Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

30 March 2009

Selesai Kursus Aqidah Perkasakan Diri Menghadapi Syiah

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, selesai sudah kursus aqidah mengenai Syiah yang telah diadakan di Masjid Al-Ghufran, TTDI pada 28-29 Mac 2009. Program ini ana kira amatlah bagus dan wajar kerana ianya memberitahu kepada masyarakat umum mengenai bahayanya konsep ajaran Syiah yang mana kalau lihat Syiah ini telah meluaskan ajaran mereka sehingga ke serata dunia.

Ana amat bersetuju jika diadakan lagi program kursus aqidah seperti ini yang mana pertama kita dapat memantapkan aqidah kita, yang kedua kita dapat mengetahui latar belakang ajaran Syiah dan yang ketiga kita dapat mengetahui cara-cara dan teknik yang berkesan dalam berhadapan dengan Syiah.

Sepanjang kursus yang ana tempohi, ana telah dapat menilai yang mana kaca, yang permata, yang mana fakta, yang mana dusta. Syiah mempunyai ideologi mereka tersendiri yang sememangnya dengki terhadap golongan Sunni. Lihatlah bagaimana mereka mempermainkan sahabat-sahabat Nabi saw dengan mengutuk dan mencerca mereka walhal Nabi saw sendiri mengangkat darjat para sahabat itu sendiri.

Awas kepada masyarakat umum, jangan terjebak pada penyebaran ajaran Syiah yang sesat ini. Fahaman mereka tidak sama dengan fahaman Islam yang disepakati oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pegangan ajaran Syiah tidak beza dengan ajaran Yahudi dan Nasrani kerana mengikut pegangan mereka Imam yang ke-12 (Muhammad Bin Hassan al-Askari) telah ghaib dan akan bangkit sebagai Imam Mahdi. Seperti mana Nasrani, mereka juga menunggu ketibaan Imam Mahdi. Tetapi lebih dasyat lagi, mereka mendakwa Imam Mahdi Syiah akan turun untuk menghukum Abu Bakar, Umar, Aisyah dan sahabat-sahabat yang lain dalam peristiwa raj'ah yakni kebangkitan sebelum kiamat.

Kepercayaan mereka tidak terbatas setakat itu. Mereka juga mendakwa bahawa Allah adalah al-bada'. Penyelewengan Al-Quran oleh mereka dengan mentahrifkan Al-Quran itu sendiri. Mereka juga mempercayai bahawa para sahabat telah murtad dan juga kemaksumam oleh imam 12 mereka. Inilah yang menjadi punca bahayanya Syiah terhadap Islam.

Revolusi Iran HARUS diteliti dengan baik oleh masyarakat umum kerana Iran sendiri berfahaman Syiah maka harus berwaspada terhadap tindak-tanduk mereka. Iran antara faktor tersebar dengan meluasnya fahaman Syiah. Iran juga dalang terhadap kejatuhan negara-negara yang kuat seperti Iraq dan Afghanistan. Kini Iraq bakal menjadi negara Syiah yang seterusnya. Di samping itu, negara-negara seperti Yaman, Lubnan, Syria, Bahrain, India dan Pakistan sudah pun tersebar dengan kuat fahaman Syiah ini. Jangan menilai Iran akan membantu Islam. Tidak..Jangan terpedaya kerana Iran tidak akan sama sekali menentang Israel dan AS malah mereka bergandingan.

Oleh yang demikian, ana menyeru sahabat-sahabat sekalian supaya berwaspada dengan ajaran Syiah kerana di Malaysia telah pun tersebar dengan kuat dan sekarang telah dipantau oleh JAKIM. Menurut sumber daripada pembentang kursus iaitu Ustaz Nasim dan Ustaz Samsudin, beliau berkata Syiah Malaysia telah mempunyai markaz mereka di Gombak iaitu Hauzah Ar-Ridho dan di Baling dan Pendang, Kedah.

Awas juga kepada penulis novel terkenal, Faisal Tehrani (nama sebenar Faisal Mohd Musa bukan Faisal Tehrani dan tidak pernah belajar di Tehran) kerana beliau juga pengamal anutan Syiah. Zaini Zainal Abidin, penganalisis politik antarabangsa yang telah masuk ke RTM dalam rancangan Dunia RTM juga pengamal Syiah yang mana beliau mengagung-agungkan Iran. Beliau pernah terlibat dalam ceramah PAS sempena 60 nakbah Palestin dengan membawa modal ceramahnya mengenai Syiah Imamiah. Namun beliau kalah atas soalan yang bertubi-tubi diberikan oleh orang ramai dengan mengelak daripada menjawab soalan yang diberikan. Beliau antara yang dasyat mengutuk perawi hadith yang mahsyur, Abu Hurairah r.a. Kamil Zahari, bekas tahanan ISA 1999 (ditahan ke dalam ISA kerana menyebarkan ajaran Syiah) merupakan aktivis Syiah yang aktif di Malaysia kini bergiat di Hauzah Ar-Ridho, Gombak. Di sana sering kali aktif dalam kegiatan Syiah mereka.

