04 December 2009

Kuiz Ramalan Nasib di Facebook

kuiz

Bagi mereka yang mendaftarkan akaun Facebook dan aktif menggunakannya pasti sedia maklum bahawa antara aplikasi menarik di dalam Facebook ialah membuat kuiz. Sesiapa sahaja yang mempunyai akaun Facebook boleh mencipta apa sahaja kuiz dengan hanya mengikuti aturan-aturan yang mudah. Kini, kedapatan lambakan bentuk kuiz yang tersedia dalam Facebook, dan sesetengah pengguna menjadi ketagih dengan kuiz-kuiz ini.

Dari sisi positif, aplikasi kuiz ini boleh dimanfaatkan sebagai satu medium dakwah yang menarik. Iaitu dengan mencipta kuiz-kuiz berbentuk ilmiah dan keagamaan. Sekurang-kurangnya pencipta kuiz boleh mempelajari skill membuat soalan yang berkesan dan pengguna yang menyertainya pula dapat mengulangkaji maklumat-maklumat yang mungkin sudah lama ditinggalkan.

Malangnya, kebebasan mencipta kuiz di Facebook telah disalahgunakan oleh sesetengah pengguna dengan membuat kuiz-kuiz yang boleh mencemarkan akidah dan kepercayaan. Antaranya kuiz horoskop, kuiz ramalan nasib, kuiz ramalan jodoh, kuiz ramalan di mana dan bila anda mati dan lain-lain.

Contohnya, dalam kuiz ‘Singkap Rahsia di Sebalik Nama’, jika seseorang bernama ALI menyertainya, setelah mengikuti aturan ringkas, jawapan yang akan diberikan adalah seperti di bawah:

ALI: 1+3+9=13
1 + 3 = 4
Nombor Rahsia disebalik nama anda ialah : 4

Mereka hanya akan bertindak apabila faham sepenuhnya tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Jika anda mengikuti kuiz ‘Singkap Rahsia Nombor Lahir Anda’ pula, dan anda memasukkan sebagai contoh tarikh 1 Januari 1979, maka ramalan yang tertera ialah:

1 + 1 + 1979 = 1981
1 + 9 + 8 + 1 = 19
1 + 9 = 10
1 + 0 = 1
Nombor Tarikh Lahir anda ialah :1

Golongan ini merupakan yang paling jujur dan boleh mempelajari dengan baik teknik diplomasi.

Tidakkah satu kejahilan tentang agama dan kebebalan yang melampau, apabila sikap seseorang insan boleh diketahui melalui ejaan namanya atau susunan tarikh lahirnya? Sejak bilakah Allah Taala menjadikan ejaan nama seseorang dan susunan tarikh lahir sebagai alamat bagi sifatnya?

Malah, terdapat juga kuiz-kuiz yang lebih dahsyat seperti kuiz meramalkan di mana dan bilakah anda mati. Berdasarkan soalan-soalan dalam kuiz seperti ini, saya percaya bahawa orang yang membuat kuiz ini hanya main-main sahaja. Tidak berdasarkan kepada mana-mana teori atau falsafah.

Contohnya, saya menjawab secara rambang satu kuiz bertajuk ‘Di mana kamu mati’. Jawapan yang tertera ialah:

Di Rumah.
Lu mati jatuh dari tangga paling atas ke bawah tanggal 03 Maret 2014.

KEWAJIPAN MEMELIHARA AKIDAH

Berdepan dengan kemunculan tukang ramal dan ahli nujum moden di dalam Facebook, kita sebagai orang beriman wajib mempelajari dan memelihara akidah yang sahih. Agar dapat mengelak daripada kemurkaan Allah, dan membezakan antara hak dan batil.

Ramalan nasib, ramalan kematian, dan ramalan jodoh yang berasaskan kepada kaedah nama, warna kegemaran, dan seumpamanya adalah satu pencemaran dalam akidah Qadha’ dan Qadar. Kerana ilmu tentang perkara ghaib adalah hak mutlak Allah Taala, yang tidak dikongsikan dengan sesiapa pun kecuali yang dikhabarkan kepada rasul-rasulNya.

Allah menegaskan dalam Al-Quran:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ

Maksudnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya. (Al-Jinn: 25-26).

HUKUM BERTANYA TUKANG RAMAL

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah melarang umatnya daripada bertemu dengan tukang ramal, apatah lagi mempercayai ramalannya.

Sabda baginda:

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu bertanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam”. (Direkod oleh Muslim).

Di dalam hadis lain:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُول فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّد

Maksudnya, “Sesiapa mendatangi tukang ramal lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur kepada apa yang diturunkan ke atas Muhammad”. (Direkod oleh Ashab Al-Sunan).

Mendatangi tukang ramal bukanlah satu kekufuran atau syirik secara mutlak. Menurut Syeikh Al-Utsaimin, ia boleh dibahagikan kepada tiga katagori.

Pertama: Orang yang datang kepada tukang ramal untuk bertanya ramalan sesuatu, tetapi tidak mempercayainya. Perbuatan ini adalah haram, dan balasannya ialah tidak diterima sembahyang selama 40 hari.

Kedua: Orang yang bertanya tukang ramal, dan mempercayai apa yang diramalnya. Perbuatan ini selain haram, ia menyebabkan jatuh kafir kepada Allah. Kerana mempercayai bahawa tukang ramal mengetahui perkara-perkara ghaib yang merupakan hak mutlak Allah. Ia juga satu bentuk mendustakan ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan bahawa ilmu ghaib adalah kepunyaan Allah semata-mata.

Ketiga: Orang yang bertanya tukang ramal kerana maslahah untuk menyelidiki dakwaannya. Supaya dapat dijelaskan pendustaannya atau diambil tindakan terhadapnya. Tindakan ini adalah harus sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bertanya beberapa soalan terhadap Ibn Shoyyad.

Justeru, sebelum pengguna Facebook menyertai kuiz-kuiz ramalan, pastikan dulu dia termasuk dalam kategori manakah.

SEKADAR MAIN-MAIN

Sesetengah penagih kuiz-kuiz ini mempertahankan tindakan mereka dengan hujah kuiz-kuiz ramalan itu hanyalah satu bentuk permainan merehatkan minda sahaja, tanpa mempercayainya.

Sedarkah mereka bahawa dalam perkara Akidah, kita dilarang menjadikannya sebagai main-mainan dan olok-olokan? Bolehkah akidah tentang qadha dan qadar dijadikan main-mainan? Akidah bahawa Allah sahaja yang mengetahui perkara ghaib boleh dijadikan bahan mainan?

Di samping itu, adakah kita pasti kuiz-kuiz seperti itu langsung tidak memberi kesan kepada akidah pengguna Facebook yang rata-ratanya adalah remaja dan muda-mudi? Bagi saya, kuiz-kuiz ramalan di dalam Facebook adalah satu fitnah terhadap pengguna-pengguna Muslim, terutama mereka yang cetek ilmu agama.

Mereka yang bertanggungjawab mencipta kuiz-kuiz ini, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana perbuatan mereka boleh membawa fitnah dan bencana kepada akidah orang Islam lain. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ

Maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar. (Al-Buruj: 10).

Sumber: Catatan Abu Umair

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More