30 October 2010

Antara Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Manusia diturunkan ke bumi adalah untuk beribadah kepada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Oleh yang demikian, untuk beribadah kepada Allah swt memerlukan ilmu pengetahuan yang jelas tentang bagaimana untuk menyembah kepada Sang Pencipta. Kerana itu Allah mengutuskan para anbiya' untuk mengajar kepada sekalian manusia untuk menyembah Allah.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ


Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.” (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 25)


Peranan Aqidah Dalam Kehidupan Umat

Peranan aqidah di dalam kehidupan manusia adalah sangat penting. Allah swt telah menciptakan manusia ke bumi dan dipermudahkan kepada manusia segala bentuk kejadian di bumi untuk memudahkan manusia berinteraksi dengan alam kehidupan. Kemudahan dari segi makan minum, bernafas, bergerak dan sebagainya. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia sebaliknya manusia yang memerlukan Allah kerana Dialah Maha Pencipta.

Manusia hidup di bumi adalah kerana Allah swt, maka wajar bagi setiap individu untuk menjaga hubungannya dengan Allah swt melebihi hubungannya dengan manusia yang lain. Jadi, seandainya manusia tidak mempercayai keimanan kepada Sang Pencipta iaitu Allah swt maka sesungguhnya manusia telah kufur keimanan kepada Tuhan yang Maha Mengawal Alam.

Mencapai Pengetahuan Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

Aqidah yang sahih adalah aqidah yang bersih daripada segala pencemaran aqidah yakni dari segi mensyirikkan Allah swt, melakukan perkara bid'ah dan khurafat. Aqidah ini sahih kerana mempercayai hanya Allah sahaja Rabb yang disembah dan tidak menyekutukan selain daripada Allah swt.

Kekentalan aqidah berbeza dengan aqidah yang sahih kerana seorang muslim apabila telah beriman dengan aqidah yang sahih tidak bermakna telah kental aqidahnya kerana dia belum lagi diuji dengan ujian ketahanan iman dari segi fizikal dan mental dalam mempertahankan keimanan aqidahnya yang sahih.

Allah swt telah berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3:

{3} أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ {2} وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ 


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 


Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Maka dengan itu, amatlah berbeza orang yang beraqidah sahih sahaja dengan orang aqidahnya sahih beserta dengan kekentalan aqidah di dalam dirinya kerana orang yang kental aqidahnya telah beriman dengan aqidah yang sahih dan telah melalui proses ujian keimanan. Ketika melalui proses itu, dia telah menghadapinya berbagai-bagai mehnah ujian dan fitnah.

Apabila dia telah melepasi cabaran itu dengan berjaya, maka inilah yang dinamakan kemanisan iman bagi orang-orang yang beriman. Tidak menarik jika kita melalui sesuatu halangan dengan mudah dan berakhir dengan mudah. Seperti tiada apa yang berlaku. Oleh sebab itu, apabila kesusahan direntangi dan berjaya melepasi terasa nikmat kesusahan itu.

Jadi, bagaimana nak mencapai semangat kekentalan aqidah itu? Caranya adalah dengan menghayati kisah-kisah tauladan di dalam Al-Quran seperti kisah Nabi Musa terhadap Fir'aun, kisah Nabi Nuh, kisah Ashabul Ukhdud, kisah Ashabul Kahfi, kisah Nabi Yusuf dan macam-macam lagi kisah mengenai kemantapan iman menghadapi ujian getir.

Insya Allah kita dapat mengambil manfaat dan pengajaran daripadanya.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
7 September 2010/ 28 Ramadhan 1431H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More