Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

18 October 2012

Ibadah Korban: Antara Mampu Atau Sebaliknya



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيهِ وَسَلّمْ : مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَخِّ, فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa mendapati dirinya mempunyai kemampuan (diberi rezeki untuk berkorban) lalu dia tidak mahu berkorban, maka jangan sekali-kali dia mendekati tempat solat kami.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Majah, Daraqutni dan Hakim dengan sanadnya hasan.


Lembu antara binatang korban yang dituntut untuk dilakukan sembelihan


Merujuk kepada hadis ini kita boleh lihat signifikan daripadanya bahawa Rasulullah s.a.w. sangat menekankan tentang isu ibadah korban. Ia sebagai ibadah yang sangat dituntut. Daripada hadis ini jugalah pelbagai pendapat dan pandangan telah dikeluarkan hanya melalui satu hadis ini. Misalan, daripada mazhab Hanafi iaitu pandangan Imam Abu Hanifah mengeluarkan pendapat bahawa ia sebagai wajib. Manakala daripada mazhab Syafie pula, iaitu pandangan Imam Muhammad Idris al-Syafie mengeluarkan pendapat bahawa ia sunnah muakkad (sunat yang amat dituntut).

Jika dilihat dari perspektif yang berkaitan dengan psikologi, Rasulullah s.a.w. memberi pengajaran yang sangat tegas kepada mereka yang mampu untuk berkorban namun tidak keluar untuk berkorban. Penegasan Rasulullah dengan menyatakan tidak mendekati tempat solat kami itu seolah-olah memberitahu kepada golongan yang tidak berkorban bahawa mereka tidak layak berada di sana sedangkan mereka sewajarnya turut serta untuk berkorban.

Dalam keadaan masyarakat kini, ibadah korban banyak dilakukan. Ada di dalam dan di luar Malaysia. Ada juga yang dilakukan untuk seekor binatang korban atau satu bahagian daripada binatang korban. Jika kita di kalangan yang sangat berkemampuan, berkorban untuk seekor. Jika kita di kalangan yang kurang berkemampuan, berkorbanlah untuk satu bahagian. Andai kita memang tidak mampu, misalan di Malaysia satu bahagian RM420, kita gunakan saluran daripada luar Malaysia. Sebagai contoh di Kemboja, satu bahagian RM260.

Apalah sangat harta kita ini jika nak dibandingkan korban untuk ibadah korban yang meningkatkan pahala dan nilai taqwa kita di Akhirat kelak. Selagi diberi peluang oleh Allah s.w.t. untuk meraih nikmat dan rezeki daripada-Nya, gunakanlah harta yang dimiliki untuk jalan-Nya. Takut-takut apabila Allah s.w.t. tarik nikmat-Nya daripada kita, apapun kita tak boleh nak sumbang untuk jalan-Nya.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kuala Lumpur
18 Oktober 2012/2 Zulhijjah 1433H

03 October 2012

Ibrah Daripada Perjuangan Nabi Musa


Antara faktor kemanisan iman dan lancarnya perjuangan dakwah menegakkan kalimah tauhid adalah mengambil pelajaran daripada kisah para anbiya'. Lihat bagaimana mereka memperjuangkan dakwah mereka.

Ketika mereka diuji, apakah mereka seperti malaikat yang tidak kelihatan dakwah mereka terancam atau mereka sangat kental menghadapinya. Tidak, bahkan mereka sama seperti manusia biasa yang adakalanya turun naik iman. Tetapi, Allah memberikan peringatan dan keyakinan di dalam menyampaikan mesej dakwah kepada kaum masing-masing agar thabat di jalan-Nya, teguh di dalam pendirian dan sabar ketika menghadapi ujian daripada kaum mereka.


dakwah tidak mengenal tempat dan masa

Perjuangan Musa

Sebagai contoh, Nabi Musa a.s. merupakan nabi kepada kaum Bani Israil. Beliau keluar meninggalkan Mesir setelah diburu oleh orang-orang Firaun. Ini berikutan tindakan Musa yang tidak sengaja membunuh salah seorang di antara dua orang yang bertelagah di pasar.

