30 November 2011

Tahap Keimanan Seorang Insan


Manusia yang teguh dalam keimanan adalah setelah Allah memberikan pelbagai ujian dan manusia berjaya melepasi ujian tersebut.

Seorang Muslim tidak akan dibiarkan oleh Allah s.w.t. dengan mudah untuk masuk ke dalam syurga sebelum diuji dengan ujian yang setimpal dengan kadar kemampuannya. Ini bagi menilai tahap mana imannya. Adakah di tahap yang tinggi mahupun di tahap yang rendah. Maka, tidak akan terlepas mana-mana insan daripada ditimpa musibah dan ujian oleh Allah s.w.t.

Allah s.w.t. apabila memberikan ujian kepada hamba-Nya, ada dua kemungkinan sebab mengapa Dia melakukannya.

Pertama, Allah s.w.t. menilai tahap keimanan hamba-Nya dengan diberikan ujian berbentuk pengajaran hidup di dalam kehidupan seorang insan itu.

Kedua, Allah s.w.t. jika hendak memberi hidayah kepada hamba-Nya diujinya dengan ujian menarik nikmat yang telah hamba-Nya kecapi selama hidup di dunia.

Ini sebagaimana Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 155-157:


Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."


Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Ayat di atas mengajar kepada manusia suatu didikan tarbiyah iman. Ini kerana manusia apabila diberikan nikmat harta kekayaan dan anak-anak, kebanyakannya akan lupa kepada siapakah yang memberikan segala nikmat ini. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. mengajarkan di dalam surah al-Baqarah ini satu ujian berbentuk perasaan takut daripada nikmat yang diberikan kepada manusia supaya mereka fikirkan kembali daripada mana nikmat yang mereka miliki ini didapati.

Ada sebuah kisah yang boleh diambil iktibar berkenaan dengan pengajaran daripada surah al-Baqarah ayat 155-157.

Kisah tentang seorang pemuda di Mesir. Beliau mempunyai harta yang banyak hasil daripada rezeki yang datang melimpah daripada ladang estetnya. Beliau juga mempunyai isteri serta anak-anak yang ramai yang membahagiakannya. Namun, beliau lupa akan pemberi nikmat ini iaitu Allah s.w.t.

Pada satu hari, berlaku kebakaran di rumah dan ladang estetnya. Keluarganya mati akibat kebakaran di rumahnya dan kesemua hasil pendapatan di ladang estetnya lenyap ditelan api. Beliau merasa sedih dan keseorangan hingga pada satu hari beliau terbaca surah al-Baqarah ayat 155-157. Setelah membaca dan menghayati ayat ini, barulah pemuda ini tersedar akan perbuatannya. Pemuda ini merasa insaf akan perbuatannya selama ini yang lupa kepada Allah s.w.t. Lalu, beliau bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan. Di dalam kesengsaraan yang beliau alami, Allah s.w.t. campakkan hidayah kepadanya.

Pemuda ini pada saat itu, dalam keadaan keseorangan dan tiada harta. Namun, beliau tetap bersabar di atas ujian yang Allah s.w.t. berikan iaitu menarik sedikit hartanya. Pemuda ini melakukannya kerana beriman kepada surah al-Baqarah ayat ke-155. Dan dengan takdir Allah s.w.t. juga, pemuda ini setelah menerima hidayah, Allah s.w.t. memberikan ganjaran nikmat harta kepadanya di atas kesungguhnya di dalam bersabar di atas musibah.

Tatkala ini Allah s.w.t. memberikan ujian seperti ini kerana ingin memberikan didikan iman kepada hamba-Nya, sejauh manakah di kalangan hamba-Nya berjaya bersabar di atas musibah seperti ini. Akhirnya, setelah berjaya Allah s.w.t. jualah yang memberikan ganjaran ke atas mereka yang berjaya.

Sesungguhnya apabila kita sebagai hamba Allah diuji dengan berbagai-bagai ujian oleh Allah s.w.t., ada sebahagian daripada kita yang sering menyalahkan Allah s.w.t. Sewajarnya, janganlah kita menyalahkan Allah s.w.t. di atas takdir menimpa tetapi bermuhasabahlah. Apakah kita sudah menjadi insan yang bertaqwa sehingga sanggup berkata seperti itu? Manusia yang tidak menghargai dan mensyukuri nikmat Allah s.w.t. sangat tidak layak untuk berkata seperti itu.

Apabila manusia seperti ini mempunyai pemikiran prejudis terhadap takdir Allah, mereka sebenarnya lupa bahawa mereka sebenarnya yang tidak memegang janji dengan Allah lalu mengatakan bahawa Allah tidak adil dalam membawa laluan takdir manusia. Insan apabila menepati janji dengan Allah s.w.t., maka Dia pasti memberikan laluan takdir kepada hamba-Nya dengan cara yang terbaik. Namun, insan perlu membina kekuatan diri iaitu dari segi keimanan, keyakinan, kesabaran dan istiqamah di dalam berpegang kepada kebenaran untuk mendapatkan ketetapan takdir yang pasti itu. Ia akan berakhir dengan kebaikan kepada diri sendiri setelah mengharungi pelbagai ujian.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 November 2011/4 Muhrram 1433H

1 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More