Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

19 September 2011

Adakah Syiah Sebahagian Daripada Islam?




- Gambar Hiasan -

Sesungguhnya dakwaan bahawa Syiah adalah sebahagian daripada Islam merupakan dakwaan yang menyanggahi prinsip ahlus sunnah. Syiah bukan sebahagian daripada Islam tetapi Syiah adalah sebuah ajaran agama yang sesat yang terkeluar daripada Islam. Syiah bukan sebuah mazhab fiqh tetapi sebuah agama yang menyesatkan.

Masalah Syiah bukan masalah ianya isu furuq di dalam fiqh tetapi ianya melibatkan isu usul di dalam aqidah. Di dalam majoriti mazhab fiqh, keempat-empat mazhab fiqh iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali sepakat terhadap masalah aqidah. Di dalam masalah Syiah, kesemuanya mengatakan bahawa Syiah terkeluar daripada Islam atas prinsip-prinsipnya tidak menepati prinsip Islam.

Di bawah ini merupakan perbezaan prinsip-prinsip di antara Islam dan Syiah yang dinukil daripada Risalah Syiah yang diterbitkan oleh pihak Darul Kautsar. Jika dilihat, sesungguhnya amat ketara perbezaan di antara Islam dan Syiah. Apakah kita masih sanggup menerima Syiah sebahagian daripada Islam? Fikir-fikirkanlah wahai golongan yang mempunyai akal fikiran.

ANTARA AKIDAH SYI’AH YANG MENYELEWENG DAN BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM

1) Penyelewengan al-Quran (Tahrif al-Quran)

AGAMA SYI‘AH- Penyelewengan Al-Quran. Golongan Syi’ah terutamanya ulama-ulama yang menjadi paksi kepada agama mereka beri’tiqad bahawa al-Quran yang dihimpunkan oleh sahabat-sahabat r.a. dan berada di tangan umat Islam sekarang telah diselewengkan dan ditokok tambah. Antaranya Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi mengatakan: 

“Bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal. 30). 

Pegangan tersebut adalah berdasarkan kepada lebih daripada dua ribu riwayat sahih daripada imam-imam maksum di sisi mereka yang jelas menunjukkan berlakunya tahrif (penyelewengan) di dalam al-Quran.

AGAMA ISLAM- Ulama-ulama Islam sepakat kepercayaan bahawa al-Quran telah diselewengkan adakan satu kekufuran. Ibnu Qudamah berkata: 

“Tiada khilaf di kalangan orang-orang Islam pendapat tentang kufurnya orang yang mengingkari al-Quran sama ada satu surah atau satu ayat atau satu kalimah yang disepakati bahawa ia adalah al- Quran.” (Lam’ah al-I’tiqad Bab Al-Quran Adalah Kalam Allah jil. 1 hal. 17).

2) Kepercayaan Imam 12 & Kemaksuman Imam 12

AGAMA SYI‘AH- Kepercayaan Bahawa Imam 12 Dilantik Dari Pihak Allah, Mempunyai Sifat-Sifat Kenabian Bahkan Imam Dianggap Lebih Tinggi Daripada Nabi. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan: 

“Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai.” (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91) Khomeini berkata lagi: "Sesungguhnya imam itu mempunyai kedudukan yang terpuji yang tidak sampai kepadanya malaikat yang hampir kepada Allah dan nabi lagi rasul". (Al- Hukumah al-Islamiah – hal 52)

AGAMA ISLAM- Maksum adalah sifat khusus para nabi dan rasul. Memberikan sifat tersebut kepada orang lain selain dari mereka bermakna menafikan ‘akidah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyudah sekalian nabi-nabi. Allah berfirman: 

“Nabi Muhammad itu bukan bapa bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup Nabi-nabi.” (Al-Ahzab 40)

3) al-Bada'

AGAMA SYI‘AH- Al-Bada.’ Dari segi bahasa al-Bada' bermaksud nyata sesuatu yang sebelumnya tersembunyi. Menurut akidah Syi‘ah, al-Bada' ialah ilmu Allah berubah-ubah berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Dalam kata lain, Allah mengetahui sesuatu perkara hanya selepas berlakunya perkara tersebut. Ini bermaksud Allah jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. An-Naubakhti menyebutkan bahawa Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya (sebagaimana ketentuan Allah kerana Syi’ah mengatakan imam-imam dilantik dari pihak Allah) dan beliau telah mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata:

“Tidak pernah berlaku kepada Allah (al-Bada’) berhubung dengan sesuatu seperti mana berlaku kepadanya berhubung dengan Ismail anakku.” (Firaq as-Syiah hal. 84).

AGAMA ISLAM- Ilmu Allah sejak azali adalah meliputi segala sesuatu dan tidak berlaku sebarang perubahan kepadanya mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia. Allah menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran al- Karim:

"Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan tidak jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”(Al-Mukmin 19). 
“Dan sesungguhnya Allah ilmunya meliputi segala sesuatu”.(Al-Talaq 12).

