Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

24 December 2010

Syiah: Mazhab Atas Nostalgia Sejarah

SYIAH: MAZHAB ATAS NOSTALGIA SEJARAH
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
 
Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.

Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.

Emosi

Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.

Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.

Kekeliruan

Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.

Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.

Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.

Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.

Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:
“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).
Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.

Antaranya Uthman berkata:
“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).
Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.

Riwayat Sejarah

Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).

Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:
“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).
Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).
Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):
“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).
Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudul Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.


Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.

23 November 2010

Antara Sunnah Yang Diamalkan oleh Rasulullah SAW Sebelum Tidur

Assalamu'alaikum wbt.

99. Mengumpulkan dua tapak tangan. Lalu ditiup dan dibacakan Qul huwal-lahu ahad, Qul a’uudzu birabbil falaqi dan Qul a’uudzu birabbin naas. Kemudian dengan dua tapak tangan mengusap tubuh yang dapat dijangkau dengannya. Dimulai dari kepala, wajah dan tubuh bagian depan tiga kali. [114] 

101. Rasul telah beriman kepada Al-Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Rabbnya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami ta'at". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali". Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". [115]

102- بِاسْمِكَ رَبِّيْ وَضَعْتُ جَنْبِيْ، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، فَإِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِيْ فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ.


102. “Dengan nama Engkau, wahai Tuhanku, aku meletakkan lambungku. Dan dengan namaMu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tapi, apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hambaMu yang shalih.” [116]

103- اَللَّهُمَّ إِنَّكَ خَلَقْتَ نَفْسِيْ وَأَنْتَ تَوَفَّاهَا، لَكَ مَمَاتُهَا وَمَحْيَاهَا، إِنْ أَحْيَيْتَهَا فَاحْفَظْهَا، وَإِنْ أَمَتَّهَا فَاغْفِرْ لَهَا. اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ.

103. “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau menciptakan diriku, dan Engkaulah yang akan mematikannya. Mati dan hidupnya hanya milikMu. Apabila Engkau menghidupkannya, maka peliharalah. Apabila Engkau mematikannya, maka ampunilah. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu keselamatan.” [117]

104- اَللَّهُمَّ قِنِيْ عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ عِبَادَكَ. (3×)

104. “Ya Allah! Jauhkanlah aku dari siksaanMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu.” (Dibaca tiga kali). [118]

105- بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوْتُ وَأَحْيَا.

105. “Dengan namaMu, ya Allah! Aku mati dan hidup.” [119]

106- سُبْحَانَ اللهِ (33×) وَالْحَمْدُ لِلَّهِ (33×) وَاللهُ أَكْبَرُ (33×).

“Maha Suci Allah (33 x), Segala puji bagi Allah (33 x), Allah Maha Besar (33 x).” [120]

107- اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ.

107. “Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit yang tujuh, Tuhan yang menguasai arasy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah, Tuhan yang menurunkan kitab Taurat, Injil dan Furqan (Al-Qur’an). Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan segala sesuatu yang Engkau memegang ubun-ubunnya. Ya Allah, Engkau-lah yang pertama, sebelumMu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelahMu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang ahir, tidak ada sesuatu di atasMu, Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang menghalangiMu, lunasilah utang kami dan berilah kami kekayaan hingga terlepas dari kefakiran.” [121]

108- الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَكَفَانَا وَآوَانَا، فَكَمْ مِمَّنْ لاَ كَافِيَ لَهُ وَلاَ مُؤْوِيَ.

108. “Segala puji bagi Allah yang memberi makan kami, memberi minum kami, mencukupi kami, dan memberi tempat berteduh. Berapa banyak orang yang tidak mendapatkan siapa yang memberi kecukupan dan tempat berteduh.” [122]

109- اَللَّهُمَّ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلِيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ، وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ، وَأَنْ أَقْتَرِفَ عَلَى نَفْسِيْ سُوْءًا أَوْ أَجُرُّهُ إِلَى مُسْلِمٍ.
109. Ya Allah, Tuhan yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang menguasai segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan diriku, kejahatan setan dan balatentaranya, atau aku berbuat kejelekan pada diriku atau aku mendorongnya kepada seorang Muslim.” [123]

110. Membaca Alif lam mim tanzil As-Sajdah dan Tabaarakal ladzii biyadihil mulku. [124]

111- اَللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِيْ إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِيْ إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِيَ إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِيْ إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِيْ أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِيْ أَرْسَلْتَ.

