Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

30 September 2010

Sunnah Sewaktu Khutbah Yang Jarang Diamalkan


Kadang-kadang apabila kita asyik dengan melakukan ibadah lalu menambah amalan-amalan yang bukan datangnya daripada Nabi SAW menyebabkan kita terabai dengan amalan yang benar-benar sunnah. Si khatib mahupun si jemaah yang hadir mungkin boleh mengambil sunnah ini sebagai jambatan dalam menambahkan lagi warisan peninggalan Nabi SAW.
Benarlah kata Abdullah ad-Dailamy : “Sesungguhnya pertama kali hilangnya agama (Islam) adalah dengan ditinggalkannya sunnah. Agama ini akan hilang satu sunnah demi satu sunnah sebagaimana lepasnya tali seutas demi seutas” (Al-Lalika’iy, ad-Darimi dan Ibn Wadhdhah di dalam al-Bida’ wan Nahyu Anha)
Antaranya ialah isyarat tangan dengan jari telunjuk oleh khatib ketika ia berdoa. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada Husain bin Abd Rahman daripada ‘Umarah bin Ruaibah, bahawasanya ia pernah melihat Bisyr bin Marwan berkhutbah di atas mimbar sambil mengangkat kedua tangan untuk berdoa. Lalu Umarah berkata :
(Maksudnya) “Semoga Allah SWT memburukkan tangan tersebut. Sesungguhnya aku melihat Rasulullah SAW berdoa hanya dengan isyarat jari telunjuk.” Dalam riwayat lain, dia berkata “pada hari Jumaat”. (  HR Muslim dan At-Tirmizi pada bab ‘Makruhnya mengangkat tangan diatas mimbar’)
Hadis ini menolak pendapat yang membolehkan khatib mengangkat tangan berdoa ketika di atas mimbar melainkan hanya dengan isyarat jari telunjuk. Imam an-Nawawi berkata “Disunnahkan untuk tidak mengangkat tangan ketika berkhutbah, demikianlah pendapat Imam Malik dan pengikut kami ( mazhab Syafi’) serta yang lainnya. Walaupun sebahagian dari ulama Salaf dan Malikiyyah berpendapat mengangkat tangan diperbolehkan, namun ianya di satu sudut yang lain iaitu ketika Solat Istisqa’. Bukan dalam khutbah Jumaat biasa. “( an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim Jil 3, 428. Juga boleh dirujuk dalam kitab Fathul Bari Imam Ibn Hajar al-Asqalani)
Sunnah ketika berdoa
Ini menunjukkan kepada kita dua faedah daripada hadis ini, pertamanya, tidak disunnahkan mengangkat tangan bagi khatib saat berdoa dia atas mimbar. Manakala yang kedua disunnahkan bagi khatib melakukan isyarat jari telunjuk ketika berdoa atas mimbar.
Sunnah berikutnya yang jarang diamalkan adalah, makmum menghadap ke arah wajah khatib ketika khatib sedang berkhutbah. Ramai di kalangan kita apabila mimbar berada jauh darinya ia terus menghadap kearah kiblat dan tidak berpaling ke arah khatib.
Ibn Munzir pernah berkata dalam kitab al-Ausath mengenai keperluan menghadapnya para jemaah ke arah khatib yang sedang berkhutbah Jumaat. Beliau mengatakan bahawa “Setiap ulama yang mengetahui hadis tersebut menegaskan bahawa para jemaah solat Jumaat harus menghadap ke arah khatib yang sedang berkhutbah. Antara yang berpendapat seperti itu adalah Ibn Umar, Anas bin Malik, Syuraih dan Atha’.”
Ini berdasarkan kepada hadis dari al-Mustamir bin al-Rayyan: (maksudnya)“Aku melihat Anas Bin Malik datang ke masjid pada hari Jumaat, kemudian dia terus bersandar ke dinding dan menghadap ke arah imam.” (Riwayat ini disahihkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari Jil 2, 467)
Juga berasaskan hadith Ma’mar ketika mana ia pernah bertanya kepada az-Zuhri tentang menghadapnya para jemaah Solat Jumaat ke arah imam, kemudian az-Zuhri menjawab: “Seperti itulah yang dilakukan oleh para Sahabat” ( HR Abd Razzaq dalam al-Mussannaf no. 5390)
Jadinya selepas ini marilah sama-sama kita menghadap wajah kita ke arah khatib di atas mimbar. Mungkin dengan sunnah kita yang sedikit ini mampu memberi kita ganjaran yang besar disisi Allah terhadap tindakan kita menghidupkan sunnah yang dilupakan ini.
mengadap khatib
Antara sunnah yang amat penting diamalkan oleh orang Malaysia khususnya adalah sunnah berpindah tempat duduk ketika mengantuk sewaktu khutbah disampaikan. Ramai di kalangan kita yang sudah dari awal-awal lagi meletakkan waktu khusus qailullahnya ketika khatib sedang berkhutbah. Ada yang asyik bersetuju  menganggukkan kepala tanda setuju dengan khatib sehinggalah iqamah dilaungkan. Itulah betapa hebatnya orang Malaysia.
Sunnah memindahkan tempat duduk ketika mengantuk dalam khutbah boleh dirujuk kepada hadis riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya. Sebuah hadis daripada Ibn umar RA dari Nabi SAW bersabda (maksudnya) :
“Apabila salah seorang di antara kamu mengantuk pada hari Jumaat, hendaklah ia berpindah dari tempat duduknya.”
Alhamdulillah, hari ini kita dapat berkongsi 3 sunnah Nabi SAW yang jarang umat Islam di Malaysia amalkan. Kita berharap semoga dengan mengamalkan sunnah Nabi SAW atas kecintaan kita kepada baginda akan mendatangkan rahmat Allah kepada kita, Insya Allah. Ayuh bersama menghidupkan sunnah Nabi SAW!