4) Kepercayaan Taqiyyah (Berpura-pura)

AGAMA SYI‘AH- Taqiyyah (berpura-pura). Taqiyyah merupakan konsep atau ciri penting yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi‘ah . Taqiyyah pada hakikatnya adalah “berdusta dan berbohong”. Riwayat-riwayat tentang pentingnya taqiyyah di sisi Syi’ah banyak terdapat di dalam kitab-kitab utama mereka. Antaranya apa yang dikemukakan oleh al- Kulaini:

Abu Umar al-A'jami katanya Ja’far as-Sadiq a.s. berkata kepadaku "Wahai Abu Umar, Sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf (al-Usul Min al-Kafi, jil. 2 hal. 217).”

Di antara hakikat taqiyyah ialah apa yang disebutkan oleh Imam Jaa’far As-Sadiq a.s. kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis):

“Wahai Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menyebarkannya akan dihina oleh Allah.” (Al-Kafi jil. 2, hal. 222)

AGAMA ISLAM- Jujur dan amanah adalah merupakan ciri penting di dalam Islam sehingga ia menjadi salah satu syarat kesempurnaan iman. Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Tidak beriman orang yang tidak mempunyai sifat amanah.” (Riwayat Imam Ahmad).

Kerana itu ulama Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh Syi‘ah kerana mereka mengamalkan pembohongan. Sehubungan dengan itu Imam Syafie berkata:

“Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syi‘ah .” (Al-Kifayah, hal. 49, as- Suyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)

5) Para Sahabat dikafirkan

AGAMA SYI‘AH- Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah s.a.w. Akidah ini merupakan salah satu ciri yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi’ah dan memisahkannya bermakna meruntuhkan ajaran Syi’ah itu sendiri. Al-Majlisi mengemukakan satu riwayat berbunyi:

"Kebanyakan sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq tersembunyi di zaman nabi. Tetapi apabila wafat Nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq itu melalui wasiat Nabi s.a.w. dan mereka itu kembali murtad”. (Bihar al-Anwar jil. 27, hal 64).

Al-Kulaini meriwayatkan dari Muhammad al-Baqir a.s. katanya: 

“Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah s.a.w kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi, jil. 8 hal 245)

AGAMA ISLAM- Keadilan dan kedudukan sahabat yang tinggi adalah jelas berdasarkan al-Quran. Antaranya: 

“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”.(at-Taubah 100).

Mengingkari yang sahabat adalah adil bererti mengingkari al-Quran.

6) Nikah Mut'ah

AGAMA SYI‘AH- Menghalalkan Nikah Mut'ah. Nikah Mut’ah adalah sebenarnya perzinaan di atas nama Islam. Nikah Mut’ah ialah satu bentuk perkahwinan kontrak tanpa wali dan saksi, untuk suatu tempoh waktu tertentu dengan sedikit maskahwin sahaja dengan tiada sebarang tanggungjawab, nafkah, pusaka dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perkahwinan biasa. (al-Kafi jilid 5, ms 286), Perkahwinan ini semata-mata berlandaskan nafsu dan untuk berseronok. Boleh dikahwini sehingga seribu wanita (Wasaailu As Syiah jil. 14 hal. 480). Diriwayatkan daripada Muhammad Al-Baqir berkenaan mut'ah katanya:

“Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan yang disewakan.” (al-Kafi jilid 5, ms 284).

Tidak menganggap halal mut’ah seolah-olah tidak beriman. Diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir katanya:

“Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mempercayai raj’ah (kebangkitan) dan tidak menganggap halal mut’ah kita”. (Man La Yahduruhu al- Faqih jil.3 hal 458)

AGAMA ISLAM- Nikah Mut'ah yang diamalkan oleh Syi’ah tiada bezanya dengan perzinaan dan pelacuran di samping merendahkan martabat wanita serendah-rendahnya. Kerana itu ia telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadits-hadits sahih sebelum Baginda wafat melalui beberapa orang sahabat dan salah seorangnya adalah Saidina Ali sendiri seperti katanya:

"Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung." (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasa’i)



Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
19 September 2011/21 Syawal 1432H

18 September 2011

Apabila Mahar Tidak Mengikuti Sunnah...

[ULASAN] Mahar Ikut Sunnah, Majlis Ikut Nafsu

Salam,

1- Ramai orang cuba untuk mengikut sunnah dalam persoalan mahar, tetapi mereka tersilap dalam memahami sunnah Nabi.


- Gambar Hiasan -

2- Kata Nabi:
خير الصداق أيسره
«Sebaik-baik mahar ialah yang paling mudah» [Al-Mustadrak/ 2742, disahihkan oleh Al-Hakim dan dipersetujuï oleh Az-Zahabiy. Disahihkan oleh Al-Albaniy]

3- Hadis ini menjadi hujah mereka bahawa mahar hendaklah direndahkan, agar perkahwinan tersebut menjadi perkahwinan yang menurut sunnah.

