02 May 2010

Tiga Perkara Yang Sukar Diucapkan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jumaat lepas membuka AFN dan didapati memenangi Keputusan Pertandingan Menulis AFN dalam Saguhati Tempat Ketiga. Alhamdulillah. Oleh itu, ana nak kongsi dengan pengunjung artikel yang ditulis itu semoga bermanfaat untuk semua.

TIGA PERKARA YANG SUKAR DIUCAPKAN

Generasi sahabat adalah produk terbaik tarbiyah Muhammad shallallahu alaihi wasallam. Sahabat adalah sebahagian daripada generasi salafussoleh dan mereka adalah generasi kurun terbaik manusia sebagaimana yang direkodkan di dalam hadis. Daripada Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu anhu: Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda: Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya. (Hadis riwayat al-bukhari dan muslim)

Muhammad shallallahu alaihi wasallam pula adalah manusia yang terbaik sebagaimana yang direkodkan di dalam Al-Quran. Allah subhanallah wa taala berfirman: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat (Surah Al-Ahzab ayat 21).

Antara Ucapan yang Sukar Diucap

Pada zaman kini, ada sebahagian manusia sukar untuk menyebut ucapan seperti “aku maafkan kesalahan engkau”, “saya menarik balik kata-kata saya yang tiada asas” dan “assalamu’alaikum saudara”. Mereka yang sukar menyebut ucapan seperti ini berkemungkinan tidak memahami sunnah Rasullah shallallahu alaihi wasallam dan para salafussoleh. Jika dilihat kepada generasi salafussoleh, perkataan-perkataan tersebut sebenarnya memberikan kebaikan, penghormatan dan pengajaran kepada para salafussoleh dalam erti mengamalkan sunnah di dalam kehidupan.

1) “Aku Maafkan Kesalahan Engkau”

Memaafkan kesalahan saudara seagama adalah wajar kerana tidak perlu kita merasa dendam terhadap saudara seagama kita. Pernah Nabi shallallahu alaihi wasallam bersabda: Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kamu, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13). Ini menunjukkan untuk menjadi muslim yang beriman harus mencintai saudara seagamanya dengan meredakan persengketaan sesama saudara seagama. Jadi, mengapa harus berdendam dengan tidak memaafkan kesalahannya setelah dia meminta maaf? Sesungguhnya Allah memuliakan orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang lain.

Allah subhanallah wa taala berfirman: Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya) (Surah Al-Syura ayat 43). Bukan susah untuk mengucapkan “aku maafkan engkau” akan tetapi jika jiwa diselubungi hasad oleh sebab itu susah untuk menyebutnya. Oleh sebab itu, kita disuruh memaafkan kesalahan orang lain kerana itulah akhlak yang dipuji oleh Allah.

Allah subhanallah wa taala berfirman: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (An-Nur ayat 22).

2) “Saya Menarik Balik Kata-Kata Saya Yang Tiada Asas”

Jika dilihat pada zaman ini, betapa sedikitnya jumlah ulama pada masa kini untuk menarik balik kata-kata jika terdapat bukti bahawa kata-kata mereka itu jelas bercanggah dengan nas Al-Quran dan hadis. Kebanyakan daripada mereka begitu angkuh untuk menarik balik kata-kata kerana mereka lebih memikirkan kepada nama mereka akan tercalar dan tercabar dan mungkin reputasi mereka sebagai tokoh agama akan jatuh.

Sebaliknya, jika mereka menarik balik kata-kata mereka bukanlah ianya menjatuhkan reputasi mereka malah mengangkat tinggi reputasi mereka di atas tindakan tersebut. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh para imam mazhab. Mereka menarik kata-kata mereka yang bercanggah dengan nas tetapi apabila zaman berlalu nama mereka diagungkan kerana sumbangan besar mereka kepada ummah. Oleh itu, usah risau dan gundah gelana terhadap reputasi diri tetapi risaulah apabila mempermainkan nas Al-Quran dan hadis.

Lihatlah apa prinsip yang dipegang oleh Muhammad Idris Al-Syafie yang meninggal pada tahun 204 Hijrah. Imam Syafie tidak akan menegakkan benang yang basah sekiranya ada pendapatnya yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis. Tidak hairanlah kenapa Imam Syafie berbuat demikian kerana kesanggupannya menegakkan kebenaran daripada menegakkan kebatilan.

Kata al-Imam al-Syafie (w.204H): Jika kamu dapati apa yang ada di dalam kitabku menyanggahi sunnah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubalak jil: 10, ms: 34).

3) “Assalamu’alaikum saudara”

Amalan menyebarkan salam ini adalah sunnah dan merupakan sunnah yang disukai oleh Nabi shallallahu alaihi wasallam. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bahwasanya ada seseorang yang bertanya pada Nabi shallallahu alaihi wa sallam, “Amalan islam apa yang paling baik?” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas menjawab, “Memberi makan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang tidak engkau kenali. ” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 6236)

Oleh demikian, amat mendukacitakan jika seorang muslim mengaku Islam tetapi tidak mahu menyebarkan salam kepada saudaranya sendiri. Dan tidak mustahil berlaku suatu masa dan perkara ini telah pun berlaku di mana seorang muslim ini hanya menyebarkan salam hanya kepada yang dia kenali sahaja dan tidak memberi salam kepada orang yang dia tidak kenali.

Di dalam Adab al-Mufrad, ada sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa dia melewati seseorang, lalu orang tersebut mengucapkan, “Assalamu ‘alaika, wahai Abu ‘Abdir Rahman.” Kemudian Ibnu Mas’ud membalas salam tadi, lalu dia berkata, “Nanti akan datang suatu masa, pada masa tersebut seseorang hanya akan mengucapkan salam pada orang yang dia kenali saja.”

Kesimpulan

Justeru itu, sebagai umat Islam yang memahami akan sunnah Rasulullah shallallahu alaihi wasallam haruslah menunjukkan tauladan yang baik dengan mengikuti apa-apa amalan yang sunnah mengikut Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Janganlah kita menjadi seperti manusia yang hanya mengikut hawa nafsunya sehingga sukar untuk menyebut perkataan yang sebenarnya mulia di sisi Allah subhanallah wa taala tetapi dianggap tidak oleh mereka.

Di dalam mendepani situasi sebegini, wajar kita bagi umat Islam mengikuti contoh dan tauladan yang diberikan oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan para salafussoleh. Kerana contoh tauladan yang diberikan adalah cukup baik untuk kita contohinya supaya kita tidak menjadi manusia yang angkuh, lalai dan alpa.

Lihatlah apa akan terjadi jika kita tidak memaafkan langsung saudara seagama kita, tidak menarik balik kata-kata yang bercanggah dengan nas dan tidak menyebarkan salam kepada saudara seagama kita. Maka, akan berlakulah perkara yang menyebabkan kucar-kacir dan perpecahan di dalam umat Islam sendiri. Cukuplah dengan apa yang terjadi sekarang dan jangan ditambah lagi dengan perpecahan lain yang tidak diingini.

Sesungguhnya Islam itu mendamaikan dan menjanjikan ikatan ukhuwah di antara muslim sesama muslim. Allah subhanallah wa taala berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (Surah Al-Hujuraat ayat 10).

Firman Allah subhanallah wa taala lagi: Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim. Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan jangan berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah terhadapmu ketika kamu saling bermusuhan maka Dia satukan hati kamu lalu kamu menjadi saudara dengan nikmat-Nya, dan ingatlah ketika kamu berada di bibir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk (Surah Ali 'Imran ayat 102-103).

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More