25 June 2010

Kefahaman Tentang Sunnah Dan Larangan Rasulullah saw Terhadap Masyarakat Awam

Assalamu’alaikum wbt.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kita memohon dan kepada-Nya jua kita meminta ampun. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan.

Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan. Barangsiapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali hanya Dia.

Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha Esa. Saya bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.



Apakah yang difahami tentang Sunnah Rasulullah SAW?

Sunnah dari sudut bahasa adalah jalan atau cara, Sunnah nabi dari sudut bahasa ialah jalan atau cara Nabi di dalam perkara agama.

Ibnu Rajab dalam kitab Jami’ul ‘Ulum wal Hikam menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan As-Sunnah pada asalnya adalah jalan yang ditempuh, dan itu meliputi sikap berpegang teguh dengan apa yang dijalani oleh Nabi dan para khalifahnya baik keyakinan, amalan, mahupunucapan. Dan inilah makna As-Sunnah secara sempurna.

Ianya merujuk kepada hadis Rasulullah saw:

“Wajib atas kalian berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah para Al Khulafaa’ Ar Rasyidiin al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran serta mengikutinya) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu.”
(Shahih, HR Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi dari hadits Al-Irbadh bin Sariyah, dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahihul Jami’, no: 2549)

Maka, oleh demikian untuk mendekati sunnah Rasulullah saw ialah dengan mengikuti nas al-Quran dan hadis serta pemahaman para sahabat ra.hum ajma’in. Kita hendaklah mengikuti apa yang telah disyariatkan bukan yang ditokok tambah kerana perkara yang ditokok tambah bukanlah mengikuti acuan sebenar pegangan ahlus sunnah wal jamaah.

Pentingnya mengikuti sunnah Rasulullah SAW

Rasulullah saw adalah contoh ikutan umat. Sebaik manusia yang lahir di muka bumi Allah. Telah disebut di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 21:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Maka, apakah kita wajar untuk tidak mengikuti apa yang telah disyariatkan oleh Muhammad saw dengan mengikuti amalan tradisi masyarakat? Tahukah kita bahawa telah dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 104 tentang perkara ini? Firman Allah yang bermaksud:

Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan ikuti Rasul." Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya". Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?

Apakah yang difahami tentang Larangan Rasulullah SAW?

Terdapat pelbagai larangan Rasulullah saw berkenaan dengan amalan-amalan yang tidak bersandarkan kepada syariat Islam. Islam telah pun menjadi agama yang lengkap dan sempurna. Bersandarkan kepada al-Quran, surah al-Maidah ayat 3:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Jelas di sini bahawa Allah telah pun mencukupkan Islam dan meredhai Islam sebagai agama orang Islam yang sempurna. Jadi, mengapa masih mahu lakukan perkara yang baru diada-adakan sedang tiada di zaman Rasulullah dan para sahabat sedangkan Allah sendiri sudah beritahu Islam sudah cukup sempurna. Di sini kita perlu lihat kembali larangan-larangan yang telah Rasulullah saw maklumkan di dalam hadis-hadisnya yang sahih.

Hadith Pertama:

Daripada ‘Amr bin Salamah katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya , apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka. Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.”
(Riwayat al-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah, jld. 5, m.s. 11./Dinukil dari buku Bid’ah Hasanah istilah yang di salah fahami)

Hadith Kedua:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak.”
(Hadis sahih riwayat al-Bukhari)

Hadith Ketiga:

"Sesungguhnya sebenar-benar perkataan benar adalah Kitab Allah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk Muhammad saw; seburuk-buruk perkara ialah sesuatu perkara baru yang diada-adakan. Setiap perkara baru yang diada-adakan adalah bid'ah. Setiap yang bid'ah itu menyesatkan dan setiap yang menyesatkan itu membawa ke neraka."
(Hadith riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan selain mereka)

Hadith Keempat:

"Telah menasihati kami oleh Rasullah saw akan satu nasihat yang menggeletarkan hati daripadanya dan menitis air mata. Lalu kami berkata : Ya Rasullah! Seolah-olahnya inilah nasihat yang terakhir, maka berilah kepada kami satu pesanan.

Ia bersabda: Aku berwasiat kepada kamu dengan bertaqwa kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan mendengarkan serta taat, sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Kerana sesungguhnya barangsiapa yang hidup daripada kamu, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Sebab itu, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah al-Rasyidin al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran serta mengikutinya, yang mendapat pimpinan ke jalan yang betul) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu.

Dan jauhi oleh kamu akan perkara-perkara yang baru diada-adakan. Kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah (perkara-perkara baru yang diada-adakan) itu adalah sesat."
(Hadith hasan sahih riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Amalan tradisi masyarakat: Ikut sunnah Nabi, para sahabat atau ikut adat setempat?

Sekarang ini, yang menjadi isu adalah amalan masyarakat tradisi berkait rapat dengan soal keagamaan. Jika ianya tidak membabitkan soal ibadah tidak mengapa, tetapi ianya terbabit tambahan pula mengkhususkan sesuatu amalan itu ibadah dengan sandaran kepada Rasulullah saw sedangkan Baginda saw tidak pernah melakukannya.

