Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Showing posts with label Fakta Dan Auta. Show all posts
Showing posts with label Fakta Dan Auta. Show all posts

13 August 2011

Isu Larangan Bacaan al-Quran Menggunakan Pembesar Suara Di Dalam Masjid Oleh Kerajaan Pulau Pinang


(JHEAIPP) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Adalah dengan ini saya menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu ini. Di bawah merupakan video kenyataan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara.


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa bacaan Al-Quran dengan pembesar suara daripada masjid atau surau adalah dilarang menurut hukum syara'.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 7 April 2011 mengenai hukum tersebut. Namun, KN berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa. "Saya ingin menekankan bahawa pihak KN tiada kaitan dengan keputusan ini dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Mufti Pulau Pinang. Saya juga menasihatkan agar jangan mempolitikkan isu ini kerana arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa, bukannya KN seperti yang diuar-uarkan," ujar EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Y.B. Tuan Abdul Malik Abul Kassim semasa sesi sidang media yang diadakan di KOMTAR, hari ini. Beliau juga memaklumkan pihak KN sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri ini. Pihak media juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya dengan membuat andaian sendiri kerana isu ini berkaitan Agama Islam - Buletin Mutiara
Amat wajar tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kerana yang disarankan digunakan hanyalah azan bukan bacaan al-Quran. Bahkan tiada di dalam sunnah. Ini dibuktikan lagi dengan terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w mengenai larangan Nabi s.a.w. terhadap mengangkat suara terhadap bacaan al-Quran. Hadis Nabi s.a.w. ini perawinya adalah Abu Sa’id al-Khudri. Katanya:
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin sudah beberapa kali mengulas isu ini. Dan alhamdulillah, ini merupakan satu tindakan yang positif kerana perkara ini tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat. Bahkan terdapat larangannya. Berikut merupakan video beliau dalam mengulas isu ini.


Saya juga pernah menulis artikel sebagai respon terhadap orang ramai yang mengatakan bahawa memperdengarkan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara bukan isu besar dan ianya merupakan perkara yang baik. Sebenarnya, ianya bukan baik bahkan boleh menyusahkan orang ramai. Boleh rujuk artikel saya Bacaan al-Quran Di Dalam Masjid Boleh Mengganggu Jamaah?


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
13 Ogos 2011/13 Ramadhan 1432H

23 April 2011

Bacaan al-Quran Di Dalam Masjid Boleh Mengganggu Jamaah?

Membaca al-Quran tidak salah. Malah ianya mendapat pahala yang besar ganjarannya. Nabi s.a.w. bersabda:
Siapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan akan dilipatkan gandakan sepuluh, saya tidak mengatakan (آلـم) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam membaca al-Quran ada etika dan peraturannya. Dan di antara larangannya adalah membaca al-Quran dengan kadar intonasi yang agak kuat sehingga mengganggu para jamaah. Bahkan boleh juga mengganggu orang lain yang berada di luar masjid. Sama ada orang yang membacanya untuk menperdengarkan suaranya atau kaset rakaman bacaan Qari untuk dipasangkan.


- Gambar Hiasan -

Persoalan yang timbul adalah kenapa perkara ini boleh mengganggu jamaah di dalam masjid atau orang lain yang berada di luar masjid. Jika jamaah di dalam masjid, mereka akan hilang fokus dan khusyuk mereka ketika sedang menunaikan ibadah. Jika orang lain yang berada di luar masjid, aktiviti harian mereka boleh hilang fokus disebabkan suara yang agak kuat dan bising.

Oleh sebab itu, Nabi s.a.w pernah melarang orang yang menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Ini dibuktikan di dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Menurut kata-kata daripada Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h dalam mengulas hadis ini, beliau berkata:
Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Maka, perbuatan yang dilakukan oleh kebanyakan masjid di Malaysia perlu disemak semula.

Perbuatan ini juga sebenarnya merupakan salah satu daripada talbis iblis (tipu daya iblis). Dan ianya telah menyebabkan dua perkara yang tidak baik berlaku iaitu:

1) Mencampur aduk di antara azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.
2) Amalan ini tidak pernah wujud dalam urusan ibadah yang mengikuti sunnah.

