Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

31 August 2009

Kekuasaan Allah Subhanallah Wa Taala

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Untuk muhasabah diri kita mengenai tauhid dan keimanan kita terhadap Allah Subhanallah wa taala sepanjang Ramadhan ini..Insya Allah

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.
Surah At-Talaq ayat 12



Berdasarkan daripada ayat ini, kita mengetahui Kuasa Allah subhanallah wa taala bagaimana sehingga Dia menciptakan langit dan bumi. Kemudian, ayat ini menerangkan tentang Kuasa Allah terhadap sesuatu dan meliputi kesemua itu dengan ilmuNya. Jadi, persoalan sekarang ini ialah mengapa Allah menunjukkan kekuasaannya pada ayat ini? Kenapa Allah berkuasa ke atas segala makhluk di langit dan bumi dan ilmuNya tetap pada segalanya?

Bagi menjawab kenyataan yang pertama, perkara asas bagi setiap muslim harus ketahui adalah Allah subhanallah wa taala menciptakan langit dan bumi adalah supaya setiap manusia yang berada di bumi Allah berfikir secara rasional dengan berpandukan nas Al-Quran dan Sunnah tentang kejadian yang telah Allah subhanallah wa taala ciptakan. Dengan kata lain, ianya menunjukkan bahawa manusia diciptakan ke bumi bukan kerana suka-suka tetapi untuk beribadah kepada Allah subhanallah wa taala dan mengetahui apa yang telah Allah subhanallah wa taala ciptakan.

Sebagaimana yang difirmankan dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

Dan (ingatlah) tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu.

Maknanya di sini, penciptaan langit dan bumi dengan KuasaNya telah menjadikan asbab kepada manusia untuk mengenal Tuhan Yang Maha Esa yakni Allah subhanallah wa taala. Manusia hendaklah mengenal Tuhan Yang Satu kerana Tuhan tidak akan ada banyak apabila membawa konsep kekuasaan menciptakan langit dan bumi kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa menciptakan langit dan bumi dan tiada tuhan lain yang dapat menandingi Allah subhanallah wa taala. Hal ini telah membawa penulis masuk ke bab Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat.

Tauhid Rububiyyah adalah tauhid mempercayai adanya Tuhan dan fitrah manusia itu memang perlukan Tuhan kerana sudah menjadi fitrah bagi seseorang manusia. Namun, belum lagi bererti mempercayai Tuhan Yang Satu yang menciptakan langit dan bumi kerana yang menciptakan langit dan bumi adalah Allah subhanallah wa taala. Allah subhanallah wa taala pula adalah Tuhan Yang Satu sedangkan konsep tauhid rububiyyah belum menafikan tuhan-tuhan yang lain selain Allahsubhanallah wa taala.

Tauhid Uluhiyyah adalah tauhid mempercayai Allah subhanallah wa taala dan beribadah kepadaNya dengan niat dan hati yang ikhlas serta menafikan tuhan-tuhan yang lain. Dalam tauhid ini, kita telah mempercayai Tuhan Yang Satu kerana Allah sahajalah Tuhan yang mampu menciptakan langit dan bumi dan secara kasarnya menidakkan tuhan-tuhan lain yang dipercayai oleh manusia yang lain.

Persoalan kedua mengenai Allah berkuasa terhadap segalanya dan ilmuNya tetap meliputi segalanya. Allah subhanallah wa taala berkuasa terhadap segala makhlukNya yang hidup di bumi kerana Dialah yang menciptakan segalanya dan Dia jugalah yang berkuasa terhadap segalanya. Maka, Allah subhanallah wa taala telah pun mengaturkan proses kehidupan makhlukNya di bumi sebelum tibanya Hari Akhirat. Apabila tiba Hari Akhirat, Allah subhanallah wa taala berkuasa ke atas segalanya terhadap apa yang telah makhlukNya lakukan ketika mereka berada di bumi dalam menilai necara timbangan mereka yang manakah ke syurga atau ke neraka.