Jika benar ianya amalan yang sunnah, maka generasi yang akan memulakannya pastilah para sahabat kerana mereka generasi yang terdekat dan digelar sebagai generasi salafussoleh. Sabda Nabi saw:

Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.
(Hadis sahih al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, adakah kita ini lebih bijak dan lebih hebat daripada para sahabat sehinggakan ingin melakukan perkara bid’ah (perkara baru yang diada-adakan) yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw dan para sahabat?

Oleh itu, renung balik amalan yang kita lakukan ini sama ada benar mengikut petunjuk hidayah Nabi saw atau sebaliknya. Segalanya kembali kepada niat di qalbu kita. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis 40 al-Imam al-Nawawi:

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung dengan niat dan bergantung kepada apa yang dia kerjakan.
(Hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Tentang Tahlilan/Yasinan: Adakah ianya merupakan Sunnah Rasulullah atau Tidak?

Amalan kebiasaan masyarakat adalah membaca yasin, tahlil, melakukan kenduri arwah dan sebagainya. Kalau kita tengok sendiri perihal perkara ini, adakah ianya bertepatan dengan sunnah Nabi saw? Tidak sama sekali. Bahkan al-Imam al-Syafie sendiri yang menjadi imam mazhab syafie mengkritik amalan ini.

Walaupun Imam Syafie terkenal dengan Imam fekah tetapi hakikatnya beliau berpegang teguh dengan aqidah yang sahih. Lihat kenyataan Imam Syafie berhubung isu berkaitan ini:

Di dalam kitab ( اعانة الطالبين ) juz 2. hlm. 146, tercatat pengharaman Imam Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana ketegasan beliau dalam fatwanya:

وَیَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْیَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Seterusnya di dalam kitab ( اعانة الطالبين ) juz. 2. hlm. 146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:

وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا یَفْعَلُ النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِیْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ

“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama dihari khaul ( خول ). Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah, diharamkan dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh beliau:

مَا یَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَھْلِ الْمَیِّتِ وَصُنْعِ الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ

“Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga simati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. (Lihat: اعانة الطالبین juz 2 hlm. 145)

Penjelasan yang ringkas daripada Imam Syafie sudah cukup untuk menyatakan bahawa ianya bukanlah sunnah daripada Nabi saw. Jika ianya sunnah, pasti Imam Syafie tidak memerangi amalan ini. Allah swt telah berfirman di dalam surah al- An'am ayat 116:

Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).

Hadis Palsu Tentang Fadhilat Membaca Yasin

Adapun yang didakwa ramai orang tentang fadhilat membaca yasin terdapat di dalam hadis namun ianya tidak sahih. Bahkan terdapat kajian mendapati kebanyakan hadis-hadis tersebut tidak boleh dipakai sebagai hujah dan amalan. Ini kerana ianya bercanggah dengan adab beramal kerana Allah dan Rasulullah saw. Ini kerana terdapat amaran Rasulullah saw berkaitan dengan pereka hadis palsu yakni:

Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.
(Riwayat al-Bukhari dalam kitab Janaiz dan Mukaddimah Sahih Muslim)

Berikut adalah kajian ilmu hadis berkenaan hadis yang dianggap lemah dan palsu:

1. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin dalam suatu malam, maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya dan siapa yang membaca surat Ad-Dukhan pada malam Jum'at maka ketika ia bangun pagi hari diampuni dosanya".

(Ibnul Jauzi, Al-Maudhu'at, 1/247). Keterangan : Hadis ini Palsu.

Ibnul Jauzi mengatakan, hadis ini dari semua jalannya adalah batil, tidak ada asalnya. Imam Daruquthni berkata : Muhammad bin Zakaria yang ada dalam sanad hadits ini adalah tukang memalsukan hadis.

(Periksa : Al-Maudhu'at, Ibnul Jauzi, I/246-247, Mizanul I'tidal III/549, Lisanul Mizan V/168, Al-Fawaidul Majmua'ah hal. 268 No. 944).

2. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin pada malam hari karena mencari keridhaan Allah, niscaya Allah mengampuni dosanya". Keterangan : Hadis ini Lemah.
Diriwayatkan oleh Thabrani dalam kitabnya Mu'jamul Ausath dan As-Shaghir dari Abu Hurairah, tetapi dalam sanadnya ada rawi Aghlab bin Tamim. Kata Imam Bukhari, ia munkarul hadis. Kata Ibnu Ma'in, ia tidak ada apa-apanya (tidak kuat).

(Periksa : Mizanul I'tidal I:273-274 dan Lisanul Mizan I : 464-465).

3. "Artinya : Siapa yang terus menerus membaca surat Yasin pada setiap malam, kemudian ia mati maka ia mati syahid". Keterangan : Hadts ini Palsu.

