Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

30 October 2010

Antara Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Manusia diturunkan ke bumi adalah untuk beribadah kepada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah swt di dalam Surah Az-Zariyat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Oleh yang demikian, untuk beribadah kepada Allah swt memerlukan ilmu pengetahuan yang jelas tentang bagaimana untuk menyembah kepada Sang Pencipta. Kerana itu Allah mengutuskan para anbiya' untuk mengajar kepada sekalian manusia untuk menyembah Allah.

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ


Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.” (Surah Al-Anbiya’ : Ayat 25)


Peranan Aqidah Dalam Kehidupan Umat

Peranan aqidah di dalam kehidupan manusia adalah sangat penting. Allah swt telah menciptakan manusia ke bumi dan dipermudahkan kepada manusia segala bentuk kejadian di bumi untuk memudahkan manusia berinteraksi dengan alam kehidupan. Kemudahan dari segi makan minum, bernafas, bergerak dan sebagainya. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia sebaliknya manusia yang memerlukan Allah kerana Dialah Maha Pencipta.

Manusia hidup di bumi adalah kerana Allah swt, maka wajar bagi setiap individu untuk menjaga hubungannya dengan Allah swt melebihi hubungannya dengan manusia yang lain. Jadi, seandainya manusia tidak mempercayai keimanan kepada Sang Pencipta iaitu Allah swt maka sesungguhnya manusia telah kufur keimanan kepada Tuhan yang Maha Mengawal Alam.

Mencapai Pengetahuan Aqidah Sahih Dan Kekentalan Aqidah

Aqidah yang sahih adalah aqidah yang bersih daripada segala pencemaran aqidah yakni dari segi mensyirikkan Allah swt, melakukan perkara bid'ah dan khurafat. Aqidah ini sahih kerana mempercayai hanya Allah sahaja Rabb yang disembah dan tidak menyekutukan selain daripada Allah swt.

Kekentalan aqidah berbeza dengan aqidah yang sahih kerana seorang muslim apabila telah beriman dengan aqidah yang sahih tidak bermakna telah kental aqidahnya kerana dia belum lagi diuji dengan ujian ketahanan iman dari segi fizikal dan mental dalam mempertahankan keimanan aqidahnya yang sahih.

Allah swt telah berfirman di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3:

{3} أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ {2} وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ 


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 


Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Maka dengan itu, amatlah berbeza orang yang beraqidah sahih sahaja dengan orang aqidahnya sahih beserta dengan kekentalan aqidah di dalam dirinya kerana orang yang kental aqidahnya telah beriman dengan aqidah yang sahih dan telah melalui proses ujian keimanan. Ketika melalui proses itu, dia telah menghadapinya berbagai-bagai mehnah ujian dan fitnah.

Apabila dia telah melepasi cabaran itu dengan berjaya, maka inilah yang dinamakan kemanisan iman bagi orang-orang yang beriman. Tidak menarik jika kita melalui sesuatu halangan dengan mudah dan berakhir dengan mudah. Seperti tiada apa yang berlaku. Oleh sebab itu, apabila kesusahan direntangi dan berjaya melepasi terasa nikmat kesusahan itu.

Jadi, bagaimana nak mencapai semangat kekentalan aqidah itu? Caranya adalah dengan menghayati kisah-kisah tauladan di dalam Al-Quran seperti kisah Nabi Musa terhadap Fir'aun, kisah Nabi Nuh, kisah Ashabul Ukhdud, kisah Ashabul Kahfi, kisah Nabi Yusuf dan macam-macam lagi kisah mengenai kemantapan iman menghadapi ujian getir.

Insya Allah kita dapat mengambil manfaat dan pengajaran daripadanya.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
7 September 2010/ 28 Ramadhan 1431H

Kepentingan Solat Istikharah Dalam Membuat Pilihan

Alhamdulillah, kita berada di zaman globalisasi iaitu zaman yang mencabar realiti kehidupan manusia sejagat amnya. Zaman yang mana mengubah cara hidup kita yang jenis 'ala kadar' kepada jenis 'moden'. Pada ketika ini, pelbagai pilihan dapat dilakukan dalam menyesuaikan diri kepada kehidupan realiti. Pun begitu, melihat kepada konteks zaman sekarang, ramai di kalangan umat Islam khususnya apabila membuat sesuatu pilihan kadang kala mereka tidak memilihnya dengan cara yang betul.

