|
- Gambar Hiasan - |
Di era zaman perkembangan teknologi dan globalisasi, kita dapati masyarakat Islam di Malaysia kebanyakannya telah membuka mata dan minda mereka kepada keluasan ilmu pengetahuan serta maklumat. Ramai juga di antara mereka yang diberikan hidayah oleh Allah s.w.t. untuk dibukakan mata dan pemikiran dek kerana pemikiran rasional yang memainkan peranan dalam hidup beragama. Ini disebabkan kepesatan maklumat yang tersebar secara meluas di Internet dan juga kerana keyakinan mereka bahawa Islam itu tunjangnya fakta dan hujah bukannya bersandarkan cerita rekaan semata.
Dengan fenomena ini, ramai yang mula mendekatkan diri kepada Islam yang mementingkan fakta dan hujah. Mereka mula mempelajari daripada guru-guru yang bertauliah tentang syariatullah dan sunnatullah yang banyak menekankkan soal fakta dan hujah. Maka, kesan yang kita dapati melalui fenomena ini, para pendakwah mula berhati-hati dalam memberikan sebarang bukti di dalam ceramah mereka. Ini kerana mereka khuatir akan disiasat apa yang mereka sebut ini benarkah mempunyai sandaran yang sahih atau tidak.
Namun, terdapat juga kes terpencil di mana ada pendakwah yang masih menggunakan kaedah lama iaitu bercakap di dalam ceramahnya tanpa membawa membawa fakta yang sahih bahkan ternyata kepalsuannya melalui logik akal dan ulasan para 'ulama. Ia termasuk juga isu para pendakwah yang sering membawa hadith-hadith yang jelas kepalsuannya atau yang tiada sandaran kepada Rasulullah s.a.w. Ini yang dibenci oleh agama kerana memainkan peranan membawa hadith-hadith palsu ke dalam masyarakat. Ketahuilah bahawa hadith-hadith palsu inilah yang telah menjahanamkan dan merosakkan tamadun dunia Islam.
Ancaman Hadith Palsu
Hadith palsu sememangnya suatu fenomena yang sangat dibenci. Ini kerana ia merosakkan keunikan yang tersendiri yang ada pada agama Islam yang asli. Oleh sebab itu, muncul pelbagai hadith tentang amaran penyebaran hadith palsu. Seperti mana hadith-hadith yang berikut:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَفْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atasku bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam api Neraka”. (Riwayat Bukhari dalam kitab Janaiz dan Mukaddimah Sahih Muslim)
يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ , يَأْتُوكُمْ مِنَ الأَحَادِيثِ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلا آبَاؤُكُمْ , فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ لا يُضِلُّوكُمْ وَلا يَفْتِنُوكُمْ
"Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)". (Mukaddimah Sahih Muslim)
Oleh kerana itu hadith palsu sangat dibenci kerana ia mengandungi fakta yang tidak tepat, kisah yang tidak dapat diterima daripada akal yang waras dan membawa kepada kemunduran pemikiran ummah. Maka sebab itu, tabi'i besar iaitu Muhammad Ibnu Sirin (w.110) berkata dalam mengelakkan daripada fenomena berlakunya penyebaran hadith palsu:
Mereka (iaitu ulama hadith) tidak bertanyakan tentang sanad, tetapi apabila terjadinya peristiwa fitnah, mereka berkata, 'Sebutkan kepada kami nama periwayat kamu. Apabila dilihat yang menyampaikannya Ahl al-Sunnah, maka hadithnya diterima, tetapi apabila yang menyampaikannya ahl bid'ah, maka hadithnya ditolak.' (Mukaddimah Sahih Muslim)
Pesanan Kepada Penyebar Hadith Palsu
Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan dunia Islam pada tempoh yang agak lama. Wahyu telah pun terputus. Apa yang menjadi petunjuk dan sandaran kita untuk berpegang teguh kepada Islam yang asli adalah al-Quran dan as-Sunnah. Ingatlah akan wasiat beliau yang begitu membekam jiwa iaitu:
اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّارِ.
"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah! Seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami. Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat". (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi: Hadis Hasan Sahih)
Maka, apakah tegar kita melakukan bid'ah iaitu menyebarkan hadith palsu yang jelas menipu di dalam urusan agama dengan menjual nama Rasulullah sedangkan beliau tidak pernah menyebutkannya? Insafilah dirimu wahai penyebar hadith palsu. Hentikan gejala buruk yang merosakkan sistem dan keindahan Islam yang sudah pun kelihatan sempurna atas sebab tertegaknya manhaj as-Sunnah.
Tidak perlu kita menambah apa yang telah cukup sempurna kerana setiap yang ditambah itu menampakkan keburukan. Ingatlah bahawa Allah s.w.t telah berfirman:
ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu."(al-Maidah: 3)
Kesempurnaan di dalam Islam itu telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Maka, tidak perlu untuk mereka hadith-hadith palsu untuk dibawa masuk ke dalam masyarakat. Banyak lagi hadith-hadith sahih yang boleh membimbing manusia ke arah beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.
Wallahu'alam.
Ikmal Johari
Kampung Baru, Kuala Lumpur
25 Januari 2012/1 Rabiul Awal 1433H