Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

08 May 2011

Nota: Adab-Adab Ziarah Kubur

Adab-Adab Ziarah Kubur



Islam sebagai agama yang syumul tidak meninggalkan sesuatu amalan atau perkara melainkan ia membimbing kita kepada apa yang bermanfaat dan menjauhkan kita dari apa yang memudaratkan. Antaranya ialah amalan ziarah kubur di mana Islam telah memberikan sejumlah adab yang perlu kita perhatikan, iaitu:


[1] Membetulkan Tujuan Ziarah Kubur.

Tujuan ziarah kubur ialah supaya ia memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِ، أَلآ فَزُوْرُوْهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ،

وَتُذَكِّرُ اْلآخِرَةَ، وَلاَ تَقُوْلُوْا هُجْرًا.


Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.[1]

Oleh kerana itulah kita turut dibolehkan menziarahi kubur orang bukan Islam kerana yang dikehendaki ialah manfaat bagi penziarah dan bukan yang diziarah. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan:

زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ.
فَقَالَ: اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا
فَأُذِنَ لِي فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah ziarah ke kubur ibunya lalu baginda menangis dan orang-orang di sekeliling baginda turut menangis. Maka baginda bersabda: “Aku pernah meminta izin Tuhanku untuk meminta ampun kepadanya namun aku tidak diizinkan. Aku pernah meminta izin kepada-Nya untuk ziarah kuburnya dan aku diizinkan. Maka ziarahlah kubur kerana sesungguhnya ia mengingatkan kalian kepada kematian.”[2]

Berdasarkan hadis di atas dapat kita pelajari bahawa:

Dibolehkan ziarah kubur orang bukan Islam.

Dilarang berdoa kepada ahli kubur orang bukan Islam.

Tujuan ziarah ialah mengingatkan penziarah kepada kematian. Sekali lagi, tujuan ziarah ialah supaya memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah.

Jika seseorang itu ingin memberi manfaat kepada ahli kubur yang muslim seperti berdoa dan menghadiahkan pahala, dia boleh melakukannya di mana jua. Ini kerana yang akan mengabulkan doa dan memberikan pahala ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Allah boleh melakukan semua itu tanpa mengira di mana lokasi jenazah.


[2] Tidak Melakukan Perjalanan Jauh Untuk Ziarah.

Oleh kerana tujuan ziarah kubur ialah memberi manfaat kepada penziarah dan bukan yang diziarah, Islam melarang kita daripada melakukan perjalanan jauh semata-mata untuk ziarah kubur. Ini kerana mana-mana kubur berhampiran dengan tempat bermastautin seseorang sudah cukup untuk dijadikan sebagai amalan ziarah.

Dalam konteks yang lebih luas, Islam melarang kita dari melakukan perjalanan jauh untuk tujuan ibadat melainkan perjalanan ke tiga lokasi: Masjid Nabawi di Madinah, Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Aqsa di Palestin. Apa-apa perjalanan jauh selain ke tiga lokasi mulia tersebut adalah dilarang, termasuklah perjalanan ke kawasan perkuburan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَسْجِدِ الأَقْصَى.

Tidak boleh bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin).[3]

Berdasarkan hadis ini, tidak boleh mengadakan satu perjalanan yang khusus atas tujuan ibadat kecuali ke tiga masjid di atas. Ibadat yang dimaksudkan ialah apa yang lazim dilakukan dalam masjid dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala (taqarrub) seperti solat, iktikaf, doa, zikir dan membaca al-Qur’an.

Ada pun perjalanan selain itu, seperti dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga, ziarah ahli keluarga, mengambil iktibar dari kesan kemusnahan umat yang lalu dan melancong mengecapi keindahan alam ciptaan Allah, ia tidak termasuk dalam perbincangan hadis. Dalilnya adalah amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat pada zaman baginda, mereka lazim melakukan perjalanan kerana dakwah, jihad, menuntut ilmu, berniaga dan menziarahi ahli keluarga. Ada pun perjalanan demi ibadat, mereka tidak melakukannya melainkan ke tiga masjid yang utama di atas.

