22 April 2010

Buku Teks Sejarah Juga Perlu Dibuat Laporan Polis

Assalamualaikum wbt.

Yusri Muhammad, bekas Presiden ABIM dan sekarang Yang Di-Pertua Yayasan Sofa telah mengemukakan laporan polis di Balai Polis Dang Wangi beberapa hari yang lepas terhadap Dr Mohd Asri berkaitan dengan artikel 'Cabaran Gerakan Pembaharuan'. Agak terkilan dengan tindakan Yusri Muhammad. Beliau mengatakan bahawa artikel Dr Mohd Asri tersebut mempunyai unsur hasutan dan menghina raja-raja dan sultan.

Jika demikian, saya rasakan beliau perlu juga membuat laporan polis terhadap Buku Teks Sejarah sekolah-sekolah di Malaysia. Kerana setiap buku teks di sekolah-sekolah adalah melalui silibus yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku Teks matapelajaran Sejarah ada menyebut mengenai gerakan pembaharuan atau gerakan islah yang dipimpin tokoh-tokoh kaum muda antaranya Za'ba, Burhanuddin Helmi dan lain-lain.

Di bawah merupakan sebahagian tulisan daripada buku teks Sejarah mengenai gerakan pembaharuan:
Ramlah Adam, Shakila Parween Yacob, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil (2003). Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 m/s 49-50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

GERAKAN ISLAH DALAM MENINGKATKAN MINDA BANGSA

Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha, Idaran Zaman dan Pengasuh telah menjadi saluran Gerakan Islah ini.

Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu. Gerakan Islah oleh Kaum Muda ini dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana beberapa undang-undang telah dikeluarkan oleh Negeri-negeri Melayu bagi menghalang pengaruh Kaum Muda. Undang-undang ini tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaan Sultan. Undang-undang ini juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda dibawa masuk ke negeri-negeri tersebut.

Gerakan Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah. Madrasah ini menjalankan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan untuk dunia dan akhirat seperti pendidikan fardu ain, Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Madrasah ini juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Ternyata tekanan British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya Gerakan Islah dalam masyarakat Melayu, terutamanya dalam bentuk pendidikan.
Sumber Artikel: http://www.facebook.com/?ref=logo#!/note.php?note_id=386729799916

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More