09 December 2009

Fiqh al-Ikhtilaf

السلام ىليكم ورهمة الله وبركاته

Mutakhir ini banyak isu perbedaan pendapat dan masalah fiqh. Seandainya berselisih dengan pendapat ulama' maka dikatakan biadap dan menghina ulama'. Ada juga yang mengatakan bahawa masyarakat dilarang melakukan talfiq tetapi jika hendak mengamalkan pegangan mazhab lain boleh asalkan tidak mencampuradukkan ijtihad mazhab antara satu sama lain. Ada juga mengatakan bahawa wajib mengikut "ijma' arus perdana" kerana ianya adalah ijma' sepakat ulama di Malaysia dan tidak boleh berselisih pendapat.

Ini bermakna masyarakat harus bertaqlid walaupun adanya hukum fiqh yang bercanggah dengan nas serta kewarasan akal fikiran. Sering juga dilabel-label apabila seseorang itu berbeda pendapat fiqhnya terhadap pihak lain. Ironinya, apabila selisih atau beda pendapat mesti dilabel dengan wahabi. Apa ini semua? Apabila tak sama pendapat, wahabi. Tuduhan yang sangat melampau dan tidak relevan sama sekali!

- Gambar Hiasan-

Jika demikian kenyataan yang diwar-warkan oleh beberapa ulama' di Malaysia yang 'begitu handal', maka apa pula yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi iaitu seorang faqih dalam bidang fiqh dan sering dijadikan rujukan semasa terhadap permasalahan fiqh pada zaman moden ini mengenai isu perbedaan pendapat atau ikhtilaf.

Pendapat beliau telah dikemukakan di dalam kitabnya yang berjudul al-Sahwah al-Islamiyah min al-Murahaqah ila al-Rusd. Beliau menyebut antara kaedah-kaedah Fiqh al-Ikhtilaf dalam menangani permasalahan ini ada 19 perkara.

  1. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah suatu keperluan.
  2. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah rahmat dan keluasan bagi umat Islam.
  3. Mengambil kira khilaf dalam perkara cabang dalam fiqh adalah kekayaan dalam perundangan bagi umat.
  4. Menghindari khilaf dan menyatukan umat pada satu pendapat adalah suatu yang tidak mungkin.
  5. Mengandaikan pandangan yang benar di pihak yang menyalahi pandangan kita.
  6. Kemungkinan yang benar itu lebih dari satu.
  7. Tersilap dalam perkara ijtihad selama mana ia berkeahlian adalah diberi kemaafan malah berpahala.
  8. Tidak ingkar terhadap pihak yang tidak bersependapat dan menyebut apa yang baik pada mereka.
  9. Bersikap insaf terhadap pihak yang tidak bersependapat dan mengkritiknya dengan penuh kebenaran.
  10. Bersikap adil dengan mereka yang bersependapat dan mengkritiknya dengan penuh kebenaran.
  11. Berkerjasama dalam perkara yang disepakati.
  12. Bertasamuh dalam perkara yang terdapat padanya khilaf.
  13. Berdialog dalam perkara yang tidak disepakati.
  14. Bertasamuh di kalangan mereka yang berkhilaf dan bersolat antara mereka antara satu sama lain.
  15. Mengambil kira khilaf yang semua mazhab semuanya di atas landasan kebaikan dan hidayat.
  16. Mengalu-alukan khilaf al-tanawwu' bukannya khilaf al-Tadhad.
  17. Menjauhi sikap menunjuk-nunjuk dan melampau dalam pertengkaran.
  18. Beradab dengan mereka yang ternama dan ulama'.
  19. Menjauhi dari melabel dengan dosa dan kafir.
Maka, harus dielakkan sikap buruk terhadap ikhtilaf kerana ianya lebih mengundang kepada perpecahan ummah. Kalau kita hendak umat Islam terhindar daripada perpecahan, maka haruslah dielakkan sikap melabel seseorang itu apabila seseorang itu berbeda pendapatnya dengan pihak lain. Kerana sikap melabel inilah menjadi faktor utama perpecahan ummah!


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
9 Disember 2009/22 Zulhijjah 1430H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More