27 June 2009

Hizbiyyah: Virus Kafir Perosak Aqidah Umat

Assalamualaikum wbt...

Kalau kita lihat pada fenomena dunia masa kini, virus paling merbahaya adalah H1N1. Tetapi bagi ana, ada yang lagi merbahaya daripada H1N1 iaitu virus hizbiyyah. Ini kerana hizbiyyah ini adalah fahaman yang merbahaya yang semakin menular di kalangan orang Islam sendiri. Janganlah kerana kita tidak bersefahaman/sehaluan dengan saudara kita seislam yang lain, kita tularkan hizbiyyah kepadanya. Na'uzubillah.

Untuk itu, ana letakkan di bawah ini artikel mengenai virus hizbiyyah; virus mengkafirkan orang walaupun semasa muslim sendiri. Harap dapat memahaminya. Insya Allah. Selamat membaca!



Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri

Antara bentuk al-Ghazwul Fikri yang paling merbahaya dan merupakan antara serangan yang paling awal dilancarkan oleh pihak musuh terhadap umat Islam adalah at-Tahazzub dan al-Tafarruq.

At-Tahazzub bermakna berparti-parti atau berkelompok-kelompok dan at-Tafarruq pula bermaksud berpecah-pecah.

Agenda penting pihak Salib untuk memudahkan laluan penyebaran dakyah mereka adalah dengan memcahbelahkan Umat Islam.

Takrif

Usaha pihak Kuffar untuk menjauhkan Umat Islam daripada berpegang teguh dengan Manhaj as-Salaf as-Soleh.

Maka daripada takrif ini kita dapati bahawa Umat Islam akan terus dianggap berpecah belah selagi mereka tidak mengikut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah atau disebut juga al-Manhaj al-Salafi.

Penyatuan Umat Islam di bawah sebuah parti yang di dalamnya terdapat pelbagai kelompok seperti Sufi, Asyairah, Maturidiah, Liberal, bahkan Syiah seperti Parti Ikhwan al-Muslimun tidaklah diiktiraf sebagai penyatuan yang syar’i.

Sejarah

Usaha ini bermula pada separuh kedua pemerintahan Saidina Usman bin Affan R.A di mana seorang Yahudi berpura-pura memeluk ajaran Islam yang bernama Abdullah bin Saba’ dan terkenal dengan nama Ibn Sauda’ kerana ibunya seorang hamba berkulit hitam. Dia datang daripada Yaman ke Madinah al-Munawwarah yang merupakan Darul Khilafah ketika itu. Dia menampakkan dirinya sebagai seorang Islam di sana.

Abdullah bin Saba’ memulakan rencana dengan menyebarkan hadis palsu : “Setiap Nabi itu ada Wasiyy dan Wasiyyku adalah Ali”. Dia menjelajah ke Hijjaz, Basrah, Kufah, Syam dan Mesir.

Dia menwar-warkan bahawa Usman bin Affan R.A telah menyeleweng dan ditabur pelbagai fitnah. Oleh kerana ramai umat Islam yang baru masuk ke dalam agama ini dan belum mantap ilmu mereka, maka mereka terpedaya. Awal gerakan dakyahnya diterima adalah di Mesir.

Gerakan ini bermula sebagai sebuah pertubuhan politik yang menampakkan diri mereka beramar makruf dan nahi munkar kemudian menggunakan aqidah Islam untuk kepentingan mereka dan akhirnya terkenal sebagai Syiah Ali atau Syiah.

Sebab utama munculnya ajaran ini adalah kerana umat Islam meninggalkan sistem memahami agama sebagaimana pemahaman as-Salaf as-Soleh yang terdiri daripada Sahabat R.Hum terutama Khulafa’ ar-Rasyidun Saidina Uthman bin Affan R.A ketika itu.

Hasil daripada gerakan ini berlakulah perpecahan umat Islam kepada kemudian terbentuk pula al-Khawarij di zaman Saidina Ali, kemudian muncul pula pelbagai gerakan sama ada berpunca dari pemahaman politik atau aqidah.

Puncanya adalah sama iaitu meninggalkan jejak langkah as-Salaf as-Soleh dan al-Manhaj as-Salafi.

Sejarah Gerakan ini di Zaman Moden

Pada penghujung kesultanan Uthmaniyyah Turki, pihak barat telah sekali lagi cuba memecah belahkan Umat Islam dengan menjauhkan mereka daripada ajaran as-Salaf as-Soleh. Pada kurun ke-12 Hijrah, gerakan dakwah as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab untuk mengembalikan ajaran Islam sesuai dengan fahaman al-Jamaah iaitu as-Salaf as-Soleh telah cuba dihalang dengan ditabur pelbagai fitnah dan kedustaan.

Medium yang digunakan adalah ulama’-ulama’ ahli bidaah yang telah mereka wujudkan sejak zaman Uthman bin Affan. Medium yang paling banyak mereka guna adalah golongan Sufi Asy’ari dan gerakan Syiah.

