Selamat Datang Ke Blog Tajdid Dakwah

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah 'ali-Imran ayat yang ke 190 hingga 191:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

30 September 2009

Adab Makan Yang Kurang Dititikberatkan

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Umumnya, masyarakat Islam di Malaysia masa kini telah meraih peningkatan kualiti terhadap kemajuan masa kini. Antara kemajuan yang telah dicapai adalah ekonomi, pendidikan, sosio-politik, sains dan teknologi, pemasaran dan perniagaan. Namun, terdapat juga kekurangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia iaitu adab ketika makan di mana perkara ini kurang dititikberatkan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Islam mengajar umatnya agar berakhlak mulia dan beradab sopan. Daripada penjagaan akhlak dan adab dalam diri seorang muslim, terbentuk umat yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi dalam pelbagai aspek termasuk adab makan. Oleh itu, adab makan penting dalam sahsiah kehidupan seorang muslim. Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri boleh dijadikan contoh terbaik dalam menjaga akhlak dan adab.


Masyarakat kurang memberi perhatian terhadap adab dan akhlak khasnya adab makan. Kebanyakan mereka tidak diberikan kesedaran yang khusus mengenai adab makan. Ianya disebabkan oleh kurang pendedahan terhadap adab makan.

- Gambar Hiasan -

Adakalanya kita terlihat orang sedang makan nasi dengan tangan kanan sambil beliau minum air dengan tangan kiri atas sebab tangan kanannya kotor. Ada juga terlihat orang sedang makan chicken chop dengan tangan kiri menggunakan pisau dan garfu atas sebab garfu berada di tangan kiri dan harus mengikuti etika pemakanan. Jika kita lihat pada contoh-contoh ini, sebenarnya ianya dapat dielakkan dan diberikan jalan alternatif dengan mengikuti contoh adab ketika makan yang diajarkan oleh nabi shallallahu 'alaihi wasallam.


- Gambar Hiasan -

Antara ciri-ciri utama dalam adab makan yang mengikuti sunnah nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan membaca basmalah. Ini bersandarkan hadis nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari 'Aisyah radhiallahu 'anhuma berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah'). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwaluhu wa akhirahu' ". (Hadis riwayat Abu Dawud dan At-Tirmidzi)

Pada hakikatnya, tidak ada bacaan khusus untuk doa makan yang biasa diamalkan di kalangan masyarakat Malaysia. Riwayat yang mahsyur di kalangan masyarakat Malaysia iaitu membaca doa makan “Allahuma bariklana fima razaktana wa kina azabannar” adalah riwayat yang dhaif dan ianya telah dibuktikan di dalam kitab 'Amal al Yaum wa al Laylah yang diriwayatkan oleh Ibn As Sunni.

Kemudian, apabila kita hendak makan dan minum, maka makanlah dengan tangan kanan bukannya dengan tangan kiri walau apa keadaan sekali pun. Ini kerana Islam melarang umatnya makan atau minum menggunakan tangan kiri bersandarkan sabda nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”. (Hadis riwayat Muslim)

Justeru itu, haruslah seorang muslim mengikuti apa yang diajar oleh nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang dituntut oleh Islam. Ada riwayat lain yang memberi amaran terhadap sesiapa yang masih berdegil untuk menggunakan tangan selain tangan kanan.

Dari Salamah bin al-Akwa' radhiallahu 'anh, seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut." (Hadis riwayat Muslim)

Semoga kita beroleh keinsafan daripada hadis tersebut. Inilah yang sering dilakukan oleh masyarakat kita umumnya. Apabila kita hendak memulakan makan, makanlah dengan makanan yang paling hampir dengan kita dan jika kita tidak menyukai akan sesuatu makanan yang dihidangkan janganlah kita mencela makanan tersebut.

Sesungguhnya, Rasullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan di dalam sabdanya yang bermaksud: Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, oleh itu janganlah kita berkelakuan seperti yang dinyatakan kerana nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri melarang kita mencela makanan yang kita tidak sukai. Seterusnya, hendaklah kita mula makan dari pinggir pinggan kerana terdapatnya keberkatan terhadap makanan yang di tengah-tengah.

Dari Ibn Abbas radhiallahu 'anh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah." (Hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)

Kemudian, habiskanlah makanan yang telah kita makan dengan membaca doa selepas makan dan menjilat jari sehingga bersih. Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' " (Hadis riwayat Bukhari)

Sesungguhnya, terdapat hikmah dan kebaikan dalam mengikuti apa yang diajarkan nabi shallallahu 'alaihi wasallam kepada kita. Perkara ini mendorong umatnya agar lebih mendekati sunnah nabi shallallahu 'alaihi wasallam di samping mendidik umatnya lebih mengetahui dan mengamalkan adab makan nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam hal lain, ianya boleh menyebabkan masyarakat lebih tertib dalam adab makan.


