السلام عليكم ورحمة الله وبركة
Umumnya, masyarakat Islam di Malaysia masa kini telah meraih peningkatan kualiti terhadap kemajuan masa kini. Antara kemajuan yang telah dicapai adalah ekonomi, pendidikan, sosio-politik, sains dan teknologi, pemasaran dan perniagaan. Namun, terdapat juga kekurangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia iaitu adab ketika makan di mana perkara ini kurang dititikberatkan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Islam mengajar umatnya agar berakhlak mulia dan beradab sopan. Daripada penjagaan akhlak dan adab dalam diri seorang muslim, terbentuk umat yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi dalam pelbagai aspek termasuk adab makan. Oleh itu, adab makan penting dalam sahsiah kehidupan seorang muslim. Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri boleh dijadikan contoh terbaik dalam menjaga akhlak dan adab.
Masyarakat kurang memberi perhatian terhadap adab dan akhlak khasnya adab makan. Kebanyakan mereka tidak diberikan kesedaran yang khusus mengenai adab makan. Ianya disebabkan oleh kurang pendedahan terhadap adab makan.
- Gambar Hiasan - |
Adakalanya kita terlihat orang sedang makan nasi dengan tangan kanan sambil beliau minum air dengan tangan kiri atas sebab tangan kanannya kotor. Ada juga terlihat orang sedang makan chicken chop dengan tangan kiri menggunakan pisau dan garfu atas sebab garfu berada di tangan kiri dan harus mengikuti etika pemakanan. Jika kita lihat pada contoh-contoh ini, sebenarnya ianya dapat dielakkan dan diberikan jalan alternatif dengan mengikuti contoh adab ketika makan yang diajarkan oleh nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
- Gambar Hiasan -
Antara ciri-ciri utama dalam adab makan yang mengikuti sunnah nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan membaca basmalah. Ini bersandarkan hadis nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari 'Aisyah radhiallahu 'anhuma berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah'). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' ". (Hadis riwayat Abu Dawud dan At-Tirmidzi)
Pada hakikatnya, tidak ada bacaan khusus untuk doa makan yang biasa diamalkan di kalangan masyarakat Malaysia. Riwayat yang mahsyur di kalangan masyarakat Malaysia iaitu membaca doa makan “Allahuma bariklana fima razaktana wa kina azabannar” adalah riwayat yang dhaif dan ianya telah dibuktikan di dalam kitab 'Amal al Yaum wa al Laylah yang diriwayatkan oleh Ibn As Sunni.
Kemudian, apabila kita hendak makan dan minum, maka makanlah dengan tangan kanan bukannya dengan tangan kiri walau apa keadaan sekali pun. Ini kerana Islam melarang umatnya makan atau minum menggunakan tangan kiri bersandarkan sabda nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”. (Hadis riwayat Muslim)
Justeru itu, haruslah seorang muslim mengikuti apa yang diajar oleh nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang dituntut oleh Islam. Ada riwayat lain yang memberi amaran terhadap sesiapa yang masih berdegil untuk menggunakan tangan selain tangan kanan.
Dari Salamah bin al-Akwa' radhiallahu 'anh, seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut." (Hadis riwayat Muslim)
Semoga kita beroleh keinsafan daripada hadis tersebut. Inilah yang sering dilakukan oleh masyarakat kita umumnya. Apabila kita hendak memulakan makan, makanlah dengan makanan yang paling hampir dengan kita dan jika kita tidak menyukai akan sesuatu makanan yang dihidangkan janganlah kita mencela makanan tersebut.
Sesungguhnya, Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan di dalam sabdanya yang bermaksud: Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka, oleh itu janganlah kita berkelakuan seperti yang dinyatakan kerana nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri melarang kita mencela makanan yang kita tidak sukai. Seterusnya, hendaklah kita mula makan dari pinggir pinggan kerana terdapatnya keberkatan terhadap makanan yang di tengah-tengah.
Dari Ibn Abbas radhiallahu 'anh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah." (Hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)
Kemudian, habiskanlah makanan yang telah kita makan dengan membaca doa selepas makan dan menjilat jari sehingga bersih. Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' " (Hadis riwayat Bukhari)
Sesungguhnya, terdapat hikmah dan kebaikan dalam mengikuti apa yang diajarkan nabi shallallahu 'alaihi wasallam kepada kita. Perkara ini mendorong umatnya agar lebih mendekati sunnah nabi shallallahu 'alaihi wasallam di samping mendidik umatnya lebih mengetahui dan mengamalkan adab makan nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam hal lain, ianya boleh menyebabkan masyarakat lebih tertib dalam adab makan.
Wallahu'alam.
Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 September 2009
0 Teguran:
Post a Comment