12 February 2009

Perkara-Perkara Yang Dibolehkan Dalam Solat

Assalamualaikum wbt...

Terdapat beberapa perkara yang dibolehkan dalam solat. Antara yang dibolehkan adalah:

1. Menangis

Dari Abdullah ibn Syikir, katanya:

“Saya melihat Rasulullah s.a.w. bersolat sedang baginda berisak-isuk bagi suara kuali yang sedang mendidih kerana isakan (menangis).”

[H.R. Ahmad,Abu Daud,An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

Kata Ali ra:

“Tiada antara kami pada hari Badar seseorang penunggang kuda selain dari Al Miqdad dan tiada antara kami yang bersolat malam selain dari Rasulullah s.a.w.. Baginda bersolat di bawah pohon kayu sambil menangis sampai Subuh.”

[H.R. Ibnu Hibban]

Umar ra. pernah solat Subuh dengan membaca surah Yusuf. Ketika bacaannya sampai kepada:

Innama ashku.......(Hanya aku adukan keluhanku dengan kegundahan kepada Allah), Umar menangis dengan suara keras.”

[H.R. Al Bukhari, Said ibn Mansur dan Ibnul Munzhir]

2. Berpaling ke kanan atau ke kiri apabila ada keperluan

Dari Ibnu Abbas ra. ra.,katanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. bersolat, berpaling ke kanan ke kiri dengan tidak memusing lehernya ke belakang.”

[H.R. Ahmad]

Abu Daud berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w. solat dan berpaling dan melihat ke suatu lembah.”

[H.R. Abu Daud]

“Dan baginda (Nabi s.a.w.) telah menyuruh seseorang penunggang kuda pergi ke lembah di malam hari untuk berjaga-jaga.”

[H.R. Abu Daud]

3. Membunuh ular dan lipan

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

“Bunuhlah dua binatang hitam: ular dan lipan, walaupun kamu sedang bersolat.”

[H.R. Al Bukhari dan Muslim]

4. Berjalan sedikit yang diperlukan

Kata Aisyah ra.:

“Adalah Rasulullah s.a.w. bersolat di dalam bilik tidur sedang pintu terkunci. Maka, datanglah aku meminta agar pintu dibukakan. Oleh itu, Rasulullah berjalan, lalu membuka pintu untukku, kemudian beliau kembali ke tempat solatnya.
(Pintu itu terletak di sebelah kiblat)

[H.R. Ahmad,Abu Daud,An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

Kata Aisyah lagi:

“Rasulullah s.a.w. bersolat. Maka apabila seseorang meminta agar baginda membukakan pintu, baginda pun membukanya, asal saja pintu itu di sebelah kiblat atau di sebelah kanannya atau pun di sebelah kirinya dan tidak membelakangi kiblat.”

[H.R. Daruquthni]

Azraq ibn Qais berkata:

“Abu Barzah Al azlamy di waktu beliau berada di Al Ahwaz, berdiri di sebuah tepi sungai dan beliau memegang kekang kuda di tangannya dan lalu bersolat. Maka kuda itu pun mundur ke belakang, kerana itu Abu Barzah pun mundur. Seorang lelaki dari golongan Khawarij (yang melihat peristiwa itu) berkata: Wahai Tuhan-ku, hinakanlah orang itu, bagaimana dia bersolat? Maka apabila Abu Barzah telah selesai solat, beliau pun berkata: Aku telah mendengar perkataanmu. Aku telah berperang bersama Rasulullah s.a.w. enam atau tujuh atau lapan kali dan aku perhatikan segala keadaannya dan bagaimana beliau memudahkan pekerjaan. Aku mundur mengikuti binatang ku lebih mudah daripada membiarkannya kembali ke tempatnya yang menimbulkan kesukaran bagiku.” Dan Abu Barzah bersolat Asar dua rakaat.”

