Tentang Blog



Asal-Usul Tajdid Dakwah Dibina

Tajdid Dakwah dibina pada 7 Disember 2008. Ia dibina sebagai medium dalam dakwah pada era globalisasi. Sejajar dengan saranan oleh Dr. Mohd Asri yang menyarankan agar anak-anak muda cenderung dalam menulis blog bagi memberikan sumbangan dalam dakwah kepada isu-isu yang berkaitan dengan persoalan aqidah, ibadah, fiqh dan isu-isu semasa.

Ini juga hasil inisiatif daripada penulis sendiri melihat kepada kecenderungannya untuk memberi sumbangan dan manfaat kepada masyarakat terhadap dunia teknologi maklumat khususnya perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam yang sahih bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Objektif Penulisan

Objektif terbinanya blog ini adalah penulis ingin membawa 'tajdid' dalam dakwah. Tajdid ini bermaksud pembaharuan. Maka, pembaharuan yang ingin penulis bawa dalam penulisan di blog ini adalah membawa masyarakat mengenali Islam yang sebenar menurut al-Quran dan al-Sunnah bukan dengan mengenali Islam melalui kata ustaz-ustaz semata. Kerana Islam itu prinsipnya bergantung kepada hujah bukan dengan kata-kata golongan agamawan semata.

Dalam hal ini, penulisan di blog ini lebih kepada pendirian dan sikap penulis dalam kefahaman Islam yang sebenar yakni kita berpegang kepada Islam mengikut tunjuk ajar Islam yang sahih dan menolak sebarang pegangan agama yang mempunyai ciri-ciri atau elemen dalam penambahan atau tokok tambah di dalam urusan agama.

Ini semata-mata untuk mengikuti apa yang para sahabat, para tabi'in dan atba' ut-tabi'in (sebaik-baik umat di dalam zaman kegemilangan Islam) di dalam urusan yang melibatkan soal aqidah dan ibadah. Seperti mana yang direkodkan dalam sebuah hadith Nabi SAW, iaitu:
خير النّاس قرني ثمّ الذين يلونهم

Maksud: Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya. (HR Bukhari dan Muslim)

Panduan Memahami Penulisan Tajdid Dakwah

Di dalam memahami gaya penulisan di dalam blog ini, penulis berpegang kepada prinsip mana-mana sumber atau berita mestilah daripada sumber yang sahih, fakta yang kuat dan bukan daripada sumber-sumber yang palsu. Ini kerana ditakuti tergolong daripada orang-orang fasik dalam membawa berita.

Kita sebagai muslim mestilah berpegang kepada prinsip menerima berita hanya daripada sumber yang sahih. Ini seperti yang tercatit dalam surah al-Hujuraat ayat 6 :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Garis panduan ini dilakukan demi memastikan penyampaian maklumat itu benar faktanya dan terhindar daripada mengambil daripada sumber-sumber yang tidak benar.

Oleh itu, informasi di dalam blog ini akan lebih tersusun dengan pencarian sumber-sumber yang benar-benar sahih dan bukan daripada sumber-sumber yang palsu. Kerana pencarian sesuatu informasi atau ilmu perlulah bersumberkan sumber yang benar-benar asli, sahih, bertepatan dengan fakta dan bukannya secara membuta tuli mengambilnya tanpa sebarang penelitian.

Dahulukan Nas Dahulu Bukan Logik Akal Dahulu

Al-Quran telah menyebut tentang persandaran dalil dan hujjah hanya menerusi kepada Al-Quran dan Al-Sunnah jika manusia berselisih bukan menerusi logik akal dan emosi semata:
Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(al-Nisa’: 59)
Fikirlah berpandukan fakta dan logik akal yang betul. Jika amalan yang dilihat sekarang tidak selari dengan nas al-Quran dan al-Sunnah, maka sewajarnya kita tinggalkanlah ia dan amalkan amalan yang telah diajar oleh Nabi SAW. Sekali pun amalan yang dilihat masa kini diamalkan oleh kebanyakan masyarakat tetapi kalau tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW, maka adalah lebih baik ditinggalkan.


Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur.

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More