12 December 2009

Antara Percambahan Ilmu Dengan Kebiadapan Intelektual

السلام عليكم ورهمة الله وبركاته

Sejak akhir-akhir ini timbul pula persoalan mengenai warisan khazanah ilmuan Islam. Di ruangan dada-dada akhbar utama muncul pelbagai reaksi daripada sesetengah golongan agama di dalam artikel mereka mencemuh sebahagian golongan agama yang lain terhadap hujah keilmuan yang dipaparkan di dalam ruangan akhbar dengan dilabel sebagai 'kebiadapan intelektual'. Sering kita lihat situasi seperti ini apabila seorang ustaz memberi pandangannya kepada masyarakat dan tidak bersefahaman dengan pandangan sesetengah pihak maka pasti ada yang melabel beliau dengan kata-kata yang tidak elok. Umpamanya pada akhir-akhir ini telah terkeluar daripada mulut seorang ulama di Malaysia bahawa apabila berbeza pendapat, beliau telah melabelnya sebagai 'Intelectual Barbarism' atau dalam Bahasa Melayu 'kebiadapan intelektual' ataupun dengan bahasa lebih mudah menghina ulama.

Adakah dengan berbeza pendapat dengan ulama maka secara automatik kita telah dikategorikan sebagai menghina ulama sehingga kita telah tergolong antara golongan yang sesat. Umat Islam seharusnya diberikan lebih banyak pendedahan terhadap khazanah ilmuan Islam dengan lebih meluas dan bukannya dikongkong dengan hanya satu pendapat. Jika kita hendak akur kepada satu pendapat sahaja, maka tiadalah percambahan ilmu dalam kemajuan ilmuan Islam dan tidak wujudlah empat mazhab utama kerana kita hanya perlu pegang satu pendapat sahaja. Ya Aiyuhannas! Janganlah berfikiran sempit, bertaqlid buta dan hanya mahu pegang satu pendapat sahaja.

Jika benar masyarakat Malaysia berpegang teguh kepada mazhab al-Syafie buktikan bahawa mereka tidak melakukan talfiq pada masa yang sama! Cuba lihat isu zakat umpamanya, bukan ikut al-Shafie kerana al-Shafie tidak menggunakan wang apabila hendak tunaikan zakat tetapi menggunakan beras. Perbankan Islam di Malaysia menggunakan fiqh Ibn Taimiyah yang mana masyarakat Malaysia menuduhnya sesat. Jadi, bagaimana hendak kata bahawa kita pegang seluruh pegangan mazhab al-Shafie sedangkan masyarakat Malaysia pada hari ini sendiri melakukan talfiq iaitu penggabungan beberapa mazhab dalam masalah fiqh.


-Gambar Hiasan-

Maka, seandainya kita berbeza pendapat haruslah kita kembali kepada sumber utama umat Islam sebagaimana dalam surah al-Nisa ayat 59:
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
Kalau dilihat kepada sejarah Al-Imam al-Shafie jelas akan kehebatannya dalam menimba ilmu walaupun sehingga berdepan dengan fitnah dan dugaan, namun beliau tetap menimbanya sehingga ke akhir hayat beliau. Dalam kehidupan beliau, al-Shafie tidak pernah menyatakan bahawa satu pendapat sahaja diterima bahkan beliau sendiri menerima pelbagai pendapat walaupun berbeza dengan beliau kerana baginya kepelbagaian pendapat mengelakkan daripada ketaksuban hanya kepada suatu pendapat sahaja.

Imam al-Syafie juga tidak bersependapat dengan gurunya, Muhammad al-Hasan al-Syaibani. Muhammad Abu Zahrah r.h berkata di dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah:

Sesungguhnya keikhlasan al-Shafie dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayat, di mana sahaja beliau berada. Jika keikhlasanya itu bertembung dengan kebiasaan fahaman orang ramai, beliau tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya yang berani. Jika berlaku pertembungan antara keikhlasan kepada kebenaran dengan keikhlasan kepada guru-gurunya, beliau tetap mengutamakna kebenaran. Keikhlasan beliau kepada Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahnya. Walaupun beliau teragak-agak untuk mengistytiharkan sanggahannya itu.

