السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambut nuzul al-Quran, di mana pada tarikh ini dikatakan tarikh diturunkan al-Quran buat pertama kalinya kepada junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.
Persoalan yang timbul ialah adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi Nuzul al-Quran seperti yang diketahui umum?
Dalam menulis artikel ini saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, ditulis oleh Al-Fadhil Dr Ahmad Najib bin Abdullah dari KIAS Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 ramadhan sebagai hari nuzul al-Quran” dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa kerajaan negeri Perlis.
Peringkat penurunan Al-Quran
Para ulamak membahagikan penurunan Al-Quran al-Karim kepada dua peringkat. Peringkat pertama: Diturunkan dari Lauh al-Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah s.w.t.
إنا أنزلناه في ليلة مباركة
Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. (surah al-Dukhan: 3)
Firman Allah s.w.t. lagi
إنا أنزلناه في ليلة القدر
Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)
Firman Allah s.w.t lagi
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)
Peringkat kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.
Pendapat ini dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani katanya: pendapat yang sahih dan muktamad. (fath al-Bari jilid 8 hlm. 620). Al-Imam Al-Qurtubi menyatakan tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini. (Tafsir al-Qurtubi, jilid 2 hlm.297).
Bilakah tarikh permulaan turunnya Al-Quran?
kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya al-Quran itu ialah di dalam bulan ramadhan. Tetapi mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.
Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 ramadhan adalah hari nuzul al-Quran, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.
Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri antaranya 7 ramadhan, 17 ramadhan dan 18 ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 ramadhan sebagai tarikh permulaan nuzul al-Quran. Ini disebabkan beberapa faktor
1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa nabi s.a.w. diutuskan menjadi seorang rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak hadis daripada Abu Qatadah r.h. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda: Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (al-Quran) ke atasku. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.
2. Pada tahun Nabi s.a.w. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam bulan ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan ramadhan.
3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah di dalam surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi s.a.w. diutuskan sebagai rasul pada 21 ramadhan sekaligus menjadi tarikh nuzul Al-Quran. (rujuk Al-Rahiq al-Makhtum, hlm.75)
Tarikh 17 ramadhan
Tarikh 17 ramadhan ini pula dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan:
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 ramadhan sebagai tanggal nuzul al-Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran” (bermulanya nuzul al-Quran), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:
Ibn Ishaq berkata: bermulanya penurunan al-Quran kepada rasulullah s.a.w. pada bulan ramadhan. Allah berfirman:
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)
Dan Allah berfirman:
إنا أنزلناه في ليلة القدر
Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)
Dan Allah berfirman:
إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان
Maksudnya: Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan. (al-Anfal: 41)
Dan pada hari itu pertembungan antara rasulullah s.a.w. dengan orang-orang musyrikun di Badar.
Ibn Ishaq berkata lagi: Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain telah menceritakan kepadaku bahawasanya rasulullah s.a.w. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 ramadhan. (Sirah Ibn Hisyam 1/239-240 –merujuk kepada kertas kerja Dr Ahmad Najib)
Kata Dr Ahmad Najib: “Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ yang terdapat dalam al-Quran dengan ‘Hari al-Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Quran juga berlaku pada tarikh yang sama”.
Di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibn Kathir membawakan satu riwayat dari Al-Waqidi daripada Abu Ja’afar al-Baqir dia berkata: bermulanya wahyu kepada rasulullah s.a.w. pada hari Isnin 17 ramadhan dan dikatakan juga 24 ramadhan. (Al-Bidayah wa al-Nihayah).
Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan nuzul al-Quran jatuh pada 17 ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan nuzul al-Quran disebabkan ianya bersandar kepada riwayat al-Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut ulamak al-Jarh wa al-Ta’dil.
24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran
Sebahagian ulamak memilih 24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran berdasarkan hadis berikut:
عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.
Daripada Wathilah bin al-Asqa’ bahawa rasulullahs.a.w. bersabda: Diturunkan suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama bulan ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 ramadhan, dan Injil pada 13 ramadhan, dan diturunkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 ramadhan.
Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Al-Albani, manakala Syeikh Ahmad Syakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 185 dan Al-Qadr: 1. Kata beliau: berkemungkinan Lailatu al-Qadr berlaku pada tahun diutuskan nabi s.a.w. pada malam 24 ramadhan di mana al-Quran diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’. (Fath al-Bari, jilid 8 hlm. 621)
Al-Imam al-Tobari ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh al-Mahfuz pada malam 24 ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah. (Jami’ al-Bayan, jilid 3, hlm. 445)
Imam al-Qurtubi menyebut hadith Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan al-Basri yang menegaskan Lailatul al-Qadr berlaku pada malam 24 ramadhan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 2, hlm 198)
Al-Hafiz Ibn Kathir juga membawakan hadith ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah al-Baqarah. Turut menyebut hadith ini syeikh Al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul al-Quran berlaku pada tanggal 24 ramadhan.
Kesimpulan
Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 24 ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut:
1. Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan Hadith. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul al-Quran.
2. Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 ramadhan.
3. Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulamak Muktabar dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul al-Quran. Rujuk kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.
Wallahu a’lam
Sumber: Institut al-Qayyim
2 Teguran:
so nak pilih mana 21 ke 24?
Ikut artikel ini, ana pegang pendapat 24 ramadhan kerana mengikut kepada mana yg paling rajih (tepat)
wallahu'alam
Post a Comment