09 September 2010

Qiyamullail Malam Raya

Sempena kedatangan Hari Raya Eidil Fitri, terdapat beberapa laman web dan blog islamik menyiarkan artikel tentang kelebihan menghidupkan malam hari raya dengan pelbagai bentuk ibadah. Kemudian disandarkan kelebihan tersebut kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Persoalannya, benarkah wujud anjuran khusus daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam supaya dihidupkan malam hari raya dengan qiyamullail?
Di dalam kitab Zaad al-Ma’ad, Ibnul Qayyim menyimpulkan bahawa tidak ada suatu dalil sahih pun daripada baginda tentang amalan menghidupkan malam dua hari raya (Eidil Fitri dan Eidil Adha). 1/212.
Semua hadis-hadis tentang kelebihan khas menghidupkan malam hari raya adalah tidak sahih dan tidak boleh dijadikan sumber hukum.
Hadis-hadis tersebut ialah:
Pertama:
من قام ليلتي العيدين محتسبا لله لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
Maksudnya: Sesiapa bangun (beribadah) pada dua malam hari raya, dengan pengharapan kepada Allah, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.
- Direkod oleh Ibn Majah (no: 1782) daripada hadis Abu Umamah r.a.
Kata Imam Nawawi dalam Al-Azkar (171): “Ia adalah hadis dhaif. Kami meriwayatkannya daripada Abu Umamah secara marfu’ dan mauquf, dan kedua-duanya dhaif”. Kata Al-Iraqi, “Sanadnya dhaif”. Al-Albani di dalam Silsilah Dhaifah 2/11 menilainya sebagai ‘sangat dhaif”.
- Direkod juga oleh Al-Thabarani dalam Mukjam Ausath (no: 159) daripada hadis Ubadah r.a.
Komen Al-Haitami dalam Majmak Al-Zawaid (2/430): “Di dalamnya terdapat Umar bin Harun Al-Balkhiy, dan kebiasaan baginya adalah dhaif. Beliau dipuji oleh Ibn Mahdi dan selainnya, tetapi kumpulan yang ramai menilainya sebagai dhaif”. Al-Albani dalam Silsilah Dhaifah (2/11) menilainya sebagai palsu.
- Juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no: 3711) daripada hadis Abu Al-Darda’, secara mauquf iaitu tidak disandarkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kedua:
من أحيا الليالي الأربع وجبت له الجنة ، ليلة التروية و ليلة عرفة و ليلة
النحر و ليلة الفطر
Maksudnya: Sesiapa menghidupkan empat malam, maka wajib baginya syurga; iaitu malam Tarwiyah, malam Arafah, malam Raya Korban, dan malam Raya Fitri.
- Hadis ini tidak didapati dalam sumber utama kitab-kitab hadis. Di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abdul Rahim bin Zaid Al-Ammiy daripada ayahnya. Ulama hadis menilai periwayatan beliau daripada ayahnya sebagai mungkar. Di dalam Silsilah Dhaifah (2/12), Al-Albani menilai sebagai palsu.
Ketiga:
من أحيا ليلتي العيد وليلة النصف من شعبان لم يمت قلبه يوم تموت فيه القلوب
Maksudnya: Sesiapa menghidupkan dua malam hari raya, dan malam Nisfu Syaaban, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati.
- Kata Ibnul Jauzi dalam Al-’Ilal Al-Mutanahiyah (3/561): “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam”.
Kesimpulan:
1) Tidak ada hadis sahih tentang galakan khusus menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Kata Ibn Taimiyyah: “Hadis-hadis yang disebut tentang (menghidupkan malam) pada dua hari raya adalah dusta ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam”.
2) Ini bukan bererti tidak disunatkan qiyamullail pada malam raya. Ia adalah sunnah secara umum seperti malam-malam lain. Malahan sepakat ulama mengatakan sunat qiyamullail termasuk pada malam raya. Cuma, tidak sabit kelebihan khas.
Wallahu A’lam.
Madinah, 27 Ramadhan 1429 H.

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More