Hikmah terbesar larangan di atas ialah untuk menutup sebarang pintu-pintu kesyirikan yang mungkin berlaku di kalangan umat Islam, seandainya di antara mereka ada yang menyakini sesuatu lokasi umpama perkuburan, masjid dan lain-lain memiliki keberkatan lalu melakukan perjalanan semata-mata ke sana untuk beribadat.


[3] Tidak Melakukan Perayaan Di Perkuburan.

Perayaan adalah satu sambutan di mana orang-orang berhimpun pada tarikh tertentu dan kadangkala ia diulang-ulang pada kekerapan tertentu, umpama setiap tahun. Islam melarang kita dari menjadikan perkuburan atau amalan ziarah kubur sebagai satu perayaan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَلاَ تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ.

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan dan jangan jadikan kuburku sebagai tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku di mana jua kalian berada.[4]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang paling mulia sepanjang zaman. Nah! Jika kita dilarang menjadikan kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai tempat perayaan, sudah tentu kubur-kubur lain turut dilarang untuk dijadikan tempat perayaan.

Merujuk kepada hadis di atas, saya menjemput para pembaca yang dirahmati Allah sekalian untuk merenung semula amalan ziarah kubur pada pagi Hari Raya Aidil Fitri. Sedar atau tidak, ia sebenarnya adalah satu perayaan di mana kaum keluarga berhimpun pada pagi 1 Syawal setiap tahun di perkuburan kaum keluarga yang tersayang. Perayaan seperti ini dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Hadis di atas memiliki beberapa pengajaran lain yang tidak kurang penting:

  • Dianjurkan membuat sambutan perayaan di dalam rumah dengan kekerapan tertentu di mana kaum keluarga berhimpun untuk saling bertanya khabar dan mengeratkan silraturahim. Tarikh ini tidak terhad kepada 1 Syawal (Hari Raya Aidil Fitri) dan 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidil Adha) tetapi boleh diperluaskan kepada tarikh-tarikh lain yang dianggap sesuai bagi semua kaum keluarga.
  • Boleh berselawat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di mana jua kita berada kerana ia akan tetap sampai kepada baginda. Amalan “kirim salam kepada Rasulullah” yang dititip kepada para jama’ah haji dan umrah adalah amalan bagi orang yang tidak memiliki ilmu dalam agama.


[4] Mengucapkan Salam.

Apabila memasuki kawasan perkuburan Muslim, ucapkanlah salam kepada mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajar beberapa ucapan, salah satu darinya ialah:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ

وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.

Salam sejahtera ke atas kalian wahai penduduk negeri kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami insya-Allah akan menyusul kalian. Aku memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan bagi kalian.[5]


[5] Tidak Mengucapkan Perkataan Yang Keji Dan Batil.

Ini sebagaimana penghujung hadis yang telah dikemukakan sebelum ini:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِ، أَلآ فَزُوْرُوْهَا، فَإِنَّهُ يُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ،

وَتُذَكِّرُ اْلآخِرَةَ، وَلاَ تَقُوْلُوْا هُجْرًا.


Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.[6]


Perkataan keji dan batil terdiri dari tiga jenis:

  • Berbicara urusan dunia seperti naik turun harga saham, kenaikan harga barang runcit dan petrol, urusan pejabat, urusan keluarga dan lain-lain. Semua perbicaraan ini akan menjauhkan penziarah dari tujuan ziarah, iaitu “…melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat.” Perkataan seumpama ini menzalimi diri penziarah itu sendiri.
  • Mencela, mengkritik dan menyebut aib jenazah yang dikebumikan di perkuburan itu. Perkataan seumpama ini menzalimi jenazah dan dosa kesalahan akan kembali kepada penziarah itu sendiri. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا.


Jangan mencela orang-orang yang sudah meninggal dunia kerana mereka sudah sampai kepada apa yang mereka lakukan.[7]

  • Berdoa kepada jenazah, meminta sekian-sekian hajat dan perlindungan dengan harapan jenazah dapat memakbulkan doanya atau jenazah memberi pengaruh kepada Allah agar Allah memakbulkan doanya. Ini menzalimi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana doa adalah hak Allah, kepada Allah jua kita memanjatkan doa dan kepada Allah jua kita mengharapkan ia dikabulkan.


