Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

23 April 2011

Bacaan al-Quran Di Dalam Masjid Boleh Mengganggu Jamaah?

Membaca al-Quran tidak salah. Malah ianya mendapat pahala yang besar ganjarannya. Nabi s.a.w. bersabda:
Siapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan akan dilipatkan gandakan sepuluh, saya tidak mengatakan (آلـم) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam membaca al-Quran ada etika dan peraturannya. Dan di antara larangannya adalah membaca al-Quran dengan kadar intonasi yang agak kuat sehingga mengganggu para jamaah. Bahkan boleh juga mengganggu orang lain yang berada di luar masjid. Sama ada orang yang membacanya untuk menperdengarkan suaranya atau kaset rakaman bacaan Qari untuk dipasangkan.


- Gambar Hiasan -

Persoalan yang timbul adalah kenapa perkara ini boleh mengganggu jamaah di dalam masjid atau orang lain yang berada di luar masjid. Jika jamaah di dalam masjid, mereka akan hilang fokus dan khusyuk mereka ketika sedang menunaikan ibadah. Jika orang lain yang berada di luar masjid, aktiviti harian mereka boleh hilang fokus disebabkan suara yang agak kuat dan bising.

Oleh sebab itu, Nabi s.a.w pernah melarang orang yang menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Ini dibuktikan di dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Menurut kata-kata daripada Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h dalam mengulas hadis ini, beliau berkata:
Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Maka, perbuatan yang dilakukan oleh kebanyakan masjid di Malaysia perlu disemak semula.

Perbuatan ini juga sebenarnya merupakan salah satu daripada talbis iblis (tipu daya iblis). Dan ianya telah menyebabkan dua perkara yang tidak baik berlaku iaitu:

1) Mencampur aduk di antara azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.
2) Amalan ini tidak pernah wujud dalam urusan ibadah yang mengikuti sunnah.

Oleh kerana itu Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
23 April 2011/ 19 Jamadil Awal 1432H

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More