[H.R. Ahmad, Al Bukhari dan Al Baihaqi]

5. Mengendong anak

Abu Qatadah ra. berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w. bersolat manakala Umamah bt Zainab puteri Nabi bergantungan di leher baginda. Apabila baginda rukuk, baginda meletakkannya dan apabila baginda bangun dari sujud, baginda mengambilnya dan meletakkan kembali dilehernya.”

[H.R. Ahmad dan An-Nasa'i]

Abdullah ibn Syaddad dari ayahnya berkata:

“Rasulullah s.a.w. keluar dari bilik menemui kami dalam salah satu solat siang (Zuhur atau Asar), masa itu baginda mendukung Hasan dan Husain. Nabi maju ke depan dan meletakkannya. Kemudian baginda bertakbir dan bersolat. Baginda bersujud sekali dan memanjangkannya. Abdullah berkata: Aku angkat kepalaku, maka aku lihat Hasan dan Husain sedang duduk di atas punggung Rasullullah yang sedang bersolat itu, kemudian aku kembali bersujud semula. Setelah Rasulullah selesai solat, jamaah pun berkata: Ya Rasulullah, tuan telah bersujud sekali dan memanjangkannya sehingga kami menyangka telah ada sesuatu perubahan atau ada wahyu yang sedang diturunkan kepada tuan? Nabi menjawab: Tidak terjadi hal itu, tetapi anak ini menduduki punggungku. Aku tidak ingin mereka pindah sebelum mereka menyelesaikan hajatnya.”

[H.R. Ahmad,An-Nasa'i dan Al Hakim]

6. Menjawab perbicaraan dan salam dengan isyarat

Jabir ra berkata:

“Rasulullah s.a.w. menyuruh aku pergi menyelesaikan suatu urusan dalam perjalanan beliau ke Bani Musthahaliq. Kemudian aku datang kembali sedang baginda bersolat di atas kenderaanya. Maka aku pun terus menerangkan keadaanku kepada baginda. Baginda berisyarat dengan tangannya begini ..... Kemudian aku terangkan lagi dan baginda pun berisyarat dengan tangannya. Aku mendengar baginda membaca dan berisyarat dengan kepalanya. Selesai solat, baginda pun berkata: Apa yang engkau lakukan dengan tugasmu, tidak ada yang menghalangi aku menjawab selain aku sedang bersolat.”

[H.R. Ahmad dan Muslim]

Shuhaib berkata:

“Saya melalui Rasulullah s.a.w. yang sedang bersolat dan saya memberi salam kepadanya. Baginda menjawab salamku dengan isyarat. Dia berkata: Aku tidak mengetahui selain baginda mengisyaratkan dengan anak jarinya.”

[H.R. Ahmad dan At-Tirmidzi- sahih]

Ibnu Umar berkata:

Aku bertanya kepada Bilal bagaimana Nabi s.a.w menjawab salam ketika mereka memberi salam Nabi s.a.w semasa baginda bersolat? Jawab Bilal: Baginda berisyarat dengan tangannya.”

[H.R. Ahmad dan Ashabus Sunan]

7. Bertasbih dan menepuk tangan untuk mengingatkan imam

“Barangsiapa dalam solatnya timbul sesuatu urusan, hendaklah dia ucapkan: Subhanallah. Menepuk tangan dilakukan oleh para wanita sedang membaca tasbih (subhanallah) dilakukan oleh lelaki.”

[H.R. Ahmad,Abu Daud dan An-Nasa'i]

8. Mengingatkan bacaan imam

Ibnu Umar berkata:

“Bahwasanya Nabi s.a.w bersolat dan membaca surah, maka timbul keraguan baginya. Setelah selesai bersolat, baginda bertanya kepada Ubay: Apakah engkau turut bersolat bersama kami? Ubay menyahut: Benar! Bersabda Nabi: Apa yang menghalangi engkau untuk mengingatkan ayat yang aku ragukan itu?”