[6] Tidak Memakai Kasut Atau Selipar.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya:


"يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ وَيْحَكَ أَلْقِ سِبْتِيَّتَيْكَ."

فَنَظَرَ الرَّجُلُ فَلَمَّا عَرَفَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلَعَهُمَا فَرَمَى بِهِمَا.

“Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.”

Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.[8]

Oleh itu apabila berjalan di antara kubur atau di celah-celah kubur, tanggalkanlah kasut atau selipar. Jika kawasan perkuburan itu tidak sesuai untuk berjalan tanpa alas kaki, maka memadai berdiri di tepi kawasan kubur. Ini kerana manfaat ziarah kubur dapat diperolehi oleh penziarah dengan berdiri di tepi perkuburan, tidak semestinya di tengah-tengah perkuburan.


[7] Tidak Solat Di Kubur.

Sebagaimana perbincangan dalam catatan yang lepas, kita dilarang dari mendirikan solat di kubur kecuali solat jenazah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا.

Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan.[9]

Kita juga dilarang dari solat menghadap kubur:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا.

Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya.[10]
  
Pengecualian diberikan kepada solat di dalam Masjid al-Nabawi di Madinah kerana atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, pembesaran masjid telah menyebabkan kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terletak di dalam masjid. Ini menyebabkan sebahagian jamaah terpaksa solat dengan menghadap kepada kubur baginda. Suasana ini dimaafkan dengan syarat orang itu tidak sengaja memilih tempat di belakang kubur baginda untuk solat dan hati serta fikirannya tidak tertuju kepada kubur baginda ketika solat.


[8] Tidak Membaca al-Qur’an Di Kubur.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ.

Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.[11]

Hadis ini mencakupi dua maksud:

  • Rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an umpama perkuburan, maka bacalah al-Qur’an di dalam rumah khasnya surah al-Baqarah.
  • Perkuburan bukan tempat membaca al-Qur’an, kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di dalamnya.

Selain itu telah diterangkan sebelum ini jika seseorang ingin menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada sesiapa yang sudah meninggal dunia, dia boleh melakukannya di mana jua. Dia tidak perlu duduk di sebelah jenazah di perkuburannya.


[9] Tidak Melakukan Penyembelihan Di Kubur.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ عَقْرَ فِي الإِسْلاَمِ. قَالَ عَبْدُ الرَّزَّاقِ: كَانُوا يَعْقِرُونَ عِنْدَ الْقَبْرِ بَقَرَةً أَوْ شَاةً.

“Tidak ada penyembelihan untuk dipersembahkan di dalam Islam.” Berkata ‘Abd al-Razzaq (pengarang kitab hadis al-Musannaf): “Dahulu mereka (orang jahiliyah) menyembelih lembu dan atau kambing di sisi perkuburan untuk dipersembahkan (kepada ahli kubur).”[12]

Sa‘id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani hafizahullah menerangkan:

Apabila penyembelihan dilakukan di perkuburan sebagai amalan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah maka ia adalah bid’ah. Namun jika penyembelihan dilakukan untuk ahli kubur, maka ia adalah syirik besar yang mengeluarkan pelakunya dari Islam.[13]


[10] Tidak Memijak Kubur.

Jabir radhiallahu ‘anh menerangkan:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُجَصَّصَ الْقُبُورُ وَأَنْ يُكْتَبَ عَلَيْهَا

وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهَا وَأَنْ تُوطَأَ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya.[14]

Terdapat empat larangan dalam hadis ini:

  • Dilarang mengkapur kubur, yakni mensimenkannya atau membuat binaan konkrit, jubin, marmar dan sebagainya. Kapur ialah teknologi binaan zaman Rasulullah sebagaimana simen pada zaman kini.
  • Dilarang menulis di atasnya, umpama menulis nama dan doa-doa di batu nisan atau menulis ayat-ayat al-Qur’an di binaan sekeliling kubur. Namun boleh membuat tanda untuk mengenali kubur umpama susunan batu berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meletak batu di sebelah kubur ‘Utsman bin Mazh’un radhiallahu ‘anh dengan sebab:

أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي وَأَدْفِنُ إِلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي.

