriwayatkan dari Nabi Muhammad Saw beliau bersabda:

“Bacalah Al Quran dan mintalah kepada Allah SWT dengan Al Quran itu, sebelum datang kelompok manusia yang membaca Al Quran, kemudian meminta [upah] kepada manusia dengan Al Quran”[8]

Sedangkan jika pembaca Al Quran diberikan sesuatu sedeqah, atau pemberian, maka tidak mengapa jika ia menerimanya, insya Allah.

Tamat petikan.

Bagi penulis lebih cenderung dengan pendapat kedua dan ketiga. Ia bukan sahaja boleh merujuk upah mengajar al-Quran tetapi kepada semua pengambilan upah seperti mengajar al-Quran, Ilmu agama, Imam, Muazzin dan sebagainya. Ini berdasarkan apa yang difatwakan oleh “Majma’ al-Fiqh al-Islami ” [9] iaitu:

Jika tidak mengambil upah, nescaya meraka tidak akan mempunyai sumber untuk menyara kehidupan mereka. Jika perkara itu berlaku, agama Islam akan semakin dilupakan. Oleh itu, untuk menjaga kesinambunagn agama Islam, para ulama Mazhab Hanafi telah membenarkan golongan ini mengambil upah. Para ulamak dari pada pelbagai mazhab juga telah mengambil pendapat ini demi menjaga kemaslahatan agama.

Ustaz Maszlee Malik mengatakan ulamak yang mengharamkan perbuatan itu kerana ia termasuk dalam amal ibadah dan tidak boleh diberikan upah. Pendapat ini disokong oleh polisi negara islam terdahulu yang menyara para pengajar al-Quran, fardu ‘ain, fardu kifayah, imam, muazzin dan sebagainya. Namun begitu, pendapat ini tidak lagi relevan apabila negara-negara Islam moden sudah tidak lagi menanggung mereka. [10]

Wallahua'lam

Rujukan: Fakruddin

06 February 2009

Sunnah Dan Kesilapan Di Hari Jumaat

Assalamualaikum wbt...

Sabda Nabi SAW: “Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )


Sunnah-Sunnah Di Hari Jumaat

1)-Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW berkata: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Shahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)

2)-Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Shahih, Abu Dawud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)

3)-Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Shahih, Abu Dawud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

4)-Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Shahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

5)-Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Shahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)


Kesilapan-Kesilapan Di Hari Jumaat.

1)-Datang lewat ke masjid. Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756, dinilai Hasan oleh al-Albani)

2)-Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Kata Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Shahih, Abu Dawud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr dan al-Albani)

3)-Tidak memenuhkan saf hadapan. Kata Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Shahih, Muslim:439)

4)-Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Shahih, Muslim:857)

5)-Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba ketika imam berkhutbah. Kata Nabi SAW: “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Shahih, Muslim:875)

6)-Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

7)-Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Shahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

8)- Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509, dishahihkan oleh al-Albani)

Rujukan: the-authenthic

Tidak Boleh Ingkar Masalah Khilaf?

Assalamualaikum wbt...

“Tidak boleh ingkar masalah khilaf”. Inilah ungkapan yang kadangkala membantut sesuatu perbincangan atau penilaian terhadap kesahihan sesuatu pendapat atau amalan. Kata-kata ini kerap dijadikan benteng untuk mempertahankan satu-satu pendapat sekalipun pendapat itu tidak muktabar dalam syariat.

Ungkapan “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” sangat masyhur, sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai satu kaedah dalam feqah dan memasukkannya dalam karangan-karangan tentang qawaed feqah. Tetapi sebahagian kita memahaminya dengan cara yang silap. Kononnya asalkan ia dikira sebagai satu pendapat, maka automatik permasalahan tersebut dilabelkan sebagai permasalahan khilaf yang tidak boleh diingkari.

