Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

31 March 2011

Itsar Di Dalam Persahabatan

Bersahabatlah kerana Allah

Ingatlah wahai saudaraku -semoga Allah memberi petunjuk kepada kita untuk taat kepadaNya-, bahawa tujuan kita bersahabat adalah sentiasa untuk mengaharap redha Allah Ta'ala. Janganlah sekali-kali persahabatan tersebut dijadikan jalan untuk mendapatkan kepentingan dunia semata.

Persahabatan yang berlandaskan saling cinta kerana Allah akan menghasilkan kemanisan iman, sebagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud, "Ada tiga perkara yang apabila seseorang memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada selain keduanya, dia mencintai seseorang tidaklah dia mencintainya kecuali kerana Allah, dan dia tidak suka kembali kepada kekufuran setelah Allah membebaskan darinya sebagaimana dia tidak suka dilemparkan ke dalam api." (HR. al-Bukhari)

Di samping itu, persahabatan seperti inilah yang akan kekal hingga hari kiamat nanti, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman yang ertinya,"Teman-teman akrab pada hari (kiamat) nanti sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa."(QS. Az Zukhruf : 67).

Imam Ibnu Kasir rahimahullah mengatakan bahawa setiap persahabatan yang berasaskan cinta kerana selain Allah, maka pada hari kiamat nanti akan kembali dalam keadaan saling bermusuhan. terkecuali persahabatan yang dilandasi cinta kerana Allah ‘azza wa jalla, inilah yang kekal selamanya. (Tafsir Ibnu Kasir)

Maka perhatikanlah wahai saudaraku, sudah benarkah niat kita dalam bersahabat? Apakah persahabatan tersebut hanya untuk menyelesaikan urusan duniawi semata? Setelah urusan tersebut selesai, kita meninggalkan sahabat kita. Ingatlah, persahabatan yang benar adalah persahabatan yang dilandasi cinta kerana Allah, iaitu seseorang mencintai sahabatnya kerana tauhid yang dia miliki, pengagungan dia kepada Allah, dan semangatnya di dalam mengikuti sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Berbuat Itsar-lah pada Sahabatmu

Di antara hak terhadap sesama yang dianjurkan adalah mendahulukan sahabatnya dalam segala keperluan (baca : itsar) dan perbuatan ini dianjurkan (mustahab).

Perhatikanlah firman Allah Ta'ala yang ertinya,"Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan" (QS. Al Hasyr : 9).

Kaum Ansar yang terlebih dahulu duduk di kota Madinah, mereka mendahulukan saudara mereka daripada kaum Muhajirin dalam segala keperluan, sedangkan mereka sendiri memerlukannya.

Sungguh sangat menakjubkan, seorang sahabat Ansar yang memiliki dua isteri ingin menceraikan salah satu isterinya. Kemudian setelah masa 'iddahnya berakhir dia ingin menikahkannya dengan sahabatnya daripada kaum muhajirin. Adakah wujud bentuk itsar yang lebih daripada ini? (Aysarut Tafaasir, Syaikh Abu Bakr Jabir Al Jazairi)

Perbuatan itsar hanya berlaku untuk urusan duniawi (seperti mendahulukan saudara kita dalam makan dan minum). Sedangkan di dalam masalah ketaatan (perkara ibadah), perbuatan ini dilarang. Ini kerana tujuan ibadah adalah pengagungan kepada Allah Ta’ala. Maka barangsiapa yang mendahulukan saudaranya di dalam hal ini, bererti dia telah meninggalkan pengagungan terhadap Allah Ta’ala yang dia sembah. Oleh kerana itu, kita tidak dibolehkan mendahulukan saudara kita (itsar) untuk solat di saf pertama dalam solat berjama’ah, sedangkan kita di saf belakang. (Lihat Al Wajiz fii Iidhohi Qowa’id Al Fiqhi Al Kulliyati)

Bantulah Sahabatmu yang Berada dalam Kesulitan

Misalnya ada saudara kita yang memerlukan bantuan pinjaman wang. Maka berusahalah untuk menolongnya dengan memberi pinjaman hutang padanya. Ini lerana pemberian hutang yang pertama kali merupakan kebaikan. Sedangkan pemberian hutan kali kedua adalah sedekah. Sebagaimana dalam hadits riwayat Ibnu Majah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang ertinya,"Barangsiapa yang memberi hutang kepada saudaranya kedua kalinya, maka dia seperti bersedekah padanya.”

Jagalah Kehormatan Sahabatmu

Wahai saudaraku, jagalah kehormatan sahabatmu, kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda pada khutbah ketika haji Wada' yang ertinya,"Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan kehormatan kalian adalah haram." (HR. al-Bukhari, Muslim, dan lainnya).

Di antara bentuk menjaga kehormatan saudara kita adalah menjaga rahsianya yang khusus diceritakan pada kita. Rahsia tersebut adalah amanah dan kita diperintahkan oleh Allah untuk selalu menjaga amanah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang ertinya,"Apabila seseorang membicarakan sesuatu padamu, kemudian dia menoleh kanan kiri, maka itu adalah amanah."(HR. Abu Daud dalam sunannya). Apatah lagi jika sahabatmu tersebut memintamu untuk tidak menceritakannya pada orang lain. Maka yang demikian jelas lebih terlarang. (Huququl Ukhuwah, Syaikh Sholeh Alu Syaikh).

Semoga dengan mengamalkan hak-hak ini, kita akan menjadi orang-orang yang akan mendapatkan naungan Allah di akhirat kelak, di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya. Amin.


Penulis: Muhammad Abduh Tuasikal

17 March 2011

Tiga Golongan Penuntut Ilmu

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan;

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat, maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan untuk mendapatkan kemuliaan, pangkat, dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. 

Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su'ul khatimah (pengakhiran yang buruk), kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia. 

Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para 'ulama. Dia bercakap seperti percakapan 'ulama dan berpakaian seperti pakaian 'ulama, padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa akan firman Allah swt;
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang tidak kamu amalkan. [As-Saff, 61:2]
Dan juga ayat;
Katakanlah wahai muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka? Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik. [al Kahfi, 18:103-104]
Wahai penuntut ilmu, maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama, dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk ke dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum dia sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


- Gambar Hiasan -

- Pesanan imam al-Ghazali dalam muqaddimah bukunya 'bidayatul hidayah', telah disunting untuk ringkasan pembacaan dan kemudahan dalam pemahaman isinya.

Semoga kita (yakni para penuntut ilmu) tergolong dalam golongan yang pertama tersebut. Seaungguhnya mengharap keredhaan Allah swt adalah tujuan utama kita hidup di dunia ini.

Semoga bermanfaat insyaAllah.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More