Aku memberi tanda dengan batu ini untuk kubur saudaraku dan di sinilah akan dikebumikan sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan ahli keluargaku.[15]

  • Dilarang membuat binaan di atas kubur umpama masjid, kubah, tembok dan sebagainya. Jika dibimbangi kubur akan rosak disebabkan kesan alam (hujan lebat, angin kuat, peralihan tanah), boleh membuat binaan yang tingginya tidak lebih sejengkal sekadar untuk memelihara keutuhan kubur.
  • Di larang memijak di atas kubur. Boleh berjalan di antara dan di sekitar kubur namun jangan di atas kubur.


[11] Tidak Bersandar Kepada Kubur.

‘Amr bin Hazm al-Anshari radhiallahu ‘anh menceritakan:

رَآنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَّكِئًا عَلَى قَبْرٍ فَقَالَ: لاَ تُؤْذِ صَاحِبَ هَذَا الْقَبْرِ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini”[16]


[12] Tidak Duduk Di Atas Kubur.

Dilarang duduk di atas kubur berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ

مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ.

Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.[17]

Larangan di atas ditujukan kepada orang yang duduk tepat di atas kubur. Dibolehkan duduk di tepi kubur sebagaimana hadis berikut daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh, dia berkata:

شَهِدْنَا بِنْتًا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ:

وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ عَلَى الْقَبْرِ قَالَ: فَرَأَيْتُ عَيْنَيْهِ تَدْمَعَانِ.

Kami menyaksikan kematian puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (yakni Umm Kaltsum radhiallahu ‘anha). (Anas menyambung): “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk di atas kubur, maka aku melihat kedua-dua matanya menitiskan air mata.”[18]

Maksud duduk di atas kubur dalam hadis di atas ialah duduk di tepinya ketika proses perkebumian.[19] Dalam sebuah riwayat lain ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menerangkan para sahabat dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk di perkuburan Baqi’ al-Gharqad, lalu baginda memberi tazkirah kepada mereka semua.[20]


[13] Tidak Membuang Hajat Di Perkuburan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda

لأَنْ أَمْشِيَ عَلَى جَمْرَةٍ أَوْ سَيْفٍ أَوْ أَخْصِفَ نَعْلِي بِرِجْلِي أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَمْشِيَ عَلَى قَبْرِ مُسْلِمٍ

وَمَا أُبَالِي أَوَسْطَ الْقُبُورِ قَضَيْتُ حَاجَتِي أَوْ وَسْطَ السُّوقِ.

Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya).[21]

Sebahagian ulama’ rahimahumullah, sebagaimana nukil pengarang MSBSPR 152-156, berpendapat larangan duduk di atas kubur bererti larangan membuang hajat di atas kubur. Ertinya boleh duduk di atas kubur tetapi jangan kencing atau berak di atas kubur.

Pendapat yang lebih tepat ialah, kedua-duanya dilarang. Kita dilarang duduk di atas kubur berdasarkan hadis:

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ

مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ.

Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.[22]

Kita dilarang kencing atau berak di atas kubur berdasarkan hadis:

لأَنْ أَمْشِيَ عَلَى جَمْرَةٍ أَوْ سَيْفٍ أَوْ أَخْصِفَ نَعْلِي بِرِجْلِي أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَمْشِيَ عَلَى قَبْرِ مُسْلِمٍ

وَمَا أُبَالِي أَوَسْطَ الْقُبُورِ قَضَيْتُ حَاجَتِي أَوْ وَسْطَ السُّوقِ.


Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya).[23]

Orang yang duduk tidak semestinya sedang membuang hajat sementara orang yang membuang hajat tidak semestinya dalam keadaan duduk. Sekalipun bukan adab Islam, manusia boleh membuang hajat dalam keadaan berdiri dan ini dilarang oleh Islam di kawasan perkuburan.