Sebaik sahaja beliau mengetahui ada pihak di Andalus yang berdoa meminta hujan menggunakan kopiah Imam Malik (tawasul), beliau mengistytiharkan bukunya (yang menentang amalan itu) kepada orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa Imam Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul. Keikhlasan kepada Muhammad bin al-Hasan juga tidak menghalang al-Imam al-Syafie mengkritik dan berdebat dengannya. Bahkan beliau amat tegas dalam perdebatan itu.
Sejarah Al-Imam al-Shafie ialah beliau lahir pada 150H pernah berguru kepada Imam Malik Bin Anas ketika umurnya mencecah 20 tahun. Semasa di sisi Imam Malik jugalah beliau telah sempat bertemu dan berkenalan dengan salah serang murid utama al-Imam Abu Hanifah yang juga pendiri mazhab Hanafi iaitu al-Imam Muhammad Bin al-Hasan as-Syaibani. Ketokohan as-Syafi‘e sebagai murid terpintar al-Imam Malik mulai diiktiraf ramai. Namun ramai juga yang mencemburuinya lantaran kefasihan dan ketegasan beliau menegakkan kebenaran. Beliau telah dituduh dan difitnah sebagai pengikut dan pendokong ajaran Syiah. Di samping itu berbagai konspirasi lain dilakukan agar hukuman dijatuhkan ke atasnya. Akibatnya beliau telah ditangkap, dirantai dan dihantar ke penjara Baghdad, pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyyah ketika itu.

Beliau dibawa menghadap Khalifah Harun al-Rasyid dan berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan as-Syafi‘e membela dirinya dengan hujah-hujah yang meyakinkan menyebabkan Khalifah Harun sendiri tertarik kepadanya. As-Syafi‘e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad.

Di sini As-Syafi‘e telah berkenalan dengan ulama mazhab Hanafi dan duduk berguru dengan mereka terutamanya Muhammad al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan kepada beliau, iaitu berkesempatan untuk belajar dan membandingkan antara dua aliran Fiqh Islam, iaitu mazhab Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Aliran Malik mewakili pemikiran ulama hadith manakala aliran Abu Hanifah mewakili ulama ar-Ra’yu. Demikianlah as-Syafi‘e meneruskan pengembaraan ilmunya ke tempat-tempat lain hinggalah tahun 199H beliau kembali ke Mesir. Pada usia 54 tahun, as-Syafi‘e meninggal dunia di Arafah, Mesir pada malam Jumaat 29 Rajab 204 Hijrah bersamaan 19 Januari 820 Masehi.

Maka, kalau dilihat sejarah ringkas al-Imam Shafie jelas bahawa hebatnya mujadid agung yang digelar nashir al-din ini. Sedangkan al-Imam Shafie juga memperluaskan pemikiran beliau dengan mempercambahkan ilmu pada diri beliau. Beliau juga ada perkara yang tidak bersependapat dengan al-Hasan al-Syaibani tetapi ianya tidak menjadikan beliau tidak sepakat pada perkara lain. Adakah Imam al-Shafie dituduh sebagai menghina ulama' kerana tidak bersependapat dengan al-Hasan al-Syaibani? Tidak sama sekali bahkan berselisih itu di antara satu jalan untuk keluasan fiqh bagi umat Islam dan untuk berpegang kepada satu pendapat sahaja adalah suatu perkara yang tidak mungkin terjadi. Inilah yang diperkatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengenai mereka yang terlalu taksub terhadap satu mazhab sahaja.
Golongan taksub ini tidak membenarkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya. Sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikutnya bahawa dalil mazhab yang dipegangnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan orang yang keluar keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah. Mereka seolah-olah menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang tidak boleh dibangkang.

Ini sebenarnya menyanggah tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri kerana mereka melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ia juga menyanggah pegangan golongan salaf umat ini, iaitu para sahabat dan pengikut sahabat (tabiin dan tabi’ tabiin) sepanjang kurun pertama, iaitu sebaik-baik kurun dan yang paling dekat dengan petunjuk Nabi s.a.w. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya membantah sikap melampau dalam bertaklid. Ini menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab. Mereka mengambil paderi dan pendeta mereka sebagai Tuhan selain Allah.
– Al-Qaradawi, al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Madhmum.

Jadi, apakah kita dilarang untuk mengambil pelbagai pandangan sarjana Islam di dalam khazanah keilmuan Islam yang begitu besar sumbangan terhadap pelbagai aspek kehidupan seharian seperti mana yang dihebohkan oleh 'mazhab arus perdana' sehingga apabila bercanggah dengan mereka dianggap biadap dan menghina ulama'. Kononnya dikatakan bahawa pandangan ijma' mazhab arus perdana ini wajib dipegang dan ditaati dan tidak boleh berselisih dengan pandangan mereka. Ada pula yang mendakwa bahawa wajib mematuhi segala perintah ulil amri. Jikalau benar kenyataan itu, mengapakah pandangan ulama' lain berbeza dengan pandangan mazhab arus perdana. Jika benar dakwaan wajib mematuhi perintah ulil amri, mengapakah golongan ini mendakwa bahawa tauhid tiga itu sesat sedangkan kementerian pendidikan sendiri meletakkan silibus tauhid ini di dalam silibus sekolah dan universiti.