Oleh kerana kejadian itu, Musa meninggalkan Mesir dan mencari tempat untuk berlindung daripada ancaman musuh. Ketika Musa berjalan, ia tiba di Madyan dan mengharapkan agar menunjukkan jalan yang benar.





Dan setelah dia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah dia dengan berkata: Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.

Rentetan daripada kisah Musa melalui surah al-Qasas daripada ayat 22 hingga 25 sebenarnya merupakan sebahagian daripada mutiara dakwah yang boleh kita ambil pengajarannya. Al-Quran menceritakan bagaimana perjalanan Musa itu mempunyai keajaiban yang tersendiri dalam mendapatkan petunjuk di jalan benar dan meraih rezeki yang tidak disangka-sangka. Itu keajaiban dalam bertawakal dengan penuh pengharapan.


Doa Musa Tatkala Merintih

Kisah Musa ini bertambah lebih menarik apabila ulasan oleh Dr Mohd Asri melalui video di bawah ini menggambarkan kehebatan tawakal itu berpunca daripada doa yang diamalkan oleh Musa.



Antara doa yang Nabi Musa amalkan ketika dalam perjalanan ke Madyan dan apabila tiba Madyan adalah:

عَسَىٰ رَبِّي أَن يَهْدِيَنِي سَوَاءَ السَّبِيلِ 
Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ 
Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.

Jika dilihat dari struktur ayat daripada doa-doa ini, ia menunjukkan dalamnya rintihan Nabi Musa kepada Allah s.w.t. ketika beliau diuji dengan hebat di Mesir. Musa juga adalah seorang hamba yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Ia merintih dengan penuh pengharapan agar Allah memberikan kemudahan menemui kebenaran dan dipermudahkan juga pemberian rezeki.

Tawakal itu sememang perkara yang sangat ajaib. Tuhan apabila ingin memberi sesuatu kepada hamba-Nya, dalam apa jua keadaan pun Dia akan beri tanpa kita ketahui. Tetapi tanpa penuh pengharapan melalui tawakal, ia tidak menjamin pemberian secara langsung daripada Allah. Maka, sentiasalah kita berdoa dan bertawakal dengan bergantung sepenuh harapan agar Dia sentiasa memberikan kepada kita apabila kita memohon pertolongan kepada-Nya.

Cukuplah kisah Nabi Musa menjadi pengajaran kepada kita agar sentiasa tawakal kepada Allah itu dengan penuh harapan dan ikhlas di dalam perjuangan hidup.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kuala Terengganu, Terengganu
3 Oktober 2012/17 Zulkaedah 1433H

01 October 2012

Ibrah Ujian Firaun Terhadap Musa Dan Kaumnya




Gambar menunjukkan padang pasir di Mesir


Untuk menjadi orang yang beriman, cara yang Allah berikan ialah memberi ujian. Ia sebagai batu loncatan untuk mengetahui sejauh mana kita mampu meneguhkan keimanan dengan ujian yang diberikan oleh Allah. Seseorang itu tidak akan dilihat benar-benar beriman melainkan ia diuji dengan ujian demi ujian oleh Allah s.w.t.

Para anbiya' kebanyakannya diuji dengan berbagai ujian daripada kaumnya. Nabi Nuh, Musa, Ibrahim dan Muhammad umpamanya. Pelbagai ujian yang ditempuhi untuk menegakkan tauhid kepada kaum mereka namun tidak semudah itu mereka hendak beriman kerana telah tertanam dalam jiwa mereka ajaran nenek moyang yang telah diamalkan.


Perjuangan Musa Dan Kaumnya

Nabi Musa sebagai contoh berdakwah kepada Firaun serta kaumnya. Al-Quran merakamkan pelbagai kisah mengenai perjuangan dan pengorbanan beliau sebagai seorang nabi bahkan seorang rasul yang hebat di bumi Mesir. Surah al-Baqarah antara yang banyak mengisahkan tentang kisah nabi Musa namun saya tertarik untuk memetik kisah nabi Musa di dalam beberapa ayat dari surah Yunus iaitu dari ayat 83 hingga 86.




Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi dan sebenarnya dia dari orang-orang yang melampaui batas. 
Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah). 
Lalu mereka berkata: Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. 
Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.