Wallahu'alam.

Ikmal Bin Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
30 September 2009

14 September 2009

Hari Raya Bukan Hari Sedih

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin


Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hariraya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hariraya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hariraya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.


- Gambar Hiasan -

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang menghadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.


- Gambar Hiasan -

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

http://drmaza.com/home/?p=717#more-717

Persoalan Agama: Pasang pelita sambut tujuh likur amalan bidaah



Persoalan Agama: Pasang pelita sambut tujuh likur amalan bidaah
Soalan:

APAKAH pandangan agama mengenai amalan memasang pelita bagi menyambut malam tujuh likur yang lebih bersifat budaya.

Ingin Tahu.
Jawapan:

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan perkara yang baru dalam urusan agama sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun sejarawan dan budayawan menjelaskan perkara ini lebih bersifat budaya, persoalannya mengapakah tradisi ini terbatas pada Ramadan saja. Ada sebab tertentu yang menjadikan masyarakat mengamalkan sesuatu budaya.

Contohnya, pesta menuai diadakan untuk merai roh petani yang mengajar hidup berdikari atau untuk penguasa yang menjaga kepentingan petani.

Hujah makhluk halus menjaga hasil tanaman tidak boleh diterima akal. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 106 bermaksud: "Dan (orang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mempersekutukan-Nya dengan yang lain."

Mentafsirkan ayat ini, Hammad Salamah meriwayatkan daripada 'Asim Abinnujud keprihatinan sahabat kepada syirik menjadikan mereka merungkaikan perkara itu walaupun kurang disenangi.

Contohnya, Huaifah yang menziarah seorang yang sakit lalu mendapati dia memakai tangkal kulit. Huzaifah memotongnya lalu membacakan ayat ke-106 surah Yusuf ini.

Umat harus menyedari Islam yang menjadi pegangan sudah sempurna dengan turunnya ayat ketika hajjatul wada iaitu firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke-3 bermaksud: "Pada hari ini, Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya: "Kesempurnaan Islam bermaksud umat tidak memerlukan kepada penambahan dalam ibadat dan mereka tidak memerlukan kepada sesiapa pun melainkan petunjuk Nabi Muhammad SAW.

"Tiada lagi suatu yang halal selain dihalalkan Islam dan tiada yang haram selain diharamkan Islam, dan tiada penambahan terhadap apa yang sudah disyariatkan." (Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir).

Berbalik kepada soalan anda, menyalakan pelita pada malam likur ini tiada asasnya dalam sunah Nabi apatah lagi ayat al-Quran. Umat Islam dinasihat meninggalkan amalan sia-sia ini kerana bukan saja membazir, malah membuang masa sehingga menjejaskan penumpuan kepada amal salih yang perlu diutamakan.

Sumber: Berita Harian

Persoalan Agama: Gandakan ibadah 10 malam terakhir Ramadan

Persoalan Agama: Gandakan ibadah 10 malam terakhir Ramadan
Oleh Ustaz Zahazan Mohamad

Qiamullail, iktikaf di masjid antara sunah Rasulullah untuk mendapatkan lailatulqadar
Soalan:

BAGI saya, tempoh seminggu terakhir Ramadan ini amat menyedihkan kerana hampir sebulan lalu, saya benar-benar berasakan diri amat hampir dengan agama, mengerjakan puasa, solat Tarawih dan tadarus. Bolehkah ustaz memberikan panduan amalan bagi memanfaatkan seminggu terakhir Ramadan ini, khususnya amalan dilakukan Nabi SAW? Apakah amalan yang perlu dibuat, khususnya jika berkesempatan merasai malam lailatulqadar.

S Alias.
Jawapan:

Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:

# Melakukan qiamullail;

# Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;

# Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);

# Mandi antara Maghrib dan Isyak;

# Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: "Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan."

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: "Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu".

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi'iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: "Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu."

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi'iy menyatakan: "Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu." Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya."

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: "Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku."

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy 'alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan: "Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar."

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud:

"Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim."

Sumber: Berita Harian

Lailatul Qadar: Jangan Lepaskannya




Oleh Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/content/view/608/72/

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr. Firman Allah SWT:

Ertinya: "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr: 2).

Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith:

Ertinya: Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" (Riwayat Muslim, no 1175)

Sebuah lagi hadis menyebut:

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya: "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya: "Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya: "Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.


Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya: "Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" (Riwayat al-Bukhari, no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:


ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya: "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386)


Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya:

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya: Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat (Al-Baqarah: 200)

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya: "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" (Al-Baqarah: 201)

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a:

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني..

Ertinya: "Berkatalah Aisyah, Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Bersabda Nabi: "Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"


Mestikah Mendapat Tanda?

Sabda Nabi SAW:

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya: "Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." (Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendak-Nya.


Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah:

Waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu:

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya: Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar (Al-Qadr: 5)

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )


Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar? Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti:

1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah (Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

20 Ramadhan 1428 H

2 Oktober 2007

08 September 2009

17 Ramadhan & Nuzul Al-Quran

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambut nuzul al-Quran, di mana pada tarikh ini dikatakan tarikh diturunkan al-Quran buat pertama kalinya kepada junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.

Persoalan yang timbul ialah adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi Nuzul al-Quran seperti yang diketahui umum?

Dalam menulis artikel ini saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, ditulis oleh Al-Fadhil Dr Ahmad Najib bin Abdullah dari KIAS Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 ramadhan sebagai hari nuzul al-Quran” dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa kerajaan negeri Perlis.

Peringkat penurunan Al-Quran

Para ulamak membahagikan penurunan Al-Quran al-Karim kepada dua peringkat. Peringkat pertama: Diturunkan dari Lauh al-Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah s.w.t.

إنا أنزلناه في ليلة مباركة

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. (surah al-Dukhan: 3)


Firman Allah s.w.t. lagi

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Firman Allah s.w.t lagi

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Peringkat kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.

Pendapat ini dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani katanya: pendapat yang sahih dan muktamad. (fath al-Bari jilid 8 hlm. 620). Al-Imam Al-Qurtubi menyatakan tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini. (Tafsir al-Qurtubi, jilid 2 hlm.297).


Bilakah tarikh permulaan turunnya Al-Quran?

kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya al-Quran itu ialah di dalam bulan ramadhan. Tetapi mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.

Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 ramadhan adalah hari nuzul al-Quran, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.

Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri antaranya 7 ramadhan, 17 ramadhan dan 18 ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 ramadhan sebagai tarikh permulaan nuzul al-Quran. Ini disebabkan beberapa faktor

1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa nabi s.a.w. diutuskan menjadi seorang rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak hadis daripada Abu Qatadah r.h. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda: Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (al-Quran) ke atasku. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.

2. Pada tahun Nabi s.a.w. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam bulan ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan ramadhan.

3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah di dalam surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi s.a.w. diutuskan sebagai rasul pada 21 ramadhan sekaligus menjadi tarikh nuzul Al-Quran. (rujuk Al-Rahiq al-Makhtum, hlm.75)


Tarikh 17 ramadhan

Tarikh 17 ramadhan ini pula dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan:

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 ramadhan sebagai tanggal nuzul al-Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran” (bermulanya nuzul al-Quran), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:

Ibn Ishaq berkata: bermulanya penurunan al-Quran kepada rasulullah s.a.w. pada bulan ramadhan. Allah berfirman:

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Dan Allah berfirman:

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Dan Allah berfirman:

إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان

Maksudnya: Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan. (al-Anfal: 41)


Dan pada hari itu pertembungan antara rasulullah s.a.w. dengan orang-orang musyrikun di Badar.

Ibn Ishaq berkata lagi: Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain telah menceritakan kepadaku bahawasanya rasulullah s.a.w. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 ramadhan. (Sirah Ibn Hisyam 1/239-240 –merujuk kepada kertas kerja Dr Ahmad Najib)

Kata Dr Ahmad Najib: “Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ yang terdapat dalam al-Quran dengan ‘Hari al-Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Quran juga berlaku pada tarikh yang sama”.

Di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibn Kathir membawakan satu riwayat dari Al-Waqidi daripada Abu Ja’afar al-Baqir dia berkata: bermulanya wahyu kepada rasulullah s.a.w. pada hari Isnin 17 ramadhan dan dikatakan juga 24 ramadhan. (Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan nuzul al-Quran jatuh pada 17 ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan nuzul al-Quran disebabkan ianya bersandar kepada riwayat al-Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut ulamak al-Jarh wa al-Ta’dil.


24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran

Sebahagian ulamak memilih 24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran berdasarkan hadis berikut:

عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.

Daripada Wathilah bin al-Asqa’ bahawa rasulullahs.a.w. bersabda: Diturunkan suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama bulan ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 ramadhan, dan Injil pada 13 ramadhan, dan diturunkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 ramadhan.


Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Al-Albani, manakala Syeikh Ahmad Syakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 185 dan Al-Qadr: 1. Kata beliau: berkemungkinan Lailatu al-Qadr berlaku pada tahun diutuskan nabi s.a.w. pada malam 24 ramadhan di mana al-Quran diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’. (Fath al-Bari, jilid 8 hlm. 621)

Al-Imam al-Tobari ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh al-Mahfuz pada malam 24 ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah. (Jami’ al-Bayan, jilid 3, hlm. 445)

Imam al-Qurtubi menyebut hadith Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan al-Basri yang menegaskan Lailatul al-Qadr berlaku pada malam 24 ramadhan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 2, hlm 198)

Al-Hafiz Ibn Kathir juga membawakan hadith ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah al-Baqarah. Turut menyebut hadith ini syeikh Al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul al-Quran berlaku pada tanggal 24 ramadhan.


Kesimpulan

Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 24 ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut:

1. Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan Hadith. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul al-Quran.

2. Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 ramadhan.

3. Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulamak Muktabar dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul al-Quran. Rujuk kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Wallahu a’lam

Sumber: Institut al-Qayyim

Fenomena Berani Berfatwa

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Sejak kebelakangan ini kelihatan satu gejala yang melanda sebahagian orang Islam, iaitu berani berfatwa. Setiap kali timbul isu yang melibatkan hukum-hakam agama, maka menjelmalah ramai ‘mujtahid’ yang pantas mengutarakan pendapat mereka. Adakalanya, ‘fatwa-fatwa’ mereka kelihatan mendahului keputusan ahli-ahli fatwa yang lebih berautoriti.

Pernah satu ketika timbul isu yang agak menggemparkan negara, yang ada hubung kait dengan hukum agama. Seperti biasa, ramailah penceramah berfatwa dalam pidatonya, dan penulis pula berhukum melalui pena dan keyboardnya. Walhal dari sudut hukumnya, ia termasuk dalam hukum yang disepakati atau yang sudah ijmak di kalangan fuqaha. Lantaran kejahilan tentang ijmak, atau kejahilan tentang wajibnya menuruti ijmak, golongan seperti ini berani menghebahkan pandangan peribadi yang menyalahi ijmak silam para ulama.

Lihatlah bagaimana permasalahan feqah yang disepakati oleh fuqaha, apabila dibincangkan oleh orang-orang bukan ulama, alih-alih ia menjadi masalah khilaf yang bercabang-cabang pendapatnya. Agaknya, kalau masalah feqah yang sepatutnya khilaf kepada tiga pendapat, jika dibiarkan golongan ini berhukum dan berfatwa, mungkin perselisihan akan jadi 20 pendapat!!!

Berani dan pantasnya mereka berfatwa benar-benar menghairankan. Seakan-akan tidak pernah menghayati satu firman Allah yang termaktub dalam Surah Al-A’raf:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنزلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, samada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (Al-A’raf: 33)

Jika kita menyedari kenapa dalam ayat di atas, dosa bertutur tentang Allah dengan jahil dirangkaikan bersama dosa syirik kepada Allah, pasti kita akan ketahui betapa besarnya jenayah memberi fatwa tentang agama tanpa ilmu.

Malang apabila ada kalangan orang Islam menganggap berfatwa adalah satu hobi yang menarik. Sesiapa sahaja boleh menceburi, asalkan mempunyai selonggok buku agama ataupun beberapa keping CD maktabah kitab. Walhal para salaf bertolak-tolak dan mengelak daripada memberi fatwa.

Ibn Abi Laila berkata, “Aku menemui 120 orang ansar dari kalangan sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Apabila salah seorang ditanya masalah, dia akan menolak supaya diaju kepada yang lain. Yang lain pula menolak supaya diaju kepada yang lain, sehingga kembali kepada orang pertama”.

Golongan salaf merasakan urusan fatwa adalah satu amanah yang sangat besar. Bukan sekadar memberi jawapan segera kepada penyoal bahawa hukum ini halal, dan hukum ini haram. Tetapi ia berkait dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Imam Malik pernah disoal 50 masalah, tetapi beliau tidak menjawab walau satu soalan pun. Imam Malik berkata, “Sesiapa yang mahu menjawab, maka sebelum menjawabnya hendaklah merentangkan dirinya di atas syurga dan neraka, dan bagaimana kesudahannya di akhirat, barulah dia menjawab”.

Kita juga hairan kenapa para ulama yang muktabar cukup berhati-hati dan kerap mengambil jalan tawaqquf apabila berdepan dengan hukum Allah, tetapi orang-orang yang tidak pernah diiktiraf sebagai ulama apatah lagi sebagai mujtahid begitu berani dan boros dalam berfatwa.

