14 July 2011

Keimanan Dan Ketaqwaan

Dengan takdir Ilahi, penulis Tajdid Dakwah kembali ke arena blog untuk kesekian kalinya. Kali ini, saya akan menulis artikel yang ringkas dan padat tetapi penuh dengan makna yang tersirat daripada Surah al-Anfal.

Allah s.w.t. memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada orang-orang mukmin kerana perjuangan mereka adalah hanya satu iaitu ingin menggapai panji Ilahi dengan beribadah kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Mereka ini tidak pernah lekang daripada beribadah kepada Allah s.w.t. hanya kerana pergantungan mereka sangat utuh kepada Allah s.w.t. selain tidak mensyirikkan Allah s.w.t.

Antara kehebatan orang mukmin ialah apabila disebut nama-nama Allah s.w.t. yang Maha Agung, maka gementarlah hati mereka kerana kuatnya iman mereka terhadap Allah s.w.t. Ini dijelaskan dengan lebih lanjut di dalam ayat di bawah:

 إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم ءايٰتُهُ زادَتهُم إيمٰنًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Surah al-Anfal ayat 2

Mereka (orang mukmin) bertambah iman mereka kerana dekatnya mereka dengan Allah s.w.t. bukan hanya dalam soal ibadah tetapi juga soal aqidah dan tauhid. Hanya kerana soal aqidah dan tauhid punca utama mereka sering dekat kepada Allah s.w.t. 

Apabila memasuki bab aqidah dan tauhid, mereka ikut yang Allah dan Rasul perintah. Yang menjadi Islam ini merupakan agama yang suci ialah apabila umatnya mengikuti apa yang Allah dan Rasul perintahkan dan menghindari sebarang penambahan di dalam urusan agama (bid'ah). Inilah punca utama keimanan dan ketaqwaan seorang muslim bersih daripada sebarang kekotoran iman.

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلوٰةَ وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ

Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

Surah al-Anfat ayat 3

Orang-orang mukmin adalah mereka mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan menuruti perintah Allah s.w.t. dalam segala aspek termasuk soal ibadah. Kerana itu, mereka sering mengerjakan kewajipan rukun Islam yang kedua iaitu menunaikan solat fardhu. Selain itu, menginfakkan harta mereka ke jalan Allah merupakan sebahagian daripada jihad ke jalan Allah s.w.t.

 أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَهُم دَرَجٰتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ

Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

Surah al-Anfal ayat 4

Orang mukmin yang sebenar adalah mereka yang berpegang kepada panji Allah s.w.t. iaitu taat dan mengikuti segala apa yang diperintah oleh Allah dan Rasul kepada mereka dalam urusan aqidah, urusan ibadah dan urusan muamalah.

Maka, apakah setelah melakukan segala yang diperintahkan oleh agama, mereka tidak diberikan ganjaran yang setimpal? Ya. Sudah pasti ada ganjarannya. Allah s.w.t. akan menganugerahkan kepada mereka setinggi-tinggi darjat di sisi Allah s.w.t. dan mendapat keampunan serta syurga yang telah dijanjikan sebagai balasan terhadap pegangan yang sahih dan amalan yang tepat menurut agama.

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
14 Julai 2011/ 12 Syaaban 1432H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More