10 August 2010

Konsep Keluasan Ibadah Dalam Islam

Assalamu'alaikum wbt.

Muqaddimah

مَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ وَالَّذِينَ كَفَرُوا عَمَّا أُنذِرُوا مُعْرِضُونَ

Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. (Surah al-Ahqaf ayat 3)

Daripada ayat ini, kita boleh dapati intipati ayat ini bahawa:

1. Penciptaan langit dan bumi bukanlah secara sia-sia.
2. Allah SWT menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran.

Jadi, apakah kebenaran yang Allah SWT ingin tunjukkkan di dalam penciptaan langit dan bumi? Jawapannya telah pun Allah SWT nyatakan di dalam surah az-Zariyat ayat yang ke 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.

Maka, dengan ini kebenaran yang hendak ditunjukkan oleh Allah SWT daripada penciptaan langit dan bumi adalah beribadah kepada-Nya ( العبادة ). Kata al-Imam Ahmad Bin Abdil Halim rahimahullah:

العبادة اسم جامع لكل ما يحبه الله ويرضاه من الأقوال، والأعمال الظاهرة والباطنة

Maksudnya: Ibadah itu adalah setiap satu kata nama yang merangkumi semua perkara yang dicintai dan disukai oleh Allah SWT merangkumi perbuatan dan juga percakapan yang zahir dan juga yang batin.

Maka, didapati daripada kata-kata ini bahawa ibadah merangkumi enam perkara iaitu:

1) Perkara yang dicintai
2) Perkara yang disukai
3) Perbuatan
4) Percakapan
5) Zahir
6) Batin

Di dalam ibadah, kebanyakan masyarakat akan mengatakan bahawa ibadah hanya merangkumi solat, puasa, zakat, haji dan seumpamanya. Sebenarnya, ibadah bukan sahaja merangkumi kepada solat, puasa, zakat, haji dan seumpamanya tetapi ianya merangkumi semua jenis amal perbuatan yang dilakukan oleh manusia. Sekiranya amalan ini dilakukan oleh manusia yang muslim maka, perkara ini merupakan suatu ibadah.

Oleh itu, ibadah yang merangkumi enam perkara ini sekiranya dilakukan beserta dengan niat untuk ibadah, maka ianya dinilai mendapat pahala. Sebagai contoh, bermain, makan, minum, tidur, bergurau dan lain-lain. Jika perkara-perkara ini dilakukan kerana ibadah untuk Allah SWT pastinya seseorang itu akan mendapat pahala. Tetapi, hendaklah dilakukan perkara-perkara ini dengan adil, pertengahan dan jangan melampaui batas serta syara’.

Amalan ibadah sebenarnya merangkumi amalan yang khusus dan merangkumi juga amalan yang umum yang dilakukan oleh orang muslim dan orang kafir.


Syarat-Syarat Ibadah:-

1) Syarat Penerimaan Ibadah:

a) Islam

وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلَّا أَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلَا يُنفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ

Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci. (Surah At-Taubah ayat 54)

Ayat ini menerangkan tentang orang kafir yang terhalang daripada nafkah mereka untuk diterima oleh Allah SWT kerana kekufuran di atas diri mereka terhadap Allah SWT. Dan amalan orang kafir juga tidak akan diterima sekalipun amal ibadahnya lebih baik daripada orang muslim kerana mereka kufur bukannya beragama Islam.

b) Ikhlas dan Ittiba’

Konsep ikhlas dan ittiba’, kedua-dua konsep ini terdapat di dalam ayat yang berikut, iaitu:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya. (Surah al-Kahfi ayat 110)

Erti ikhlas adalah penyucian, pemurnian sesuatu amalan tanpa mengharapkan apa-apa balasan selain daripada Allah SWT. Erti ittiba’ adalah beribadah dengan amalan yang soleh mengikuti panduan sunnah Rasul SAW tanpa mempersekutukan Allah SWT.


2) Syarat Kewujudan Ibadah:

a) العزم (azam yang kuat)

Untuk mendapat keazaman yang kuat, seseorang itu mesti mempunyai azam yang tinggi bagi membolehkan mewujudkan sesuatu amalan.

