29 April 2010

BERTAQLID DALAM MENILAI KESAHIHAN HADITH –NASIHAT UNTUK PENDOKONG SUNNAH

Oleh: Ustaz Adlan Abd Aziz

Ini sekadar nasihat, terpulang kepada anda untuk menerima atau menolaknya. Ia ditujukan kepada pendokong sunnah yang masih belum menghayati perbezaan ilmu antara muhaddith salaf dan muhaddith selepas mereka. Mungkin ia terlihat tidak tersusun kerana dikarang secara spontan. Namun ia masih berada di bawah tajuk manhaj ahli hadith salaf lebih hebat dan lebih tepat. Selamat membaca.

Sedar atau tidak, kita hanya bertaqlid dalam menilai kesahihan atau kedhaifan sesuatu hadith. Apabila kita menyebut ’hadith riwayat al-Bukhari’ atau ’hadith ini dinilai sahih oleh Muslim’ atau ’hadith ini dinilai dhaif oleh al-Tirmidzi’, sebenarnya kita telah bergantung penuh kepada apa yang telah dikaji dan ini menandakan kita taqlid kepada mereka.

Begitu juga apabila ada dalam kalangan pendokong al-Sunnah masa kini yang asyik mengulangi perkataan ’dinilai sahih oleh al-Albani’, ’didhaifkan oleh al-Albani’ atau menggunakan nama ulama lain seperti Ahmad Syakir, Ahmad al-Ghumari, Syu’aib al-Arnaout, Abd. Aziz al-Torifi, Abdullah al-Sa’d dan lain-lain lagi – ini menandakan kita mengambil bulat-bulat kajian mereka. Ini juga salah satu bentuk taqlid.

Tanpa mahu menegaskan apakah jenis-jenis taqlid dan yang manakah taqlid yang dibenarkan dan ditegah, apa yang paling penting ialah – kita telah lama bertaqlid dalam menilai kesahihan hadith. Kalau tak nak taqlid al-Bukhari, kenapa anda taqlid al-Albani?

Kenapa kita bertaqlid? Dalam masa yang sama kita (atau sebahagian kita) amat tegas dalam melarang orang bertaqlid. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang persoalan taqlid, ittiba’ dan ijtihad. Itu bukan topik artikel ini.

Jika ada dalam kalangan anda yang menjawab : saya tidak taqlid! Saya mengambil pendapat mereka dalam keadaan mengetahui apa hujah mereka! Jika ini jawapan anda, ia amat melucukan sebenarnya. Adakah anda telah mengkaji SEPENUHNYA hujah al-Bukhari (sebagai contoh) ketika beliau menilai sesuatu hadith? Adakah anda telah membuat perbandingan dengan ulama hadith lain sebelum al-Bukhari dan juga selepasnya untuk menilai hujah yang mana lebih kuat dan lebih rajih? Pelbagai soalan boleh dikemukakan untuk meragui dakwaan bahawa anda telah mengetahui hujah al-Bukhari. Soalan yang paling tepat untuk ditanya sebelum semua soalan tadi ialah – adakah anda layak untuk memahami bagaimana al-Bukhari menilai hadith?

Sepatutnya anda menjawab: Ya! Saya bertaqlid kepada al-Bukhari atau saya mengikut pendapat al-Bukhari kerana beliau adalah mujtahid mutlaq (dengan disaksikan oleh guru dan muridnya di zaman beliau) yang layak mengeluarkan pendapat. Beliau layak dan saya tidak layak. Malah beliau amat berkelayakan dalam memberikan pandangan terhadap kesahihan sesuatu hadith tanpa ragu lagi. Itu yang sepatutnya anda jawab. Itu tanda anda mengiktiraf kehebatan ahli hadith dan juga bukti bahawa anda tidak layak untuk diletakkan sebaris dengan ahli hadith salaf terutamanya. Tetapi...

Mungkin anda setuju dan mungkin tidak terhadap apa yang telah saya coretkan di atas tadi.

Adakah anda tidak setuju kita bertaqlid kepada imam-imam hadith terkemuka seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya? Kenapa? Kerana anda merasakan ada orang yang lebih tahu daripada mereka?

Atau anda sendiri tidak mahu betaqlid kepada sesiapa lantas dengan sendirinya anda mengkaji sanad dengan semua periwayatnya dan juga mengkaji matan untuk memastikan tiada ’illah dan tidak syadz? Adakah semua hadith anda lakukan seperti itu? Semua hadith? Adakah itu yang dilakukan oleh ulama selepas al-Bukhari? Adakah itu yang dilakukan oleh ulama hadith sepanjang zaman? Adakah dengan cara itu anda dapat keluar daripada unsur TAQLID? Mustahil sama sekali!