Pemilihan mereka terhadap apa-apa keputusan berkaitan dengan membuat pilihan sering kali tidak tepat berdasarkan konteks al-Quran dan al-Sunnah. Pemilihan itu termasuk segalanya yang berkaitan dengan proses kehidupan masyarakat antaranya ialah soal jodoh dan perkahwinan, soal tawaran pekerjaan, soal tawaran menyambung pelajaran, pembelian rumah baru, pembelian kereta atau motorsikal baru dan lain-lain yang berkaitan. Yang dikatakan tidak menepati cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah ialah kerana tergesa-gesa di dalam membuat pilihan dan tidak berfikir panjang untuk menentukan yang manakah yang terbaik. Mereka sering kali menyangka apabila telah melakukan sesuatu pilihan, itulah yang paling terbaik untuk diri mereka. Tidak! Sebenarnya mereka tersilap.

Pendekatan Islam Dalam Membuat Pilihan

Pendekatan Islam dalam menetapkan umatnya untuk membuat pilihan telah pun diberikan garis panduan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hal ini adalah berkaitan dengan soal petunjuk, maka tidak sewenang-wenangnya kita 'bermudah' dalam membuat pilihan. Oleh itu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah mensyariatkan kepada umatnya apabila berlaku masalah dalam membuat pilihan, mohonlah petunjuk kepada Allah SWT dalam segala urusan kehidupan dan memohon kepada Allah SWT agar ditetapkan pilihan yang terbaik dalam membuat pilihan terhadap apa-apa urusan.

Maka dalam hal ini, untuk menilai sesuatu pilihan dalam membuat pilihan itu tepat mestilah berdasarkan kepada cara yang mengikuti al-Quran dan al-Sunnah. Islam tidak mengajar umatnya dalam membuat pilihan terus memilih dengan pada sangkanya adalah baik dan paling tepat. Tetapi yang diajarkan adalah dengan melakukan solat Istikharah yang diajarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Definisi Istikharah

Sebelum kita melangkah kepada cara yang bagaimana hendak melakukan Istikharah, perlu juga kita ketahui apakah yang dimaksudkan dengan Istikharah. Istikharah dari sudut bahasa bermaksud mencari atau meminta pilihan tentang sesuatu (Ibn Manzur, Lisanul Arab, jil 5, hlm 351).

Dari sudut istilah pula bermaksud mencari pilihan iaitu mencari dan memohon memalingkan keazaman yang tinggi kepada apa yang menjadi pilihan di sisi Allah dan yang lebih baik di sisi-Nya sama ada dengan solat atau doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW (al-Adawi Ala al-Khursyi, jil 1, hlm 36).

Langkah Melakukan Istikharah

Umumnya, solat Istikharah ini adalah pengganti kepada amalan Jahiliyyah iaitu meramal dan mengundi nasib dengan anak panah. Alhamdulillah, Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sebelum melakukan solat Istikharah, perlu dipastikan dahulu apakah sebab yang mendorong untuk melakukan solat Istikharah. Seseorang itu mestilah telah mencapai keazaman yang tinggi dalam usahanya untuk memilih pilihan yang terbaik. Apabila sudah nekad untuk membuat pilihan, bermesyuaratlah dengan orang yang diakui ketinggian ilmu agamanya tentang perkara ini. Kemudian, berserahlah segala urusan kepada Allah dengan solat Istikharah.

Imam An-Nawawi menyebut dalam al-Azkar: Disunatkan seseorang itu meminta nasihat sebelum melakukan solat Istikharah daripada orang yang diketahui tentang pengalamannya, nasihatnya dan juga orang yang boleh dipercayai akan agamanya, pengetahuan dan pengalamannya. Oleh sebab itu, al-Quran telah menjelaskan tentang memohon petunjuk dalam memilih pilihan yang terbaik. Firman Allah SWT:


وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“… dan bermusyawarahlah kepada mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dan lain-lain). Bila kamu telah membulatkan tekad, bertawakkallah kepada Allah…” (Surah 'ali-Imran ayat 159)

Istikharah Penentu Pilihan

Solat Istikharah ini dilakukan kerana ingin mendapatkan pilihan yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Istikharah merupakan jalan terakhir dalam memilih keputusan yang muktamad.