Sesungguhnya, tatkala ada sebahagian kaum Nabi Musa yang hendak mengimani apa yang disampaikan oleh beliau, tidak ramai yang berani kerana pengaruh kuasa firaun. Di dalam ketakutan yang melanda pada diri mereka, Nabi Musa memberi kata-kata yang berbentuk motivasi yang bakal menaikkan lagi semangat mereka di dalam keimanan dan ketaqwaan mereka kepada Allah iaitu:

Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).

Allah memberi jaminan keselamatan diri kepada mereka yang benar-benar beriman dan bersungguh dalam kebergantungan kepada Allah. Buktinya, lihatlah bagaimana pengorbanan yang telah memenangkan Islam setelah syahidnya beberapa para sahabat yang berjuang ketika orang-orang Islam diuji dengan hebat oleh kaum musyrikin Quraisy di Makkah.

Dengan rasa keimanan yang teguh, mereka berdoa dengan penuh pengharapan kepada Allah agar dilindungi daripada fitnah (ujian) yang melanda mereka. Begitulah hebatnya jiwa insan yang kebergantungan mereka sepenuhnya kepada Allah s.w.t. tanpa memerlukan selain daripada Allah s.w.t. walaupun diuji dengan kecaman yang begitu dahsyat oleh Firaun dan kuncu-kuncunya.


Ibrah Pengorbanan Kaum Musa

Melalui beberapa ayat ini kita boleh dapati pengajaran bermakna di dalam proses kehidupan kita. Antaranya adalah memahami bahawa dalam kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada hidup penuh dengan ujian lebih-lebih kita sekarang berada di zaman fitnah yang sangat dahsyat. Oleh kerana itu, bawalah dengan kemas bekalan iman dan taqwa supaya selamat aqidah kita daripada terjerumus di lembah kesesatan.

Intipati seterusnya adalah kesungguhan di dalam tawakal kepada Allah s.w.t. tanpa sebarang perasaan ragu-ragu, was-was dan syak wasangka. Perkara ini jarang tersemat pada setiap individu muslim pada zaman ini. Puncanya kerana lemahnya iman dan kurangnya keyakinan di dalam aqidah mereka. Jika setiap individu muslim mempunyai tawakal yang tinggi terhadap Allah s.w.t. tanpa sebarang keraguan dan tidak mengharapkan selain daripadaNya, sudah pasti akan ada kelompok seperti mana yang disebutkan di dalam surah Yunus ini.

Jika kita hendak menjadi mukmin yang benar-benar takutkan Allah, maka perbaikilah diri kita dari segi iman dan taqwa, sabar ketika ditempuh pelbagai ujian, redha di atas apa yang menimpa dan tawakal dengan sepenuh keyakinan kepada Allah s.w.t. di mana kita berada dan pada situasi apa pun yang menimpa pada diri kita.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Dungun, Terengganu
1 Oktober 2012/15 Zulkaedah 1433H

17 July 2012

Ramadhan Kembali Lagi



Sempena ketibaan Ramadhan 1433H, marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala yang berganda. Oleh itu, di atas ini merupakan satu alternatif berkenaan amalan-amalan yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. untuk diamalkan di dalam bulan Ramadhan.


02 March 2012

Bongkar Syiah

Allah s.w.t. memberikan setiap manusia ilmu dan hidayah kepada hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa serta mereka yang benar-benar ingin menemui jalan kebenaran. Namun, dalam itu ada juga tersesat kerana kesombongan diri dan kerana taasub.

Begitu jugalah dengan fahaman Syiah yang mana telah melanda dengan kuat di Malaysia. Maka, apabila hadirnya program Eksklusif TV1 yang membicarakan tentang isu fahaman Syiah, ia sangat memberikan manfaat yang sangat baik untuk tontonan umum seluruh masyarakat Malaysia agar didedahkan tentang bahayanya Syiah supaya masyarakat Islam di Malaysia tidak terpengaruh akan fahaman ini yang lebih kepada fanatik, taasub dan bersifat emosi.

Berikut adalah rakaman program Eksklusif TV1 berkenaan isu Syiah.




