15 February 2010

Manusia Wajib Matang Dalam Berfikir

السلام عليكم ورحمة الله وبركة


Akal pemikiran dalam diri seseorang manusia saya lihat tidak nampak pembangunan diri sekiranya mereka masih berada di takuk lama dan tidak berfikiran jauh jika tidak adanya kaji an terhadap penemuan fakta-fakta yang baru ditemui. Teringat kepada kawan seorang, pelajar MAHSA beliau berkata bahawa "manusia ini hidup untuk apa? Dalam kehidupan, kita diajar dalam konsep kehidupan kepada tiga perkara iaitu membaca, mengaji dan mengkaji."

Jika boleh dihuraikan tiga perkara ini dalam soal pembacaan Al-Quran, membaca adalah cara seseorang itu belajar bagaimana hendak menyebut surah-surah Al-Quran. Apabila sudah adanya asas, dipelajari pula asas tajwid untuk mengaji dan apabila sudah faham terhadap dua asas pertama maka langkah akhir adalah mengkaji yakni memahami isi kandung tafsir Al-Quran. Kesimpulan daripada tiga perkara ini adalah apabila didatangi kita dengan suatu ilmu bukanlah sewenang-wenangnya untuk kita terima bulat-bulat tetapi harus diselidiki dan diteliti agar kita ketahui bahawa ilmu itu bukanlah ilmu yang menyempitkan akal fikiran tetapi meluaskan pemikiran seorang manusia. Sedangkan dalam Al-Quran sendiri telah menyebut jika datang kepada kita suatu berita harus diperiksa terlebih dahulu sama ada sahih atau batil.
Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan.

(Surah Al-Hujurat 49 : 6)
Maka, dengan demikian manusia bukanlah dicipta hanya untuk menerima suatu ilmu dengan satu tiada bantahan atau kritikan. Jika ya, tiada gunalah fungsi akal di dalam penciptaan manusia sebagai sistem operasi manusia yang paling canggih untuk bertindak balas terhadap persekitaran semasa. Terkilan juga apabila membaca mana-mana tulisan yang menyatakan tidak dapat menerima pandangan yang berbeza dan pandangan yang jauh keterbukaan. Sedangkan manusia diciptakan dengan pelbagai perbezaan dari segi perwatakan, perbuatan, pemakaian. Cuma janganlah berbeza terhadap perkara yang telah sepakat di dalam syariat Islam seperti mana yang telah Allah swt sebut di dalam Al-Quran.
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. (Surah Al-Hajj: Ayat 67)
Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). (Surah Al-Jathiya: Ayat 18)
Dalam konteks kini, masyarakat sering dibawakan kepada mereka akan berita-berita yang kadang-kadang amatlah bercanggah dengan akal fikiran. Dunia sekarang bukan lagi dunia yang menangkuk air di tepi arus kerana dunia telah mengecapi kemudahan dalam mencari maklumat. Maka, wajar masyarakat pada hari ini meninggalkan kejumudan dan mendekatkan kepada fikrah yang bersih daripada akal yang sempit ke arah akal yang lebih keterbukaan. Di dalam facebook saya, ada yang forward mesej surat berantai dengan mempercayai sepenuhnya terhadap apa yang terkandung di dalam surat tersebut. Disebut di dalam surat tersebut macam-macam iktibar dan wajib forward kalau tidak forward nanti kena musibah. Perkara menampakkan tentang kejumudan akal dalam menilai dan berfikir dengan lebih serius dan berhati-hati.

Perkara ini dilihat dalam keadaan yang was-was dan diragui. Kenapa manusia mudah terpengaruh dengan budaya seperti ini? Al-Quran sendiri mengajar kita supaya berwaspada terhadap perkara seperti ini yang boleh memrosakkan budaya memikir secara rasional.
Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).

(Surah Al-Isra’ 17 : 36)
Lihatlah bahawa Islam bukan diajar supaya taksub atau bertaqlid buta tanpa bersebab kerana ianya akan membawa manusia condong ke arah tidak menerima keterbukaan dalam menerima sesuatu fakta. Sebenarnya, Islam merupakan agama fakta dan hujjah bukannya agama yang boleh dipermainkan atas alasan yang tidak konkrit. Dalam menilai soal fakta dan hujjah perlulah ada panduan dan Nabi saw sendiri telah memberi panduan semasa Hajjatul Wida' setelah pembukaan Kota Makkah iaitu:
Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengan kedua-duanya; Kitab Allah dan Sunnahku - Hadis Riwayat al-Hakim.
Sekiranya kita berada di jalan Allah pasti kita akan berpegang kepada dua sumber yang sahih ini kerana dengan berpegang kepada dua sumber ini kita akan selamat daripada kesesatan. Oleh itu, dalam mematangkan pemikiran haruslah membudayakan kritis dalam berfikir terutamanya dalam penilaian fakta kerana di dalam masyarakat luasnya tersebar hadis-hadis palsu yang bercanggah dengan Islam. Sesungguhnya Nabi saw amat marah apabila ada orang yang berdusta di atas namanya kerana berdusta di atas nama Nabi saw tidak sama berdusta di atas nama orang lain. Nabi saw bersabda:
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka. - Hadis Riwayat al-Bukhari
Nabi saw sendiri telah memberi amaran kepada membawa berita yang fasiq yang mana beliau menceritakan berita tersebut kepada orang lain.

Cukuplah bagi seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan segala yang dia dengar. - Hadis Riwayat Muslim

Harus diperingatkan bahawa sesiapa yang menyebarkan berita yang palsu tidak selamat baginya dan seseorang itu tidak layak untuk menjadi ketua kepada masyarakat apabila seseorang itu menceritakan kesemua berita palsu yang dia dengari.
Ketahuilah, tidak selamat seseorang yang menceritakan setiap apa yang dia dengar, dan seseorang tidak menjadi imam (pimpinan) sama sekali apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar. - Hadis Riwayat Muslim
Maka, masyarakat seharusnya perlu bergerak ke dimensi jumud ke arah dimensi pemikiran yang luas keterbukaannya atau pemikiran tajdid kerana kita harus menjadi umat yang proaktif, umat yang produktif dan umat yang universal dalam mengharungi gerakan dakyah-dakyah kelompok yang anti kepada Islam. Antaranya adalah gerakan athiest, kristian, yahudi, pluralisme, liberalisme, sekularisme, dan sebagainya. Oleh itu, kita harus ke hadapan dalam soal ini agar umat Islam dapat dilihat sebagai umat yang berpotensi dan berwawasan dalam matlamat hidup dan berfikiran dengan lebih jauh keterbukaan serta kurangnya berfikiran secara jumud.

Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
15 Februari 2010/1 Rabiul Awal 1431 H

1 Teguran:

Excellent, what a webpage it is! This weblog presents helpful information
to us, keep it up.
My homepage ... skin lightening cream

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More