10 September 2010

Salam 'Eid Mubarak


Assalamu'alaikum wbt.

Ramadhan telah pun menutup tirainya meninggalkan umat Islam seluruhnya sebagai bulan yang memberi rahmat dalam pengejaran terhadap pahala berganda di dalam pesta ibadah di bulan Ramadhan. Maka, penggantinya Syawal sebagai bulan kemenangan dan bulan kegembiraan kerana umat Islam telah berjaya melakukan yang terbaik dalam pesta ibadah Ramadhan.

Maka, blog Tajdid Dakwah ingin menyatakan bahawa apabila tiba Syawal maka istiqamah dalam mengharungi perjalanan hidup sama seperti di bulan Ramadhan biarpun amalan itu sedikit tetapi istiqamah lebih baik daripada banyak. Perbanyakkan melakukan amal yang soleh yang mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Akhir sekali, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Salam 'Eid Mubarak kepada semua kaum muslimin. Jangan pula jadikan Syawal bulan yang penuh dengan kesedihan dan kegembiraan yang melampau. Bukan itu caranya. Syawal kita sambut sempena berakhirnya Ramadhan sebagai balasan kerana meraih kemenangan pesta ibadah.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata: Dari Jubair bin Nufair ia berkata:

كَانَ اَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، اِذَا الْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيْدِ يَقُوْلُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

“Para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain: Semoga Allah menerima dari kami dan darimu”. 
(Lihat: Fathul Bari 2/446)