Imam Sahnun pernah disoal satu masalah oleh seorang lelaki. Lalu tiga hari lelaki itu berulang-alik kepada Sahnun dan mendesaknya, “Soalan aku, -semoga Allah membaikkan urusanmu-”.

Sahnun berkata, “Wahai sahabat, apa yang boleh aku lakukan dengan soalanmu. Ia rumit. Dalamnya ada banyak pendapat. Dan aku kebingungan padanya”.

Lelaki itu berkata, “Kamu (layak menjawab) untuk semua soalan yang rumit”.

Sahnun berkata, “Jauh sekali wahai anak saudaraku. Kata-katamu itu bukanlah lebih mendedahkan kamu daripada daging dan tulangku kepada api neraka. Alangkah banyak apa yang aku tidak mengetahui”.

Sahnun berkata lagi, “Kalau kamu sabar, aku harap kamu boleh kembali semula dengan persoalan kamu ini. Kalau kamu mahu bertanya kepada orang lain selainku, pergilah dan masalah kamu itu mungkin dijawab segera dalam masa sekejap sahaja”.

Demikian cermat dan waraknya para mujtahid dalam memberi fatwa. Mereka menangguh-nangguh jawapan bukan kerana mereka jahil. Tetapi kerana takut kepada Allah. Ibn Solah berkata, “Dalam kalangan mereka ada yang melambat-lambatkan menjawab soalan yang dia tidak ragu padanya (yakni: tahu jawapannya), dan mereka bertawaqquf dalam masalah yang mudah yang dia boleh menjawabnya”.

Sebaliknya, orang-orang yang tidak berilmu pula yang malu untuk tawaqquf, dan malu untuk menyebut ‘aku tidak tahu’. Tetapi tidak pula merasa malu dan segan kepada Allah untuk bercakap tentang hukum-hakamNya tanpa ilmu.

Pantas berfatwa walau tanpa usul periksa adalah tanda bahawa Tuhan tidak memberi taufiq kepada seseorang. Al-Khatib Al-Baghdadi berkata, “Sedikit sahaja orang yang gemar memberi fatwa, berlumba-lumba memberi fatwa, dan senantiasa memberi fatwa, kecuali kuranglah taufiq Allah kepadanya”.

Ia juga tanda bahawa kurangnya ilmu seseorang, walau lagaknya seperti ilmuan. Al-Sakhtiyani berkata, “Orang yang paling pantas memberi fatwa, dialah yang paling sedikit ilmunya tentang khilaf ulama”.

Maka berhati-hatilah dalam berbicara pasal hukum-hakam. Tidak ada keaiban bagi orang yang enggan menjawab soalan atau menjawab dengan kalimah ‘Allahu A’lam’. Tetapi aib yang besar bagi sesiapa yang menjawab segala persoalan dengan kejahilan atau kelewaan. Ibn Mas’ud berkata, “Orang yang memberi fatwa dalam semua soalan yang diajukan kepadanya, adalah orang gila”.

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita, dengan menuruti jalan para salaf. Iaitu jalan orang-orang yang warak dalam bertutur terhadap hukum-hakam Allah. Dan hendaklah kita merasa malu dan takut kepada Allah, melebihi malu sesama manusia.

Sumber : Institut al-Qayyim

03 September 2009

Amalan di Bulan Ramadhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Tidak ada keraguan bahawa amalan puasa adalah amalan yang paling utama pada bulan Ramadhan. Kerana ia adalah kewajipan atas setiap mukallaf. Dan dimaklumi bahawa amalan yang wajib adalah lebih utama daripada amalan sunat.

Selain daripada puasa, digalakkan juga melakukan amalan-amalan ibadah lain. Antara amalan yang terdapat anjuran khusus pada bulan ini ialah:

1) Umrah:

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:
فإن عمرة في رمضان تقضي حجة معي

Bermaksud: Maka sesungguhnya umrah pada Ramadhan bersamaan pahalanya dengan haji bersamaku.
Direkod oleh Bukhari (no: 1764).

2) Jamuan Berbuka Puasa:

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Maksudnya: Sesiapa menjamu seseorang berbuka puasa, maka dia mendapat seperti pahalanya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang berpuasa itu.
Direkod oleh Tirmizi (no: 807), Ibn Majah (no: 1746) dan lain-lain. Dinilai sahih oleh Tirmizi dan Ibn Hibban.

Dihikayatkan bahawa Ibn Umar r.a. tidak berbuka puasa melainkan bersama-sama dengan orang-orang miskin dan anak-anak yatim.