IlmuNya memang tidak dapat ditandingi kerana ilmu Allah meliputi segala-galanya. Sebagai contoh, pada zaman Yunani purbakala, pakar astronomi yunani telah membuat kajian mengenai angkasa lepas dan bumi. Mereka mendapati bahawa bumi berada di tengah-tengah orbit manakala planet-planet lain berada di kelilingnya. Konsep ini digelar geocentric.

Kemudian, Nicolaus Copernicus pada 1543 telah menjumpai penemuan baru mengenai sistem orbit angkasa yang mana beliau menemui bahawa matahari berada di tengah dan bumi dan planet-planet lain berada di sekelilingnya. Sebagai kesimpulan daripada penemuannya, bumi adalah salah satu planet yang berada di orbit angkasa yang paksinya dan berputar mengikut peredaran orbit dan pada sistem orbit angkasa terdapat juga planet-planet yang lain berputar mengikut peredaran orbit.

Berdasarkan penemuan sains oleh ahli astronomi zaman dahulu menunjukkan bahawa ilmu Allah Subhanallah wa taala sangat luas dan mendalam serta meliputi segalanya. Jelas daripada ayat tersebut terhadap ilmu Allah Subhanallah wa taala meliputi segalanya memang bertepatan dengan fakta sains. Hal ini kerana fakta sains dan fakta Al-Quran tidak boleh dipisahkan pada dunia masa kini. Lihatlah Al-Quran telah lama menceritakan tentang kejadian langit dan bumi tetapi dunia sains baru sahaja teroka mengenai hal ini.

Daripada firman yang diberikan, hendaklah kita beriman kepada Allah Subhanallah wa taala dengan sepenuh iman dan ketahuilah manusia diciptakan ke bumi adalah untuk beribadah serta mengetahui dan berfikir kenapa Allah menciptakan langit dan bumi. Hendaklah kita mengimani diri kita kepada Allah Subhanallah wa taala dengan Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat kerana tauhid ini membawa diri seseorang itu mengimani Tuhannya dengan lebih mendalam. Harus bagi seseorang muslim mengimani dirinya bahawa Allah Subhanallah wa taala Maha Kuasa terhadap segalanya kerana Dialah Tuhan Maha Esa. Ilmu Allah Subhanallah wa taala tidak akan hilang walaupun setitis lautan kerana jika diambil sejenis lautan akan ada lagi lautan-lautan lain yang mengisi ilmuNya. Sungguh ilmu Allah meliputi segala-galanya.

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Surah Al-Ikhlas ayat 1-4.

Wallahu'alam

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
31 Ogos 2009/9 Ramadhan 1430H

24 August 2009

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunnah Rasullah

السلام عليكم ورمة الله وبركة

Artikel ini dicadangkan khas sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Ianya mengenai adab berbuka puasa yang mengikuti sunnah Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam yang kurang dititikberatkan atau dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam. Semoga memperolehi manafa'atnya. Insya Allah...
_______________________________________________________

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).
Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

(Surah al-`Araf:31).
Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

(Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

Sumber: Dr.MAZA

Doa Berbuka Puasa



السلام عليكم ورحمة الله وبركة

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

“Telah hilang rasa haus, dan urat-urat telah basah serta pahala akan tetap, insya Allah.”

HR. Abu Dawud 2/306, begitu juga imam hadits yang lain. Dan lihat Shahihul Jami’ 4/209

Berbukalah puasa anda dengan rezeki yang halal dan dibolehkan membaca doa daripada hadith dhaif kerana ianya adalah salah satu daripada amalan fadha'il 'amal dan tiada tsabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengenai doa berbuka puasa.

Wallahu'alam.

20 August 2009

Persiapan Menghadapi Ramadhan Al-Mubarak

السلام عليكم ورحمة الله وبركة



Oleh : Ustaz Zuridan Mohd Daud Al-Teminie

Sabda Rasulullah s.a.w:

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

"Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang qiam (solat malam) tetapi ia tidak mempperolehi apa-apa melainkan berjaga sahaja" (Riwayat Imam Ahmad)

Hadis di atas membayangkan bahawa pada bulan Ramadan terdapat juga golongan yang berpuasa namun mereka tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala kerana mereka berpuasa dalam keadaan jahil atau ketika berpuasa mereka turut melanggar syariat Allah Taala. Justeru bagi memastikan ibadah puasa Ramadan tidak dilalui dengan sia-sia sewajarnyalah kita berusaha membuat persediaan rapi demi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan oleh Allah Taala sepanjang Ramadan.