Oleh kerana itu Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
23 April 2011/ 19 Jamadil Awal 1432H

21 February 2010

Maulid Nabi dalam Perspektif Sejarah

Oleh Prof K.H. Ali Mustafa Yaqub, M.a (Sedutan bukunya: Islam masakini)


Dalam pengajian-pengajian maulid, para muballigh di surau-surau sering mengumandangkan ucapan-ucapan yang diklaim sebagai sabda Nabi saw. Ucapan-ucapan itu adalah,

"Barangsiapa mengagungkan hari kelahiranku, maka kelak ia akan tinggal di surga bersamaku,"

atau 'hadis' lain seperti,

"Barang­siapa mendermakan satu dirham untuk merayakan hari kelahiranku maka tak ubahnya ia mendermakan emas sebesar Gunung Uhud,"

dan lain sebagainya.

'Hadis-hadis' ini dalam kitab-kitab koleksi Hadis yang muktabar (kitab-kitab yang secara ilmiyah dapat dijadikan standar rujukan Hadis) tidak pernah didapati. Apa­kah gerangan para penulis Hadis lupa sehingga tidak mencantumkan 'hadis-hadis' itu dalam kitab-kitab mereka, atau memang 'hadis-hadis' itu tidak pernah ada karena memang Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah bersabda seperti itu?

Seandainya 'hadis-hadis' itu pernah ada karena Nabi Muhammad saw. pernah bersabda demikian, sedangkan para penulis Hadis lupa sehingga tidak mencantumkannya di dalam kitab-kitab mereka, maka paling tidak ada catatan yang me­nunjukkan bahwa para Sahabat Nabi saw., para Tabi'in, dan para Ulama Salaf (Klasik) pernah mengamalkan maksud 'hadis-hadis' tersebut.

Namun ternyata catatan seperti itu juga tidak ada. Bahkan sampai awal abad ke- 7 hijri belum ada catatan yang menunjukkan adanya ulama atau tokoh sejarah yang mengamalkan maksud 'hadis-hadis' tersebut.

Atau dengan kata lain, sampai awal abad ke-7 hijri belum ada seorang pun yang mengamalkan maksud 'hadis-hadis' tersebut, karena memang 'hadis-hadis' tersebut tidak pernah ada dalam sejarah.

Apabila pada masa belakangan 'hadis-hadis' tersebut beredar di kalangan masyarakat, maka dapat dipastikan bahwa hal itu merupakan bikinan orang-orang belakangan, sehingga menurut disiplin Ilmu Hadis, 'hadis-hadis' maulid tersebut disebut sebagai hadis palsu atau hadis maudhu', karena Nabi Muhammad saw., tidak pernah bersabda demikian.

Al-Malik al-Mudhaffar

Syekh Ali Tantawi (w. 1421 H) dalam kitabnya Rijal min al-Tarikh (Tokoh-tokoh Sejarah) menyebutkan bahwa orang yang pertama kali menyelenggarakan perayaan Maulid Nabi saw., adalah al-Malik al-Mudhaffar.

Ia adalah salah seorang panglima perang pada masa pemerintahan Sultan Shalahuddin al-­Ayyubi. Gelar al-Malik yang disandangnya tidak menunjukkan bahwa ia seorang kepala negara, sebab kepala daerah pada masa itu juga disebut al-malik.

Al-Malik al-Mudhaffar di samping dikenal sebagai panglima perang yang gagah berani juga dikenal sebagai pemimpin yang adil dan dermawan.

Sampai al-Qadhi Ibnu Khallikan yang hidup semasa dengannya merasa kagum dengan sifat keder­mawanannya itu. Hal itu karena al-Malik al-Mudhaffar tidak hanya membantu orang-orang miskin, mendirikan rumah sakit-rumah sakit dan penginapan-penginapan gratis, melainkan ia tercatat sebagai orang pertama yang menyediakan air yang berlimpah-ruah pada malam Wukuf di Arafah, padahal pada malam itu semua orang yang sedang menunaikan ibadah haji kesulitan memperoleh air.