Adapun riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh pengarang MSBSPR sebagai hujah para sahabat pernah duduk di atas kubur, maka seandainya ia sahih, ia bererti duduk di tepi kubur atau di persekitaran kawasan kubur sebagaimana yang telah dijelaskan dalam adab no: 12 di atas.

Dari penulisan asal:
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah: Beberapa Semakan Teliti Ke Atas

Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh Hafiz Firdaus Abdullah

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadraknya, hadis no: 1342MS (Kitab al-Janaiz, Bab dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur…). Sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz (Maktabah Syamilah v2), ms. 180.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 976 (Kitab al-Janaiz, Bab permohonan izin Nabi kepada Tuhan untuk ziarah kubur ibunya).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1189 (Kitab Fadhli al-Sholah fi Makkah wa al-Madinah, Bab keutamaan solat di masjid Mekah dan Madinah).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2042 (Kitab al-Manasik, Bab ziarah kubur).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 975 (Kitab al-Janaiz, Bab apa yang dikatakan ketika memasuki kawasan perkuburan…)

[6] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadraknya, hadis no: 1342MS (Kitab al-Janaiz, Bab dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur…). Sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Ahkam al-Janaiz, ms. 180.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1393 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan dari mencela orang yang sudah meninggal dunia).

[8] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3230 (Kitab al-Janaiz, Bab berjalan dengan memakai kasut di antara kubur). Kasut al-Sibtiyyah ialah kasut yang diperbuat dari kulit yang telah disamak.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 432 (Kitab al-Solat, Bab dibenci solat di perkuburan).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 972 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan duduk di atas kubur…).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1179 (Kitab Solat al-Musafirin…, Bab Disukai solat sunat di rumah…).

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3222 (Kitab al-Janaiz, Bab dibenci menyembelih di sisi perkuburan).

[13] Sholat al-Mu’min: Mafhum wa Fadhail wa Adab wa Anwa’ wa Ahkam wa Kaifiyah fi Dhaui’ al-Kitab wa al-Sunnah (edisi terjemahan oleh Ahmad Yunus & Fatkhurrahman atas judul Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qu’ran wa al-Sunnah; Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2007), jld. 3, ms. 511 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1052 (Kitab al-Janaiz ‘an Rasulullah, Bab dibenci mengapur kubur dan menulis di atasnya)

[15] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3206 (Kitab al-Janaiz, Bab menghimpun orang-orang yang meninggal dunia di satu kawasan perkuburan…).

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 20931MS (Musnad al-Anshar, Musnad ‘Amr bin Hazm). Bagi edisi bercetak terbitan Muasasah al-Risalah, Beirut, 2001; jld. 39, ms. 475.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 971 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan duduk di atas kubur…).

[18] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1285 (Kitab al-Janaiz, Bab sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam “Mayat diazab kerana sebahagian tangisan ahli keluarganya…).

[19] Fath al-Bari, jld. 3, ms. 506.

[20] Sahih: Kesimpulan dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1362 (Kitab al-Janaiz, Bab nasihat ahli hadis di sisi kubur dan duduknya para sahabatnya di sekelilingnya).

[21] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1273 (Kitab al-Janaiz, Bab berkenaan dilarang berjalan di atas kubur dan duduk di atasnya).

[22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 971 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan duduk di atas kubur…).

[23] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1283 (Kitab al-Janaiz, Bab berkenaan dilarang berjalan di atas kubur dan duduk di atasnya).

23 April 2011

Bacaan al-Quran Di Dalam Masjid Boleh Mengganggu Jamaah?

Membaca al-Quran tidak salah. Malah ianya mendapat pahala yang besar ganjarannya. Nabi s.a.w. bersabda:
Siapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan akan dilipatkan gandakan sepuluh, saya tidak mengatakan (آلـم) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam membaca al-Quran ada etika dan peraturannya. Dan di antara larangannya adalah membaca al-Quran dengan kadar intonasi yang agak kuat sehingga mengganggu para jamaah. Bahkan boleh juga mengganggu orang lain yang berada di luar masjid. Sama ada orang yang membacanya untuk menperdengarkan suaranya atau kaset rakaman bacaan Qari untuk dipasangkan.


