Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

30 November 2011

Tahap Keimanan Seorang Insan


Manusia yang teguh dalam keimanan adalah setelah Allah memberikan pelbagai ujian dan manusia berjaya melepasi ujian tersebut.

Seorang Muslim tidak akan dibiarkan oleh Allah s.w.t. dengan mudah untuk masuk ke dalam syurga sebelum diuji dengan ujian yang setimpal dengan kadar kemampuannya. Ini bagi menilai tahap mana imannya. Adakah di tahap yang tinggi mahupun di tahap yang rendah. Maka, tidak akan terlepas mana-mana insan daripada ditimpa musibah dan ujian oleh Allah s.w.t.

Allah s.w.t. apabila memberikan ujian kepada hamba-Nya, ada dua kemungkinan sebab mengapa Dia melakukannya.

Pertama, Allah s.w.t. menilai tahap keimanan hamba-Nya dengan diberikan ujian berbentuk pengajaran hidup di dalam kehidupan seorang insan itu.

Kedua, Allah s.w.t. jika hendak memberi hidayah kepada hamba-Nya diujinya dengan ujian menarik nikmat yang telah hamba-Nya kecapi selama hidup di dunia.

Ini sebagaimana Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 155-157:


Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."


Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Ayat di atas mengajar kepada manusia suatu didikan tarbiyah iman. Ini kerana manusia apabila diberikan nikmat harta kekayaan dan anak-anak, kebanyakannya akan lupa kepada siapakah yang memberikan segala nikmat ini. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. mengajarkan di dalam surah al-Baqarah ini satu ujian berbentuk perasaan takut daripada nikmat yang diberikan kepada manusia supaya mereka fikirkan kembali daripada mana nikmat yang mereka miliki ini didapati.

Ada sebuah kisah yang boleh diambil iktibar berkenaan dengan pengajaran daripada surah al-Baqarah ayat 155-157.

Kisah tentang seorang pemuda di Mesir. Beliau mempunyai harta yang banyak hasil daripada rezeki yang datang melimpah daripada ladang estetnya. Beliau juga mempunyai isteri serta anak-anak yang ramai yang membahagiakannya. Namun, beliau lupa akan pemberi nikmat ini iaitu Allah s.w.t.

Pada satu hari, berlaku kebakaran di rumah dan ladang estetnya. Keluarganya mati akibat kebakaran di rumahnya dan kesemua hasil pendapatan di ladang estetnya lenyap ditelan api. Beliau merasa sedih dan keseorangan hingga pada satu hari beliau terbaca surah al-Baqarah ayat 155-157. Setelah membaca dan menghayati ayat ini, barulah pemuda ini tersedar akan perbuatannya. Pemuda ini merasa insaf akan perbuatannya selama ini yang lupa kepada Allah s.w.t. Lalu, beliau bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan. Di dalam kesengsaraan yang beliau alami, Allah s.w.t. campakkan hidayah kepadanya.

Pemuda ini pada saat itu, dalam keadaan keseorangan dan tiada harta. Namun, beliau tetap bersabar di atas ujian yang Allah s.w.t. berikan iaitu menarik sedikit hartanya. Pemuda ini melakukannya kerana beriman kepada surah al-Baqarah ayat ke-155. Dan dengan takdir Allah s.w.t. juga, pemuda ini setelah menerima hidayah, Allah s.w.t. memberikan ganjaran nikmat harta kepadanya di atas kesungguhnya di dalam bersabar di atas musibah.

Tatkala ini Allah s.w.t. memberikan ujian seperti ini kerana ingin memberikan didikan iman kepada hamba-Nya, sejauh manakah di kalangan hamba-Nya berjaya bersabar di atas musibah seperti ini. Akhirnya, setelah berjaya Allah s.w.t. jualah yang memberikan ganjaran ke atas mereka yang berjaya.