Antara contoh-contoh yang boleh diberi ialah:

1) Seorang pemuda mendapat tawaran sambung belajar. Tetapi beliau harus memilih yang mana yang terbaik kerana terdapat beberapa universiti yang menawarkan tawaran sambung belajar kepadanya.

2) Seorang pemuda ingin menunaikan hasrat untuk berumahtangga. Tetapi beliau dilanda kebuntuan apabila mendapati terdapat pilihan calon yang lebih daripada seorang. Beliau wajar memilih calon manakah yang terbaik, sekufu dan menepati kesesuaian yang dia kehendaki.

Maka dalam hal ini, solat Istikharah adalah wajar dilakukan kerana ianya antara langkah dalam menentukan pilihan mana yang tepat.
- Gambar Hiasan -
Secara amnya, adalah sunnah dalam melakukan solat Istikharah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

: إذا همَّ أحدكم بالأمر فليركع ركعتين من الفريضة - أي يصليهما سنة بنية الاستخارة - ثم يقول

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ

فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوْبِ

اَللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ -وَيُسَمَّى حَاجَتَهُ- خَيْرٌ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاقْدُرْهُ لِيْ وَيَسِّرْهُ لِيْ ثُمَّ بَارِكْ لِيْ فِيْهِ

وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا اْلأَمْرَ شَرٌّ لِيْ فِيْ دِيْنِيْ وَمَعَاشِيْ وَعَاقِبَةِ أَمْرِيْ -أَوْ قَالَ: عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ- فَاصْرِفْهُ عَنِّيْ وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِيْ بِهِ

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardhu (yakni mengerjakan solat dua rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa:

Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung.

Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi.

Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini.

Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

(Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Solusi

Sebagai muslim yang bijak atau muslim yang progresif di zaman yang moden ini kita seharusnya perlu mengelakkan diri kita daripada melakukan keputusan yang terburu-buru atau tergesa-gesa dengan tidak berfikiran panjang dalam melakukan keputusan terhadap apa-apa pilihan. Hargailah nikmat Istikharah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah mengajarkan kepada umatnya keisitimewaan Istikharah ini.

Sesungguhnya, dengan mengaplikasikan cara ini dengan praktikal yang mengikut ajaran Rasullullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ianya dapat memberi manfaat kepada umat Islam dalam berpegang teguh kepada takdir qada' dan qadar Allah SWT.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 Oktober 2010/ 22 Zulkaedah 1431H

27 October 2010

Hujjah Allah Berkata-kata




Assalamu'alaikum wbt.

Pernah satu diskusi di dalam sebuah forum membincangkan mengenai adakah Allah berkata-kata tetapi ada pihak yang datang membawa kenyataan bahawa Allah tidak berkata-kata. Oleh yang demikian, saya akan membawa hujjah bahawa Allah berkata-kata.

Bukti tentang Allah berkata-kata ada direkodkan di dalam kebanyakan nas dari al-Quran dan hadith Nabi SAW. Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar di dalam kitab الايمان بالله (Iman Kepada Allah) telah mengumpulkan hujjah-hujjah mengenai Allah berkata-kata dan dimasukkan ke dalam satu bab yang khas iaitu 'Firman Dan Ucapan Allah'.

Bab Mengenal Allah Melalui Nas Wahyu, di dalam tajuk kecil iaitu Firman Dan Ucapan Allah:

1. Nabi Musa dengan Allah di Bukit Tursina. Allah berkata-kata kepada Musa AS.

Allah SWT berfirman apabila Dia menghendaki dan dengan cara bagaimana Dia kehendaki. Firman-Nya tidak menyerupai perkataan makhluk-makhluk-Nya. Allah SWT telah berbicara kepada sebahagian makhluk-Nya di antaranya adalah Nabi Musa AS sebagaimana firman-Nya:

وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا

Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)

Surah an-Nisa' ayat 164

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ

Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya.

Surah al-A'raaf ayat 143

Allah SWT mengkhabarkan kepada kita pembicaraan yang terjadi antara Allah SWT dengan Nabi Musa AS seperti firman-Nya:

قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَـٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau". Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu , dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musapun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman".