4- Namun, mereka terlepas pandang suatu hadis yang hampir sama bunyinya:
خير النكاح أيسره
«Sebaik-baik perkahwinan ialah yang paling mudah» [Abi Dawud/ 2117, disahihkan oleh Al-Albaniy]

5- Adakah menjadi sunnah Muhammad apabila pihak lelaki merendahkan mahar menjadi serendah-rendahnya, tetapi menghabiskan beribu-ribu untuk perbelanjaan perkahwinan yang lain? Tidak!

6- Mahar yang rendah, ialah apabila seseorang bapa ingin mengahwinkan anak perempuannya dengan seseorang lelaki, tetapi lelaki itu ialah seorang yang tidak mampu.

7- Justeru, kerana lelaki itu baik agamanya, baik juga akhlaqnya, maka bapa itu merendahkan maharnya – menjadi serendah-rendahnya – sehingga mampu dibayar oleh lelaki itu.

8- Inilah yang menjadi sunnah dalam merendahkan mahar!

9- Justeru, perkahwinan tersebut akan menjadi suatu perkahwinan yang sangat mudah, cepat dan ringkas.

10- Perkahwinan – dengan merendahkan mahar – itu, ialah perkahwinan yang tiada kos lain, berbeza dengan perkahwinan pada hari ini yang terlalu jauh daripada sunnah Muhammad!

11- Ini kerana, perkahwinan – dengan merendahkan mahar – itu, tiada majlis pertunangan, tiada hantaran pertunangan, tiada pakaian pengantin, tiada pakaian sedondon keluarga pengantin, tiada hantaran perkahwinan, tiada kad jemputan perkahwinan, tiada kos katering atau kenduri kahwin, tiada kos sewa khemah atau kerusi meja, tiada kos fotografi, tiada kos audio-video perkahwinan, tiada kos lain langsung!

12- Bagi lelaki yang mampu pula, mereka hendaklah membayar mahar yang lebih tinggi, dan merendahkan kos perkahwinan yang lain.

13- Tidakkah mereka membaca kalam Allah:
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً
«Dan berikanlah wanita-wanita itu mahar mereka sebagai hadiah» [An-Nisa’: 4]

14- Berapa ramai orang telah menzalimi wanita, apabila mereka merendahkan bayaran mahar untuk mereka, tetapi mereka meninggikan segala kos lain perkahwinan!

15- Berapa ramai orang telah menzalimi pemuda yang ingin berkahwin, apabila mereka mengenakan pelbagai kos yang tiada dalam agama!

16- Berapa ramai lelaki yang teraniaya, apabila mereka terpaksa berhutang semata-mata untuk berkahwin!

17- Berapa ramai ibu bapa yang menjadi papa, apabila inginkan kemeriahan perkahwinan anak mereka!

18- Wahai jiwa yang cintakan sunnah rasul, semaklah perkahwinan anda – atau anak-anak anda – adakah ia menepati sunnah!

19- Wahai lelaki yang ingin berkahwin, hapuskanlah segala kos lain dalam perkahwinan itu, dan tinggikanlah mahar untuk wanita sebagai gantinya.

20- Wahai bapa kepada wanita, jika anda berjumpa lelaki yang tidak mampu untuk berkahwin, sedangkan agamanya baik dan akhlaqnya baik, maka kahwinkanlah anak perempuan anda dengannya, dengan mahar yang rendah – yang mampu dibayar oleh lelaki itu – tanpa sebarang kos lain untuk perkahwinan.

21- Tidakkah anda membaca kata-kata Nabi ini?
إن خير دينكم أيسره، إن خير دينكم أيسره
«Sesungguhnya sebaik-baik agama kamu ialah yang paling mudah, sesungguhnya sebaik-baik agama kamu ialah yang paling mudah» [Ahmad/ 15978, dihasankan oleh Al-Arna’ut. Al-Albaniy menghasankannya dalam Sahih Al-Adabu l-Mufrad]

22- Maka pilihlah as-sunnah as-sahihah, atau nafsu anda!


WaLlahu a`lam.

Ditulis oleh Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
18/09/2011 00:57H

15 September 2011

Merdeka: Antara Penghayatan dan Acara Tahunan


Bersempena dengan Hari Kemerdekaan, satu arikel lama oleh Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengenai kemerdekaan yang bagi saya ianya cukup bagus untuk diamati oleh seluruh lapisan masyarakat khasnya anak-anak muda bagi menjiwai diri apakah erti kemerdekaan yang sebenar kepada diri kita.

Di bawah adalah artikel beliau dan semoga pengunjung blog Tajdid Dakwah beroleh manfaat.
KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk.


- Gambar Hiasan -

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar.

Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka.

Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya): 

Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar. Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: 

“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang? Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. 

1) Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; 

I- al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek.
II- Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz.
III- Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan.
IV- Demikian pengarang Sunan al-Nasai, Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan.
V- Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain.
VI- Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab.

Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab.

2) Dalam politik

I- Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa: 

“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: 

“Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh.
Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya. Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil. Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?

Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sumber: drmaza.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More