17 August 2011

Ramadhan: Puasa Adalah Perisai Taqwa


- Gambar Hiasan -

Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan limpahan rahmat dan maghfirah. Bulan yang penuh rahmat dan pengampunan daripada dosa-dosa lalu. Di dalam Ramadhan juga ada pelbagai tawaran istimewa yang harus direbut oleh setiap umat Islam.  Umpamanya, tawaran solat tarawih, bersahur dan sunnah melewatkannya, memperbanyakkan sedekah, bertadarrus al-Quran, memberi makan kepada orang yang berpuasa, beriktikaf di 10 malam terakhir, dan sunnah berbuka puasa dengan rutab atau tamar ataupun dengan air.

Dan turunnya Ramadhan ini adalah berdasarkan daripada firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat yang ke-183:


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu beroleh taqwa."

Maka, daripada ayat ini kita dapat ketahui dengan jelas bahawa syariat berpuasa diturunkan adalah kerana perintah Allah swt kepada orang-orang yang beriman untuk menunaikan ibadah ini. Jika orang-orang yang terdahulu sebelum kita juga telah melakukan ibadah ini, mengapa kita tidak dapat melakukan sedemikian rupa? Puasa juga sebenarnya dapat menyucikan diri kita daripada perkara yang keji dan terhindar daripada jalan syaitan.

Puasa juga melatih diri kita untuk mengetahui sejauh manakah tingginya ketaqwaan yang bakal kita miliki. Persoalan yang timbul adalah bagaimana kita hendak mencapai ketaqwaan itu? Untuk mencapai ketaqwaan, sebenarnya kita harus terlebih dahulu mendirikan syariat puasa demi mencapai ketaqwaan.

Apabila kita berpuasa, maka pada saat mula kita berpuasa sehingga kita berbuka puasa kita akan mendidik diri kita bagaimana hendak mencapai taqwa di dalam berpuasa dan sebagai perisai orang yang berpuasa.

Nilai Ketaqwaan Orang Yang Berpuasa

Ketaqwaan orang yang berpuasa itu boleh dilihat daripada pelbagai perspektif. Antaranya adalah bagaimana puasa seseorang itu pada satu hari. Jika seseorang itu berpuasa dalam keadaan tenang dan bersabar di atas ujian berpuasa, maka boleh kita nilai bahawa orang ini memang berpuasa di dalam keadaan bertaqwa kerana antara sikap orang yang bertaqwa ketika berpuasa ialah bersabar. Maka, ciri pertama nilai ketaqwaan adalah bersabar.

Ciri yang kedua adalah sentiasa menjaga diri daripada melakukan ghibah yakni mengumpat orang lain. Jika seseorang ini tidak mengeluarkan kata-kata yang keji dan kesat selama mana ia berpuasa, maka orang ini sebenarnya memiliki ciri muttaqin ketika sedang berpuasa dan mungkin juga dia memang seorang yang bertaqwa pada hakikatnya tetapi kita tidak ketahui. Menghindari diri daripada menyebut kata-kata yang keji ketika berpuasa ini amat dituntut.

Sebuah hadis sahih yang adiriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim menyebut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ


"Dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu; Bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Puasa itu perisai. Apabila orang itu berpuasa, janganlah mengeluarkan kata-kata lucah dan tidak bercakap kasar. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa."

Oleh sebab itu, lambang seseorang muttaqin dalam dia menjaga dirinya daripada perkara yang keji seperti yang disebutkan di atas.

Ciri yang ketiga adalah menghindari diri daripada perkara yang menyebabkan kemaksiatan, kemungkaran dan gelora nafsu syahwat. Apabila kita berpuasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan, secara tak langsung akan menyebabkan diri kita menghindari sifat-sifat ini. Ini seperti yang direkodkan di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:

عن ابن مسعود رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم { يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

"Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan untuk bernikah, maka hendaklah kamu bernikah. Kerana dengan menikah itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana ia dapat menghalang syahwat."

Jelas melalui hadis ini bahawa berpuasa dapat menghindari daripada terjerumus ke kancah maksiat. Mudah-mudahan dengan berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharap dosa-dosa yang lalu diampun akan dihindar daripada melakukan maksiat.

Jangan Biarkan Ramadhan Berlalu Begitu Sahaja

Sebagai akhir kalam, muhasabah diri dan sebagai motivasi iman ingin ditekan-tekankan berkali-kali supaya kita masing-masing mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Kerana apabila masuknya Ramadhan, pasti akan ada segolongan daripada umat Islam yang leka dengan Ramadhan. Mereka leka dengan perniagaan yang menguntungkan pada bulan Ramadhan. Sedangkan yang keutamaan di bulan ini adalah menjana ekonomi ganjaran pahala Ramadhan lebih-lebih lagi dengan tawaran istimewa Ramadhan iaitu Lailatul Qadr.

Ini seperti yang dijanjikan di dalam sebuah hadis yang sahih:


قد جاءكم شهر رمضان شهر، مبارك كتب الله عليكم صيامه، فيه تفتح أبواب الجنان، وتغلق فيه أبواب الجحيم، وتغل فيه الشياطين، فيه ليلة خير من ألف شهر، من حرم خيرها فقد حرم


"Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah telah mewajibkan kalian berpuasa pada bulan tersebut. Bulan yang dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperoleh kebaikan di bulan Ramadhan maka ia benar-benar terhalangi (merugi)" (HR. Ahmad dan An-Nasa'i).

Maka, jangan kita persia-siakan Ramadhan ini dengan menjana ekonomi perniagaan kita berbanding kurangnya beramal ibadah di bulan Ramadhan ini.


Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
17 Ogos 2011/17 Ramadhan 1432H

0 Teguran:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More