3) Berdoa:

Di dalam hadis Anas bin Malik,
ثلاث دعوت لا ترد دعوة الوالد ودعوة الصائم ودعوة المسافر

Maksudnya: Tiga doa yang tidak ditolak; iaitu doa seorang ayah, doa orang berpuasa, dan doa orang bermusafir.

Direkod oleh Baihaqi dalam Sunan Kubro (no: 6185). Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Sahihah (4/406)

4) Bertaubat:

Taubat daripada dosa adalah wajib tanpa mengira tempat dan masa. Pada bulan Ramadhan, ia menjadi lebih utama, berdasarkan hadis:
رغم أنف رجل دخل عليه رمضان ثم انسلخ قبل أن يغفر له

Maksudnya: Sangat hina seorang lelaki yang sempat dengan Ramadhan, kemudian habis Ramadhan sebelum dia diampunkan.

Direkod oleh Tirmizi (no: 3545). Katanya: “Hasan Gharib”.

5) Bersedekah:

Ibn Abbas r.a. menceritakan perihal Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pada bulan Ramadhan:
كان رسول الله صلى الله عليه و سلم أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن فلرسول الله صلى الله عليه و سلم أجود بالخير من الريح المرسلة

Maksudnya: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah manusia paling pemurah. Dan baginda paling bersifat pemurah pada bulan Ramadhan, ketika bertemu dengan Jibril. Baginda bertemu dengan Jibril pada setiap malam bulan Ramadhan, lalu mereka bertadarus Al-Quran. Demi sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lebih pemurah dalam perkara kebaikan daripada angin yang bertiup.

Direkod oleh Bukhari (no: 6) dan Muslim (no: 2308).

6) Membaca Al-Quran.

Amalan ini digalakkan berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a. sebelum ini, iaitu: “Baginda bertemu dengan Jibril pada setiap malam bulan Ramadhan, lalu mereka bertadarus Al-Quran”.

7) Iktikaf Pada Sepuluh Terakhir:

Aisyah r.a. berkata:
أن النبي صلى الله عليه و سلم كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله ثم اعتكف أزواجه من بعده

Maksudnya: Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan, sehingga baginda diwafatkan oleh Allah. Kemudian para isteri baginda beriktikaf selepasnya.

Direkod oleh Bukhari (no: 1922) dan Muslim (no: 1172).

Semoga Allah Taala mempermudahkan kita melakukan amalan pada bulan berkat ini, dan menerimanya sebagai amal soleh.

Sumber: Abu Umair

02 September 2009

Hadith Popular Sekitar Ramadhan Yang Maudu' dan Dhaif Edisi Revisi

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Setiap kali datangnya bulan Ramadhan maka kita tak pernah jemu mendengar hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihwassalam berkaitan puasa,kelebihan bulan Ramadhan dan keutamaannya,maka tak hairanlah ramai yang menulis atau menyampaikan tazkirah atau ceramah mereka menggunakan hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihhwassalam yang sahih dan tak kurang juga yang menggunakan hadith-hadith yang dha`if (lemah)dan maudhu`(palsu). Tujuan mereka baik dan dipuji ,namun tujuan sahaja baik tidak memadai jika tidak mengikut landasan syariat. Contohnya hadith berkaitan fadhilat-fadhilat solat tarawih mengikut malam-malam tertentu yang terang-terang kesemuanya adalah maudhu (palsu). Sepakat para ulama hadith mengatakan haram meriwayatkan hadith daripada Nabi sallallahu`alaihwassalam yang palsu(maudhu`).Walaupun begitu, berkenaan dengan hadith Dha`if maka ulama berbeza pendapat tentang hukum beramal dengannya, Al-Hafiz Ibnu Hajar menghuraikan tiga syarat yang perlu dipatuhi untuk beramal dengan hadith dha`if antaranya:

1)Kedha`ifannya tidak terlalu teruk(dha`if Jiddan)

2)Ia termasuk dibawah prinsip atau dalil yang diamalkan

3)Tidak boleh yakin tentang thabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.


[Rujuk Taisir Mustalah al-Hadith 65-66]

Ulama Hadith juga meletakkan syarat untuk meriwayatkan hadith Dha`if :

1) Tidak berkaitan dengan akidah

2)Periwayatan itu bukan tentang hukum syara` yang berkaitan dengan halal dan haram.Dan harus diingat jika hadith apabila meriwayatkan hadith dha`if tanpa sanad atau dha`if maka jangan terus berkata: " Rasulullah sallallahu`alaihwasallam bersabda" tetapi hendaklah berkata "Diriwayatkan daripada....atau sampai kepada kami...diceritakan kepada kami supaya kita tidak secara pasti menisbahkan hadith tersebut kepada Rasulullah sallallahu`alaihwassalam.