23 February 2012

Bila Orang Jahil Berbicara

Dunia tanpa sempadan membawa kepada kita satu dimensi tentang perkembangan maklumat yang cukup luas terbuka tanpa sekatan. Tetapi pada ketika wujudnya fenomena baru ini, terdapat juga sebilangan manusia yang memainkan peranan yang kurang bijak iaitu berlagak pandai dalam berbicara mengenai hal-hal berkaitan dengan agama.

Ini merupakan tulisan yang berbentuk santai yang hendak membuka ruang bicara dalam menggunakan akal secara kritis.

- Gambar Hiasan -

Secara umumnya, seorang muslim itu beliau beriman dengan rukun iman dan rukun Islam yang telah diajarkan secara asasnya pada peringkat mukallaf. Kemudian, apabila telah meningkat dewasa, beliau akan terpengaruh dengan pelbagai ideologi, pemikiran, budaya, fahaman dan pergaulan bebas. Di sini, titik mulanya penglibatan seorang muslim kepada kancah yang teruk iaitu sama ada beliau dapat menangkis perkara yang bakal merosakkan kehidupannya sebagai seorang muslim atau menjadi muslim hanya pada nama tetapi tidak menjaga hubungan kepada Allah s.w.t.

Bermula dari sini, kita dapati pola pemikiran seorang muslim ini akan berubah dan bagaimana beliau melakukan input proses dan output. Tindak balas yang positif atau negatif pemangkin kepada kehidupannya yang seterusnya. Jika beliau menerima gejala ini dengan berlapang dada, maka akibatnya sangat buruk dan ia akan mencerminkan wataknya sebagai seorang yang lebih ke arah yang mahukan cara yang negatif.

Oleh kerana itu, apabila muslim seperti ini telah berjaya 'dihidupkan' disebabkan oleh gejala sosial, maksiat berleluasa dan perkara lucah sering menjadi hiburan bahkan terpapar secara awam di Internet, maka ini menyebabkan bahaya yang tinggi apabila golongan seperti ini mahu menunjuk 'alim.

Seseorang itu jika tahu dirinya itu seorang yang tegar kepada gejala sosial, banyak berkata-kata lucah, kesat, mencarut dan memaki hamun, usahlah cuba untuk menjadi hero dalam urusan agama. Ditambah pula jika golongan seperti ini tidak menunaikan solat, banyak membuang masa di Internet dengan perkara yang lucah dan terikut-ikut dengan trend masa kini, maka adakah layak mereka ini untuk bercakap di dalam komuniti atau di Internet tentang urusan agama? Lebih malang bila ada di antara mereka ini yang bercakap dalam hal ini sedangkan mereka tidak tahu akan kesahihan fakta yang mereka sebutkan itu.

Umpamanya, mereka mengatakan tentang kesesatan Wahhabi. Dengan bersemangat dan beria bercakap dengan kawan-kawan sekerja. Namun, hubungannya dengan Allah s.w.t. diabaikan dan bukti yang dibawa pula tidak sahih. Apakah kita dapat menerima perkara yang ditampilkan seperti ini?

Islam itu adalah agama dialog dan hujah. Di dalamnya terkandung pelbagai fakta dan hujah serta nas daripada al-Quran dan hadis. Jika orang seperti ini bercakap mewakili Islam, pasti akan rosak kerana dari segi hubungan dengan Allah s.w.t. sudah terjejas, dari segi akhlak amatlah terjejas dan dari fakta amatlah salah bahkan membawa kedustaan.

Oleh yang demikian, seandainya kita tahu kita ini jahil dan sering melakukan dosa apa perlunya kita berlagak hebat dan 'alim? Renungkanlah bahawa yang lebih utama adalah kita hapuskan dosa yang ada di dalam diri kita dan binalah kehidupan yang baru iaitu membawa diri untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. agar dapat mencium bau syurga yang kita idamkan itu.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Melaka Raya, Melaka
23 Februari/30 Rabiulawal 1433H

26 January 2012

Nikmat Yang Sukar Dimiliki

- Gambar Hiasan -
Manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menjadi seorang muslim adalah manusia yang bukan calang-calang. Namun, di dalam hidup menjadi seorang muslim terdapat pelbagai cabaran dan rintangan dalam usaha untuk menjadi mukmin yang beriman. Kerana itulah lumrah dan asam garam di dalam kehidupan. Manusia itu tidak akan merasai kenikmatan dalam menjadi hamba kepada Allah s.w.t. setelah mereka menerima ujian oleh Allah s.w.t.