قَالَ يَا مُوسَىٰ إِنِّي اصْطَفَيْتُكَ عَلَى النَّاسِ بِرِسَالَاتِي وَبِكَلَامِي فَخُذْ مَا آتَيْتُكَ وَكُن مِّنَ الشَّاكِرِينَ

Allah berfirman: "Hai Musa sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dari manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku, sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur".

Surah al-A'raaf ayat 143-144


2. Allah berbicara kepada Adam AS dan Hawa.

وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَن تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُل لَّكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?"

Surah al-A'raaf ayat 22


3. Allah berbicara kepada malaikat Jibril AS.

Disebutkan di dalam sahih al-Bukhari tentang berbicaranya Allah SWT kepada Jibril:

Sesungguhnya Allah bila mencintai seorang hamba, Dia akan berseru kepada Jibril:

"Sesungguhnya Allah mencintai si Fulan, maka cintailah dia"

Maka Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penduduk langit bahawa sesungguhnya Allah telah mencintai si Fulan, maka cintailah dia, maka dia pun dicintai oleh penduduk langit, sehingga orang itu pun diterima di atas bumi.

Malaikat mendengar ucapan Tuhan mereka ketika Dia berbicara sebagaimana disebutkan dalam kitab Sahih al-Bukhari dari Abu Hurairah yang sampai kepada Nabi SAW:

Apabila Allah telah memberi keputusan di langit, maka malaikat akan memukulkan sayap-sayapnya sebagai tanda ketundukan kepada firman-Nya bagaikan suara rantai di atas batu licin. Apabila rasa takut dari hati mereka telah hilang, (malaikat yang lain) bertanya: "Apa yang dikatakan oleh Tuhan kalian?" Mereka menjawab: "(Perkataan) yang benar dan Dia Maha Tinggi dan Maha Besar."

Hadis di atas kata Imam al-Bukhari ialah sebagai tafsir kepada firman Allah SWT; surah Saba' ayat 23:

وَلَا تَنفَعُ الشَّفَاعَةُ عِندَهُ إِلَّا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ ۚ حَتَّىٰ إِذَا فُزِّعَ عَن قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ۖ قَالُوا الْحَقَّ ۖ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ

Dan tiadalah berguna syafa'at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa'at itu, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata: "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Perkataan) yang benar", dan Dia-lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.


4. Dalil suara Allah bukan suara makhluk.

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari iaitu:

Daripada Abdullah bin Unais kata beliau: Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Allah akan menghimpun hamba-hambaNya lalu Dia menyeru mereka dengan suara yang didengari dari jauh seperti mana didengari dari dekat: "Aku lah Raja Akulah yang akan membalas segala amalan".

Imam al-Bukhari berkata: "Hadis ini adalah dalil bahawa suara Allah tidak sama dengan suara makhluk kerana suara Allah SWT didengar dari jauh sebagaimana juga didengar dari dekat dan bahawa para malaikat merasa takut pada suara-Nya - (Khalqu Af'alul Ibad, hlm. 149)

Allah SWT berbicara dengan suara yang sama sekali tidak sama dengan suara makhluk sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abu Sa'id al-Khudri RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Allah berfirman: "Wahai Adam" lalu Adam menjawab: "Kami memenuhi panggilan-Mu dan dengan penuh suka cita". Lalu Dia berseru dengan suara: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk mengeluarkan segolongan dari umatmu untuk menuju neraka."

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
27 Oktober 2010/19 Zulkaedah
Kampung Baru, Kuala Lumpur

06 October 2010

Adakah Budaya Coupling Itu Adat Tradisi?

Assalamu'alaikum wbt.

BUDAYA COUPLING BUKAN ADAT TRADISI

Budaya coupling tiada kena mengena dengan adat tradisi. Budaya coupling adalah budaya yang menjurus kepada lembah kehinaan iaitu MAKSIAT. Maka, sebagai seorang muslim kita wajar mengelakkan diri daripada terjebak daripada perkara yang dikeji dan terkutuk ini. Allah SWT telah menurunkan surah al-Isra ayat 32 :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Budaya ini pula sebenarnya bukan merupakan adat bagi umat Islam. Perkara ini sebenarnya baru berlaku di kalangan masyarakat Islam setelah datangnya perang psikologi yang digunakan oleh musuh-musuh Islam dalam usaha melemahkan kekuatan umat Islam. Maka, tidak hairan umat Islam sekarang di dalam kelekaan dan lebih tidak menghairankan apabila nabi SAW sendiri mengetahui perkara ini di dalam sebuah hadith:

يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها . فقال قائل : ومن قلة نحن يومئذ ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير ، ولكنكم غثاء كغثاء السيل ، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم ، وليقذفن الله في قلوبكم الوهن . فقال قائل : يا رسول الله ! وما الوهن ؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت
"Hampir-hampir bangsa-bangsa memperebutkan kalian (umat Islam), layaknya memperebutkan makanan yang berada di mangkuk." Seorang laki-laki berkata, "Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?" beliau menjawab: "Bahkan jumlah kalian pada waktu itu sangat banyak, namun kalian seperti buih di genangan air. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut kepada kalian, dan akan menanamkan ke dalam hati kalian Al wahn." Seseorang lalu berkata, "Wahai Rasulullah, apa itu Al wahn?" beliau menjawab: "Cinta dunia dan takut mati."
(Sunan Abi Daud: 3745)

ADAT YANG DIBENARKAN DAN YANG DILARANG

Adapun adat tradisi, seandainya adat itu menepati apa yang diajarkan bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah maka ianya diterima oleh syarak. Sebagai contoh, adat melayu memulakan makan dengan membasuh tangan. Syariat menerimanya kerana ianya merupakan suatu perkara yang baik dan mulia sehingga tidak menjejaskan mana-mana syariat yang telah ditetapkan.

Tetapi, sekiranya adat itu sendiri bercanggah dengan syariat yang telah ditetapkan, maka ini bererti adat itu telah membawa suatu yang baharu sedangkan Allah SWT telah cukupkan agama Islam itu sebuah agama yang sempurna. 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينً
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah al-Maidah, ayat 3)

Perkara yang baharu yang diada-adakan sebenarnya bukan kehendak syariat tetapi kehendak individu yang merasa tidak puas terhadap apa yang terkandung dalam nas al-Quran dan al-Sunnah. Oleh yang demikian perkara ini dilarang sama sekali.

فإن أصدق الحديث كتاب الله وخير الهدي هدي محمد صلى الله عليه وسلم وشر الأمور محدثاتها وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار
Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah), setiap perkara yang diada-adakan termasuk kategori bidaah dan setiap perkara yang bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat tempatnya di dalam neraka.
(Khubatul Hajjah, Nashiruddin al-Albani)

NATIJAH DI ANTARA KEDUANYA

Maka, kita kembali semula kepada konteks asal, adakah budaya coupling itu sama dengan adat tradisi? Jawapan mudah, ianya tidak. Perkara ini perlu dilihat pada skop yang besar. 

Apa yang kelihatan sekarang ialah kecenderungan budaya coupling adalah membawa kerosakan daripada segi mutu kualiti harga diri individu sedangkan adat tradisi bercampur-adukkan adat dengan agama yang mana ianya merupakan sesuatu yang baharu. Jelas sekali perbezaan di antara kedua perkara ini. Walau bagaimanapun, kedua-dua perkara sangat jelas dilarang oleh Islam.

Maksiat ditegah kerana menyebabkan pergaulan bebas berlaku dengan teruk, pelacuran, penzinaan, pembuangan bayi, peminuman arak, judi berlaku dengan meluas dan ini dilarang oleh Islam kerana perkara ini menyebabkan akhlak sosial masyarakat menjadi teruk. 

Perkara baharu atau disebut istilahnya di dalam bahasa arab iaitu bi'dah dilarang kerana memberikan suatu sifat yang negatif kepada agama Islam itu sendiri. Islam sudah sempurna tetapi ada pula tokok tambahnya yang tidak dibenarkan sama sekali oleh syarak.

Oleh itu, kedua-duanya sama sahaja mendapat kemurkaan di sisi ALLAH SWT tetapi pengolahan dua konteks ini perlu diteliti kerana ianya tidak sama. Budaya coupling adalah fenomena yang dibawa oleh musuh-musuh Islam dan ianya bukan adat tradisi. Dan tidak seharusnya mengatakan ianya merupakan adat tradisi!

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More