Sikap kita hendaklah kita merujuk kepada ahli-ahli hadith untuk kita menceritakan sesuatu hadith,atau merujuk kepada kitab-kitab hadith tinggalan para ulama`hadith. Berikut ancaman Nabi sallallahu`alaiwasallam kepada sesiapa yang menceritakan hadith yang didengarnya tanpa mengetahui taraf hadith itu sama ada ianya maqbul(diterima,sahih dan hasan) ataupun ianya tertolak mardud(dha`if dan maudhu`)Sabda Nabi sallallahu`alaihwassalam:

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ



Barangsiapa menceritakan hadith dariku dan hadith tersebut diketahui dusta(tidak sahih) maka dia adalah salah seorang pendusta.

(HR.Muslim)

Kata Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani: "Ini hukum orang yang diam(tidak menerangkan) dari hadith-hadith lemah dalam fadhail(kelebihan). Lantas bagaimana dalam masalah hukum dan sejenisnya?

(Rujuk Tamammul minnah hal:33)

Kenyataan Syaikh al-Albani ini menunjukkan bahawa sebagaimana hadith-hadith dha`if dan maudhu` dilarang meriwayatkannya begitu juga menyembunyikannya(tidak memberitahu akan kecacatan hadith)juga termasuk dalam ancaman hadith di atas. Jadi tertolaklah juga dakwaan yang mengatakan:" Tak mengapa pakai hadith Dha`if dalam fadhail(kelebihan)!"

Maksudnya jika mendiamkan diri ( tidak menjelaskan status hadith yang maudhu` atau lemah) itu juga termasuk dalam ancaman sebagai seorang pendusta apatah lagi kita yang dengan mudah-mudah menyebarkan hadith palsu atau lemah(setelah diketahui statusnya) tersebut walaupun dengan niat untuk menyampaikan peringatan (tazkirah)

Sabda Nabi sallallahu`alaihwasallam lagi:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار



Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka persiapkanlah tempat duduknya dalam neraka.

(HR.Muslim)


Maka berdusta ke atas seseorang adalah dikira berdosa besar di sisi Allah inikan pula berdusta di atas nama Nabi sallallahu`alaihwasallam,malah sepakat para ulama menyatakan bahawa setiap nas (baik al-Quran ataupun Sunnah) yang menunjukkan larangan dan juga ancaman azab atau neraka maka ia membawa kepada hukum haram.Maka berdusta di atas nama Nabi sallallahu`alaihwasallam adalah suatu dosa yang besar.Berikut hadith-hadith dha`if yang popular yang sering disandarkan kepada Nabi sallallahu`alaihwasallam sekitar puasa dan bulan ramadhan:

HADITH PERTAMA

وهو شهر أوله رحمة,ووسطه مغفرة,وآخره عتق من النار



Bulan Ramadhan adalah sebuah bulan yang awalnya adalah rahmat,pertengahannya adalah keampunan sedangkan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.

Diriwayatkan oleh al-Mahamili dalam al-Amali no:50.,Ibnu Abi Dunya,al-Khatib dan Ibnu Asakir.


Hadith ini di dalam rantaian perawinya terdapat Sallam (Ibn Sulaiman Ibn Siwar)

Kata `Uqaili : Tiada asalnya hadith ini dari az-Zuhri

Kata Imam az-Zahabi di dalam Al-Mizan : Ibnu `Adiy berkata: Sallam ini mungkar hadithnya

Kata al-Albani: Hadith ini sangat dha`if di dalam sanadnya terdapat Ali Bin Zaid Bin Jad`an. Dia itu orang yang lemah sebagaimana dikatakan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya. Kata Imam Ibnu Khuzaimah: "Saya tidak berhujjah dengannya disebabkan hafalannya yang lemah.(Lihat adh-Dho`ifah: 871,1569) demikian pula kata al-`Uqaili

HADITH SAHIH

Adapun sangat banyak hadith sahih yang menyatakan tentang kelebihan,kerahmatan,dan diampunkan dosa di dalam bulan Ramadhan antaranya:

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة,وغلقت أبواب النيران,وصفدت الشياطين



Apabila datang bulan Ramadhan,telah dibuka pintu-pintu syurga,telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan

HR Bukhari: 3277,Muslim:1079



من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم منذنبه



Barangsiapa yang berpuasa ramadhan penuh dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah,maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.

HR.Bukhari dan Muslim


Banyak lagi hadith-hadith yang lebih sahih dan lebih patut kita gunakan untuk disebarkan dan untuk beramal.