Jadi, awas terhadap kegiatan yang dilakukan oleh puak-puak Syiah yang telah merebak secara senyap-senyap di Malaysia. Maka, cara yang terbaik untuk kita mengelakkan diri daripada terjebak dengan pengaruh Syiah ialah mantapkan manhaj aqidah kita bersandarkan manhaj yang disepakati oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengutamakan salafussoleh (terdiri daripada golongan sahabat, tabiin dan tabii tabiin) insya allah kita tidak akan terpengaruh daripada ajaran Syiah yang amat sesat ini.

Wallahu'alam.

Insya Allah..selepas ini ana akan letakkan artikel mengenai isu-isu Syiah yang telah dikupaskan oleh pakar-pakar hujjah penentang Syiah.

06 March 2009

Kepentingan Mustolah Hadith

Assalamualaikum wbt...

Seperti mana yang kita maklum, zaman sekarang sudah melangkah ke zaman moden dalam bab pembelajaran, pembacaan, penulisan dan pengkajian. Di dalam pengkajian hadith, mustolah hadith amat penting dalam kajian hadith dan ianya dititikberatkan oleh ulama silam terdahulu seperti al-hikam, imam muslim dan sebagainya.

Oleh yang demikian, ana memetik tulisan daripada Ustaz Adlan atau dikenali dengan alitantawi di Al-Ahkam.net. Di dalam tulisan ini, ditekankan kenapa terlalu penting mustolah hadith dalam kajian hadith dan dalam memahami ilmu hadith ini yang sangat luas ilmunya yang tidak semudah yang disangka untuk mempelajarinya. Kerana ilmu hadith adalah ilmu yang sangat tinggi, jadi amat mustahil untuk menguasainya dengan begitu mudah.

Ramai pengkaji hadith atau penuntut ilmu hadith yang suka membaca buku-buku Mustolah al-Hadith. Namun saya merasakan (berdasarkan apa yang saya temui) bahawa kebanyakan mereka suka membaca buku-buku yang ringkas, padat dan moden yang dianggap sebagai ringkasan terhadap buku-buku terdahulu.

Sebahagian yang lain pula memang suka membaca buku-buku terdahulu. Namun begitu, kita dapati terkadang mereka suka membaca buku-buku yang ditulis oleh ulama kurun kesembilan, kesepuluh dan seterusnya. Buku-buku seperti Nukhbat al-Fikar dan Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Mugith karya al-Sakhawi atau Tadrib al-Rawi karya al-Suyuthi seringkali meniti di bibir mereka.

Seeloknya kita mengenali buku-buku utama Mustolah al-Hadith agar kita tahu kedudukan buku-buku tersebut – sama ada kedudukan dari segi terdahulu atau kemudian, atau kedudukan dari segi buku yang utama atau yang ringkas dan sebagainya.

Sekiranya anda salah seorang yang memang meminati dan menceburi bidang hadith, saya ingin anda bertanya kepada diri anda: Pernahkah anda membuka atau membaca buku-buku Mustolah al-Hadith yang awal seperti Ma’rifat Ulum al-Hadith karya al-Hakim atau al-Kifayah Fi Ilm al-Riwayah karya al-Khatib al-Baghdadi?.

Saya ingin menegaskan bahawa kita PERLU membuka kembali buku-buku Mustolah al-Hadith yang awal kerana beberapa sebab, antaranya ialah:

Pertama, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian tidak dapat lari daripada mengambil maklumat asalnya daripada buku-buku terdahulu. Kenapa kita tinggalkan buku asal dan kita berpada hanya dengan buku yang menukilkan sebahagian maklumat asal tadi?

Kedua, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terdahulu lebih dekat dengan zaman kajian hadith yang awal. Maka ia dianggap lebih tepat dalam menghuraikan bagaimana kajian hadith itu berlaku menurut pemerhatian dan kajian penulis.

Ketiga, kerana buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian didapati mengubah beberapa sudut kajian Mustolah yang tidak mencerminkan 100 peratus Mustolah al-Hadith yang terdahulu. Maka untuk melihat dan mengenal pasti perbezaan itu, kita perlu membaca kedua-duanya – buku awal dan buku kemudian.