111. “Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepadaMu, aku menyerahkan urusanku kepadaMu, aku menghadapkan wajahku kepadaMu, aku menyandarkan punggungku kepadaMu, karena senang (mendapatkan rahmatMu) dan takut pada (siksaanMu, bila melakukan kesalahan). Tidak ada tempat perlindungan dan penyelamatan dari (ancaman)Mu, kecuali kepadaMu. Aku beriman pada kitab yang telah Engkau turunkan, dan (kebenaran) NabiMu yang telah Engkau utus.” Apabila Engkau meninggal dunia (di waktu tidur), maka kamu akan meninggal dunia dengan memegang fitrah (agama Islam). [125]

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

[114] HR. Al-Bukhari 9/62 dengan Fathul Baari dan Muslim 4/1723.

[115] “Barangsiapa membaca dua ayat tersebut pada malam hari, maka dua ayat tersebut telah mencukupkan-nya.” HR. Al-Bukhari dengan Fathul Bari 9/94 dan  Muslim 1/554. Kedua ayat tersebut dari surat Al-Baqarah (2): 385-386.

[116] “Apabila seseorang di antara kalian bangkit dari tempat tidurnya kemudian ingin kembali lagi, hendaknya ia mengibaskan ujung kainnya tiga kali, dan menyebut nama Allah, karena ia tidak tahu apa yang ditinggalkannya di atas tempat tidur setelah ia bangkit. Apabila ia ingin berbaring, maka hendaknya ia membaca: … (Al- Hadits). HR. Al-Bukhari 11/126, Muslim 4/2084.

[117] HR. Muslim 4/2083, Ahmad dengan lafazh yang sama, 2/79, Ibnus Sunni dalam ‘Amalul Yaumi wal Lailah no. 721.

[118] Adalah Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam, apabila ingin tidur, beliau meletakkan tangannya yang kanan di bawah pipinya, kemudian membaca: … (Al- Hadits) HR. Abu Dawud dengan lafazh hadits yang sama, 4/311. Lihat juga Shahih At-Tirmidzi 3/143.[119] HR. Al-Bukhari 11/113 dengan Fathul Baari dan Muslim 4/2083.[120] HR. Al-Bukhari 7/71 dengan Fathul Baari dan Muslim 4/2091.[121] HR. Muslim 4/2084.[122] HR. Muslim 4/2085.[123] HR. Abu Dawud 4/317, dan lihat Shahih At-Tirmidzi 3/142.[124] HR. Tirmidzi dan An-Nasai, dan lihat Shahihul Jami’ 4/255.[125] Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam bersabda kepada orang yang membaca do’a itu; “Jika kamu mati, maka kamu mati di atas fithrah.” HR. Al-Bukhari 11/13 dengan Fathul Baari dan Muslim 4/2081.

Rujukan: E-Book Hisnul Muslim
Kumpulan Doa dan Dzikir Dari Al Quran dan As Sunnah
Said bin Ali Al Qathani

09 November 2010

Risalah Ta’lim: Zulhijjah Musim Ibadah (Bil (12) 1 Zulhijjah 1431 / 08 November 2010)


{Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil; Dan malam, apabila ia berlalu; - Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna?} [Al-Fajr : 1-5]



Zulhijjah Musim Ibadah

Sesungguhnya bulan Zulhijjah adalah bulan yang mulia dan musim yang agung. Ia adalah bulan Haji, bulan keampunan, serta wukuf di Arafah. Bulan umat Islam mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai bentuk ibadat seperti menunaikan Haji, mendirikan solat, berpuasa, bersedekah, menyembelih, mengingati Allah, berdoa dan beristighfar.