Kerana apa saya katakan mustahil? Kerana untuk mengkaji sanad untuk SATU hadith sahaja anda perlukan buku-buku yang telah dikarang oleh ulama salaf juga! Antara mereka yang memberikan pendapat tentang periwayat (dipercayai atau dhaif) adalah imam-imam salaf juga. Siapa lagi orang yang anda akan gunakan pendapat mereka dalam menilai periwayat?

Ada yang menyatakan bahawa dia akan menggunakan buku Taqrib al-Tahdzib karya Ibnu Hajar al-’Asqlani (852H). Mungkin anda lupa bahawa semua maklumat dalam buku Taqrib itu diringkaskan daripada bukunya sebelum itu iaitu Tahdzib al-Tahdzib. Tahdzib al-Tahdzib pula meringkaskan atau menyusun buku Tahdzib al-Kamal karya al-Mizzi. Dari mana maklumat itu disusun oleh al-Mizzi (742H)? Daripada buku al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal karya Abd. Ghani al-Maqdisi (600H). Dari mana pula al-Maqdisi mendapat maklumat? Daripada buku-buku ahli hadith sebelumnya dan akhirnya...akhirnya kita akan dapati ia akan terhenti pada nama-nama besar dalam kalangan ahli hadith salaf. Nah! Bagaimana anda ingin keluar daripada taqlid para imam salaf?

Satu persoalan lagi yang ingin diajukan di sini...kenapa anda menerima pendapat imam salaf tentang periwayat..orang ini thiqah, orang ini dhaif, orang ini mudallis dan sebagainya. Kenapa diterima begitu sahaja? Jawapannya ialah kerana mereka lebih tahu, lebih awal dan lebih mampu. Tapi kita? Kita hanya mampu menyusun, menghuraikan dan membandingkan maklumat yang telah sedia ada. Alangkah lemahnya ilmu kita. Alangkah lemahnya ilmu ulama terkemudian dibandingkan dengan ahli hadith salaf!

Ada satu lagi keadaaan yang berlaku dalam kalangan pendokong sunnah – bertaqlid kepada ulama hadith moden. Bertaqlid kepada al-Albani, ulama-ulama Arab Saudi, Syu’aib al-Arnaout dan ulama-ulama negara arab lain seperti Jordan, Maghribi, Syria dan sebagainya. Kenapa anda asyik bertaqlid kepada mereka? Jawapan anda ialah mereka ahli hadith terkemuka dan tokoh yang hebat. Mereka mampu mengeluarkan pendapat tentang sesuatu hadith dengan tepat. Itu kata anda. Saya tidak menyalahkan anda kerana bertaqlid kepada mereka kerana ulama-ulama pernah menyatakan bahawa taqlid dibenarkan ketika kita tidak mampu mengkaji atau tidak sempat mengkaji seperti kata Ibnu Taimiyyah.

Tapi apa yang menyedihkan ialah anda bertaqlid kepada muhaddith moden seolah-olah mereka itu sebaris, setaraf, sehebat, semampu para imam salaf yang kita kenali sepanjang zaman! Siapa anda untuk mendakwa mereka sedemikian rupa? Mereka sendiri tidak mendakwa perkara tersebut! Kalau anda masih lagi menganggap sedemikian, (malah ada yang menganggap bahawa muhaddith akhir zaman lebih hebat daripada muhadddith salaf disebabkan faktor teknologi dan perkembangan zaman, Subhanallah! ) jelas sekali anda belum mengenali siapakah tokoh-tokoh hadith salaf. Jelas sekali anda belum lagi faham bagaimana mereka menghasilkan kajian masing-masing. Jelas sekali anda tidak mendapat gambaran tentang kemampuan mereka dalam mengkaji hadith. Amat jelas dan tidak syak lagi anda belum mengenali mereka!