[H.R. Abu Daud-perawinya dipercayai]

9. Memuji Allah ketika bersin

Rifa’ah ibn Rafi’ ra berkata:

“Aku bersolat di belakang Rasulullah s.a.w., aku bersin. Maka aku pun mengucapkan : Alhamdulillah hamdan katsiran thayyiban mubarakan fihi kama yuhibbu rabbuna wa yardha. Sesudah selesai bersolat, Nabi pun bertanya: Siapa yang berbicara dalam solat? Tidak ada seorang pun menjawab. Kemudian Nabi bertanya lagi, tapi seorang pun tidak ada yang menjawab. Sesudah Nabi bertanya pada kali ketiga, saya pun menjawab: Saya, Ya Rasulullah! Maka nabi pun bersabda: Demi Tuhan yang diri Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya telah disambut ucapan itu oleh lebih tiga puluh Malaikat, masing-masing mereka ingin membawanya naik.”

[H.R. An-Nasa'i dan At-Tirmidzi]

10. Menutup mulut ketika menguap

“Apabila salah seorang kamu menguap dalam solat, maka hendaklah dia menutup mulutnya seberapa dia sanggup dan janganlah dia mengatakan hah, kerana kerana yang demikian itu dari syaitan, dia tertawa kerananya.”

[H.R. Al Bukhari]

“Menguap itu dari syaitan, maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia tutup mulutnya seberapa dia sanggup di dalam solatnya.”

[H.R. Muslim dan At-Tirmidzi]

11. Bersujud atas hujung kain

Dari Ibnu Abbas ra.:

“Bahwasanya Nabi s.a.w pernah bersolat dalam sekerat kain. Baginda menggunakan hujung-hujungnya untuk melindungi diri dari panas bumi dan dinginnya.”

[H.R. Ahmad]

12. Membaca dari mushaf (al-Quran)

Zakwan maula Aisyah ra. pernah mengimami Aisyah ra. dalam solat dengan membaca dari mushaf.

[H.R. Malik]

13. Berbimbang sebentar

Berkata Umar ra.

“Sesungguhnya aku berencana menyiapkan pasukanku masa aku bersolat.”

[Riwayat Al Bukhari]

14. Mendorong orang yang melintas di hadapan

“Apabila salah seorang di antara kamu solat menghadap ke arah sesuatu yang menjadi pembatas baginya dari manusia, kemudian ada yang mahu melintas di hadapannya, maka hendaklah dia mendorongnya dan jika dia memaksa maka perangilah (cegahlah dengan keras). Sesungguhnya (perbuatannya) itu adalah (atas dorongan) syaitan.”

[H.R. Bukhari dan Muslim]

“Janganlah kamu solat tanpa menghadap sutrah dan janganlah engkau membiarkan seseorang lewat di hadapan kamu (tanpa engkau cegah). Jika dia terus memaksa lewat di depanmu, bunuhlah dia karena dia ditemani oleh setan.”

[HR. Ibnu Khuzaimah]

“Nabi s.a.w. berdiri solat dekat sutrah (pembatas) yang jarak antara beliau dengan pembatas di depannya 3 hasta.”

[HR. Bukhari dan Ahmad]

15. Membetulkan saf

“Dari Ibnu Abbas , dia berkata: 'Aku pernah menginap di (rumah) mak cikku, Maimunah, tiba-tiba Nabi s.a.w. bangun pada waktu malam mendirikan solat, maka aku pun ikut bangun, lalu aku ikut solat bersama Nabi s.a.w., aku berdiri di samping kiri baginda, lalu baginda menarik kepalaku dan menempatkanku di sebelah kanannya.”

[H.R. Bukhari]

17. Meludah untuk menghilangkan gangguan syaitan

“Wahai Rasulullah, syaitan telah menggangguku ketika aku membaca bacaan dalam solat sehingga bacaanku menjadi kacau.” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: “Itulah syaitan yang bernama Khinzib. Jika kamu merasakan gangguannya, bacalah ta'awwuz dan meludahlah ke sebelah kirimu tiga kali.” Dia berkata: “Saya lakukan hal itu, kemudian Allah menghilangkan keraguan dari diriku.”

[H.R. Muslim]

Rujukan: Jom Solat

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More