Sesungguhnya apabila kita sebagai hamba Allah diuji dengan berbagai-bagai ujian oleh Allah s.w.t., ada sebahagian daripada kita yang sering menyalahkan Allah s.w.t. Sewajarnya, janganlah kita menyalahkan Allah s.w.t. di atas takdir menimpa tetapi bermuhasabahlah. Apakah kita sudah menjadi insan yang bertaqwa sehingga sanggup berkata seperti itu? Manusia yang tidak menghargai dan mensyukuri nikmat Allah s.w.t. sangat tidak layak untuk berkata seperti itu.

Apabila manusia seperti ini mempunyai pemikiran prejudis terhadap takdir Allah, mereka sebenarnya lupa bahawa mereka sebenarnya yang tidak memegang janji dengan Allah lalu mengatakan bahawa Allah tidak adil dalam membawa laluan takdir manusia. Insan apabila menepati janji dengan Allah s.w.t., maka Dia pasti memberikan laluan takdir kepada hamba-Nya dengan cara yang terbaik. Namun, insan perlu membina kekuatan diri iaitu dari segi keimanan, keyakinan, kesabaran dan istiqamah di dalam berpegang kepada kebenaran untuk mendapatkan ketetapan takdir yang pasti itu. Ia akan berakhir dengan kebaikan kepada diri sendiri setelah mengharungi pelbagai ujian.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 November 2011/4 Muhrram 1433H

05 November 2011

Manasik Haji Secara Langsung Dari Tanah Arab

02 November 2011

Motivasi Iman Dalam Mendepani Mehnah Kehidupan

- Gambar Hiasan -
Sering kali apabila kita ditimpa ujian ataupun musibah, pasti ada yang tidak berdaya untuk berusaha bangkit dan berjaya. Apa yang pasti ciri orang mukmin bukan begini. Mereka adalah orang yang apabila diberikan ujian makin bertambah keimanan mereka dengan tidak berputus asa di atas ujian yang menimpa ke atas diri mereka. Malah, ujian yang ditimpa ini bagi mereka sebenarnya adalah sebagai momentum bagi mengetahui sejauh manakah tingginya iman mereka.

Oleh sebab itu, Allah SWT ada berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 2-3:


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?


Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Di dalam dua ayat di atas, Allah menerangkan tentang golongan yang mendakwa mereka adalah orang yang beriman sedangkan Allah belum menguji mereka. Sesungguhnya, orang yang beriman itu adalah apabila mereka yang memiliki sifat sabar dan taqwa di dalam mengharungi ujian yang Allah SWT berikan ke atas mereka, baik yang kecil mahupun besar. Ini seperti mana yang disebutkan dalam surah 'Ali-'Imran ayat 120:


Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi Jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.

Apabila kita didepani dengan ujian yang menyebabkan diri kita merasa tekanan yang kuat dan berada dalam keadaan bersedih serta berdukacita, kita sebagai seorang mukmin yang beriman tidak harus untuk lentur semangat dalam meneruskan kehidupan. Di sebaliknya, kita harus kuat, teguh dan tabah dalam memperjuangkan agama Allah.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa sahaja yang ditimpa tekanan dan kesedihan lalu dia berdoa…

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ

نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ

أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ

أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hamba lelakiMu (Adam) dan anak hamba perempuanMu (Hawa).

Ubun-ubunku di tanganMu, keputusanMu berlaku padaku, qadhaMu kepadaku adalah adil.

Aku mohon kepadaMu dengan setiap nama yang telah Engkau gunakan untuk diriMu, atau Engkau turunkan dalam kitabMu, atau Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang Engkau khususkan untuk diriMu dalam ilmu ghaib di sisiMu.

Engkau jadikanlah Al-Qur’an sebagai penenteram hatiku, cahaya di dadaku, pelenyap kesedihanku dan penghilang tekananku.”

HR. Ahmad 1/391. Menurut pendapat Al-Albani, hadith tersebut adalah sahih.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
2 November/6 Zulhijjah 1432H

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More