Tuduhan-tuduhan Yang Dilempar

1- Membawa agama baru

2- Mendakwa menjadi Nabi

3- Bersekongkol dengan Inggeris

4- Menderhaka terhadap Turki Usmaniyyah

Jawapan

1- Jawapan as-Syeikh Muhammad kepada Ahli Qasim tentang aqidahnya:

أشهد الله ومن حضرني من الملائكة، وأشهدكم: أني أعتقد ما اعتقدته الفرقة الناجية، أهل السنة والجماعة، من الإيمان بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، والبعث بعد الموت، والإيمان بالقدر خيره وشره،


Maksudnya: “Aku bersaksikan Allah dan para Malaikat yang hadir dan aku bersaksikan kamu bahawa aku beraqidah dengan aqidah al-Firqah an-Najiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, kebangkitan setelah mati, dan qadar baik dan buruk…..”

Dalam Risalah ini as-Syaikh dengan panjang lebar menjelaskan aqidah beliau satu persatu dan aqidah beliau sama tepat dengan aqidah as-Salaf as-Soleh.

2- Kata as-Syeikh:

وأومن بأن نبينا محمدا صلى الله عليه و سلم خاتم النبيين والمرسلين، ولا يصح إيمان عبد حتى يؤمن برسالته، ويشهد بنبوته


Maksudnya: “dan aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad S.A.W adalah penutup sekalian nabi dan rasul dan tidak sah iman seorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulan dan kenabian baginda….”

3- Sejarah membuktikan bahawa apabila Saudi Arabia berjaya menubuhkan kerajaan pada tahun 1802 M, Kerajaan Usmaniyyah yang diperintah oleh Sultan Mahmud II (seorang yang berfahaman sekular dan merupakan pengasas Tanzimat yang telah membuang sistem Islam dari pentadbiran Uthmani) telah melancarkan serangan terhadap Kerajaan Saudi melalui Gabenor Mesir Ali Basha. Kemenangan Ali Basha telah disambut dengan ucapan tahniah oleh pihak Inggeris melalui Kapten Goerge Forester Sedler yang merupakan pemerintah kolonial Inggeris di India. Ini sebesar-besar bukti bahawa yang bersekongkol dengan Inggeris adalah Ali Basha bukan Muhammad bin Saud.

4- Ketaatan Saudi kepada Uthmaniyyah tidak timbul sebagai isu kerana Saudi tidak menyerang Uthmaniyyah tetapi Sultan Mahmud II yang menyerang Saudi dan Sultan Mahmud II ini terkenal sebagai seorang berfahaman Freemason. Adapun pembentukan kerajaan Saudi adalah melalui penggabungan beberapa kekuasaan politik kesukuan di bawah Raja Muhammad bin Saud. Kerajaan Uthmaniyyah tidak mempunyai kekuasaan hakiki terhadap kawasan Najd berdasarkan Qawanin Alu Uthman Madhamin Daftar ad-Diwan kecuali al-Ahsa’. Pada zaman kerajaan Saudi ke-3 iaitu di bawah al-Malik Abdul Aziz Al Saud, pada surat bertarikh 1/9/1322 H kepada Sultan Abdul Hamid II baginda Raja telah mengikrarkan bahawa Kerajaan Saudi termasuk dalam kekuasaan Uthmaniyyah dan Sultan Abdul Hamid II mengiktiraf hak kekuasaan Hijaz kepada Malik Abdul Aziz Al Saud.

5- Pada 31 Oktober 1831 Ali Basha telah bangkit menentang Sultan Uthmani tetapi tidak kedengaran walaupun satu huruf daripada pihak yang ‘anti-Wahabi’ mengatakan Ali Basha yang mereka julang sebagai Pahlawan menentang Wahabi itu sebagai pemberontak terhadap Khalifah.

Oleh itu, tuduhan-tuduhan yang dileparkan terhadap kerajaan Saudi dalam lembaran sejarah dan dikaitkan dengan as-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab hanyalah taktik Salibisme dan Zionisme untuk menjauhkan Umat Islam daripada kembali terhadap al-Jamaah dan dakwah salafiyyah yang akan menyatukan mereka kembali sehingga kembalinya khilafah di atas Manhaj Nubuwwah sebagaimana janji Nabi S.A.W dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal.

Nota Penting:

عن حذيفة بن اليمان قال: كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ


Maksudnya: Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A katanya: Manusia selalu bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang kebaikan tetapi aku selalu bertanya tentang keburukan kerana takut aku ditimpanya, maka aku berkata: Wahai Rasulullah kami dulu berada pada zaman jahiliyyah dan keburukan lalu Allah datangkan kepada kami kebaikan ini (Islam) maka adakah lagi selepas ini keburukan? Jawab baginda: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah selepas itu kebaikan pula? Jawab baginda: Ya, tetapi padanya ada debu. Kataku: Apakah debunya itu? Jawab baginda: Kaum yang memberi petunjuk bukan dengan petunjukku, kamu kenal dan kamu munkir (perbuatan mereka). Kataku: Apakah selepas itu keburukan pula? Jawab baginda : Ya, akan ada penyeru-penyeru di atas pintu neraka Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya (neraka). Kataku: Sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita (Islam). Kataku: Maka apakah pesanmu jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Hendaklah kamu mengikut Jamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Kataku: Jika tiada Jamaah dan Imam? Kata baginda: “Maka jauhilah semua puak-puak yang ada walaupun engkau terpaksa menggigit akar kayu dan engkau mati dalam keadaan itu”- [al-Bukhari&Muslim].

Daripada hadis ini, Rasulullah s.a.w menasihati kita supaya menjauhi pergolakan yang berlaku di akhir zaman dan terus melazimi manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah walaupun terpaksa mengasingkan diri daripada manusia ramai. Wallahua’lam.

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More