Ijma' adalah pendapat majoriti ulama' dan bukanlah pendapat minoriti atau sebahagian pendapat ulama'. Dakwaan mereka wajib berpegang kepada ijma' mazhab arus perdana jelas menyimpang dari segi istilah makna ijma' yang memerlukan pendapat majoriti. Maka, dakwaan mereka itu tidak wajar sekiranya diperincikan dengan perkataan 'wajib' kerana mazhab arus perdana itu sendiri bukanlah ijma' dan masih berselisih pendapat. Dakwaan bahawa wajib mematuhi perintah ulil amri berlanggar dengan prinsip mereka yang menyesatkan tauhid tiga tersebut yang mana ianya telah diperintahkan oleh ulil amri untuk dijadikan silibus kepada pelajar sekolah dan universiti. Mereka menyesatkan tauhid ini kerana Ibn Taimiyyah yang mempelopori tauhid ini. Mereka juga mendakwa bahawa tauhid ini amat berbahaya dan menyesatkan umat Islam.

Sebenarnya tauhid tiga ini telah wujud awal lagi sebelum zaman Ibn Taimiyyah (w. 728H) iaitu ianya pernah diperkatakan oleh Al-Imam Abi Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Battah Al-Akbariy yang meninggal tahun 387 H di dalam kitab Al-Ibanah ‘An Syariah Al Firqah An Najiah Wa Mujanabah Al Firaq Al Mazmumah. Di antara kata-kata beliau di dalam kitab ini ialah:
Bahawa Asal Iman kepada Allah yang wajib atas sekelian makhluk beri’tikad dengannya dalam mengisbatkan iman adalah tiga perkara:

Pertama: Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan sifat ketuhanannya ( rububiyyah) agar jadilah perkara itu satu perbezaan dari mazhab ahl at ta’til yang tidak mengisbatkan adanya pencipta.

Kedua: Bahawa seorang hamba beri’tikad akan keesaanNya (uluhiyyah) agar jadilah ia satu perbezaan dari golongan ahli syirik yang mengakui kewujudan pencipta (Allah) tetapi melakukan syirik dalam amalan ibadah mereka.

Ketiga: Bahawa seorang hamba beri’tikad bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang tidak haruslah Dia melainkan bersifat dengan sifat seperi ilmu, kudrat, hikmah dan semua sifat yang Dia sifatkan didalam kitabNya.”

Seterusnya beliau menyebut sebagai sambungan: “Kerana kita dapati Allah Taala telah memerintahkan hambaNya kepada I’tiqad dengan setiap satu dari tiga perkara ini dan beriman dengannya.” Tiga perkara yang dimaksudkan oleh Ibn Battah di sini ialah tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma wa sifat.
Jelas menunjukkan penyimpangan dakwaan bahawa wajib mengikuti ijma' mazhab arus perdana kerana adanya sebahagian ulama' yang lain tidak mengikuti mazhab arus perdana. Selain itu, mereka pula tidak melaksanakan kewajipan mematuhi segala perintah ulil amri kerana mereka sendiri mengingkari tauhid tiga yang dikatakan sesat sedangkan ianya diperintahkan oleh ulil amri yang dijadikan silibus kepada pelajar sekolah dan universiti. Tambahan pula, maklumat bahawa tauhid tiga itu sesat jelas bertentangan kerana tauhid tiga itu bersandarkan Al-Quran iaitu sumber agung umat Islam. Tidak wajar dikatakan sesat jika ianya bersandarkan dengan sumber paling agung umat Islam.

Oleh itu, harus kita ketahui tiada sekatan dalam mencari ilmu dan setiap ilmu yang kita dapati boleh memberi kesan yang baik terhadap masyarakat yang sememangnya dahagakan ilmu. Kalaulah sekiranya hanya berpegang pada satu pendapat sahaja, maka tiada ke hadapan umat Islam sampai ke hari ini. Jika kita berfikiran waras dan berfikiran kritis pasti kita akan mengatakan bahawa berpegang hanya pada satu pendapat tidak akan membawa ke arah yang lebih maju. Wajar diperkatakan di sini adalah bahawa kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menuduh seseorang itu biadap atau menghina ulama' hanya dengan berbeza pendapat. Jika demikian, maka keilmuan islam tidak akan berkembang dan akan dimomokkan oleh kesempitan berfikir dan tiada keluasan fekah. Maka, dengan itu manusia tidak boleh dikembangkan fikiran mereka atas sebab kesempitan akal di dalam berbicara.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
12 Disember 2009/25 Zulhijjah 1430H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More