09 September 2010

Hari Raya: Tuntutan dan Larangan

Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirainya. 1 Syawal hampir menjelma. Seluruh umat Islam bakal menyambut hari istimewa, Hari Raya Eidul Fitri. Ia adalah satu daripada tiga perayaan yang disambut dalam Islam selain Hari Raya Eidul Adha dan Hari Jumaat yang disambut saban minggu.
Ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sampai di Madinah, dan mendapati orang-orang Jahiliyyah mempunyai dua perayaan yang disambut dengan penuh pesta dan permainan, lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua perayaan yang lebih baik daripada dua perayaan mereka, iaitu Hari Raya Eidul Adha dan Hari Raya Eidul Fitri”. (Direkod oleh Abu Daud, Nasaie dan lain-lain).
Demikian Allah menggantikan perayaan Jahiliyyah yang dipenuhi permainan, dengan perayaan Islam yang dihiasi rasa perhambaan kepada Allah. Hari Raya adalah hari menyebut kebesaran Allah dengan bertakbir, dan hari melahirkan rasa syukur atas kurniaanNya.
Allah berfirman, maksudnya: “…. Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur”. (Al-Baqarah: 85)
Hari Raya sebagai hari ibadah, hari berzikir dan hari bersyukur, mesti disambut dengan cara yang bertepatan dengan kehendak syariat Islam. Ada tuntutan yang perlu dilakukan, dan ada larangan yang mesti dielakkan. Dengan memelihara hak-hak perayaan, mudah-mudahan Allah Taala menjadikan kita sebagai orang yang bersyukur.
TUNTUTAN DI HARI RAYA
1. Mandi Sunat Hari Raya.
Ulama mengatakan digalakkan mandi sunat pada pagi hari raya. Walaupun tidak didapati hadis yang marfuk dan sahih daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi terdapat atsar daripada para sahabat baginda berkenaan amalan ini.
Di dalam Sunan al-Baihaqi, direkodkan satu riwayat daripada Ali r.a, beliau ditanya tentang (galakan) mandi, lalu beliau berkata, “Hari Jumaat, hari Arafah, Hari Raya Korban, dan Hari Raya Fitri”.
Imam Malik meriwayatkan dalam Muwatta’ bahawa Ibn Umar r.a. mandi sebelum keluar ke musolla. Begitu juga direkodkan oleh Imam Syafie dalam Musnadnya melalui sanad gurunya Imam Malik.
Manakala waktu mandi sunat Hari Raya, ada kalangan ulama mengatakan selepas terbit fajar. Pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie ialah waktunya bermula sebelum terbit fajar lagi. Jadi, boleh mandi sebelum Subuh. Bagi keluar daripada perselisihan, elok dilakukan selepas terbit fajar.
2. Sarapan Sebelum Keluar ke Musolla.
Bagi Hari Raya Fitri, digalakkan makan sedikit sebelum keluar untuk solat hari raya. Kerana berdasarkan hadis yang direkodkan dalam Sahih Bukhari, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada Hari Raya Fitri sehingga baginda makan beberapa biji tamar, dan baginda makan dengan bilangan ganjil”.
3. Keluar Awal Ke Musolla atau Masjid.
Digalakkan keluar awal ke musolla atau masjid untuk menunaikan solat Hari Raya, kecuali bagi imam. Maka sunnah baginya keluar ke musolla atau masjid seketika sebelum menunaikan solat. Kata Imam Malik, “Telah berlalu sunnah bahawa imam keluar dari rumahnya sekadar apabila dia sampai ke musolla maka waktu sembahyang Raya sudah tiba. Manakala selain imam, sunat bersegera keluar dan menghampiri tempat imam (saf hadapan)”.
4. Bertakbir Ketika Berjalan Menuju Musolla.
Antara amalan sunnah ialah bertakbir dalam perjalanan menuju ke musolla. Bagi kaum lelaki, digalakkan menyaringkan suara mereka, manakala kaum wanita cukup dengan bertakbir secara perlahan.
Amalan takbir ketika ini disebut dalam hadis Ibn Umar r.a. “Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam keluar pada dua hari raya bersama-sama Fadhl bin Abbas, Abdullah, Al-Abbas, Ali, Jaafar, Hasan, Husain, Usamah bin Zaid, Zaid bin Haritsah dan Aiman bin Ummu Aiman. Baginda meninggikan suaranya dengan tahlil dan takbir”. (Direkod oleh Baihaqi).