Kesilapfahaman terhadap kaedah ini berpunca daripada kekaburan antara masalah khilaf yang harus diperselisihkan dan masalah khilaf yang tidak harus diperselisihkan. Atau dengan kata lain, perbezaan antara khilaf yang muktabar dan khilaf yang tidak muktabar.

Al-Imam Al-Izz Ibn Abd Al-Salam memperincikan perbezaan antara dua jenis khilaf ini. Beliau menyebut:

“Orang yang mengambil pendapat yang diperselisihkan, terdapat dua situasi.

Pertama: Masalah khilaf itu ialah masalah yang mesti dibatalkan hukumnya. Dalam permasalahan ini tidak ada jalan untuk bertaqlid padanya disebabkan ia adalah satu kesilapan semata-mata…

Kedua: Masalah khilaf itu ialah masalah yang tidak dibatalkan hukumnya. Maka tidak salah melakukannya atau meninggalkannya, jika seseorang itu bertaqlid dengan sebahagian ulama.” (Al-Qawaed Al-Kubra 2/371).

Daripada kenyataan Al-Imam Al-Izz, kita mendapati ada pembahagian masalah khilaf kepada khilaf yang tidak harus, dan khilaf yang harus. Jadi, sebelum mengingkari sesuatu masalah atau melarang orang lain mengingkari sesuatu masalah, kita terlebih dahulu mesti dapat membezakan antara dua jenis khilaf ini. Kemudian, perlu mengkaji pula adakah sesuatu masalah itu termasuk dalam jenis yang pertama atau kedua. Selepas itu barulah boleh diaplikasikan kaedah ‘Tidak Boleh Diingkari Masalah Khilaf” secara betul.

Khilaf Yang Tidak Muktabar

Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan.

Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah:

“Aku (Al-Syafie) berkata: Khilaf terdapat dua jenis. Pertama: Khilaf yang haram. Dan aku tidak mengatakannya (haram) dalam jenis yang satu lagi”.

Imam Syafie juga memperincikan apakah maksud khilaf yang haram, dengan kata-katanya:

“Setiap perkara yang telah Allah dirikan hujah dengannya di dalam kitabNya, atau di atas lidah NabiNya secara nas yang jelas, maka tidak halal berselisih pendapat padanya bagi orang yang mengetahuinya”. (Al-Risalah: 1/560).

Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah. Jadi, kaedah “Tidak boleh ingkar masalah khilaf” tidak meliputi jenis khilaf ini.

Khilaf Yang Muktabar

Setelah kita mengenali khilaf yang tidak muktabar, kita dapat mengenali khilaf yang muktabar. Iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Merujuk kepada jenis khilaf ini, Sufyan Al-Tsaury berkata, “Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Ibn Taimiyyah berkata, “Dalam masalah-masalah ijtihadiyyah, sesiapa beramal dengan pendapat sebahagian ulama, tidak boleh diingkari”. (Majmuk Fatawa 20/207).

Jadi, kita boleh simpulkan bahawa bukan semua permasalahan khilaf tidak boleh diingkari. Ada masalah khilaf yang boleh malahan mesti diingkari, dan ada masalah khilaf yang tidak boleh diingkari, iaitu masalah-masalah ijtihadiyyah.

Di samping itu, mengingkari masalah-masalah khilaf yang tidak muktabar bukan bermaksud mencerca dan mencaci pendapat dhaif tersebut. Bukan juga dengan cara merendah-rendahkan martabat ulama yang mengeluarkan pendapat tersebut. Tindakan seperti ini bukan disiplin yang diajar oleh agama dalam mengingkari sesuatu yang salah.

Maksud mengingkari pendapat yang tidak muktabar ialah menerangkan kedhaifan dan keganjilan pendapat tersebut, disamping menyatakan pendapat yang sahih beserta hujah-hujahnya. Dan ia mestilah dilakukan secara beradab dan ilmiyyah.

Wallahu A’lam.

Rujukan: Abu Umair

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More