- Gambar Hiasan -

Persoalan yang timbul adalah kenapa perkara ini boleh mengganggu jamaah di dalam masjid atau orang lain yang berada di luar masjid. Jika jamaah di dalam masjid, mereka akan hilang fokus dan khusyuk mereka ketika sedang menunaikan ibadah. Jika orang lain yang berada di luar masjid, aktiviti harian mereka boleh hilang fokus disebabkan suara yang agak kuat dan bising.

Oleh sebab itu, Nabi s.a.w pernah melarang orang yang menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Ini dibuktikan di dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Menurut kata-kata daripada Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h dalam mengulas hadis ini, beliau berkata:
Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Maka, perbuatan yang dilakukan oleh kebanyakan masjid di Malaysia perlu disemak semula.

Perbuatan ini juga sebenarnya merupakan salah satu daripada talbis iblis (tipu daya iblis). Dan ianya telah menyebabkan dua perkara yang tidak baik berlaku iaitu:

1) Mencampur aduk di antara azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat.
2) Amalan ini tidak pernah wujud dalam urusan ibadah yang mengikuti sunnah.

Oleh kerana itu Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Wallahu'alam.

Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
23 April 2011/ 19 Jamadil Awal 1432H

31 March 2011

Itsar Di Dalam Persahabatan

Bersahabatlah kerana Allah

Ingatlah wahai saudaraku -semoga Allah memberi petunjuk kepada kita untuk taat kepadaNya-, bahawa tujuan kita bersahabat adalah sentiasa untuk mengaharap redha Allah Ta'ala. Janganlah sekali-kali persahabatan tersebut dijadikan jalan untuk mendapatkan kepentingan dunia semata.

Persahabatan yang berlandaskan saling cinta kerana Allah akan menghasilkan kemanisan iman, sebagaimana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud, "Ada tiga perkara yang apabila seseorang memilikinya, dia akan mendapat kemanisan iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dia cintai daripada selain keduanya, dia mencintai seseorang tidaklah dia mencintainya kecuali kerana Allah, dan dia tidak suka kembali kepada kekufuran setelah Allah membebaskan darinya sebagaimana dia tidak suka dilemparkan ke dalam api." (HR. al-Bukhari)

Di samping itu, persahabatan seperti inilah yang akan kekal hingga hari kiamat nanti, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman yang ertinya,"Teman-teman akrab pada hari (kiamat) nanti sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa."(QS. Az Zukhruf : 67).

Imam Ibnu Kasir rahimahullah mengatakan bahawa setiap persahabatan yang berasaskan cinta kerana selain Allah, maka pada hari kiamat nanti akan kembali dalam keadaan saling bermusuhan. terkecuali persahabatan yang dilandasi cinta kerana Allah ‘azza wa jalla, inilah yang kekal selamanya. (Tafsir Ibnu Kasir)

Maka perhatikanlah wahai saudaraku, sudah benarkah niat kita dalam bersahabat? Apakah persahabatan tersebut hanya untuk menyelesaikan urusan duniawi semata? Setelah urusan tersebut selesai, kita meninggalkan sahabat kita. Ingatlah, persahabatan yang benar adalah persahabatan yang dilandasi cinta kerana Allah, iaitu seseorang mencintai sahabatnya kerana tauhid yang dia miliki, pengagungan dia kepada Allah, dan semangatnya di dalam mengikuti sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Berbuat Itsar-lah pada Sahabatmu

Di antara hak terhadap sesama yang dianjurkan adalah mendahulukan sahabatnya dalam segala keperluan (baca : itsar) dan perbuatan ini dianjurkan (mustahab).

Perhatikanlah firman Allah Ta'ala yang ertinya,"Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan" (QS. Al Hasyr : 9).

Kaum Ansar yang terlebih dahulu duduk di kota Madinah, mereka mendahulukan saudara mereka daripada kaum Muhajirin dalam segala keperluan, sedangkan mereka sendiri memerlukannya.

