10 August 2010

Perkara Yang Boleh Dilakukan Oleh Orang Yang Berpuasa


Sesungguhnya, sesiapa yang taat serta faham dengan Al-Quran dan Sunnah, maka sekali-kali dia tidak akan meragui bahawa Allah menginginkan kemudahan untuk hambanya, bukan kesulitan. Allah telah membolehkan beberapa perkara bagi orang yang berpuasa dan tidaklah merupakan satu kesalahan bagi sesiapa yang melakukannya. Di sini, disenaraikan perkara-perkara tersebut beserta dalil-dalilnya.


1. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub

- Dari 'Aisyah dan Ummu Salamah :

[ أن النبي كان يدركه الفجر وهو جنب من أهله ثم يغتسل و يصوم ]

Maksudnya : " Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima' dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa ". [HR Al-Bukhari : 1825, Muslim : 1109]

2. Bersiwak

- Nabi bersabda :

[لولا أن أشق على أمتي ، لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة] وفي رواية : [عند كل وضوء]

Maksudnya : " Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat ". [HR Al-Bukhari : 887, Muslim : 252] Dan ada riwayat " Setiap kali wudhu " [HR Al-Bukhari : 2/682]

Hadis di atas adalah umum. Oleh itu, diperbolehkan siwak bagi sesiapa yang ingin solat atau berwudhu samada berpuasa atau tidak. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Al-Bukhari serta Ibnu Khuzaimah , Al-Baghawi dan jumhur ahli 'ilm.

3. Berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tanpa berlebih-lebihan

- Rasulullah sendiri berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa. Tetapi Baginda melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan dalam melakukan keduanya, sebagaimana sabda Baginda :

[ ... وبالغ في الاستنشاق إلا أن تكون صائما ]

Maksudnya : " ..berlebih-lebihanlah dalam memasukkan air ke dalam hidung kecuali ketika kamu berpuasa ". [HR Abu daud : 2366, At-Tirmidzi : 788, Annasai' : 87]

4. Bermesra dan mencium isteri

- Dari 'Aisyah, telah berkata :

[ كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يُقبل وهو صائم، ويباشر وهو صائم، ولكنه كان أملككم لإربه ]

Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang paling mampu menahan diri "  [HR Al-Bukhari : 1927, Muslim : 1106]

- Perbuatan ini dimakruhkan bagi pemuda dan diperbolehkan bagi yang sudah tua, sebagaimana diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Amr, telah berkata :

[ كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم ، فجاء شاب ، فقال : يا رسول الله ! أُقبل وأنا صائم ؟ قال : لا ، فجاء شيخ ، فقال : أٌقبل وأنا صائم؟
قال : نعم ، قال : فنظر بعضنا إلى بعض ، قال صلى الله عليه وسلم : ... إن الشيخ يملك نفسه ]

Maksudnya : " Kami pernah berada di sisi Nabi , datanglah seorang pemuda, lalu berkata : Wahai Rasulullah ! Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa ? Nabi menjawab : Tidak. Kemudian, datanglah seorang tua, lalu berkata : Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa ? Nabi menjawab : Ya. Berkata (Abdullah) : Kami melihat sesame sendiri (kehairanan), Nabi bersabda : Sesungguhnya orang tua lebih mampu menahan dirinya ". [Lihat Silsilah Asshahihah : 1606]

5. Mengeluarkan darah atau suntikan yang tidak mengandungi makanan.

- Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama' al-mu'ashirin, seperti yang telah ditetapkan oleh Majma' Fiqhul Islami.

6. Berbekam

- Sesungguhnya berbekam merupakan antara perkara yang membatalkan puasa, kemudian hukum ini dinasakhkan, sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas :

[ أن النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم احتجم وهو صائم ]

Maksudnya : " Sesungguhnya Nabi telah berbekam dalam keadaan berpuasa ". [HR Al-Bukhari : 1939]

7. Merasa makanan

- Dari Ibnu Abbas, beliau telah berkata :

[ لا بأس أن يذوق الخل ، أو الشيء ما لم يدخل حلقه وهو صائم ]

Maksudnya : " Tidak mengapa merasai cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke kerongkong dalam keadaan berpuasa ". [HR Al-Bukhari ta'liiqan , lihat Fathul Bari : 3/154]

8. Memakai celak, menitiskan air atau ubat yang masuk ke dalam mata

- Telah berkata Imam Al-Bukhari : "Anas bin Malik, Hasan Al-Basri dan Ibrahim Annakhai' memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa "

- Telah disepakati oleh jumhur ulama' al-mu'ashirin, antaranya Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Dr. Wahbah Azzuhaili, Dr. Fadhl Hassan Abbas, Dr. Muhyiddin Masto, dan lain-lain bahawa menitiskan air atau ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa.

9. Mencucurkan air ke atas kepala serta mandi

- Diriwayatkan dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku :

[ لقد رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصب على رأسه الماء وهو صائم من العطش أو من الحر ]

Maksudnya : " Aku telah melihat Rasulullah mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan ". [HR Abu Daud : 2365]

- Imam Al-Bukhari di dalam Shahihnya, mengadakan satu bab iaitu : (Bab Mandinya orang yang berpuasa), dan beliau mendatangkan hadis Ibnu Umar :

[ وبلّ ابن عمر ثوبا فألقاه عليه و هو صائم ]

Maksudnya : " Ibnu umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudian beliau memakainya dalam keadaan berpuasa ". [HR Al-Bukhari, lihat Fathul Bari : 3/154]

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More