Berikut adalah beberapa persiapan yang boleh dibuat oleh seorang muslim bagi menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna:

1) PERSIAPAN DIRI:

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan semestinyalah menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. Juga hendaklah mengetahui amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Kita juga hendaklah mengetahui bahawa ketika Ramadhan kita bukan sahaja dituntut menahan lapar dan dahaga tetapi hendaklah juga memelihara aurat, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kelab malam, tidak bersentuhan dengan bukan muhrim, tidak membeli tiket loteri dan berjudi, tidak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia seperti menonton tv dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan tidak terlibat dengan mengumpat dan menfitnah orang lain.

Seorang muslim yang akan menempuh bulan Ramadhan sewajarnya menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

Cara yang terbaik untuk meningkat ilmu dan kefahaman berkaitan puasa khususnya ialah dengan menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadhan dan ibadah puasa.

Bagi memastikan amalan harian kita lebih teratur dan tersusun sepanjang Ramadhan, kita bolehlah menyusun satu jadual ringkas seperti berikut:



Subuh :
• Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
• Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
• Solat Subuh di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.

Pagi:
• Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Solat Sunat Dhuha
• Bekerja seperti biasa.

Tengahari:
• Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
• Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
• Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
• Bekerja seperti biasa.

Petang:
• Solat Asar di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran.
• Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
• Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
• Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
• Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
• Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.

Malam:
• Solat Sunat sebelum Isyak
• Solat Isyak.
• Solat Sunat selepas Isyak.
• Solat Sunat Tarawih.
• Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
• Tidur awal untuk bangun awal.

Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid samada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.

2) PERSIAPAN DI RUMAH:

Sebagai ketua keluarga seorang bapa adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana iman di rumah ketika bulan khususnya ketika bulan Ramadhan. Isteri dan anak-anak hendaklah dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah. Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan tetapkan waktu untuk solat malam berjamaah atau waktu membaca al-Quran bersama-sama. Sediakan vcd kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan tv menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat.

Ketua keluarga juga mestilah memastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.

Sebelum Ramadhan elok juga diadakan satu taklimat khusus kepada ahli keluarga untuk menerangkan fadhilat-fadhilat Ramadhan dan disiplin yang mesti dipatuhi sepanjang Ramadhan.

3) PERSIAPAN DI MASJID:

Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu ahli jawatankuasa masjid hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih. Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang lari dan meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumalah rakaat solat Tarawih samada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.

Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih.Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kerana kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.

PENUTUP:

Demikianlah beberapa cadangan persiapan yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim bagi memastikan keagungan bulan Ramadhan yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia.

Sumber : Zuridan Daud

17 August 2009

Memahami Syarat dan Rukun Puasa

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

“Sesungguhnya setiap amal itu tergantung dari niatnya.” (al-HR. Bukhari dan Muslim)

Syarat Puasa

Para pembaca sekalian ingatlah puasa memiliki syarat-syarat sebagaimana pula shalat. Jika syarat ini tidak ada maka puasa tersebut tidak sah. Syarat tersebut adalah : [1] Dalam keadaan suci, terbebas daripada haidh dan nifas, dan [2] Berniat. (Lihat Shohih Fiqh Sunnah, II/97)

Mengenai Niat

Niat merupakan syarat puasa kerana puasa adalah ibadah sedangka ibadah tidaklah sah kecuali dengan niat sebagaimana ibadah yang lain. Hal ini sebagaimana sabda Nabi kita shallallahu ‘alaihi wa sallam dari sahabat –Al Faruq- Umar bin Khaththab radhiyallahu ‘anhu,

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya setiap amal itu tergantung dari niatnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Niat puasa ini mesti dilakukan untuk membezakan daripada menahan lapar biasa. Menahan lapar boleh jadi hanya sekadar kebiasaan atau dalam rangka diet sehingga mesti dibezakan dengan puasa yang merupakan ibadah.