Sungguh sangat menakjubkan, seorang sahabat Ansar yang memiliki dua isteri ingin menceraikan salah satu isterinya. Kemudian setelah masa 'iddahnya berakhir dia ingin menikahkannya dengan sahabatnya daripada kaum muhajirin. Adakah wujud bentuk itsar yang lebih daripada ini? (Aysarut Tafaasir, Syaikh Abu Bakr Jabir Al Jazairi)

Perbuatan itsar hanya berlaku untuk urusan duniawi (seperti mendahulukan saudara kita dalam makan dan minum). Sedangkan di dalam masalah ketaatan (perkara ibadah), perbuatan ini dilarang. Ini kerana tujuan ibadah adalah pengagungan kepada Allah Ta’ala. Maka barangsiapa yang mendahulukan saudaranya di dalam hal ini, bererti dia telah meninggalkan pengagungan terhadap Allah Ta’ala yang dia sembah. Oleh kerana itu, kita tidak dibolehkan mendahulukan saudara kita (itsar) untuk solat di saf pertama dalam solat berjama’ah, sedangkan kita di saf belakang. (Lihat Al Wajiz fii Iidhohi Qowa’id Al Fiqhi Al Kulliyati)

Bantulah Sahabatmu yang Berada dalam Kesulitan

Misalnya ada saudara kita yang memerlukan bantuan pinjaman wang. Maka berusahalah untuk menolongnya dengan memberi pinjaman hutang padanya. Ini lerana pemberian hutang yang pertama kali merupakan kebaikan. Sedangkan pemberian hutan kali kedua adalah sedekah. Sebagaimana dalam hadits riwayat Ibnu Majah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang ertinya,"Barangsiapa yang memberi hutang kepada saudaranya kedua kalinya, maka dia seperti bersedekah padanya.”

Jagalah Kehormatan Sahabatmu

Wahai saudaraku, jagalah kehormatan sahabatmu, kerana Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda pada khutbah ketika haji Wada' yang ertinya,"Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan kehormatan kalian adalah haram." (HR. al-Bukhari, Muslim, dan lainnya).

Di antara bentuk menjaga kehormatan saudara kita adalah menjaga rahsianya yang khusus diceritakan pada kita. Rahsia tersebut adalah amanah dan kita diperintahkan oleh Allah untuk selalu menjaga amanah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda yang ertinya,"Apabila seseorang membicarakan sesuatu padamu, kemudian dia menoleh kanan kiri, maka itu adalah amanah."(HR. Abu Daud dalam sunannya). Apatah lagi jika sahabatmu tersebut memintamu untuk tidak menceritakannya pada orang lain. Maka yang demikian jelas lebih terlarang. (Huququl Ukhuwah, Syaikh Sholeh Alu Syaikh).

Semoga dengan mengamalkan hak-hak ini, kita akan menjadi orang-orang yang akan mendapatkan naungan Allah di akhirat kelak, di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya. Amin.


Penulis: Muhammad Abduh Tuasikal

17 March 2011

Tiga Golongan Penuntut Ilmu

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan;

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat, maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan untuk mendapatkan kemuliaan, pangkat, dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. 

Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su'ul khatimah (pengakhiran yang buruk), kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia. 

Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para 'ulama. Dia bercakap seperti percakapan 'ulama dan berpakaian seperti pakaian 'ulama, padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa akan firman Allah swt;
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang tidak kamu amalkan. [As-Saff, 61:2]
Dan juga ayat;
Katakanlah wahai muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka? Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik. [al Kahfi, 18:103-104]
Wahai penuntut ilmu, maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama, dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk ke dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum dia sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


- Gambar Hiasan -

- Pesanan imam al-Ghazali dalam muqaddimah bukunya 'bidayatul hidayah', telah disunting untuk ringkasan pembacaan dan kemudahan dalam pemahaman isinya.

Semoga kita (yakni para penuntut ilmu) tergolong dalam golongan yang pertama tersebut. Seaungguhnya mengharap keredhaan Allah swt adalah tujuan utama kita hidup di dunia ini.

Semoga bermanfaat insyaAllah.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More