5. Solat Sunat Hari Raya.
Kebanyakan ulama mengatakan Solat Hari Raya adalah sunat muakkadah (yang sangat dituntut). Ada segelintir berpandangan wajib, dan dipilih oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Bahkan Ibn Taimiyyah mengatakan kewajipan solat Hari Raya lebih utama daripada solat Jumaat.
6. Kaum Wanita dan Kanak-kanak Juga Keluar.
Digalakkan juga bagi wanita dan kanak-kanak menghadirkan diri ke musolla, tanpa mengira samada tua atau muda, suci atau haidh, anak dara atau janda. Kecuali wanita yang diharamkan keluar rumah seperti wanita yang sedang dalam iddah.
Hadis Ummu Athiyyah menyebut, “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan kami supaya mengeluarkan mereka (wanita-wanita) pada Hari Raya Fitri dan Hari Raya Adha, iaitu anak-anak dara yang sudah baligh, wanita-wanita yang haidh, dan perempuan-perempuan yang selalu berada di balik tabir rumah. Manakala wanita-wanita haidh hendaklah menjauhi tempat sembahyang, serta hendaklah menyaksikan kebaikan dan doa orang Muslimin”. (Direkod oleh Bukhari dan Muslim).
Begitu juga kanak-kanak, digalakkan dibawa keluar menyaksikan solat Hari Raya. Imam Bukhari membuat tajuk dalam kitab Sahihnya, “Bab: Keluar Kanak-kanak ke Musolla”.
7. Pulang Dari Musolla Melalui Jalan Berbeza.
Ramai ulama mangatakan sunat ketika pulang dari musolla selepas solat raya, dengan melalui jalan yang berbeza dengan jalan sewaktu pergi. Kerana di dalam Sahih Bukhari terdapat hadis bahawa Jabir r.a. mengatakan, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pada hari raya membezakan jalan (pergi dan balik).
Adapun sebab atau hikmah kenapa baginda menukar laluan antara pergi dan balik, terdapat banyak pandangan. Ibn Hajar mengumpul dan meringkaskannya sehingga melebihi 20 pendapat.
8. Ungkapan Sempena Hari Raya.
Menjadi amalan sebahagian salaf, mengucapkan ungkapan tahniah sempena hari raya. Iaitu dengan menyebut, “Taqabballahu Minna Wa Minkum”. Maksudnya, “Semoga Allah menerima (amalan) daripada kamu dan daripada kamu”.
Dalam atsar Jubair bin Nufair, katanya, “Bahawa sahabat-sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam apabila mereka bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian lain: Taqabballahu Minna Wa Minkum”. (Kata Ibn Hajar: sanadnya hasan).
9. Mengenakan Pakaian Yang Paling Baik.
Sunnah ini berdasarkan hadis bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengenakan pakaian berwarna merah pada hari raya. (Direkod oleh Tabarani dalam Mukjam Ausat).
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim terdapat hadis bahawa Umar r.a. mencadangkan Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam memakai pakaian sutera pada hari raya. Walaupun baginda menolak kerana ia bukan pakaian lelaki Muslim, tetapi ia menunjukkan bahawa mengenakan pakaian yang baik sempena hari raya adalah satu amalan yang masyhur pada ketika itu.
LARANGAN DI HARI RAYA
Untuk larangan hari raya, saya menyebutnya secara ringkas:
1. Berpuasa pada hari raya. Sabit larangannya daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan hukum ini adalah ijmak (sepakat).
2. Menyerupai orang kafir dalam sambutan perayaan.
3. Wanita keluar ke musolla dengan pakaian yang menimbulkan fitnah, atau membuka aurat.
4. Lalai dari mengingati Allah, terutama mengabaikan sembahyang hari raya.
5. Percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, dan bersalam-salaman dengan mereka.
6. Pembaziran dalam penyediaan hiasan rumah dan pakaian.
Dengan menjaga hak-hak hari raya, iaitu memelihara tuntutan dan meninggalkan larangan syarak, mudah-mudahan hari raya yang disambut akan menjadi hari yang penuh keberkatan dan kebaikan.
Madinah,
28 Ramadhan 1430H
18 September 2009M