Kelebihan Sepuluh Hari Permulaan Zulhijjah.

1- Allah Taala telah bersumpah dengannya:
Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, ia menunjukkan kepada keagungan kedudukan dan keutamaannya. Kerana Yang Maha Agung tidak akan bersumpah melainkan dengan yang agung. Dia Taala berfirman: {Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh} [Al-Fajr : 1]. Malam-malam yang sepuluh berkenaan adalah sepuluh hari Zulhijjah, dan ini dinyatakan oleh Jumhur ahli-ahli tafsir.

2- Ia adalah hari-hari tertentu yang dinyatakan oleh Allah:
Sepuluh hari permulaannya adalah sepuluh hari penuh keberkatan yang Allah nyatakan di dalam kitab-Nya:

a) Diampunkan sesiapa yang mengawal pendengarannya, penglihatan dan lidahnya pada hari Arafah:
Daripada Ibnu Abbas , bahawa beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah :
(Ini satu hari yang, sesiapa mengawal padanya; pendengarannya, penglihatannya, lidahnya, akan diampunkan baginya) [diriwayatkan oleh Ahmad]

b) Berpuasa pada hari berkenaan bagi yang bukan jemaah Haji :
Daripada Abi Qotadah , bahawa Rasulullah telah bersabda: (Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar dihapuskan dosa bagi setahun yang sebelumnya dan setahun selepasnya) [dikeluarkan oleh Muslim di dalam Sahih beliau]


Bagaimanakah kita sepatutnya menyambut sepuluh hari awal Zulhijjah?

1- Taubat yang benar:
Seseorang Muslim hendaklah menyambut musim-musim ketaatan secara keseluruhan dengan taubat yang benar dan keazaman yang pemutus untuk kembali kepada Allah. Kerana di dalam taubat terdapat kejayaan bagi seseorang hamba di Dunia dan Akhirat.

Allah Taala berfirman: {dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.} [An-Nur : 31]

2- Keazaman yang bersungguh untuk merebut hari-hari ini:
Seseorang Muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk memakmurkan hari-hari ini dengan pekerjaan dan percakapan yang soleh. Sesiapa yang berazam di atas sesuatu perkara, Allah akan membantunya dan mengadakan untuknya penyebab-penyebab yang akan membantunya untuk menyempurnakan amal berkenaan. Sesiapa yang benar terhadap Allah, Allah akan benar terhadapnya. Dia Taala berfirman: {Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami} [Al-Ankabut : 69]

3- Menjauhi perkara-perkara maksiat:
Sebagaimana ketaatan menjadi punca untuk mendekatkan kepada Allah, begitulah maksiat menjadi punca untuk menjauhkan daripada Allah dan pengusiran daripada rahmat-Nya, dan seseorang manusia diharamkan rahmat Allah dengan sebab dosa yang dilakukan olehnya. Sekiranya anda mahukan kepada pengampunan dosa-dosa dan pembebasan dari Neraka, maka berjaga-jagalah dari jatuh ke dalam perkara-perkara maksiat pada hari-hari ini, dan pada hari-hari yang lain! Bukankah sesiapa yang kenal apa yang dituntut, menjadi ringan di sisinya setiap apa yang dikerahkan.

Sememangnya telah ada amalan-amalan yang dikhususkan pelaksanaannya pada sepuluh hari permulaan Zulhijjah; seperti haji, umrah, puasa, menyembelih korban, sedekah, solat sunat Aidiladha, bertakbir dan lain-lain lagi. Namun, hadith yang mulia menyatakan bahawa segala amal kebaikan, tidak kira yang wajib mahupun yang sunat, paling disukai oleh Allah pelaksanaannya di dalam hari-hari ini. 
{serta mereka memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,}
[Al-Hajj : 28]