Juga terang dan nyata anda tidak mengambil kira kemampuan mereka berbanding ulama selepas mereka. Anda mungkin berada dalam kalangan orang yang bermimpi bahawa Ibnu Sirin (110H) sama sahaja seperti muridnya Ayyub al-Sakhtiyani dan sama sahaja dengan murid Ayyub (131H) , Syu’bah Ibn al-Hajjaj (160H), sama sahaja dengan murid-murid Syu’bah - Abd. Rahman Ibn Mahdi (198H) dan Yahya Ibn Sa’id al-Qattan (198H). Mereka pula sama sahaja dengan Ahmad Ibn Hanbal (241H), al-Bukhari (256H), Muslim (261H) dan sebagainya. Mereka sama sahaja dengan al-Khatib al-Bahgdadi (463H), al-Baihaqi (458H), al-Nawawi (676H), al-Iraqi (806H), Ibnu Hajar al-Asqalani (852H), al-Suyuthi (911H), al-Syaukani (1255H), al-Albani (1421H), Syu’aib al-Arnaout dan lain-lain lagi. Ini adalah mimpi di siang hari! Tidak mungkin mereka sama! Bahkan imam-imam hadith yang terkemudian sentiasa memandang tinggi kepada ulama hadith salaf dan juga ulama sebelumnya. Terlalu banyak faktor yang membezakan ilmu ahli hadith salaf dan ilmu ahli hadith ulama-ulama selepas mereka. Apatah lagi ulama hadith masa kini, apatah lagi SAYA dan ANDA yang hanya tahu itu dan ini sahaja!

Ini adalah sekadar luahan hati saya apabila mendengar kata-kata atau membaca tulisan-tulisan yang saya dapati cenderung ke arah dua kesilapan besar:

1- Pertama, Menyamakan sahaja taraf muhaddith salaf dengan muhaddith selepas mereka seterusnya muhaddith moden.

2- Kedua, Tidak memperdulikan apa kata muhaddith terdahulu. Apa yang penting ialah kata-kata muhaddith zaman sekarang. Kalau dikatakan kepada orang ini ’al-Bukhari kata dhaif’, dia akan jawab ’tak apa, al-Albani kata sahih’.

Apa sebabnya? Sebabnya saya ringkaskan kepada dua perkara juga iaitu:

1- Pertama, Kurang kesungguhan untuk mencari apa kata muhaddith salaf tentang sesuatu hadith. Dengan mudahnya kita membuka buku moden atau menekan butang pada komputer untuk mencari apa kata ulama hadith moden. Ia menjimatkan masa dan memudahkan urusan. Sedangkan apa yang berlaku ialah kita telah mengabaikan pendapat-pendapat awal tentang hadith tersebut yang lebih hebat dan tepat.

2- Kedua, Tidak memberikan perhatian kepada sejarah perkembangan hadith. Lalu tidak mengenali siapa muhaddith salaf. Ditambah pula dengan tidak mengenali metodologi penulisan ulama-ulama salaf. Ini akan menjadikan kita tidak pandai menggunakan buku rujukan yang awal lalu kita ’skip’ dan terus menuju kepada kajian moden.

Apa akibatnya? Juga dua perkara:

1- Pertama, Berlaku kesilapan dalam menilai hadith. Yang telah didhaifkan oleh ulama-ulama salaf telah dinilai sahih. Begitu juga sebaliknya, ada hadith yang telah disahihkan oleh ulama salaf tetapi didhaifkan oleh ulama moden. Adakah mereka layak untuk melakukan perkara tersebut?

2- Kedua, Secara tidak sedar, kita telah memandang remeh dan memperlekehkan imam-imam salaf lalu kita hanya mengambil pendapat mereka dalam aqidah, akhlak, fiqh dan lain-lain tetapi kita tinggalkan fatwa mereka tentang hadith dan penilaian hadith.

Cukup sekadar ini apa yang hendak diluahkan.

Untuk makluman para pembaca, AAN telah melancarkan siri penerangan sejarah penulisan hadith (siri 1 – penulisan di zaman Rasulullah SAW dan sahabat). Ia akan dimuat turun dalam AAN tidak lama lagi, insya Allah. Manakala siri kedua akan diadakan di Institut al-Qayyim, Pulau Pinang dengan membicarakan siri 2 – penulisan hadith di zaman tabi’in dan atba’ tabi’in), insya Allah. AAN juga akan membekalkan maklumat ringkas tentang sebahagian tokoh hadith salaf berserta metodologi penulisan mereka dalam buku-buku terkenal. Insya Allah, ia adalah sekadar kemampuan AAN. Teruskan mengikuti perkembangan penerangan ini untuk anda mengetahui kewujudan perbezaan yang nyata antara ulama hadith terdahulu berbanding ahli hadith selepas mereka.

1 Teguran:

Amat setuju tentang apa yang anda nyatakan. Kita perlu berhati-hati dalam mengambil sesuatu hadith, ulama'2 terdahulu ternyata dan terbukti serta terjamin adalah lebih hebat dibandingkan dengan ulama' moden sekarang ini....

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More