Namun, para pembaca sekalian perlu ketahui bahawasanya niat tersebut bukanlah diucapkan (dilafazkan). Ini kerana yang dimaksudkan dengan niat adalah maksud untuk melakukan sesuatu dan tempatnya dalam hati. Dan tatkala seseorang telah sahur di pagi hari pasti dia sudah berniat dalam hati. Tidak mungkin seseorang makan sahur, kemudian dia tidak memiliki niat sama sekali. Ini mustahil! Sehingga para ulama mengatakan,

لَوْ كَلَّفَنَا اللهُ عَمَلاً بِلَا نِيَّةٍ لَكَانَ مِنْ تَكْلِيْفِ مَا لَا يُطَاقُ

”Seandainya Allah membebani kita suatu amalan tanpa niat, nescaya ini adalah pembebanan yang sulit dilakukan.” (Lihat Al Fawa’id Dzahabiyyah, hal.12)

Jika kita memerhatikan lafaz niat puasa Ramadhan yang diucapkan orang-orang selama ini iaitu ‘nawaitu shouma ghodin an ada’i ...’ yang biasanya diucapkan ketika selesai menunaikan shalat tarawih, tidak memiliki landasan dalil dari Al Qur’an dan Hadits sama sekali. Orang yang menganjurkan lafaz tersebut pada buku-buku panduan ibadah yang tersebar di tengah orang awam pun tidak dapat menunjukkan dalilnya. Mereka tidak memberikan catatan bahawa lafaz niat ini adalah riwayat al-Bukhari, Muslim, dsb.

Maka inilah yang menjadi dalil bagi kami bahawa niat tidaklah diucapkan, cukup dalam hati dan tidak ada lafaz-lafaz tertentu. Semoga Allah merahmati Imam Nawawi rahimahullah –ulama besar dalam Madzhab Syafi’i- yang mengatakan,

لَا يَصِحُّ الصَّوْمَ إِلَّا بِالنِّيَّةِ وَمَحَلُّهَا القَلْبُ وَلَا يُشْتَرَطُ النُّطْقُ بِلاَ خِلَافٍ

“Tidaklah sah puasa seseorang kecuali dengan niat. Letak niat adalah dalam hati, tidak disyaratkan untuk diucapkan dan pendapat ini tidak terdapat perselisihan di antara para ulama.” (Rowdhotuth Tholibin, I/268, Mawqi’ul Waroq-Maktabah Syamilah)

Wajib Berniat di Setiap Malam Bulan Ramadhan

Inilah pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi rahimahullah dalam kitab beliau Rowdhotuth Tholibin, I/268 dan ini pula yang menjadi pendapat Malikiyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah. Dalilnya adalah hadits Ibnu Umar dari Hafshoh bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa siapa yang tidak berniat sebelum fajar, maka puasanya tidak sah.” (HR. Abu Daud, Tirmidzi, dan Nasa’i. Dishahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Shohihul Jami’).

Alasan lainnya bahawasanya hari yang satu dan lainnya adalah ibadah tersendiri tidak berkaitan dengan lainnya. Jika salah satu hari batal, hari lainnya tidaklah batal. Maka pendapat yang kuat daripada berbagai pendapat yang ada adalah niat mesti diperbaharui setiap malam di bulan Ramadhan yang waktunya dapat dipilih mulai dari terbenamnya matahari hingga terbit fajar (masuknya shalat shubuh).