3- Rasulullah menyaksikan untuknya bahawa ia adalah hari Dunia yang paling afdhal:
Baginda bersabda: (Hari-hari dunia yang paling afdhal adalah hari-hari yang sepuluh yakni sepuluh hari [awal] Zulhijjah). Mereka berkata: Tiada, sekalipun yang sepertinya di jalan Allah? Baginda bersabda: (Tiada, sekalipun yang sepertinya di
jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang didebukan wajahnya dengan tanah [yakni mati syahid]) [diriwayatkan oleh Al - Bazzar dan Ibnu Hibban, serta disahihkan oleh Al-Albani]

4- Di dalamnya, Hari Arafah:
Hari Arafah adalah hari Haji yang besar, hari keampunan dosa-dosa, hari pembebasan dari Neraka. Jika tidak ada di dalam sepuluh hari awal Zulhijjah melainkan hari Arafah, nescaya ia sudah memadai sebagai kelebihan.

5- Di dalamnya hari menyembelih:
Ia adalah antara hari paling afdhal di dalam setahun. Telah bersabda Nabi :
(Sesungguhnya hari-hari paling agung di sisi Allah adalah hari penyembelihan, kemudian hari Qir ). [diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud].

6- Terhimpunnya ibadah-ibadah yang besar di dalamnya:
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitab Fath Al-Bari: Yang jelasnya, sebab keistimewaan sepuluh awal Zulhijjah adalah kerana dihimpun ibadah-ibadah besar di dalamnya, iaitu Solat, Puasa, Sedekah dan Haji, dan itu tidak ada di dalam
bulan yang lain.

Kelebihan Hari Arafah

a) Hari paling ramai manusia dibebaskan daripada Neraka:
Sabda Nabi : ( Tiada mana-mana hari yang lebih banyak Allah bebas hamba padanya dari Neraka berbanding hari Arafah. Sesungguhnya Dia akan mendekat dan kemudian Dia berbangga dengan mereka kepada para malaikat, lalu Dia berkata: Apakah yang dikehendaki oleh mereka ini?) [Sahih Muslim].

b) Allah Subhanahu wa Taala berbangga kepada para malaikat di petang Arafah:
Daripada Abi Hurairah, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah :
(Sesungguhnya Allah akan berbangga dengan orang-orang Arafah kepada penduduk Langit, lalu Dia akan berkata kepada mereka: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku ini! Mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut masai dan
berdebu). [Sahih Al-Jamie’ 1867]

c) Rahmat dan keampunan:
Daripada Ibnu Umar beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah sehingga Baginda bersabda: ( Adapun wukufmu di Arafah, sesungguhnya Allah akan turun ke langit Dunia, lalu Dia akan berbangga dengan mereka kepada para Malaikat, lalu Dia berkata: Ini hamba-hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dalam keadaan kusut masai lagi berdebu dari setiap pelosok yang jauh. Mereka mengharapkan rahmat-Ku dan mereka takutkan azab-Ku sedangkan mereka tidak melihat-Ku. Bagaimanakah jika mereka melihat-Ku? Sekiranya seperti pasir yang menimbun, atau seperti bilangan hari-hari Dunia, atau seperti titisan hujan Langit dosa sekali pun, Allah akan membasuhnya darimu. Manakala lontaranmu kepada jamrah-jamrah, ia adalah simpanan untukmu. Sementara pencukuran kepalamu pula, untukmu bagi setiap helaian rambut yang gugur, satu kebaikan. Apabila kamu tawaf di Bait, kamu akan keluar dari dosa-dosamu seperti hari kamu dilahirkan oleh ibumu) [berkata Al-Albani: Hadith yang sahih]