Festival Maulid

Sejarawan terkemuka al-Qadhi Ibnu Khallikan menuturkan bahwa perayaan maulid yang diadakan oleh al-Malik al­Mudhaffar pada saat itu bukanlah merupakan acara keagamaan seperti layaknya sebuah majelis ta'lim, atau pengajian dan sebagainya. Tetapi lebih tepat disebut sebagai pasar malam, pesta maulid, atau festival maulid.

Kota Irbil di Irak pada saat itu pe­nuh dibanjiri manusia. Mereka datang dari berbagai penjuru kota dan daerah-daerah sekitarnya seraya membawa barang-­barang dagangan dan hasil kerajinannya. Tenda-tenda juga dipasang di sana-sini, dihiasi bendera umbul-umbul dan lam­pu-lampu berwarna-warni. Perayaan ini dimulai pada bulan Shafar. Dan sejak saat itu sekolah-sekolah diliburkan. Para artis baik penyanyi, pemain drama dan lain-lain juga tidak ketinggalan setiap malam ikut ambil bagian untuk menam­pilkan kebolehannya. Sementara al-Malik al-Mudhaffar tiap malam berkeliling ke arena-arena pertunjukan sambil mem­bagi-bagikan hadiah.

Puncak acara perayaan maulid itu diadakan pada tanggal delapan atau dua belas Rabiulawal. Pertama kali, ribuan binatang ternak, terdiri dari domba, sapi dan onta diarak keliling arena, diiringi bunyi-bunyian genderang, rebana, terompet dan sebagainya, marching band, kalau zaman sekarang.

Sementara orang-orang mengikutinya dari belakang sambil mengibarkan bendera-bendera warna-warni. Sebagian ada yang meniup seruling. Ribuan binatang ternak itu selanjutnya disembelih untuk konsumsi 'perayaan maulid'.

Sesudah sembahyang Isya, al-Malik al-Mudhaffar keluar dari Istana dengan membawa lilin besar. Kemudian diikuti oleh orang-orang banyak, dan semuanya membawa obor. Mereka berjalan berarak-arakan menuju tempat yang biasa dipakai berkhalwat oleh orang-orang sufi.

Esok harinya, al-Malik al-Mudhaffar duduk di panggung kehormatan yang berada di pinggir alun-alun, bersama para pejabat pemerintahan lainnya. Acara perayaan dimulai dengan parade militer. Lalu disusul oleh jamaah orang-orang sufi dan para penyair. Kemudian disusul oleh rombongan pelajar. Dan yang paling belakang adalah rakyat biasa.

Setelah semuanya berkumpul di alun-alun, para ahli pidato tampil satu persatu untuk menunjukkan kebolehannya dalam berpidato. Setelah mereka selesai, kini para penyair satu-persatu membacakan puisi. Sementara al-Malik al-Mudhaffar sudah menyiapkan hadiah-hadiah menarik untuk mereka. Sesudah penampilan­-penampilan itu selesai, acara ditutup dengan makan bersama.

Untuk mengabadikan peristiwa itu, al-Hafidh Ibnu Dihyah menulis buku tentang perayaan maulid, dan buku itu me­rupakan buku yang pertama kali membahas perayaan maulid. Dan itulah tadi peringatan atau perayaan Maulid Nabi yang diadakan pertama kali dalam sejarah. Sedang si empunya ambisi, al-Malik al-Mudhaffar tadi, wafat pada malam Rabu, 18 Ramadhan 630 H.

Kontroversial

Sampai saat ini para ulama masih berbeda pendapat tentang hukum merayakan maulid Nabi saw. Mufti Besar Kerajaan Saudi Arabia, Syeikh Abdul Aziz bin Baz (w. 1421 H) berpen­dapat bahwa mengadakan perayaan maulid Nabi saw., itu tidak pernah dicontohkan oleh Nabi saw., maupun para Sahabat beliau, begitu pula para Tabi'in dan para Ulama Salaf. Mem­peringati hari kelahiran Nabi saw., termasuk perbuatan mengada-ada dalam agama, atau menurut istilah yang populer adalah bid'ah. Karena itu hukumnya juga haram.