Adapun dalam puasa sunnah tidak disyaratkan berniat sebelum terbit fajar bahkan boleh pada siang hari selagi mana belum makan atau minum. Hal ini dapat dilihat daripada perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Tatkala di luar bulan Ramadhan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam mendatangi isteri yang paling beliau cintai -Aisyah radhiyyallahu ‘anha-, kemudian beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya,”Apakah engkau memiliki sesuatu untuk dimakan?” Kemudian Aisyah berkata,”Tidak ada.” Kemudian beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata,”Kalau begitu saya puasa.” (HR. Muslim). Dalam menjelaskan hadits ini, Imam Nawawi mengatakan,

وَفِيهِ دَلِيلٌ لِمَذْهَبِ الْجُمْهُورِ أَنَّ صَوْم النَّافِلَة يَجُوز بِنِيَّةٍ فِي النَّهَارِ قَبْل زَوَالِ الشَّمْسِ

“Ini adalah dalil bagi majoriti ulama, bahawa boleh berniat di siang hari sebelum matahari bergeser ke barat pada puasa sunnah.” (Syarh Nawawi ‘ala Muslim, 4/157, Mawqi’ul Islam-Maktabah Syamilah)

Rukun Puasa

Rukun puasa adalah menahan diri daripada pembatal puasa mulai daripada terbit fajar (iaitu fajar shodiq) hingga terbenamnya matahari. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala,

}وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ{

“Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam.” (QS. Al Baqarah [2] : 187).

Yang dimaksud dengan benang putih tersebut adalah fajar kadzib iaitu warna putih di langit yang menjulur ke atas seperti ekor serigala. Sedangkan benang hitam tersebut adalah fajar shodiq iaitu warna merah yang muncul setelah warna putih yang awal tadi. Maka janganlah tertipu kalau masih muncul warna putih di langit, kerana hal ini belum menunjukkan masuknya waktu imsak atau waktu shubuh. Sebagaimana dari Thalq bin Ali, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَلاَ يَهِيدَنَّكُمُ السَّاطِعُ الْمُصْعِدُ فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَعْتَرِضَ لَكُمُ الأَحْمَرُ

“Makan dan minumlah. Janganlah kalian menjadi takut oleh pancaran sinar (putih) yang menjulang. Makan dan minumlah sehingga tampak bagi kalian warna merah.” (HR. Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah. Dalam Shohih wa Dho’if Sunan Abu Daud, Syaikh Al Albani mengatakan hadits ini hasan shahih)

Maka ayat dan hadits ini menjadi dalil bahawa waktu imsak adalah sejak terbit fajar shodiq –iaitu ketika azan shubuh dikumandangkan- dan bukanlah 10 minit sebelum azan shubuh. Inilah yang sesuai dengan petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Apabila di masjid diteriakkan ‘Para jama’ah sekalian sekarang sudah waktu imsak’, apakah boleh kita makan dan minum? Jawabnya adalah boleh. Bahkan ini dianjurkan kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabatnya dahulu makan sahur mepet (dekat) dengan waktu shubuh.

Dalam hadits Anas dari Zaid bin Tsabit bahawasanya beliau pernah makan sahur bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam berdiri untuk menunaikan shalat. Kemudian Anas berkata,”Berapa lama jarak antara iqamah dan sahur kalian?” Kemudian Zaid berkata,”Sekitar 50 ayat”. (HR. al-Bukhari dan Muslim). Lihatlah berapa lama jarak antara sahur dan iqamah? Apakah satu jam?! Jawabnya: Tidak terlalu lama, bahkan sangat dekat dengan waktu azan shubuh iaitu sekitar membaca 50 ayat Al Qur’an (mungkin sekitar 10 atau 15 minit).

Saudaraku janganlah mempersulitkan agama ini kerana ”Sesungguhnya agama itu mudah.” (HR. al-Bukhari). Dan janganlah selalu menganggap baik suatu amalan yang tidak ada tuntutan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan mengatakan (misalnya),’Kami menentukan waktu imsak ‘kan untuk berhati-hati jangan terbabas makan sampai shalat shubuh’. Ingatlah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang lebih mengetahui keadaan umatnya dan bukannya orang-orang yang menetapkan waktu imsak. Ingatlah ketika terdengar azan, suri teladan kita (Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam) masih memberikan kita kesempatan untuk menghabiskan makanan yang ada di tangan. Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلاَ يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِىَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

“Jika salah seorang di antara kalian mendengar azan sedangkan bekas terakhir masih ada di tangannya, maka janganlah dia meletakkan bekas air tersebut hingga dia menunaikan hajatnya hingga selesai.” (HR. Abu Daud. Dalam Shohih wa Dho’if Sunan Abu Daud, Syaikh Al Albani mengatakan hadits ini hasan shahih).