HADITH KEDUA

Ramai yang membaca doa ketika berbuka dengan doa dari hadith ini,membacanya tidaklah salah kerana kita dituntut untuk berdoa kepada Allah dengan apa bentuk doa sekalipun namun yang menjadi kesalahan apabila kita terus menyandarkan doa tertentu kepada Nabi sallallahu`alaihwasallam tanpa mengetahui sama ada ianya sahih ataupun lemah. Hadithnya:

اللهم لك صمت ,وعلى رزقك أفطرت



Ya Allah,untuk Mu-lah saya berpuasa dan atas rezekiMulah saya berbuka.

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud: 2358,Baihaqi 4/239,Ibnu Abi Syaibah:9744,Ibnu Sunni:479 dan Baihaqi dalam Syu`abul Iman:3902.


Lemahnya hadith ini kerana majhulnya Mu`az b.Zahrah(perawi dalam sanadnya), dan dia itu seorang tabi`in yang langsung meriwayatkan dari Rasulullah, maka hadithnya mursal(diriwayatkan oleh tabi`e terus kepada Nabi, gugur nama sahabat dalam rantaian sanadnya )dha`if. Dan sanad Hadith ini mudhtarib. Oleh kerana itu hadith ini dilemahkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dan al-Albani

(Rujuk Takhrij Adzkar hlmn 367,Irwa`:919)

Yang sebenarnya doa yang disebut oleh Nabi sallallahu`alihwasallam yang lebih sahih hadithnya ialah:

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتلتِ العُرُوقُ, وَثَبَتَ الَأجْرِ إن شاء الله



Telah hilang rasa haus,dan telah basah kerongkongan serta tetaplah pahala,insya Allah.

HR.Abu Daud dan lainnya.

Lihat Irwa`:920,Shahih Jami` no:4678


Banyak lagi hadith-hadith yang popular namun ianya lemah malah maudhu` maka sikap kita sebagai seorang yang cintakan Nabi sallallahu`alaihwassalam sentiasa beriltizam untuk mengikut sunnahnya yang sahih ,banyak lagi hadith-hadith sahih yang jarang kita membaca dan mencarinya ,sepatutnya kita sentiasa peka dengan hadith-hadith Nabi benarlah kata-kata ulama kita:

في الصحيح الحديث شغل عن سقيمه



Dalam hadith yang sahih itu terdapat kesibukan dari hadith yang lemah.

(al-Jami`lil akhlak Rawi wa Adabi Sami` 1524,al-Khatib-Baghdadi.)

Maksudnya daripada kita menyibukkan diri dengan hadith-hadith yang dha`if banyak lagi hadith yang sahih yang sepatutya kita menyibukkan diri mencari,membaca,beramal dan menyebarkanya.Marilah kita sentiasa mengikuti sunnah Nabi yang sahih dan agar kita selamat dari termasuk dalam golongan yang berdusta di atas nama Nabi sallallahu`alihwasallam.Dan berwaspadalah dengan hadith-hadith yang dha`if atau maudhu` apakah kita sanggup Ramadhan kita dicemari dengan dosa mendustakan Nabi?


Faqir ila Allah,

Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi

14 Ramadhan 1429H/ Edit & tambahan pada 4 Ramadhan 1430H@ UM Kuala Lumpur
apium Nilam Puri

Apium Nilam Puri8:14 a.m/02:44a.m UM Kuala Lumpur

Sumber: Madrasah Hadith

Hadith Dhaif Dan Maudu' Di Bulan Ramadhan

السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Entry kali ini membincangkan mengenai seputar hadith dhaif mengenai puasa yang mana ianya mahsyur di kalangan umat Islam di Malaysia tetapi sanadnya dhaif.

Harus sebagai muslim kita mengetahui daripada mana sesebuah hadith itu diambil dan bagaimana huraian takhrij sanadnya sama ada ianya sahih, hasan, dhaif, maudu' atau mungkar. Apabila mengetahui tentang sesuatu sanad hadith, kita kena pastikan hadith yang kita perolehi riwayatnya benar-benar sahih. Untuk itu, kita kenalah melihat pandangan imam-imam hadith yang terdahulu, bagaimana cara mereka mengolah pendapat atau fatwa mereka berkenaan dengan sesuatu hadith. Ini merupakan pengenalan ringkas serba sedikit mengenai ulum hadith.

Ok, lawati link ini al-fikrah.net. Di link ini ada membincangkan mengenai seputar hadith-hadith palsu, maudu' sepanjang bulan Ramadhan. Insya Allah banyak manfaatnya. Selamat menghayatinya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More