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali-Imran ayat 159)

Untuk melakukan apa-apa keputusan perlu kepada mesyuarat dahulu dengan sahabat-sahabat. Kemudian apabila mendapat natijahnya iaitu keputusan, maka berazamlah terhadap keputusan tersebut. Kemudian, bertawakkallah kepada Allah SWT dan teruskan berazam terhadap keputusan yang telah dicapai itu dan laksanakanlah ia.

Maka, dengan ini keazaman yang kuat dicapai dengan bermesyuarat, berazam dan bertawakkal. Apabila keazaman sedang berada di kemuncak, pastikan diteruskan melakukan keazaman itu dengan istiqamah walaupun sedikit. Pastikan juga, tidak ada sifat yang melengahkan keazaman yang sedang memuncak kerana ianya bakal melemahkannya disebabkan oleh sikap menangguh-nangguh.


3) Gangguan Dalam Ibadah:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. (Surah As-Sajdah ayat 24)

Daripada ayat ini dapat disimpulkan bahawa terdapat dua jenis gangguan dalam ibadah iaitu:

a) Keyakinan Dalam Menghadapi Syubhat

Syubuhat adalah ideologi-ideologi yang terpesong. Keyakinan diperlukan dalam menghadapi syubuhat. Untuk menimbulkan rasa keyakinan dalam menghadapi syubuhat memerlukan ilmu. Ilmu yang didapati itu pula mestilah ilmu yang sahih dan bukannya ilmu yang palsu. Oleh itu, cara menentang syubuhat adalah dengan keyakinan beserta dengan ilmu yang sahih.

b) Kesabaran Dalam Menghadapi Syahwat

Syahwat adalah hawa nafsu. Maksiat yang berleluasa dengan sangat meluas pada hari ini sangat membimbangkan. Oleh kerana itu, kesabaran amat diperlukan dalam menghadapi syahwat. Kata sebahagian ulama' “dengan kesabaran dan keyakinan akan dapat dikecapi kepimpinan dalam agama.”


4) Syarat Kemantapan Ibadah:

a) Cinta

وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِّلَّهِ

Orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. (Surah Al-Baqarah ayat 165)

b) Harap

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut. (Surah al-Anbiya' ayat 90)

c) Takut

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut. (Surah al-Anbiya' ayat 90)

Dalam tiga syarat ini, diibaratkan cinta, harap dan takut seumpama seekor burung. Cinta adalah kepala dan badan burung manakala harap dan takut adalah dua sayap burung. Tiga syarat ini memerlukan kombinasi antara satu sama lain iaitu sinergi terhadap cinta, harap dan takut dalam menguatkan ibadah seseorang.

Ini kerana jika seseorang itu melampau dalam mencintai Allah SWT, akibat yang kurang elok adalah dia tidak merasa takut terhadap balasan api neraka. Jika seseorang itu pula terlalu mengharapkan rahmat dan kasih dari Allah SWT, implikasi yang tidak wajar adalah apabila dia melakukan dosa, dia menyangka Allah SWT akan mengampuninya disebabkan oleh sifat Allah yang Maha Pengasih. Atau seseorang itu terlalu takut kepada Allah SWT sehinggakan semuanya dianggap berdosa jika melakukan satu kesalahan.

Oleh yang demikian, sinergi di antara cinta, harap dan takut yang diibaratkan sebagai seekor burung yang dapat memandu seorang muslim dalam memenuhi syarat kesempurnaan dalam ibadahnya kepada Allah SWT. Kerana cinta, harap dan takut adalah mencintai Allah SWT melebihi segalanya dan melebihi kecintaan orang kafir kepada Allah SWT, mengharapkan keredhaan kepada Allah SWT di atas amal ibadah yang dilakukan kerana-Nya, dan di samping itu adanya rasatakut akan kemurkaan Allah SWT dan balasan api neraka-Nya di atas dosa yang kita lakukan.

* Artikel ini ditulis berkaitan dengan kuliah Ustaz Fadlan yang bertajuk: "Konsep Keluasan Ibadah Dalam Islam" di Surau Ar-Rahman PWTC pada selasa 3 Ogos 2010.

Wallahu'alam


Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
10 Ogos 2010/29 Sya'ban 1431H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More