Nabi panutan kita saja masih memberikan kita keringanan kita seperti ini, tetap masih ada dari umat Islam yang mengaku pengikut Nabi yang mempersulit orang awam dengan syari’at imsak yang tidak ada tuntutannya seperti ini ?!

Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmush sholihaat, wa shallallahu ‘ala nabiyyina Muhammad wa ‘ala alihi wa shohbihi wa sallam.

***

Penulis: Muhammad Abduh Tuasikal

http://www.rumaysho.com/hukum-islam/puasa/2646-memahami-syarat-dan-rukun-puasa.html

11 August 2009

Hadith Fadilat Nisfu Sya’ban

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Soalan: Apakah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu Sya’ban dan amalan yang patut dilakukan?

Jawapan: Ya, terdapat hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban, tetapi amalan-amalan tertentu khas untuk malam tersebut adalah tidak sabit daripada Nabi s.a.w. Antara hadith yang sahih mengenai nisfu Sy`aaban adalah:

يطلع الله تبارك وتعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).

Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk amalan khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat khas tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sumber:Dr. Asri Zainul Abidin

04 August 2009

Perisai Diri: Mengelakkan Diri Daripada Fitnah Akhir Zaman & Fitnah Dajjal

Assalamualaikum wbt...

Sebagai seorang muslim, perlunya seorang muslim memiliki perisai diri untuk mengelakkan diri daripada fitnah akhir zaman dan fitnah Dajjal yang sangat dasyat jika iman seorang muslim mudah digoyahkan.

Untuk menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal, maka bacalah sepuluh ayat terawal dan sepuluh ayat terakhir di dalam surah al-Kahfi serta bacalah doa selepas tasyhud akhir pada setiap solat.

Di dalam حصن المسلم, karangan Syeikh Said Ali Wahf Al-Qahthan, di dalam bab ما يغصم الله به من الدّجّال (Cara Menyelamatkan Diri Dari Dajjal), ada dua riwayat mengenai perisai yang melindungi diri kita dari Dajjal.

من حفظ عشر آيات من أول سورة الكهف عصم من الدّجّال

Maksud: Barangsiapa menghafal sepuluh ayat terawal dari surah al-Kahfi, maka terpelihara dari Dajjal.(1)

واﻻستعاذة بالله من فتنة عقب التشهد اﻷخير من كل صلاة

Maksud: Begitu juga minta perlindungan kepada Allah dari fitnah Dajjal setelah tasyahud akhir dari setiap solat.(2)

Doa meminta perlindungan setelah tasyahud akhir sebelum salam terdapat di dalam حصن المسلم, dalam bab الدعاء بعد التشهد اﻷخير قبل السلام (Doa Setelah Tasyahud Akhir Sebelum Salam) yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim iaitu:

اُللّهٌمَّ إِنِّي أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَ الْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الْدَّجَّالِ


Maksud: Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, seksa neraka Jahannam, fitnah kehidupan dan setelah mati serta dari kejahatan fitnah Almasih Dajjal.(3)

Oleh itu, harus pada zaman kini umat Islam untuk menghindari daripada fitnah Dajjal yang amat dasyat serta fitnah-fitnah lain yang telah berlaku pada masa kini.

Wallahu'alam.

Notakaki:
(1) Muslim 1/555. Dari riwayat lain,"dari akhir surah al-Kahfi". Muslim 1/556.
(2) Muslim 1/346. Para penyusun kitab Sunan dan Imam Ahmad, lihat: Sahih at-Tirmizi 1/83.
(3) Bukhari 2/102 dan Muslim 1/412. Lafaz hadith riwayat Muslim.

Sumber:
(1) Hisnul Muslim (versi arab)
(2) Doa & Zikir Dari Al-Quran & Sunnah (versi melayu)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More