18 August 2011

Membina Komuniti Yang Berfikiran Kritis

- Gambar Hiasan -

Pada zaman ketiadaan Internet, sistem pendidikan pada waktu itu memang agak tidak teratur dan keadaan masyarakat masih berada di takuk pemikiran yang lama. Kita boleh menilai di zaman itu masyarakat belum lagi terdedah kepada pemikiran yang terbuka kepada budaya masyarakat yang berdaya saing dari segi berfikiran secara kritis atau terbuka dalam apa-apa keadaan dan situasi semasa.

Tetapi, apabila munculnya beberapa tokoh-tokoh yang hebat pada era kebangkitan nasionalisma menentang penjajah British, ramai yang agak terkejut dan ada yang mula sedar. Antara tokoh hebat yang memainkan peranan itu adalah Pendeta Zaaba, Dr. Burhanuddin Helmi, Syeikh Said al-Hadi dan sebagainya. Merekalah antara insan yang awal dalam membawa masyarakat melayu pada masa itu supaya keluar daripada bawah tempurung untuk melihat masa depan yang cerah.

Mereka yang bangun daripada komuniti Melayu ini sebenarnya bukannya lahir menjadi hebat dengan sekelip mata. Tetapi mereka lahir daripada sistem pendidikan yang berkesan iaitu mereka mempelajari pendidikan yang menekan tentang peranan 'ilmu di dalam agama, kebangkitan berjuang menegakkan hak dan kebenaran, dan berfikiran secara kritis terhadap perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh kerana itu, pendidikan dalam sesebuah komuniti memainkan peranan yang penting khususnya di dalam sebuah tamadun negara yang maju dan moden. 

Antara ciri orang-orang yang berfikiran kritis adalah golongan ulul albab. Ini disebutkan di dalam surah ali-'Imran ayat 190 hingga 191:




Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;



(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Maka, sewajarnya manusia yang hidup di zaman ini sudah cekap dalam mengikuti arus perubahan hidup. Dengan adanya informasi dan telekomunikasi yang begitu cepat dan pantas, saya fikir tidak ada alasan yang munasabah untuk mengatakan bahawa ada yang masih ketinggalan di dalam sudut pemikiran yang kritis serta matang. Panduan untuk menjadi orang-orang yang kritis, ikutilah contoh ulul albab dalam surah ali-'Imran itu.

Dan itulah sebenarnya hikmah ditunjukkan oleh Allah swt di dalam ayat ini. Dia hendak tunjukkan kepada hamba-hamba-Nya supaya membuka luas kotak pemikiran kita. Membuka pemikiran kita dalam mengkaji segala aspek kehidupan yang telah Dia ciptakan kepada kita agar kita berfikir apakah di sebalik kejadian yang Allah cipta? Kemudian, kepada aspek komuniti pula. Mengapa mereka mengamalkan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam?

Maka, anda fikirlah sendiri. Sesungguhnya, beruntunglah manusia yang dijadikan oleh Allah SWT untuk sentiasa berfikir terhadap setiap perkara yang berlaku.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
18 Ogos 2011/18 Ramadhan 1432H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More