12 December 2008

Niat Secara Berlafaz

Assalamualaikum wbt...

Bagaimana jika keliru mengenai niat secara berlafaz ketika hendak menunaikan solat? Erm..Di bawah ini merupakan bahan rujukan yang ana perolehi daripada buku tulisan Ustaz Zaharuddin. Mari kita hayati untuk manfaat dan kebaikan masing-masing.

Niat ialah amalan hati, demikian disebut secara ijmak, dan tidak cukup niat jika apa yang hadir di hati berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika di hati benar, maka jika sekalipun lafaz tersilap, ia tidak memudaratkan solat. Tetapi jika perkara yang sebaliknya berlaku maka ia akan memudaratkan solat.(1)



Berkata ulama Imam Mazhab Syafie, "Berlafaz niat tidak mengapa, bahka ia disunatkan bertujuan untuk membantu hadir hati dan sekiranya ditinggalkan lafaz, maka solat adalah sah."

Mereka juga mengatakan, "Kerana ia adalah lebih mudah untuk terhindar daripada was-was." Namun ia bukan niat. Ia dilakukan sebelum sedikit niat yang sebenarnya di dalam hati.(2)

Imam al-Nawawi pula menegaskan bahawa "niat yang diambil kira adalah dengan hati, serta tidak mencukupi hanya melafazkan di lidah sahaja tanpa hadir hati dan bagi kami ada satu pandangan yang ganjil jika ada yang mensyaratkan dilafazkan dengan lidah, pandangan ini salah.(3)

Benar, sememangnya tiada sebarang dalil sahih yang menyebut bahawa Nabi pernah melafazkan niat di permulaan solat. Justeru, ulama Hanafi mengatakannya bidaah, ulama Maliki mengatakannya kurang elok, ulama Syafie mengatakannya elok.(4) Walau bagaimanapun, Imam Syafie sendiri tidak pula menggalakkannya di dalam al-Umm, malah ia tidak disebut sama sekali kecuali satu riwayat sahaja yang menisbahkannya kepada Imam Syafie. Namun ia adalah satu bentuk takwil lafaz Imam Syafie yang kurang tepat.(5)

Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya Al-Mughni mengatakannya, lafaz itu hanyalah sebagai penguat (ta'kid) kepada niat.(6)

Ibn Qayyim al-Jauziyah yang bermazhab Hanbali berkata: "Nabi saw ketika ingin memulakan solat, Nasi saw menyebut "Allahu Akbar" dan tiada sebarang perkataan didengari sebelum takbir itu sama ada semasa solat tunai, qada, fardu atau sunat."(7)

Beliau menambah, ulama mazhab Syafie bukanlah ingin mereka-reka perkara baru dalam ibadah dan mewajibkannya kepada orang ramai, hingga dituduh bidaah dengan mudah, tetapi mereka sebenarnya ingin menegaskan perlunya hadir niat semasa takbiratulihram sahaja.
(8)

Syeikh Atiyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar) pula menjelaskan bahawa semua ulama mempunyai pandangan masing-masing tentang hal ini. Sekiranya ada sesiapa yang menganggapnya bidaah, memang tidak dapat diterima, kerana telah disebut oleh para ulama mulia , bahawa hukumnya akan berubah mengikut tahap keseriusan was-was orang yang bersolat. Dengan ingatan bahawa lafaz niat tidaklah memudaratkan kerana ia di luar solat, malah mungkin mampu memberi manfaat.(9)

Kesimpulan

1- Bagi sesiapa yang tidak diganggu oleh perasaan was-was, maka amalan yang paling baik ialah memulakan solat tanpa niat secara berlafaz kerana tiada sebarang dalil yang menyebut demikian. Lalu ia telah keluar daripada khilaf yang mengatakan tentang berlafaz ini lebih baik.

2- Bagi individu yang mempunyai masalah sukar hadir hati untuk niat, bolehlah mereka melafazkan niat sekiranya diyakini ia dapat membantu hadir hati dan bukannya menambahkan was-was.

3- Bagi mereka yang mengamalkan "lafaz niat" janganlah tersilap sangka bahawa ia adalah kewajiban. Adapun tentang anggapan bahawa amalan ii sebagai bidaah, maka penulis bersama Syeikh Atiyah Saqar tidak bersetuju dalam menganggapnya bidaah kerana ia ialah suatu perbuatan sebelum bermulanya solat, iaitu di luar solat. Bidaah ialah mencipta ibadah yang terkeji. Maka hal lafaz niat ini, ia dilakukan sebelum solat bermula. Namun ia boleh menjadi kesalahan atau bidaah jika terdapat individu yang mengatakannya wajib atau kemestian dan batal solat tanpa lafaz niat. Wallahu'alam.

Nota Kaki:

1- Tuhfatul Muntaj, Ibn Hajar Al-Haitami, 1/181.
2- Mughni al-Muhtaj, Khatib al-Syarbini, 1/209;Tuhfatul Muntaj, Ibn Hajar Al-Haitami, 1/181.
3- Rawdah al-Talibin, hlm 103.
4- Al-Fiqh Alal Mazahib al-Arba'ah.
5- Sebagaimana disebutkan oleh Ibn Muqri dalam kitabnya "Al-Mu'jam" yang menyebut:

أخيرنا ابن خزيمة عن الربيع عن الشافعي: أنه كان إذا أراد أن يدخل في الصلاة قال: بسم الله موجها لبيت الله مؤدياً افرض الله أكبر

Namun hujah ini ditolak oleh sebahagian ulama Syafie seperti al-Zubairi yang mengatakan takhrij ini tidak sahih (al-Torifi, hlm. 51).
6- Al-Mughni, 2/14.
7- Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim , 1/194 (cetakan Muassasah ar-Risalah).
8- Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim , 1/194.
9- Min Ahsan al-Kalam fil Fatawa, Syeikh Atiyah Saqar, 1/476.

Rujukan: Buku Formula Solat Sempurna. Dikarang oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More