17 March 2011

Tiga Golongan Penuntut Ilmu

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan;

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat, maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan untuk mendapatkan kemuliaan, pangkat, dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. 

Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su'ul khatimah (pengakhiran yang buruk), kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia. 

Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para 'ulama. Dia bercakap seperti percakapan 'ulama dan berpakaian seperti pakaian 'ulama, padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa akan firman Allah swt;
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang tidak kamu amalkan. [As-Saff, 61:2]
Dan juga ayat;
Katakanlah wahai muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka? Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik. [al Kahfi, 18:103-104]
Wahai penuntut ilmu, maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama, dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk ke dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum dia sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


- Gambar Hiasan -

- Pesanan imam al-Ghazali dalam muqaddimah bukunya 'bidayatul hidayah', telah disunting untuk ringkasan pembacaan dan kemudahan dalam pemahaman isinya.

Semoga kita (yakni para penuntut ilmu) tergolong dalam golongan yang pertama tersebut. Seaungguhnya mengharap keredhaan Allah swt adalah tujuan utama kita hidup di dunia ini.

Semoga bermanfaat insyaAllah.

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More