d) Syaitan menjadi kecil pada hari Arafah:
Daripada Talhah bin Ubaidillah , beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah :
(Tidak dilihat Syaitan pada mana-mana hari yang ia lebih kecil, lebih hina, lebih tertewas, dan lebih marah berbanding hari Arafah, dari sebab apa yang ia lihat dari penurunan rahmat, pelepasan Allah Taala terhadap perkara-perkara yang besar, kecuali apa yang diperlihatkan kepadanya pada hari Badar). Maka dikatakan: Apakah yang ia lihat pada hari Badar? Baginda bersabda: (Ia melihat Jibrail mengatur para Malaikat). [dikeluarkan oleh Abd Ar-Razzaq di dalam Musonnaf beliau, dengan no. 8832, serta Imam Malik di dalam Al-Muwatto’]

e) Allah melepaskan orang yang berbuat kesalahan kerana orang yang berbuat kebaikan, dan Dia berikan orang yang berbuat kebaikan apa yang dia minta:
Daripada Bilal bin Rabah , bahawa Nabi telah bersabda pada pagi hari perhimpunan: (Wahai Bilal! Senyapkan orang ramai -atau diamkan orang ramai) kemudian Baginda bersabda: (Sesungguhnya Allah mengurniakan kelebihan ke atas kamu pada hari perhimpunan kamu ini. Dia melepaskan orang yang berbuat kesalahan kerana orang yang berbuat kebaikan, dan Dia berikan orang yang berbuat kebaikan apa yang dia minta. Bertolaklah dengan nama Allah.) [berkata Al-Albani: Hadith yang sahih. Lihat Sahih At-Tirmizi 705]

f) Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah:
Daripada Amru bin Syuaib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi bersabda: (Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, dan sebaik-baik apa yang dikatakan olehku dan nabi-nabi sebelum dariku: Tiada tuhan melainkan Allah, hanya Dia tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia terhadap setiap sesuatu Maha Berkuasa) [Sahih Al-Jamie’ 1102]

30 October 2010

Antara Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Manusia diturunkan ke bumi adalah untuk beribadah kepada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Oleh yang demikian, untuk beribadah kepada Allah swt memerlukan ilmu pengetahuan yang jelas tentang bagaimana untuk menyembah kepada Sang Pencipta. Kerana itu Allah mengutuskan para anbiya' untuk mengajar kepada sekalian manusia untuk menyembah Allah.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ


Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.” (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 25)


Peranan Aqidah Dalam Kehidupan Umat

Peranan aqidah di dalam kehidupan manusia adalah sangat penting. Allah swt telah menciptakan manusia ke bumi dan dipermudahkan kepada manusia segala bentuk kejadian di bumi untuk memudahkan manusia berinteraksi dengan alam kehidupan. Kemudahan dari segi makan minum, bernafas, bergerak dan sebagainya. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia sebaliknya manusia yang memerlukan Allah kerana Dialah Maha Pencipta.

Manusia hidup di bumi adalah kerana Allah swt, maka wajar bagi setiap individu untuk menjaga hubungannya dengan Allah swt melebihi hubungannya dengan manusia yang lain. Jadi, seandainya manusia tidak mempercayai keimanan kepada Sang Pencipta iaitu Allah swt maka sesungguhnya manusia telah kufur keimanan kepada Tuhan yang Maha Mengawal Alam.

Mencapai Pengetahuan Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

Aqidah yang sahih adalah aqidah yang bersih daripada segala pencemaran aqidah yakni dari segi mensyirikkan Allah swt, melakukan perkara bid'ah dan khurafat. Aqidah ini sahih kerana mempercayai hanya Allah sahaja Rabb yang disembah dan tidak menyekutukan selain daripada Allah swt.

Kekentalan aqidah berbeza dengan aqidah yang sahih kerana seorang muslim apabila telah beriman dengan aqidah yang sahih tidak bermakna telah kental aqidahnya kerana dia belum lagi diuji dengan ujian ketahanan iman dari segi fizikal dan mental dalam mempertahankan keimanan aqidahnya yang sahih.

Allah swt telah berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3:

{3} أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ {2} وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ 


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 


Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Maka dengan itu, amatlah berbeza orang yang beraqidah sahih sahaja dengan orang aqidahnya sahih beserta dengan kekentalan aqidah di dalam dirinya kerana orang yang kental aqidahnya telah beriman dengan aqidah yang sahih dan telah melalui proses ujian keimanan. Ketika melalui proses itu, dia telah menghadapinya berbagai-bagai mehnah ujian dan fitnah.

