13 August 2011

Isu Larangan Bacaan al-Quran Menggunakan Pembesar Suara Di Dalam Masjid Oleh Kerajaan Pulau Pinang


(JHEAIPP) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menghentikan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh kerana amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Adalah dengan ini saya menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu ini. Di bawah merupakan video kenyataan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara.


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa bacaan Al-Quran dengan pembesar suara daripada masjid atau surau adalah dilarang menurut hukum syara'.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 7 April 2011 mengenai hukum tersebut. Namun, KN berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa. "Saya ingin menekankan bahawa pihak KN tiada kaitan dengan keputusan ini dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Mufti Pulau Pinang. Saya juga menasihatkan agar jangan mempolitikkan isu ini kerana arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa, bukannya KN seperti yang diuar-uarkan," ujar EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Y.B. Tuan Abdul Malik Abul Kassim semasa sesi sidang media yang diadakan di KOMTAR, hari ini. Beliau juga memaklumkan pihak KN sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri ini. Pihak media juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya dengan membuat andaian sendiri kerana isu ini berkaitan Agama Islam - Buletin Mutiara
Amat wajar tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kerana yang disarankan digunakan hanyalah azan bukan bacaan al-Quran. Bahkan tiada di dalam sunnah. Ini dibuktikan lagi dengan terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w mengenai larangan Nabi s.a.w. terhadap mengangkat suara terhadap bacaan al-Quran. Hadis Nabi s.a.w. ini perawinya adalah Abu Sa’id al-Khudri. Katanya:
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin sudah beberapa kali mengulas isu ini. Dan alhamdulillah, ini merupakan satu tindakan yang positif kerana perkara ini tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat. Bahkan terdapat larangannya. Berikut merupakan video beliau dalam mengulas isu ini.


Saya juga pernah menulis artikel sebagai respon terhadap orang ramai yang mengatakan bahawa memperdengarkan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara bukan isu besar dan ianya merupakan perkara yang baik. Sebenarnya, ianya bukan baik bahkan boleh menyusahkan orang ramai. Boleh rujuk artikel saya Bacaan al-Quran Di Dalam Masjid Boleh Mengganggu Jamaah?


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
13 Ogos 2011/13 Ramadhan 1432H

1 Teguran:

Yelah, mcm mana nak org bukan islam dekat dengan islam sedangkan mrk sering diganggu? Kita hanye tahu je salahkan org bukan islam asyik2 benci islam tp kita tak pernah pun kaji balik sebab kenapa mrk benci.

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More