Sementara ulama lain seperti Syekh Ali Tantawi yang disebut di muka tadi itu, dan juga menjadi pengasuh acara Nur wa Hidayah dalam Televisi Saudi Arabia, begitu pula Syekh Dr. Ahmad al-Syurbashi dalam kitabnya Yas'alunaka fi al-Din wa al-Hayah berpendapat bahwa peringatan Maulid Nabi saw., itu perlu dilihat isinya. Apabila peringatan itu diisi dengan pengajian agama, penerangan tentang sejarah kehidupan Nabi saw., agar ditiru oleh umatnya, maka hal itu perlu dikerjakan. Sebab acara seperti itu pada hakikatnya adalah pekerjaan ma'ruf yang perlu dilakukan setiap saat.

Namun apabila peringatan Maulid Nabi saw., itu diisi dengan acara-acara mak­siat, pemborosan, kemungkaran dan lain sebagainya, maka ­kedua tokoh tadi sependapat bahwa hal itu hukumnya tidak boleh atau haram.

Namun yang perlu dicatat di sini bahwa dalam hal peringatan maulid Nabi saw., itu dibolehkan, para ulama tidak berbeda pendapat bahwa penggunaan 'hadis-hadis maulid' seperti yang disebutkan di depan itu hukumnya tidak boleh. Sebab menggunakan, menyebutkan atau menyampaikan 'hadis-hadis' tersebut berarti menisbahkan ucapan-ucapan kepada Nabi Muhammad saw, sementara beliau tidak pernah bersabda seperti itu. Perbuatan seperti inilah yang antara lain diancam oleh Nabi saw sendiri dalam sabdanya,

Barangsiapa dengan sengaja mendustakan saya, maka hendaknya ia siap-siap duduk di atas bara api neraka.

Sumber: Al-Ahkam.net

18 December 2009

Membendung Kesalahan Fakta Terhadap Tahun Hijrah

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Apabila tiba 1 Muharram dalam takwim Islam pasti akan menyebut Awal Muharram ini sebagai tahun baru Islam dan juga Maal Hijrah. Malah ada juga yang mengaitkan 1 Muharram ini dengan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah. Namun apabila diteliti melalui sudut fakta sejarah, kelihatan kebiasaan sambutan Maal Hijrah oleh masyarakat jauh tersasar. Kesalahan dari segi fakta sirah di sini adalah ditetapkan bahawa 1 Muharram adalah berlakunya peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah.

Sebenarnya, di sini terdapat satu kesalahan fakta sirah yang harus diperbetulkan agar masyarakat kita mengambil kira sikap mencari kesahihan fakta demi menjaga ketulenan sesebuah kisah. Mengikut kitab-kitab sirah terdahulu, tidak ada kitab yang meriwayatkan bahawa 1 Muharram adalah penghijrahan Nabi Muhammad saw. Tetapi fakta yang sebenarnya adalah pada bulan Rabiulawal. Menurut sebuah kitab sirah yang terkenal iaitu al-Rahiq al-Mahktum, penulisnya adalah Syeikh Shafiurrahman Al-Mubarakfuri.



Permulaan Nabi Muhammad saw Berhijrah
Sebaik sahaja api kemarahan dan usaha membunuh Rasulullah reda, rondaan dan sekatan pemeriksaan dihentikan, setelah tiga hari berturut-turut, maka Rasulullah dan sahabatnya bersiap untuk keluar dan bergerak ke Madinah. Mereka berdua telah pun mengupah Abdullah bin Uraiqat, beliau adalah seorang yang tenang dan mahir mengenai jalan di padang pasir, beliau masih lagi dengan agama Quraisy, namun baginda mempercayai dalam hal ini, Rasulullah dan sahabatnya itu telah menyerah kedua-dua binatang tunggangan mereka kepada Abdullah, dengan menjanjikannya untuk menemui mereka di pintu gua, selepas tiga malam berlalu di malam Isnin satu haribulan Rabiul al-Awal, tahun pertama Hijriah bersamaan 16 September 622 Masihi, Abdullah bin Uraiqat pun tiba ke pintu gua dengan membawa dua tunggangan, kata Abu Bakr kepada Rasulullah, "Dikaulah sebagai ayahku, ambillah salah seekor tunggangan ini". Beliau pun menyerahkan yang terbaik di antara dua ekor itu. Jawab Rasulullah, "Ku ambil Dengan harga".