Apabila dia telah melepasi cabaran itu dengan berjaya, maka inilah yang dinamakan kemanisan iman bagi orang-orang yang beriman. Tidak menarik jika kita melalui sesuatu halangan dengan mudah dan berakhir dengan mudah. Seperti tiada apa yang berlaku. Oleh sebab itu, apabila kesusahan direntangi dan berjaya melepasi terasa nikmat kesusahan itu.

Jadi, bagaimana nak mencapai semangat kekentalan aqidah itu? Caranya adalah dengan menghayati kisah-kisah tauladan di dalam Al-Quran seperti kisah Nabi Musa terhadap Fir'aun, kisah Nabi Nuh, kisah Ashabul Ukhdud, kisah Ashabul Kahfi, kisah Nabi Yusuf dan macam-macam lagi kisah mengenai kemantapan iman menghadapi ujian getir.

Insya Allah kita dapat mengambil manfaat dan pengajaran daripadanya.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
7 September 2010/ 28 Ramadhan 1431H

Kepentingan Solat Istikharah Dalam Membuat Pilihan

Alhamdulillah, kita berada di zaman globalisasi iaitu zaman yang mencabar realiti kehidupan manusia sejagat amnya. Zaman yang mana mengubah cara hidup kita yang jenis 'ala kadar' kepada jenis 'moden'. Pada ketika ini, pelbagai pilihan dapat dilakukan dalam menyesuaikan diri kepada kehidupan realiti. Pun begitu, melihat kepada konteks zaman sekarang, ramai di kalangan umat Islam khususnya apabila membuat sesuatu pilihan kadang kala mereka tidak memilihnya dengan cara yang betul.

Pemilihan mereka terhadap apa-apa keputusan berkaitan dengan membuat pilihan sering kali tidak tepat berdasarkan konteks al-Quran dan al-Sunnah. Pemilihan itu termasuk segalanya yang berkaitan dengan proses kehidupan masyarakat antaranya ialah soal jodoh dan perkahwinan, soal tawaran pekerjaan, soal tawaran menyambung pelajaran, pembelian rumah baru, pembelian kereta atau motorsikal baru dan lain-lain yang berkaitan. Yang dikatakan tidak menepati cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah ialah kerana tergesa-gesa di dalam membuat pilihan dan tidak berfikir panjang untuk menentukan yang manakah yang terbaik. Mereka sering kali menyangka apabila telah melakukan sesuatu pilihan, itulah yang paling terbaik untuk diri mereka. Tidak! Sebenarnya mereka tersilap.

Pendekatan Islam Dalam Membuat Pilihan

Pendekatan Islam dalam menetapkan umatnya untuk membuat pilihan telah pun diberikan garis panduan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hal ini adalah berkaitan dengan soal petunjuk, maka tidak sewenang-wenangnya kita 'bermudah' dalam membuat pilihan. Oleh itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah mensyariatkan kepada umatnya apabila berlaku masalah dalam membuat pilihan, mohonlah petunjuk kepada Allah SWT dalam segala urusan kehidupan dan memohon kepada Allah SWT agar ditetapkan pilihan yang terbaik dalam membuat pilihan terhadap apa-apa urusan.

Maka dalam hal ini, untuk menilai sesuatu pilihan dalam membuat pilihan itu tepat mestilah berdasarkan kepada cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah. Islam tidak mengajar umatnya dalam membuat pilihan terus memilih dengan pada sangkanya adalah baik dan paling tepat. Tetapi yang diajarkan adalah dengan melakukan solat Istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Definisi Istikharah

Sebelum kita melangkah kepada cara yang bagaimana hendak melakukan Istikharah, perlu juga kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan Istikharah. Istikharah dari sudut bahasa bermaksud mencari atau meminta pilihan tentang sesuatu (Ibn Manzur, Lisanul Arab, jil 5, hlm 351).