Kadangkala manusia itu sering lupa dan ingkar akan perintah dan larangan Allah s.w.t. Mereka ini yang dikatakan sebagai lupa, ingkar dan kufur nikmat. Apakah mereka sudah lama hidup di dunia untuk sombong dan bongkak terhadap Allah s.w.t.? Sedangkan Allah s.w.t itulah yang menghidupkan mereka, memberikan nikmat rezeki kepada mereka dan kemudiannya mematikan mereka tatkala di akhir hayat mereka.

Wahai insan, muhasabahlah dan insafilah dirimu sebelum ajal menimpamu. Kelak kamu tidak sempat untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Renungilah firman Allah s.w.t. ini:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahman: 18)

Allah s.w.t. telah memberikan nikmat yang paling berharga dalam hidup. Nikmat hidup yang paling berharga itu adalah nikmat menjadi seorang Islam dan beriman kepada Allah s.w.t. Cukuplah dengan nikmat ini kita menjadi di kalangan orang paling beruntung. Ia melebihi segala nikmat yang ada di dunia ini. Maka, apakah tegar untuk kita mendustai nikmat-nikmat yang telah Allah s.w.t limpahkan kepada kita?

Sesungguhnya manusia yang rugi adalah manusia yang tidak pernah menghargai nikmat yang Allah s.w.t telah berikan di dalam usia hidup kita di dunia ini. Dunia ini tiada apa melainkan hanya fantasi semata. Ia hanya material dan ia tidak kekal selamanya. Diberikan dunia ini kerana Allah s.w.t. hendak menguji apakah kita boleh mencapai tahap keimanan yang tinggi dalam menjadi mukmin yang bertaqwa.

Di dalam hidup ini, nilai paling tinggi adalah hidup berpendirian. Andai nikmat seperti ini kita lepaskan dan beriya mengejar dunia, apa untungnya? Teringat akan kata-kata Hamka iaitu:

Hidup bukanlah bilangan tahun dan nilainya bukanlah berapa emas tertumpuk. Hidup adalah pendirian dan kepercayaan. Konsekuensi dari pendirian dan kepercayaan ialah perjuangan. Berhenti berpendirian, lalu berhenti berjuang, nescaya berhentilah hidup. Walau badan masih di dunia,walau nafas masih turun naik.

Orang lain ada yang berusaha dan ada juga yang terpalit dalam berjuang untuk memiliki nikmat seperti ini. Tapi, kita telah memilikinya harus berpegang teguh kepadanya dan janganlah melepaskannya dengan mudah ibarat mencurah air ke daun keladi.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
26 Januari 2012/2 Rabiulawal 1433H

25 January 2012

Mengapa Hadith Palsu Dibenci?

- Gambar Hiasan -
Di era zaman perkembangan teknologi dan globalisasi, kita dapati masyarakat Islam di Malaysia kebanyakannya telah membuka mata dan minda mereka kepada keluasan ilmu pengetahuan serta maklumat. Ramai juga di antara mereka yang diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk dibukakan mata dan pemikiran dek kerana pemikiran rasional yang memainkan peranan dalam hidup beragama. Ini disebabkan kepesatan maklumat yang tersebar secara meluas di Internet dan juga kerana keyakinan mereka bahawa Islam itu tunjangnya fakta dan hujah bukannya bersandarkan cerita rekaan semata.

Dengan fenomena ini, ramai yang mula mendekatkan diri kepada Islam yang mementingkan fakta dan hujah. Mereka mula mempelajari daripada guru-guru yang bertauliah tentang syariatullah dan sunnatullah yang banyak menekankkan soal fakta dan hujah. Maka, kesan yang kita dapati melalui fenomena ini, para pendakwah mula berhati-hati dalam memberikan sebarang bukti di dalam ceramah mereka. Ini kerana mereka khuatir akan disiasat apa yang mereka sebut ini benarkah mempunyai sandaran yang sahih atau tidak.

