30 October 2010

Kepentingan Solat Istikharah Dalam Membuat Pilihan

Alhamdulillah, kita berada di zaman globalisasi iaitu zaman yang mencabar realiti kehidupan manusia sejagat amnya. Zaman yang mana mengubah cara hidup kita yang jenis 'ala kadar' kepada jenis 'moden'. Pada ketika ini, pelbagai pilihan dapat dilakukan dalam menyesuaikan diri kepada kehidupan realiti. Pun begitu, melihat kepada konteks zaman sekarang, ramai di kalangan umat Islam khususnya apabila membuat sesuatu pilihan kadang kala mereka tidak memilihnya dengan cara yang betul.

Pemilihan mereka terhadap apa-apa keputusan berkaitan dengan membuat pilihan sering kali tidak tepat berdasarkan konteks al-Quran dan al-Sunnah. Pemilihan itu termasuk segalanya yang berkaitan dengan proses kehidupan masyarakat antaranya ialah soal jodoh dan perkahwinan, soal tawaran pekerjaan, soal tawaran menyambung pelajaran, pembelian rumah baru, pembelian kereta atau motorsikal baru dan lain-lain yang berkaitan. Yang dikatakan tidak menepati cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah ialah kerana tergesa-gesa di dalam membuat pilihan dan tidak berfikir panjang untuk menentukan yang manakah yang terbaik. Mereka sering kali menyangka apabila telah melakukan sesuatu pilihan, itulah yang paling terbaik untuk diri mereka. Tidak! Sebenarnya mereka tersilap.

Pendekatan Islam Dalam Membuat Pilihan

Pendekatan Islam dalam menetapkan umatnya untuk membuat pilihan telah pun diberikan garis panduan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hal ini adalah berkaitan dengan soal petunjuk, maka tidak sewenang-wenangnya kita 'bermudah' dalam membuat pilihan. Oleh itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah mensyariatkan kepada umatnya apabila berlaku masalah dalam membuat pilihan, mohonlah petunjuk kepada Allah SWT dalam segala urusan kehidupan dan memohon kepada Allah SWT agar ditetapkan pilihan yang terbaik dalam membuat pilihan terhadap apa-apa urusan.

Maka dalam hal ini, untuk menilai sesuatu pilihan dalam membuat pilihan itu tepat mestilah berdasarkan kepada cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah. Islam tidak mengajar umatnya dalam membuat pilihan terus memilih dengan pada sangkanya adalah baik dan paling tepat. Tetapi yang diajarkan adalah dengan melakukan solat Istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Definisi Istikharah

Sebelum kita melangkah kepada cara yang bagaimana hendak melakukan Istikharah, perlu juga kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan Istikharah. Istikharah dari sudut bahasa bermaksud mencari atau meminta pilihan tentang sesuatu (Ibn Manzur, Lisanul Arab, jil 5, hlm 351).

Dari sudut istilah pula bermaksud mencari pilihan iaitu mencari dan memohon memalingkan keazaman yang tinggi kepada apa yang menjadi pilihan di sisi Allah dan yang lebih baik di sisi-Nya sama ada dengan solat atau doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW (al-Adawi Ala al-Khursyi, jil 1, hlm 36).

Langkah Melakukan Istikharah

Umumnya, solat Istikharah ini adalah pengganti kepada amalan Jahiliyyah iaitu meramal dan mengundi nasib dengan anak panah. Alhamdulillah, Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sebelum melakukan solat Istikharah, perlu dipastikan dahulu apakah sebab yang mendorong untuk melakukan solat Istikharah. Seseorang itu mestilah telah mencapai keazaman yang tinggi dalam usahanya untuk memilih pilihan yang terbaik. Apabila sudah nekad untuk membuat pilihan, bermesyuaratlah dengan orang yang diakui ketinggian ilmu agamanya tentang perkara ini. Kemudian, berserahlah segala urusan kepada Allah dengan solat Istikharah.

Imam An-Nawawi menyebut dalam al-Azkar: Disunatkan seseorang itu meminta nasihat sebelum melakukan solat Istikharah daripada orang yang diketahui tentang pengalamannya, nasihatnya dan juga orang yang boleh dipercayai akan agamanya, pengetahuan dan pengalamannya. Oleh sebab itu, al-Quran telah menjelaskan tentang memohon petunjuk dalam memilih pilihan yang terbaik. Firman Allah SWT:


وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“… dan bermusyawarahlah kepada mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dan lain-lain). Bila kamu telah membulatkan tekad, bertawakkallah kepada Allah…” (Surah 'ali-Imran ayat 159)

Istikharah Penentu Pilihan

Solat Istikharah ini dilakukan kerana ingin mendapatkan pilihan yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Istikharah merupakan jalan terakhir dalam memilih keputusan yang muktamad.

Antara contoh-contoh yang boleh diberi ialah:

1) Seorang pemuda mendapat tawaran sambung belajar. Tetapi beliau harus memilih yang mana yang terbaik kerana terdapat beberapa universiti yang menawarkan tawaran sambung belajar kepadanya.

2) Seorang pemuda ingin menunaikan hasrat untuk berumahtangga. Tetapi beliau dilanda kebuntuan apabila mendapati terdapat pilihan calon yang lebih daripada seorang. Beliau wajar memilih calon manakah yang terbaik, sekufu dan menepati kesesuaian yang dia kehendaki.

Maka dalam hal ini, solat Istikharah adalah wajar dilakukan kerana ianya antara langkah dalam menentukan pilihan mana yang tepat.
- Gambar Hiasan -
Secara amnya, adalah sunnah dalam melakukan solat Istikharah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

: إذا همَّ أحدكم بالأمر فليركع ركعتين من الفريضة - أي يصليهما سنة بنية الاستخارة - ثم يقول

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ

فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ

اَللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ -وَيُسَمَّى حَاجَتَهُ- خَيْرٌ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْهِ

وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardhu (yakni mengerjakan solat dua rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa:

Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung.

Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi.

Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini.

Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

(Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Solusi

Sebagai muslim yang bijak atau muslim yang progresif di zaman yang moden ini kita seharusnya perlu mengelakkan diri kita daripada melakukan keputusan yang terburu-buru atau tergesa-gesa dengan tidak berfikiran panjang dalam melakukan keputusan terhadap apa-apa pilihan. Hargailah nikmat Istikharah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah mengajarkan kepada umatnya keisitimewaan Istikharah ini.

Sesungguhnya, dengan mengaplikasikan cara ini dengan praktikal yang mengikut ajaran Rasullullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ianya dapat memberi manfaat kepada umat Islam dalam berpegang teguh kepada takdir qada' dan qadar Allah SWT.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 Oktober 2010/ 22 Zulkaedah 1431H

7 Teguran:

assalamualaikum, terima kasih sy ucapkan kpd encik ikmal sbb post artikel ni. artikel ni mmberi bgitu bnyk manfaat buat sy n yg lain juga.sy dlm dilema utk mmilih sama ada nk mneruskan STAM atau panggilan U. btw, keep it up :)
*sharing is caring!

terima kasih atas artikel ini.. semoga Allah membarkati

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More