12 December 2008

Niat Ketika Solat

Assalamualaikum wbt...

Apabila kita ingin mengerjakan solat, pertama kali ialah mesti niat sebelum menunaikan solat. Namun, bagaimanakah cara berniat yang betul ketika hendak menunaikan solat?

Baiklah..Persoalan ini akan dikupas dengan sebaik mungkin melalui bahan rujukan yang ana perolehi ini.


Abu Hurairah r.a. berkata:

"Rasullah saw didatangi seorang lelaki yang buruk cara solatnya. Lalu Baginda berkata ketika dia meminta Nabi saw mengajarnya: Apabila kamu hendak solat, sempurnakanlah wuduk dan hadaplah ke arah kiblat. Bertakbir and bacalah ayat-ayat Al-Quran yang mudah bagi kamu." - HR Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain.

Manakala Aisyah r.a. pula berkata:

Rasullah saw memulai solat dengan takbir." - HR Muslim.

Abdullah bin Umar r.a. berkata:

Nabi saw memulakan solatnya dengan bertakbir dan mengangkat kedua-dua belah tangannya." - HR Bukhari.

Pernah Abu Daud bertanya kepada Imam Ahmad r.h.:

"Adakah terdapat lafaz tertentu sebelum takbir? Dia menjawab: Tidak." - Rujuk Masaail al-Imam Ahmad, ms. 31 dan Majmu' al-Fatawa, jil. 22, ms. 28.

Imam Syafie r.h. menyatakan bahawasanya:

"Was-was pada niat solat dan bersuci termasuk dalam kejahilan terhadap hukum syarak atau kekeliruan pada akalnya" - Rujuk al-Amru Bil Itba' Wa an Nahyu 'Ani al Ibtida'. Lauhah 28/B.

"Apabila seseorang telah berniat untuk melakukan haji atau umrah, ia telah memadai walaupun tidak melafazkannya. Tidak seperti solat. Ia mesti disebut (lafaz)." - Rujuk al-Majmu', al-Nawawi, jil. 3, ms. 243.

Abu Abdullah al-Zubairi berpendapat, sunat lafaz niat sebelum solat. Pendapat ini tidak benar bagi menghuraikan maksud ungkapan Imam Syafie, iaitu 'menyebut' (melafazkan) di atas.

Niat ialah qasad (tujuan) dan tempatnya hanya di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan oleh lidah. Tetapi terdapat dua pendapat yang dinyatakan oleh pengikut Imam Syafie, iaitu sunat dan wajib. Kedua-dua pendapat ini dilarang (tidak diterima). - Rujuk al-Majmu', jil. 3, ms. 277, Fath al-Aziz, jil. 3, ms. 263, Mughni al-Muhtaj, jil. 1, ms. 150.

Al-Nawawi r.h. berkata:

"Pendapat yang mengatakan sunat melafazkan niat adalah kesilapan. Sebenarnya, maksud kata-kata Imam Syafie 'menyebut' ialah lafaz takbiratulihram." - Rujuk al-Majmu', al-Nawawi, jil. 3, ms. 243 dan Ta'aalim, al-Syeikh Bakr Abu Zaid, ms. 100.

"Ulama berijmak, niat di dalam hati lebih diutamakan jika timbul sebarang keraguan ketika lidah melafazkan niat." - Rujuk al-Majmu', al-Nawawi, jil. 1, ms.367.

Oleh itu, setiap individu yang sedang berdiri untuk menunaikan solat tidak perlu mengulanginya beberapa kali kerana ia boleh mengganggu jemaah. Perbuatan ini haram hukumnya kerana ulama bersepakat niat hanya di dalam hati.

Al-Zuhri r.h. berkata

"Jika diqiyaskan kepada perbuatan puasa dan haji, niat hanya terdetik dalam hati tanpa perlu melafazkannya." - Rujuk al-Majmu', jil. 3, ms. 290, 'Umdah al-Qari, jil. 5, ms. 268 dan Rahmat al-Ummah, jil. 1, ms. 40.

Ibn Taimiyyah r.h. berkata:

"Mengungkapkan lafaz niat adalah perbuatan orang yang kurang akal dan juga ilmu agama. Jika ia dinilai dari sudut agama, pasti ia dianggap bidaah. Umpamanya seseorang yang ingin melakukan sesuatu akan berkata: Aku berniat mengambil makanan ini. Lalu, aku meletakkannya ke dalam mulutku dan kunyah. Kemudian, aku menelannya supaya aku kenyang. Tidak ada perbezaan dengan lafaz niat: Sahaja aku solat empat rakaat berjemaah tunai kerana Allah.

Niat hanya tercapai dengan ilmu. Apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu, sudah tentu perkara itu terdetik dalam hatinya. Tanpa keinginan sudah tentu niat tidak akan berhasil. Ulama empat mazhab bersepakat, menguatkan suara ketika melafazkan niat dan mengulanginya tidak ada dalam syariat. Perbuatan ini perlu dihalang kerana ia boleh merosakkan sesuatu amalan dan menganggu orang ramai." - Rujuk al-Fatawa al-Kubra, jil. 2, ms. 95.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata:

"Niat hanya di dalam hati. Rasullah saw, para sahabat, para tabi'in dan salafussoleh tidak pernah melakukannya dalam setiap ibadat, sama ada solat, puasa, mandi wajib, berwuduk dan lain-lain. Lafaz niat yang direka-reka bukan daripada syariat dan tiada dalam Al-Quran dan sunnah. Umpamanya seseorang berkata 'sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah', 'aku solat zohor kerana Allah' dan lain-lain."

Al-Zarkasyi mengambil fatwa Imam Al-Ghazali, iaitu:

"Ibadah itu mudah untuk dilakukan. Tetapi, ia terhalang oleh kejahilan dan perasaan was-was.

Rujukan: Buku Wuduk & Solat Menurut Sunnah & Mazhab Syafie. Dikarang oleh Abu Ruwais Al-Syubrawi

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More