Namun, terdapat juga kes terpencil di mana ada pendakwah yang masih menggunakan kaedah lama iaitu bercakap di dalam ceramahnya tanpa membawa membawa fakta yang sahih bahkan ternyata kepalsuannya melalui logik akal dan ulasan para 'ulama. Ia termasuk juga isu para pendakwah yang sering membawa hadith-hadith yang jelas kepalsuannya atau yang tiada sandaran kepada Rasulullah s.a.w. Ini yang dibenci oleh agama kerana memainkan peranan membawa hadith-hadith palsu ke dalam masyarakat. Ketahuilah bahawa hadith-hadith palsu inilah yang telah menjahanamkan dan merosakkan tamadun dunia Islam.

Ancaman Hadith Palsu

Hadith palsu sememangnya suatu fenomena yang sangat dibenci. Ini kerana ia merosakkan keunikan yang tersendiri yang ada pada agama Islam yang asli. Oleh sebab itu, muncul pelbagai hadith tentang amaran penyebaran hadith palsu. Seperti mana hadith-hadith yang berikut:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَفْعَدَهُ مِنَ النَّارِ 

“Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti  berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam api Neraka”. (Riwayat Bukhari dalam kitab Janaiz dan Mukaddimah Sahih Muslim)

يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ , يَأْتُوكُمْ مِنَ الأَحَادِيثِ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلا آبَاؤُكُمْ , فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لا يُضِلُّوكُمْ وَلا يَفْتِنُوكُمْ

"Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)". (Mukaddimah Sahih Muslim)

Oleh kerana itu hadith palsu sangat dibenci kerana ia mengandungi fakta yang tidak tepat, kisah yang tidak dapat diterima daripada akal yang waras dan membawa kepada kemunduran pemikiran ummah. Maka sebab itu, tabi'i besar iaitu Muhammad Ibnu Sirin (w.110) berkata dalam mengelakkan daripada fenomena berlakunya penyebaran hadith palsu:

Mereka (iaitu ulama hadith) tidak bertanyakan tentang sanad, tetapi apabila terjadinya peristiwa fitnah, mereka berkata, 'Sebutkan kepada kami nama periwayat kamu. Apabila dilihat yang menyampaikannya Ahl al-Sunnah, maka hadithnya diterima, tetapi apabila yang menyampaikannya ahl bid'ah, maka hadithnya ditolak.' (Mukaddimah Sahih Muslim)

Pesanan Kepada Penyebar Hadith Palsu

Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan dunia Islam pada tempoh yang agak lama. Wahyu telah pun terputus. Apa yang menjadi petunjuk dan sandaran kita untuk berpegang teguh kepada Islam yang asli adalah al-Quran dan as-Sunnah. Ingatlah akan wasiat beliau yang begitu membekam jiwa iaitu:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى  عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّارِ.

"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan.  Kami berkata:  Wahai Rasulullah!  Seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami.  Baginda  bersabda:  Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.  Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk.  Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham.  Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat". (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi: Hadis Hasan Sahih)

Maka, apakah tegar kita melakukan bid'ah iaitu menyebarkan hadith palsu yang jelas menipu di dalam urusan agama dengan menjual nama Rasulullah sedangkan beliau tidak pernah menyebutkannya? Insafilah dirimu wahai penyebar hadith palsu. Hentikan gejala buruk yang merosakkan sistem dan keindahan Islam yang sudah pun kelihatan sempurna atas sebab tertegaknya manhaj as-Sunnah.

Tidak perlu kita menambah apa yang telah cukup sempurna kerana setiap yang ditambah itu menampakkan keburukan. Ingatlah bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

 ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu."(al-Maidah: 3)

Kesempurnaan di dalam Islam itu telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Maka, tidak perlu untuk mereka hadith-hadith palsu untuk dibawa masuk ke dalam masyarakat. Banyak lagi hadith-hadith sahih yang boleh membimbing manusia ke arah beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
25 Januari 2012/1 Rabiul Awal 1433H

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More