Mungkin juga ada di antara pencinta ilmu hadith tidak sedar atau terlupa bahawa buku-buku Mustolah al-Hadith adalah satu bentuk ’penceritaan semula’ tentang cara dan teknik kajian hadith ulama terdahulu dalam mengkaji hadith. Ia bukan kaedah yang muncul sebelum daripada kajian, tetapi ia adalah kaedah yang telah diamalkan dan digunakan oleh salaf bermula daripada para sahabat, tabi’in dan seterusnya untuk memastikan bahawa hadith terpelihara tanpa sebarang pengurangan atau penambahan. Maka adalah penting untuk mengaitkan antara teori dan praktikal, tidak semata-semata mempelajari buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat sendiri bagaimana kajian hadith dibuat oleh ulama. Ini menuntut pelajar hadith agar membaca pelbagai jenis buku dalam bidang hadith dan mengaitkannya dengan teori-teori dan kaedah dalam Mustolah al-Hadith.

Maka cara yang paling baik untuk mendapatkan maklumat yang paling hampir dengan pengamalan kajian hadith oleh ulama salaf ialah – membaca buku-buku yang menjadi sumber Mustolah al-Hadith yang terawal dan mempelajarinya agar dapat diketahui bagaimana ia diaplikasikan. Seterusnya barulah ditambah dengan mempelajari buku-buku Mustolah al-Hadith yang terkemudian dan yang diringkaskan. Seterusnya ditambah pula dan dimantapkan lagi dengan pembacaan buku-buku Mustolah al-Hadith moden yang dianggap sebagai pemudah cara dan huraian semasa bagi ilmu ini.

Untuk memudahkan para pencinta ilmu hadith, saya akan cuba mengetengahkan buku-buku yang menjadi sumber awal daripada penulis terdahulu dalam bidang Mustolah al-Hadith yang dicadangkan untuk dibaca dan dipelajari.

BUKU-BUKU CADANGAN

Al-Risalah – الرسالة

Penulis: Imam al-Syafie (204H)

Buku ini walaupun dikenali ramai sebagai buku asas Usul Fiqh, namun di dalamnya terselit perbincangan yang mantap tentang Usul Hadith atau Mustolah al-Hadith. Kehebatan penulisnya yang merupakan seorang imam dalam fiqh dan hadith menjadikannya sebagai salah satu buku utama dalam kajian hadith dan fiqh secara teori dan amali.

Al-Tamyiiz – التمييز

Penulis: Imam Muslim (261H)

Buku ini merupakan antara buku penting dalam mengetahui ketelitian ulama salaf menapis hadith. Imam Muslim mengarang buku ini untuk memperjelaskan lagi kehebatan ilmu kajian hadith yang adakalanya dianggap sebagai ilmu yang tidak jelas atau tidak mempunyai kaedah. Di dalam buku ini, beliau memuatkan kaedah berserta contoh praktikal dan ini amat penting untuk pengkaji hadith.

Pendahuluan Sahih Muslim

Penulis: Imam Muslim (261H)

Walaupun pendahuluan Sahih Muslim agak ringkas, namun di dalamnya terdapat pelbagai maklumat yang berharga untuk diketahui oleh setiap pelajar dan pengkaji hadith masa kini. Sebagai contoh, di dalamnya terdapat penjelasan tentang maksud hadith ‘munkar’ dan juga tahap penerimaan periwayat.

Al-‘Ilal al-Saghir – العلل الصغير

Penulis: Imam al-Tirmidzi (279H)

Buku ini merupakan penutup atau penghujung bagi buku al-Tirmidzi yang terkenal iaitu Jami’ al-Tirmidzi atau dikenali juga dengan nama Sunan al-Tirmidzi. Buku yang ringkas ini menceritakan tentang kajian hadith secara umum termasuk beberapa istilah yang digunakan beliau dalam bukunya al-Jami’. Buku ini juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H) dan dicetak dengan nama Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi.

Ma’rifat ’Ulum al-Hadith – معرفة علوم الحديث

Penulis: al-Hakim (405H)

Buku ini merupakan himpunan kaedah-kaedah berserta contoh kajian ulama hadith salaf. Al-Hakim sendiri di dalam pendahuluan buku ini menyatakan bahawa beliau ingin mengumpulkan kajian ulama terdahulu agar dapat diketahui oleh umat Islam pada zamannya yang telah mula jauh daripada perkara tersebut. Pembahagiannya dan contoh-contoh yang dikemukakan itu menjadikan buku ini amat praktikal bagi pembacanya.

Al-Kifayah Fi ‘Ilm al-Riwayah – الكفاية في علم الرواية

Penulis: al-Khatib al-Baghdadi (463H)

Buku ini ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi dengan tujuan yang hampir sama dengan al-Hakim seperti yang dijelaskan sendiri di dalam pendahuluan bukunya ini. Buku ini amat diberikan perhatian serta banyak dinukilkan maklumatnya oleh penulis-penulis selepas beliau.

Sekian dulu untuk kali ini.

والله أعلم

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More