Hadis ini diriwayatkan oleh Thabrani dalam Mu'jam Shaghir dari Anas, tetapi dalam sanadnya adaSa'id bin Musa Al-Azdy, ia seorang pendusta dan dituduh oleh Ibnu Hibban sering memalsukan hadis.

(Periksa : Tuhfatudz Dzakirin, hal. 340, Mizanul I'tidal II : 159-160, Lisanul Mizan III : 44-45).

4. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin pada permulaan siang (pagi hari) maka akan diluluskan semua hajatnya". Keterangan : Hadis ini Lemah.

Ia diriwayatkan oleh Ad-Darimi dari jalur Al-Walid bin Syuja'. Atha' bin Abi Rabah, pembawa hadis ini tidak pernah bertemu Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam. Sebab ia lahir sekitar tahun 24H dan wafat tahun 114H.

(Periksa : Sunan Ad-Darimi 2:457, Misykatul Mashabih, takhrij No. 2177, Mizanul I'tidal III:70 dan Taqribut Tahdzib II:22).

5. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin satu kali, seolah-olah ia membaca Al-Qur'an dua kali". (Hadis Riwayat Baihaqi dalam Syu'abul Iman). Keterangan : Hadis ini Palsu.

(Lihat Dha'if Jamiush Shaghir, No. 5801 oleh Syaikh Al-Albani).

6. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin satu kali, seolah-olah ia membaca Al-Qur'an sepuluh kali". (Hadis Riwayat Baihaqi dalam Syu'abul Iman). Keterangan : Hadis ini Palsu.

(Lihat Dha'if Jami'ush Shagir, No. 5798 oleh Syaikh Al-Albani).

7. "Artinya : Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu mempunyai hati dan hati (inti) Al-Qur'an itu ialah surat Yasin. Siapa yang membacanya maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca Al-Qur'an sepuluh kali". Keterangan : Hadis ini Palsu.

Hadis ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (No. 3048) dan Ad-Darimi 2:456. Di dalamnya terdapat Muqatil bin Sulaiman. Ayah Ibnu Abi Hatim berkata : Aku mendapati hadits ini di awal kitab yang di susun oleh Muqatil bin Sulaiman. Dan ini adalah hadis batil, tidak ada asalnya.

(Periksa : Silsilah Hadis Dha'if No. 169, hal. 202-203) Imam Waqi' berkata : Ia adalah tukang dusta. Kata Imam Nasa'i : Muqatil bin Sulaiman sering dusta. (Periksa : Mizanul I'tidal IV:173).

8. "Artinya : Siapa yang membaca surat Yasin di pagi hari maka akan dimudahkan (untuknya) urusan hari itu sampai sore. Dan siapa yang membacanya di awal malam (sore hari) maka akan dimudahkan urusannya malam itu sampai pagi". Keterangan : Hadis ini Lemah.

Hadis ini diriwayatkan Ad-Darimi 2:457 dari jalur Amr bin Zararah. Dalam sanad hadis ini terdapat Syahr bin Hausyab. Kata Ibnu Hajar : Ia banyak memursalkan hadis dan banyak keliru.

(Periksa : Taqrib I:355, Mizanul I'tidal II:283).

9. "Artinya : Bacakanlah surat Yasin kepada orang yang akan mati di antara kamu". Keterangan :Hadis ini Lemah.

Diantara yang meriwayatkan hadits ini adalah Ibnu Abi Syaibah (4:74 cet. India), Abu Daud No. 3121.Hadis ini lemah karena Abu Utsman, di antara perawi hadis ini adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian pula dengan ayahnya. Hadis ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).

10. "Artinya : Tidak seorang pun akan mati, lalu dibacakan Yasin di sisinya (maksudnya sedang naza') melainkan Allah akan memudahkan (kematian itu) atasnya". Keterangan : Hadis ini Palsu.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu'aim dalam kitab Akhbaru Ashbahan I :188. Dalam sanad hadis ini terdapat Marwan bin Salim Al Jazari. Imam Ahmad dan Nasa'i berkata, ia tidak bisa dipercaya. Imam Bukhari, Muslim dan Abu Hatim berkata, ia munkarul hadis. Kata Abu 'Arubah Al Harrani, ia sering memalsukan hadis.

(Periksa : Mizanul I'tidal IV : 90-91).

Akhir Kalam

Semoga dengan tulisan yang penuh dengan hujah dan ilmiah ini memberikan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pentingnya membina struktur dalam diri jiwa agama bukannya jiwa ambil tangkap muat di dalam mengamalkan sesuatu amalan kerana amalan yang tidak bersandarkan kepada Nabi saw adalah sesuatu amalan yang boleh merosakkan iman kita, aqidah kita dan prinsip pegangan hidup kita.

Hidup seorang muslim perlu mengikut syariat dan disiplin nas al-Quran dan hadis. Tidak boleh mengikuti amalan yang bercanggah dengan al-Quran dan hadis. Syarat seorang muslim yang bertaqwa mestilah berpegang teguh dengan prinsip al-Quran dan hadis.


Wallahu’alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
24 Jun 2010/13 Rejab 1431H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More