26 January 2012

Nikmat Yang Sukar Dimiliki

- Gambar Hiasan -
Manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk menjadi seorang muslim adalah manusia yang bukan calang-calang. Namun, di dalam hidup menjadi seorang muslim terdapat pelbagai cabaran dan rintangan dalam usaha untuk menjadi mukmin yang beriman. Kerana itulah lumrah dan asam garam di dalam kehidupan. Manusia itu tidak akan merasai kenikmatan dalam menjadi hamba kepada Allah s.w.t. setelah mereka menerima ujian oleh Allah s.w.t.

Kadangkala manusia itu sering lupa dan ingkar akan perintah dan larangan Allah s.w.t. Mereka ini yang dikatakan sebagai lupa, ingkar dan kufur nikmat. Apakah mereka sudah lama hidup di dunia untuk sombong dan bongkak terhadap Allah s.w.t.? Sedangkan Allah s.w.t itulah yang menghidupkan mereka, memberikan nikmat rezeki kepada mereka dan kemudiannya mematikan mereka tatkala di akhir hayat mereka.

Wahai insan, muhasabahlah dan insafilah dirimu sebelum ajal menimpamu. Kelak kamu tidak sempat untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Renungilah firman Allah s.w.t. ini:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Ar-Rahman: 18)

Allah s.w.t. telah memberikan nikmat yang paling berharga dalam hidup. Nikmat hidup yang paling berharga itu adalah nikmat menjadi seorang Islam dan beriman kepada Allah s.w.t. Cukuplah dengan nikmat ini kita menjadi di kalangan orang paling beruntung. Ia melebihi segala nikmat yang ada di dunia ini. Maka, apakah tegar untuk kita mendustai nikmat-nikmat yang telah Allah s.w.t limpahkan kepada kita?

Sesungguhnya manusia yang rugi adalah manusia yang tidak pernah menghargai nikmat yang Allah s.w.t telah berikan di dalam usia hidup kita di dunia ini. Dunia ini tiada apa melainkan hanya fantasi semata. Ia hanya material dan ia tidak kekal selamanya. Diberikan dunia ini kerana Allah s.w.t. hendak menguji apakah kita boleh mencapai tahap keimanan yang tinggi dalam menjadi mukmin yang bertaqwa.

Di dalam hidup ini, nilai paling tinggi adalah hidup berpendirian. Andai nikmat seperti ini kita lepaskan dan beriya mengejar dunia, apa untungnya? Teringat akan kata-kata Hamka iaitu:

Hidup bukanlah bilangan tahun dan nilainya bukanlah berapa emas tertumpuk. Hidup adalah pendirian dan kepercayaan. Konsekuensi dari pendirian dan kepercayaan ialah perjuangan. Berhenti berpendirian, lalu berhenti berjuang, nescaya berhentilah hidup. Walau badan masih di dunia,walau nafas masih turun naik.

Orang lain ada yang berusaha dan ada juga yang terpalit dalam berjuang untuk memiliki nikmat seperti ini. Tapi, kita telah memilikinya harus berpegang teguh kepadanya dan janganlah melepaskannya dengan mudah ibarat mencurah air ke daun keladi.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
26 Januari 2012/2 Rabiulawal 1433H

2 Teguran:

Nikmat yang sukar dimiliki: al-Qur'an. Tanpanya, mustahil ketenangan hidup dapat diraih, apatah lagi dalam menghadapi pelbagai fitnah dan ujian yang menimpa dalam meneruskan kehidupan pengabdian diri kepada Allah SWT.

'ala kulli hal, artikel yang baik :)

Sebenarnya, fokus tulisan ini tentang tazkiyatun nafs. Maka, oleh sebab itu nikmat yang sukar dimiliki ini ditumpukan kepada nikmat iman dan nikmat islam.

Al-Quran, ia adalah wahyu. Bukan sebagai nikmat. Ia sebagai petunjuk dan pedoman menuju jalan ke Jannah.

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More