Dari sudut istilah pula bermaksud mencari pilihan iaitu mencari dan memohon memalingkan keazaman yang tinggi kepada apa yang menjadi pilihan di sisi Allah dan yang lebih baik di sisi-Nya sama ada dengan solat atau doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW (al-Adawi Ala al-Khursyi, jil 1, hlm 36).

Langkah Melakukan Istikharah

Umumnya, solat Istikharah ini adalah pengganti kepada amalan Jahiliyyah iaitu meramal dan mengundi nasib dengan anak panah. Alhamdulillah, Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sebelum melakukan solat Istikharah, perlu dipastikan dahulu apakah sebab yang mendorong untuk melakukan solat Istikharah. Seseorang itu mestilah telah mencapai keazaman yang tinggi dalam usahanya untuk memilih pilihan yang terbaik. Apabila sudah nekad untuk membuat pilihan, bermesyuaratlah dengan orang yang diakui ketinggian ilmu agamanya tentang perkara ini. Kemudian, berserahlah segala urusan kepada Allah dengan solat Istikharah.

Imam An-Nawawi menyebut dalam al-Azkar: Disunatkan seseorang itu meminta nasihat sebelum melakukan solat Istikharah daripada orang yang diketahui tentang pengalamannya, nasihatnya dan juga orang yang boleh dipercayai akan agamanya, pengetahuan dan pengalamannya. Oleh sebab itu, al-Quran telah menjelaskan tentang memohon petunjuk dalam memilih pilihan yang terbaik. Firman Allah SWT:


وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“… dan bermusyawarahlah kepada mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dan lain-lain). Bila kamu telah membulatkan tekad, bertawakkallah kepada Allah…” (Surah 'ali-Imran ayat 159)

Istikharah Penentu Pilihan

Solat Istikharah ini dilakukan kerana ingin mendapatkan pilihan yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Istikharah merupakan jalan terakhir dalam memilih keputusan yang muktamad.

Antara contoh-contoh yang boleh diberi ialah:

1) Seorang pemuda mendapat tawaran sambung belajar. Tetapi beliau harus memilih yang mana yang terbaik kerana terdapat beberapa universiti yang menawarkan tawaran sambung belajar kepadanya.

2) Seorang pemuda ingin menunaikan hasrat untuk berumahtangga. Tetapi beliau dilanda kebuntuan apabila mendapati terdapat pilihan calon yang lebih daripada seorang. Beliau wajar memilih calon manakah yang terbaik, sekufu dan menepati kesesuaian yang dia kehendaki.

Maka dalam hal ini, solat Istikharah adalah wajar dilakukan kerana ianya antara langkah dalam menentukan pilihan mana yang tepat.
- Gambar Hiasan -
Secara amnya, adalah sunnah dalam melakukan solat Istikharah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

: إذا همَّ أحدكم بالأمر فليركع ركعتين من الفريضة - أي يصليهما سنة بنية الاستخارة - ثم يقول

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ

فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ

اَللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ -وَيُسَمَّى حَاجَتَهُ- خَيْرٌ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْهِ

وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardhu (yakni mengerjakan solat dua rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa:

Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung.

Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi.

Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini.

Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

(Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Solusi

Sebagai muslim yang bijak atau muslim yang progresif di zaman yang moden ini kita seharusnya perlu mengelakkan diri kita daripada melakukan keputusan yang terburu-buru atau tergesa-gesa dengan tidak berfikiran panjang dalam melakukan keputusan terhadap apa-apa pilihan. Hargailah nikmat Istikharah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah mengajarkan kepada umatnya keisitimewaan Istikharah ini.

Sesungguhnya, dengan mengaplikasikan cara ini dengan praktikal yang mengikut ajaran Rasullullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ianya dapat memberi manfaat kepada umat Islam dalam berpegang teguh kepada takdir qada' dan qadar Allah SWT.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 Oktober 2010/ 22 Zulkaedah 1431H

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More