Qiyamullail Malam Raya

Sempena kedatangan Hari Raya Eidil Fitri, terdapat beberapa laman web dan blog islamik menyiarkan artikel tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya dengan pelbagai bentuk ibadah. Kemudian disandarkan kelebihan tersebut kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Persoalannya, benarkah wujud anjuran khusus daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam supaya dihidupkan malam hari raya dengan qiyamullail?
Di dalam kitab Zaad al-Ma’ad, Ibnul Qayyim menyimpulkan bahawa tidak ada suatu dalil sahih pun daripada baginda tentang amalan menghidupkan malam dua hari raya (Eidil Fitri dan Eidil Adha). 1/212.
Semua hadis-hadis tentang kelebihan khas menghidupkan malam hari raya adalah tidak sahih dan tidak boleh dijadikan sumber hukum.
Hadis-hadis tersebut ialah:
Pertama:
من قام ليلتي العيدين محتسبا لله لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Maksudnya: Sesiapa bangun (beribadah) pada dua malam hari raya, dengan pengharapan kepada Allah, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.
- Direkod oleh Ibn Majah (no: 1782) daripada hadis Abu Umamah r.a.
Kata Imam Nawawi dalam Al-Azkar (171): “Ia adalah hadis dhaif. Kami meriwayatkannya daripada Abu Umamah secara marfu’ dan mauquf, dan kedua-duanya dhaif”. Kata Al-Iraqi, “Sanadnya dhaif”. Al-Albani di dalam Silsilah Dhaifah 2/11 menilainya sebagai ‘sangat dhaif”.
- Direkod juga oleh Al-Thabarani dalam Mukjam Ausath (no: 159) daripada hadis Ubadah r.a.
Komen Al-Haitami dalam Majmak Al-Zawaid (2/430): “Di dalamnya terdapat Umar bin Harun Al-Balkhiy, dan kebiasaan baginya adalah dhaif. Beliau dipuji oleh Ibn Mahdi dan selainnya, tetapi kumpulan yang ramai menilainya sebagai dhaif”. Al-Albani dalam Silsilah Dhaifah (2/11) menilainya sebagai palsu.
- Juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no: 3711) daripada hadis Abu Al-Darda’, secara mauquf iaitu tidak disandarkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kedua:
من أحيا الليالي الأربع وجبت له الجنة ، ليلة التروية و ليلة عرفة و ليلة
النحر و ليلة الفطر
Maksudnya: Sesiapa menghidupkan empat malam, maka wajib baginya syurga; iaitu malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Raya Korban, dan malam Raya Fitri.
- Hadis ini tidak didapati dalam sumber utama kitab-kitab hadis. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abdul Rahim bin Zaid Al-Ammiy daripada ayahnya. Ulama hadis menilai periwayatan beliau daripada ayahnya sebagai mungkar. Di dalam Silsilah Dhaifah (2/12), Al-Albani menilai sebagai palsu.
Ketiga:
من أحيا ليلتي العيد وليلة النصف من شعبان لم يمت قلبه يوم تموت فيه القلوب
Maksudnya: Sesiapa menghidupkan dua malam hari raya, dan malam Nisfu Syaaban, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.
- Kata Ibnul Jauzi dalam Al-’Ilal Al-Mutanahiyah (3/561): “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam”.
Kesimpulan:
1) Tidak ada hadis sahih tentang galakan khusus menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Kata Ibn Taimiyyah: “Hadis-hadis yang disebut tentang (menghidupkan malam) pada dua hari raya adalah dusta ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam”.
2) Ini bukan bererti tidak disunatkan qiyamullail pada malam raya. Ia adalah sunnah secara umum seperti malam-malam lain. Malahan sepakat ulama mengatakan sunat qiyamullail termasuk pada malam raya. Cuma, tidak sabit kelebihan khas.
Wallahu A’lam.
Madinah, 27 Ramadhan 1429 H.

Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu & Yang Jangan DiLakukan

Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu &
Yang Jangan DiLakukan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net




eid3.jpg
Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini.  Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramadhan.  




Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ

Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.
MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.

Bergembiralah Orang Yang Membersihkan Hatinya di RamadhanSecara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.
TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI
Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.
Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.
Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.
Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.
RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh. 
Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dahulu apa yang dicatatkan. Semoga ada manfaat.
Selamat Hari Raya Idil Fitri
"Taqabbalallahu Minna Wa Minkum Solehal A'Mal"
Sekian dahulu,
Zaharuddin Abd Rahman
27 Ramadhan 1428 H
9 Oktober 2007

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More