27 July 2010

Amalan Malam Nisfu Sya'ban Bukan Sunnah

Assalamualaikum wbt.

Alam Melayu baru sahaja menyambut ketibaan 15 Sya'ban dengan amalan nisfu sya'ban yang diwarisi sejak turun temurun dari zaman nenek moyang mereka lagi. Maka, apa yang terpancar di jiwaku adalah kelemahan dan kejahilan umat melayu dalam menilai amalan ini sama ada ianya tsabit daripada amalan yang Rasulullah SAW dan para sahabat lakukan atau tidak.

Mereka mendakwa amalan nisfu sya'ban ini adalah amalan yang mulia dengan mengambil daripada riwayat-riwayat yang palsu yang tiada sehingga darjat yang sahih. Berikut adalah penilaian riwayat hadis yang palsu yang mana ianya didakwa menjadi bukti kepada hidupnya amalan nisfu sya'ban:

يطلع الله إلى خلقه في ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

Allah (SWT) akan memperhatikan semua makhluk pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia mengampuni semua makhluknya kecuali orang musyrik dan yang bermusuhan (sesama sendiri) [HR Ibn Majah (no.5665), Ibn Abi Syaibah [Musannaf #150(2)], Abd Razzaq [Musannaf #7923], Tabarani [Mu'jam Kabir #16639], al-Munziri [al-Targhib wa al-Tarhib #3830,3831 dll], Bazzar [1/157-158 ، 206-207 (80)]

Tahqiq Hadith:

Hadis ini TIDAK SAHIH, kata Abu Hatim: MUNGKAR [ilal Ibn Abi Hatim,2012], kata ad-Daraquthni setelah membincangkan sekian banyak segala jalan2 hadis ini: TIDAK THABIT [ilal Daraquthni,970]. juga yang menDHAIFkan hadis ni ialah al-Bukhari [Tarikh Kabir # 5/424-425], al-Uqaili [Dhua'fa # 3/788-789], Ibn Adiy [al-Kamal #309/5]

Dr al-Muhaddith Syarif al-Awni (Jami'ah Ummul Quraa) mengesahkan tiada satu hadith pun yang sahih dalam hal fadhilat nisfu Sya'ban (www.islamtoday.net)

Syaikh al-Muhaddith al-Albani telah menyendiri dalam hal ini di mana beliau telah mensahihkan hadith nisfu sya'ban semisal di atas kerana ujar beliau, ia banyak syawahid (penyokong), antaranya dalam Sahih Ibn Majah no: 1148, hadith Abu Musa al-Asya'ari

Pendapat yang rajih: Ini antara kesilapan al-Albani yang kita ma'afkan. Maka kita bersama jumhur muhaddithin, terutama ahli hadith yg silam (sebelum era 300H) yang telahpun menilai dan menolak hadith ini.

Jelas bahawa ianya bukan amalan yang sahih dan tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW mahupun para sahabat. Kalau hadith ini sahih sekali pun, ianya tidak memberi apa-apa perubahan kerana tiada petunjuk mengenai galakan melakukan amalan ibadah yang khusus kepada amalan nisfu sya'ban. Justeru itu, tidak wujud amalan-amalan yang diamalkan pada malam nisfu sya'ban seperti membaca doa awal dan akhir tahun, membaca yasin tiga kali, solat sunat 1000 rakaat dan sebagainya yang dinisbahkan kepada malam nisfu sya'ban.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai amalan malam nisfu sya'ban, beliau menjawabnya dengan kenyataan yang agak keras kerana ianya berkaitan dengan ibadah yang direka yang tiada asasnya kepada nas yang sahih iaitu Al-Quran dan Sunnah.

Kata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab isu ini:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in).

Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Maka, jauhilah amalan malam nisfu sya'ban yang bersandarkan kepada riwayat yang palsu kerana ianya bukan sunnah malah ianya tidak pernah ditsabitkan kepada Rasulullah SAW. Amalkan yang amalan sunnah yang banyak direkodkan di dalam hadith-hadith yang sahih berbanding melakukan amalan yang bid'ah yang banyak direkodkan di dalam hadith-hadith yang palsu.

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak.”(Hadis sahih riwayat al-Bukhari)


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
27 Julai 2010/15 Sya'ban 1431H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More