Asma' binti Abu Bakr pun membawa bekalan perjalanan Rasulullah dan Abu Bakr, beliau terlupa membawa tali pengikat untuk diikat bekalan tadi pada kenderaan baginda, akhirnya beliau mengoyak kain pengikat pinggangnya, sebelah diikatkan bekalan makanan yang sebelah lagi diikat semula ke pinggangnya, dengan itu beliau dikenali dengan "Zat al-Nitaqain " yang empunya dua tali pinggang.
Ketibaan Nabi Muhammad saw di Quba'
Bertepatan pada hari Isnin 8 Rabiul al-Awal tahun 14 kebangkitan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah telah sampai ke Quba'.

Kata Urwah bin al-Zubair: Umat Islam di Madinah telah pun mendapat maklumat mengenai penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah, justeru itu, paada setiap pagi mereka keluar beramai-ramai ke tanah lapang al-Hurah, menunggu kedatangan Rasulullah. Mereka pulang ke rumah apabila matahari terik memaksa mereka pulang ke rumah. Di suatu hari, apabila mereka pulang ke rumah masing-masing kerana keletihan menunggu, ditakdirkan seorang Yahudi yang sedang berada di beranda atau menara pagarnya, beliau ternampak Rasulullah bersama-sama para sahabatnya serba putih kelihatan jelas dari jauh, Yahudi tadi tak tertahan untuk meluahkan perasaannya dengan melaung," wahai bangsa Arab, itu dia datuk kamu yang kamu tunggu-tunggu," kaum muslimin pun marah dan segera mereka mencapai senjata.

Ibn al-Qayyum menceritakan," Kedengaran laungan takbir di rumah Banu Amru bin Auf, justeru itu seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan Rasulullah seluruh mereka mengalu-alukan kedatangan Rasulullah dengan sambutan dan aluan sebagai seorang nabi, kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah melingkungi baginda dalam suasana di selubungi ketenagan dan wahyu pun turu kepada Rasulullah".

"...Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain dari itu Jibril serta orang salih dari kalangan orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya"
(al-Tahrim: 4)
Melalui riwayat daripada Syeikh Dr. Mustafa Sibaie, melalui kitabnya Sirah Nabawiyah Durusun wa 'Ibar menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tiba pada 12 Rabiulawal. Ianya sebagaimana yang dibuktikan pada hujah di bawah:
Rasul s.a.w. dan teman Baginda (Abu Bakar) telah sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Baginda sampai ke sana setelah para sahabat lama menanti. Mereka keluar setiap pagi ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari memancar terik pada waktu tengah hari. Apabila mereka melihat Baginda, mereka merasa amat gembira. Kanak-kanak mula mendendangkan nasyid diiringi dengan gendang-gendang:

Bulan purnama telah terbit kepada kami,

dari jalan-jalan bukit ul-Wada.

Wajib ke atas kami untuk bersyukur,

terhadap seruan penyeru kepada Allah.

Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,

Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.
Jelas di sini bahawa penghijrahan Nabi Muhammad saw bukanlah pada 1 Muharram tetapi berlaku pada bulan Rabiulawal iaitu pada 12 haribulan. Segala yang terkandung apa buku fikiran masyarakat pada hari ini amat jelas meleset kerana tersalahnya fakta yang sebenar.

Maka, sewajarnya diubah mengenai penghijrahan Nabi Muhammad saw pada bulan Muharram itu kepada bulan Rabiulawal kerana kesalahan fakta yang terang lagi bersuluh melalui kitab -kitab sirah yang terkenal dan digunapakai melalui pengajian-pengajian sirah.

Adapun mengenai penentuan bulan pertama di dalam takwim Hijrah, Umar Al-Khattab orang yang bertanggungjawab terhadap perkara ini. Beliau menetapkan takwim Hijrah pada zaman pemerintahan beliau dan berpendapat menetapkan bulan Muharram sebagai bulan pertama di dalam Tahun Hijrah adalah kerana bulan Muharram ini istimewa kerana diharamkan peperangan berlaku dan berlakunya ketenangan, kedamaian dan keamanan pada bulan Muharram.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
18 Disember 2009/1 Muharram 1431H

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More