السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Untuk muhasabah diri kita mengenai tauhid dan keimanan kita terhadap Allah Subhanallah wa taala sepanjang Ramadhan ini..Insya Allah
Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.Surah At-Talaq ayat 12
Berdasarkan daripada ayat ini, kita mengetahui Kuasa Allah subhanallah wa taala bagaimana sehingga Dia menciptakan langit dan bumi. Kemudian, ayat ini menerangkan tentang Kuasa Allah terhadap sesuatu dan meliputi kesemua itu dengan ilmuNya. Jadi, persoalan sekarang ini ialah mengapa Allah menunjukkan kekuasaannya pada ayat ini? Kenapa Allah berkuasa ke atas segala makhluk di langit dan bumi dan ilmuNya tetap pada segalanya?
Bagi menjawab kenyataan yang pertama, perkara asas bagi setiap muslim harus ketahui adalah Allah subhanallah wa taala menciptakan langit dan bumi adalah supaya setiap manusia yang berada di bumi Allah berfikir secara rasional dengan berpandukan nas Al-Quran dan Sunnah tentang kejadian yang telah Allah subhanallah wa taala ciptakan. Dengan kata lain, ianya menunjukkan bahawa manusia diciptakan ke bumi bukan kerana suka-suka tetapi untuk beribadah kepada Allah subhanallah wa taala dan mengetahui apa yang telah Allah subhanallah wa taala ciptakan.
Sebagaimana yang difirmankan dalam surah Az-Zariyat ayat 56:
Dan (ingatlah) tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu.
Maknanya di sini, penciptaan langit dan bumi dengan KuasaNya telah menjadikan asbab kepada manusia untuk mengenal Tuhan Yang Maha Esa yakni Allah subhanallah wa taala. Manusia hendaklah mengenal Tuhan Yang Satu kerana Tuhan tidak akan ada banyak apabila membawa konsep kekuasaan menciptakan langit dan bumi kerana hanya Allah sahajalah yang berkuasa menciptakan langit dan bumi dan tiada tuhan lain yang dapat menandingi Allah subhanallah wa taala. Hal ini telah membawa penulis masuk ke bab Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat.
Tauhid Rububiyyah adalah tauhid mempercayai adanya Tuhan dan fitrah manusia itu memang perlukan Tuhan kerana sudah menjadi fitrah bagi seseorang manusia. Namun, belum lagi bererti mempercayai Tuhan Yang Satu yang menciptakan langit dan bumi kerana yang menciptakan langit dan bumi adalah Allah subhanallah wa taala. Allah subhanallah wa taala pula adalah Tuhan Yang Satu sedangkan konsep tauhid rububiyyah belum menafikan tuhan-tuhan yang lain selain Allahsubhanallah wa taala.
Tauhid Uluhiyyah adalah tauhid mempercayai Allah subhanallah wa taala dan beribadah kepadaNya dengan niat dan hati yang ikhlas serta menafikan tuhan-tuhan yang lain. Dalam tauhid ini, kita telah mempercayai Tuhan Yang Satu kerana Allah sahajalah Tuhan yang mampu menciptakan langit dan bumi dan secara kasarnya menidakkan tuhan-tuhan lain yang dipercayai oleh manusia yang lain.
Persoalan kedua mengenai Allah berkuasa terhadap segalanya dan ilmuNya tetap meliputi segalanya. Allah subhanallah wa taala berkuasa terhadap segala makhlukNya yang hidup di bumi kerana Dialah yang menciptakan segalanya dan Dia jugalah yang berkuasa terhadap segalanya. Maka, Allah subhanallah wa taala telah pun mengaturkan proses kehidupan makhlukNya di bumi sebelum tibanya Hari Akhirat. Apabila tiba Hari Akhirat, Allah subhanallah wa taala berkuasa ke atas segalanya terhadap apa yang telah makhlukNya lakukan ketika mereka berada di bumi dalam menilai necara timbangan mereka yang manakah ke syurga atau ke neraka.
IlmuNya memang tidak dapat ditandingi kerana ilmu Allah meliputi segala-galanya. Sebagai contoh, pada zaman Yunani purbakala, pakar astronomi yunani telah membuat kajian mengenai angkasa lepas dan bumi. Mereka mendapati bahawa bumi berada di tengah-tengah orbit manakala planet-planet lain berada di kelilingnya. Konsep ini digelar geocentric.
Kemudian, Nicolaus Copernicus pada 1543 telah menjumpai penemuan baru mengenai sistem orbit angkasa yang mana beliau menemui bahawa matahari berada di tengah dan bumi dan planet-planet lain berada di sekelilingnya. Sebagai kesimpulan daripada penemuannya, bumi adalah salah satu planet yang berada di orbit angkasa yang paksinya dan berputar mengikut peredaran orbit dan pada sistem orbit angkasa terdapat juga planet-planet yang lain berputar mengikut peredaran orbit.
Berdasarkan penemuan sains oleh ahli astronomi zaman dahulu menunjukkan bahawa ilmu Allah Subhanallah wa taala sangat luas dan mendalam serta meliputi segalanya. Jelas daripada ayat tersebut terhadap ilmu Allah Subhanallah wa taala meliputi segalanya memang bertepatan dengan fakta sains. Hal ini kerana fakta sains dan fakta Al-Quran tidak boleh dipisahkan pada dunia masa kini. Lihatlah Al-Quran telah lama menceritakan tentang kejadian langit dan bumi tetapi dunia sains baru sahaja teroka mengenai hal ini.
Daripada firman yang diberikan, hendaklah kita beriman kepada Allah Subhanallah wa taala dengan sepenuh iman dan ketahuilah manusia diciptakan ke bumi adalah untuk beribadah serta mengetahui dan berfikir kenapa Allah menciptakan langit dan bumi. Hendaklah kita mengimani diri kita kepada Allah Subhanallah wa taala dengan Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat kerana tauhid ini membawa diri seseorang itu mengimani Tuhannya dengan lebih mendalam. Harus bagi seseorang muslim mengimani dirinya bahawa Allah Subhanallah wa taala Maha Kuasa terhadap segalanya kerana Dialah Tuhan Maha Esa. Ilmu Allah Subhanallah wa taala tidak akan hilang walaupun setitis lautan kerana jika diambil sejenis lautan akan ada lagi lautan-lautan lain yang mengisi ilmuNya. Sungguh ilmu Allah meliputi segala-galanya.
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.Surah Al-Ikhlas ayat 1-4.
Wallahu'alam
Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
31 Ogos 2009/9 Ramadhan 1430H
0 Teguran:
Post a Comment